Bab 4
DEMAM tiga hari baru hari ini kebah. Nasib baik cuti sekolah masih ada dua hari lagi. Taklah Orkid rasa rugi sangat. Seronok kut duduk di rumah kampung, hirup udara segar, bangun pagi dengan bunyi kicauan burung, ayam berkokok, bunyi hujan pada atap zink, semuanya Orkid suka.
Kalau pindah duduk kampung pun dia tak kesah. Duduk dengan ibu Sofea, Kalsom, sahaja di kampung itu pun dia tak kesah tapi mampukah orang tua itu menjaganya? Kesian nenek tua itu terpaksa melayan kerenah dia dan Serena.
"Sihat dah?" Sofea muncul dalam bilik, terus duduk di sisi lalu tekap tangan di dahi Orkid.
"Orkid ke Serena?"
"Orkid." Orkid terus bangun daripada perbaringan.
"Okey, Orkid. Demam dah kebah dah. Alhamdulillah. Tiga hari terlantar, hari ni rasa macam mana?" soal Sofea ambil berat.
"Rasa okey. Rasa nak pergi main jap lagi."
"Hmmm... Sekarang dah nak tengah hari. Dah nak pukul 11 dah pun. Lepas ni pergi mandi. Lepas makan tengah hari, petang sikit baru boleh main... Leganya umi Orkid dah sembuh. Lain kali, jangan main hujan lagi."
Sofea betul-betul ambil berat. Sepertimana Aifan dan Aina, Orkid Serena juga amanahnya yang tidak harus dipandang ringan.
Lega sungguh dia apabila urusan hak penjagaan sudah selesai. Tak perlulah dia nak jelaskan kepada sesiapa. Bukan apa, hitam putih perlu ada untuk melindunginya dan juga Orkid Serena. Arwah Luqman memang anak tunggal dalam keluarga. Ibu bapanya juga telah meninggal dunia. Yang ada cuma bapa saudaranya yang sudah berhijrah ke Kanada, tinggal bersama isterinya dan anak-anaknya di sana.
Jadi, dia tidak punya sesiapa tetapi arwah Anggun ada adik-beradik tiri tetapi agak muda daripada Anggun sendiri. Yang paling tua baru berusia 18 tahun. Ayah dan ibu tirinya tidak pula mahu menjaga Orkid Serena. Mereka takut akan kanak-kanak ini. Mereka lebih sanggup memberi hak penjagaan kepada seorang yang langsung tiada pertalian darah dengan Orkid Serena, yang hanya berbekalkan satu pertalian indah yang dinamakan persahabatan.
Ayah kepada arwah Anggun pun bukan orang calang-calang. Justeru, tiada isu perebutan harta peninggalan arwah Luqman dan Anggun. Semuanya milik Orkid Serena. Malah rumah peninggalan arwah Luqman dan Anggun langsung sudah ditukar atas nama Orkid Serena tetapi dia hanya mendapat hak keseluruhan selepas cecah 18 tahun. Untuk sementara waktu, rumah itu atas nama Sofea sebagai penjaga seperti dipersetujui Tuan Ahamad, ayah Anggun.
"Umi... Balik SummerShine nanti boleh tak kalau kita pergi tempat hari tu?"
"Tempat hari tu?"
"Orang nak jumpa mama, papa, abang dan adik..."
Sayu hati Sofea mendengar permintaan kanak-kanak itu. 'Tempat hari tu' sudah semestinya tanah perkuburan tempat kumpulan manusia indah menurut Orkid Serena disemadikan.
"Yalah. Nanti kita pergi sana okey." Rambut paras bahu Orkid diusap lembut.
"Serena... Tak datang?" soal Sofea setelah agak lama terdiam.
Orkid menggeleng.
"Dah tiga hari."
Sofea lempar pandangan ke tepi, seakan-akan berfikir.
"Dah tiga hari tak hujan... Orkid, boleh tanya something tak?" Mata kemudian tertumpu kepada Orkid di hadapannya.
"Apa dia, umi?"'
"Serena tu cuma datang masa hujan, eh?" Wanita yang ringkas berbaju T kosong kelabu dan berseluar palazo hitam itu menyoal dengan penuh berhati-hati. Takut soalannya kedengaran kasar atau menyentuh apa-apa rasa kurang selesa dalam hati kanak-kanak istimewa di hadapannya kini.
Orkid diam sejenak sebelum jongket bahu.
"Tak perasanlah pula. Kenapa? Umi nak jumpa dia ke?"
Cepat-cepat Sofea menggeleng.
"Umi cuma terfikir aje. Tak apalah kalau Orkid tak tahu."
"Nanti orang tanya dia kalau orang jumpa dia."
"Ha... Yalah..." Pelik. Memberi maklum balas untuk kenyataan yang baru keluar dari mulut Orkid itu menimbulkan rasa pelik dalam dirinya.
"Dah pergi mandi. Busuk."
"SERENA tu sakit apa, umi?"
"Hmmm. Nanti kalau Aifan dah besar sikit dari sekarang ni, umi akan ceritakan dari A to Z. Dan umi yakin, Aifan akan faham semua yang berlaku sekarang."
Aifan sua ke mulut kerepek ubi yang dia beli di kedai Pak Rustam tadi. Sedap betul. Tak rugi dia belanjakan duit upah RM1 lepas beli tepung, gula dan teh yang neneknya pesan.
Sofea yang tadinya duduk bersila di hadapan televisyen sambil tengok cerita Hindustan, Dilwale yang dia pasang melalui pemain DVDnya kini ubah ke posisi berlunjur. Tangan sempat ambil keropok ubi dari plastik di tangan Aifan sebelum disua ke mulut.
"Sedap! Beli kat mana?"
"Kedai Pak Rustam."
"Eh... Kalau kedai dia, mesti Mak Limah yang buat kerepek ni."
"Mak Limah tu siapa, mi?" Aina yang baring di sisi Sofea tiba-tiba bersuara.
"Mak Limah tu isteri Pak Rustam la. Dia memang ada buat business kerepek-kerepek ni..."
"Oh! Nak sikit!" Aina sua telapak tangan pada Aifan.
"Nak? Beli sendiri." Aifan alih plastik kerepek ke tepi.
"Aifannn..." Suara Sofea bernada amaran.
"Bagilah adik rasa sikit."
"Abang tu memang macam tu, mi! Kalau dengan budak Orkid baik aje dia..."
Aifan ketap bibir. Tu dia... Kaki report!
Sofea tergelak kecil.
"Betul ke, Aifan?"
"Isy! Mana ada, mi!" Aifan mahu angkat kaki, meninggalkan ruang menonton apabila dia dengar suara memberi salam di muka pintu.
"Waalaikumussalam!" Sofea sudah menjawab salam.
"Orkid dah balik?" Sofea mendapatkan Orkid yang menyua seplastik udang segar di tangannya.
"Hmmm? Dah ada pun udang. Nak buat cucur udang kan petang ni?"
Orkid angguk.
"Nek Som singgah rumah kawan dia. Dia suruh orang balik dulu. Jap lagi dia balik."
"Kawan dia? Kawan dia yang mana satu?"
"Entah." Orkid jongket bahu.
"Rumah dua tingkat cat warna biru."
"Warna biru?"
Aifan berdiri di belakang Sofea sambil curi tengok Orkid.
"Rumah Mak Cik Siti kut, umi?"
"Aaa... Ya tak ya! Betullah tu. Nek Som mesti pergi jumpa BFF dia, Nek Milah." Sofea mengangguk-anggukkan kepala, mengeyakan penyataan yang keluar dari mulutnya sendiri.
"Kalau macam tu, jom prepare bahan-bahan nak buat cucur udang. Aifan pun dah belikan tepung tadi."
"Jom!" Orkid sambut huluran tangan kanan Sofea.
"Jom, Aifan!" Orkid capai tangan Aifan dengan tangan kirinya. Aifan tak pula menepis cuma menurut. Mereka bertiga berjalan seiringan ke ruang dapur.
"Aina, jom tolong sekali!" jerit Sofea sambil letak beg plastik berisi udang di singki.
"Kan dah ada abang dengan Serena tu! Umi dah ada banyak pembantu..." balas Aina malas.
"Hesy... Budak Aina ni, kan..." Sofea mengeluh kecil sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
"Aifan tolong kupas udang ni..."
"Okey!" Aifan mengganti tempat Sofea berdiri di depan singki.
"Orang? Orang nak buat apa ni? Orang nak tolong buat apa?" Orkid tarik hujung baju Sofea.
"Hmmm... Umi nak kupas bawang. Orkid pergi tolong Abang Aifan."
"Tolong Aifan?"
"Abang... Abang Aifan... Abang Aifan kan tua dari Orkid." Sofea cuba mengajar.
"Oh, Abang Aifan." Orkid mengulang.
Aifan tersengih sambil tangan dah mula kerja kupas kulit udang. Orkid kemudian berdiri di sebelahnya, menjongket sedikit kaki dan panjangkan tangan nak buka pili air. Nak cuci tangan.
"Pendeknya Orkid." Aifan tergelak.
Orkid kemudian hadiahkan jelingan paling tajam dalam dunia buat Aifan.
"Nanti orang tinggilah." Tangan dah mula kupas udang. Nasib baik singki ada dua. Kalau tak, kena bergelut dengan Aifan depan satu singki. Udang yang siap dikupas diletakkan ke dalam mangkuk di singki hadapan Orkid. Dia main lempar masuk aje sebab kalau nak nampak lebih jelas kedudukan mangkuk kena jongket kaki sedikit.
"Luka dah okey?" Aifan bersuara perlahan. Kalau boleh, biar Sofea tak dengar perbualan mereka. Ego. Kecil-kecil dah ada ego. Dia tak mahu Sofea tahu dia baik dengan Orkid Serena. Tak macam Aina. Suka cari pasal.
"Mana boleh tak okey... Dinosaur tolong."
"Dinosaur?"
Orkid angguk.
"Dua dinosaur."
Aifan pandang wajah Orkid pelik. Tidak faham sebelum dia lihat Orkid angkat kening double jerk dan memori tentang plaster dinosaur yang dia berikan.
"Oh, dinosaur tu!" Aifan tergelak kecil.
"Ya, dinosaur tu!" Orkid senyum.
"Terima kasih."
"Sama-sama."
"Terima kasih tu orang cakap bagi pihak Serena. Kalau orang, orang tak perlukan plaster tu. Orang cepat baik. Tak rasa sakit. Terima kasih, Abang Aifan." Riak wajah Orkid berubah bangga.
Aifan hanya pandang wajah Orkid. Rasa seram pun ada bila dia cuba memahami keadaan diri Orkid Serena yang seperti ada dua personaliti berbeza. Ya. Mungkin itu penyakit Orkid Serena yang ibu dan neneknya belum pernah jelaskan kepadanya.
"Tak apa. Orkid atau Serena, abang akan buat benda yang sama." Aifan kembalikan pandangannya dari wajah polos Orkid ke udang segar dalam singki.
Orkid hanya pandang wajah Aifan dan hadiahkan senyuman paling manis semampunya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro