Bab 5
"GILA! Budak gila! Sakit mental! Gila! Gila!"
Serena tenggelam dalam dunianya sendiri. Rintik hujan yang kian lebat di luar kelas membuatkannya terbang lebih jauh dari realiti. Dia mula mencoret semua rasa yang ada dalam dirinya. Kadang-kadang, dia siapkan satu cerpen pendek alam fantasi yang sangat-sangat membuatkannya rasa teruja.
Dia tahu bukan hanya dia yang membaca hasil penulisannya. Orkid juga kadang-kadang ambil buku hitam ini dan baca. Kalau tak, masakan ada nota ringkas di setiap helaian ke tujuh tentang Aina. Serena tak pernah sibuk tulis pasal Aina. Nama Aina belum layak ada dalam buku hitam miliknya.
"Senyappp!" Cikgu Daud dah masuk dengan rotan panjang semeter.
"Kamu ni, kan... Kan dah bagi tau tadi cikgu Matematik kamu ada urusan. Senyap tak boleh? Masa tak ada cikgu ni la elok baca buku ke, habiskan kerja rumah ke... Ini tak, cikgu yang mengajar di kelas hujung tu ha boleh dengar suara kamu. Hesy!"
Semua murid-murid dah kembali ke tempat duduk masing-masing apabila Cikgu Daud mula membebel. Semua murid takut akannya. Cikgu Daud, guru disiplin yang cukup terkenal dengan ketegasannya, sepadan dengan wajahnya yang bengis.
"Cikgu tak ada kau orang pakat buli orang, eh? Dia ada kacau kau orang ke? Dia siapa nama?"
Senyap tiada jawapan. Terkulat-kulat 27 pasang mata dalam kelas itu kecuali sepasang mata yang hanya tunduk menulis pada buku dengan kulit warna hitam.
"Hei, awak... Awak siapa nama?"
Tiada jawapan.
"Siapa nama dia tu?" Cikgu Daud tunggu jawapan murid perempuan yang Cikgu Daud perasan paling kuat jerit 'sakit mental' masa dia masuk kelas itu tadi.
"Nama dia Orkid Serena."
"Oh." Cikgu Daud alih perhatian kepada murid perempuan yang duduk di meja belakang sekali di tepi tingkap.
"Orkid Serena."
Tak angkat muka.
"Orkid Serena."
Masih tiada jawapan.
"Orkid Serena!!!"
Dia dah berdiri betul-betul di hadapan meja Serena tapi kanak-kanak perempuan itu langsung tak angkat muka pandang dia, apatah lagi hendak menjawab panggilannya.
"Dia... Tak cakap dengan siapa-siapa kalau hari hujan."
Cikgu Daud angkat kening pandang murid lelaki yang duduk di meja bersebelahan Serena.
"Apa pasal pula?"
Murid itu jongket bahu.
"Aina cakap dia gila."
"Aina? Siapa Aina? Siapa nama Aina kat sini angkat tangan!" Mata lelaki berkemeja putih dan bertali leher kelabu itu kini meliar pandang sekeliling kelas.
"Aina budak kelas sebelah."
Cikgu Daud kemudian mengeluh kecil.
"Jadi, dia memang akan macam ni masa hari hujan, eh?"
Murid lelaki dengan kaca mata bingkai bulat warna hitam itu angguk laju.
"Betul ke dia gila, cikgu?"
"Hesy! Tak baik cakap macam tu." Cikgu Daud angkat muka dari renung Serena yang menidak kewujudannya.
"Kelas..." Dia pandang sekeliling kelas.
"Buat kerja masing-masing sampai cikgu kamu masuk. Jangan buat bising. Sekali lagi saya dengar bunyi bising dari kelas ni, seluruh kelas balik lewat, cuci semua tandas sekolah ni. Tak kesahlah awak ni Darjah 1... Masih kecil ke apa? Buat salah aje, tetap kena hukum." Cikgu Daud bernada tegas.
Pada pemikirannya, amaran itu pasti membuatkan semua murid dalam kelas itu kecut perut. Padahal, hukuman untuk murid Darjah 1 tidak akan seteruk itu. Paling tidak, mereka akan masuk perpustakaan, susun buku.
"Awak... Awak siapa nama?" Cikgu Daud tuding murid lelaki yang duduk bersebelahan Serena dengan rotan di tangan kanan.
"Nama saya Fayadh."
"Fayadh. Nanti kalau dah tak hujan, awak bagi tau Orkid Serena ni untuk jumpa saya di pejabat."
"Kalau hujan tak berhenti sampai balik nanti, cikgu?"
"Esok. Esok pun boleh."
"Baik!"
"MACAM mana, cikgu?"
"Hmmm... Cikgu Daud dah sampaikan cerita ni pada saya semalam..."
"Cikgu tolonglah bagi dia peluang untuk teruskan persekolahan di sini. Saya tahu dia murid yang baik. Dia tak kacau orang pun. Dia bijak... Cuma..."
"Look, Puan Sofea. Saya pernah baca tentang DID...Tentang split personality, penyakit yang awak cakap anak angkat awak ni hidapi sekarang. Obviously, tu dah kira mental disease."
"She's only a child. Saya tak nak dia rasa terasing."
"Saya tahu. Saya faham. Saya pun dah bercakap dengan dia semalam. Sekali dengan Cikgu Daud. Tapi masa tu tak hujan. Dia mahu dipanggil Orkid, bukan Serena."
"Jadi, cikgu pun dah tahu tentang masa perubahan dia?"
Cikgu Othman, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) itu mengangguk perlahan.
"Saya tak mengajar di kelas tu. Cikgu Daud pun tak mengajar di kelas tu tapi dia pun dah tahu. Apatah lagi cikgu-cikgu yang mengajar di kelas Orkid ni... Dan ini bukan kali pertama cikgu sekolah ni berhadapan dengan situasi macam ni dengan Orkid Serena."
Wanita bertudung warna turquoise dipadankan dengan blaus rona yang sama dan seluar panjang warna putih itu mengeluh berat.
"Takkan saya nak cakap kat dia, dia dah tak boleh teruskan persekolahan lagi?"
"Saya tak tahu tentang bagaimana penerimaan sekolah lain untuk kes-kes macam ni. Tapi saya cadangkan, Orkid Serena bersekolah di rumah. Belajar di rumah tetapi mengikut silibus pembelajaran yang sama di sekolah. Tak ke lebih mudah begitu?" Lelaki lingkungan 50-an yang kepalanya hampir separuh botak dan bermisai tebal itu menghirup sekali kopi O dari muknya yang tertulis BEST DAD EVER!, hadiah hari bapa daripada anak perempuannya yang kini sedang belajar di luar negara.
"Maafkan saya, cikgu. Walaupun saya ni bukan ibu kandung dia, saya dah sayang dia macam anak saya sendiri. Saya nak dia membesar seperti kanak-kanak lain. Belajar di sekolah, bergaul dengan rakan sebaya... Saya nak dia ada kawan. Saya nak dia lalui semua tu seperti kanak-kanak lain kerana semua itu mungkin boleh sembuhkan penyakit dia. Kalau dia terasing, saya takut apabila dia keluar berhadapan dengan dunia kelak, penerimaan dia akan jadi lain, cikgu. Kalau saya tak siapkan diri dia untuk menghadapi dunia luar, tak ke ini tak adil buat dia?"
Cikgu Othman senyap. Suara Sofea juga tidak kedengaran lagi dek perhatian Orkid yang sudah beralih ke arah susuk tubuh yang sedang menghampirinya. Orkid masih setia menunggu di tepi pintu bilik Cikgu Othman sambil menguis lantai dengan kaki kirinya apabila Fayadh betul-betul berdiri di hadapannya.
"Awak tak masuk kelas lagi ke hari ni?" sapa Fayadh sambil betulkan letak bingkai kaca mata.
"Hai, Fayadh... Hmmm, buat apa kat bilik guru ni?"
"Hantar buku latihan budak kelas kita kepada Cikgu Aishah."
"Oh! Kerja rumah orang tak siap lagi!"
"Saya dah siapkan! Dah hantar dah pun!"
"Awak buka beg orang?" Orkid peluk tubuh.
Fayadh dilihat menggaru kepala yang tak gatal. Serba salah.
"Maafkan saya. Tapi awak nak ke kena hukum sebab tak siapkan kerja rumah?"
Orkid tersengih.
"Terima kasih!"
"Sama-sama."
"Nanti orang belanja aiskrim kat kantin."
"Betul ke?"
Orkid angguk laju seraya tersenyum.
"Orkid, kenapa awak tak sedarkan diri masa hujan?"
"Huh?"
"Cikgu panggil awak tak dengar. Kalau awak jawab panggilan cikgu hari tu, tentu awak tak perlu jumpa PK HEM hari ini."
"Bila cikgu panggil? Orang selalu jawablah masa cikgu panggil. Bila masa orang tak jawab?"
Fayadh dah pening kepala.
"Hmmm... Saya balik kelas dululah."
"Okey! Nanti masa rehat orang beli aiskrim."
Fayadh dilihat mengangguk sebelum terus berlalu pergi. Orkid senyum hantar pemergian Fayadh.
"Bye, Fayadh!" Orkid melambai tangannya. Sempat Fayadh menoleh ke arah Orkid sambil betulkan letak bingkai kaca matanya sebelum hilang dari pandangan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro