Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 3

"HOI. Kat sini rupanya!"

Serena jengah ke bawah. Di sana ada Aifan, dengan payung koyak di hujung, berbaju T belang-belang dan berseluar pendek kelabu.

"Tengok apa? Cepatlah turun. Buat apa kat atas tu?"

Masih membisu.

"Awak tau tak semua orang tengah cari awak kat rumah? Jom balik. Lagipun awak dah masuk kawasan kebun orang ni. Karang kena marah. Ni tangga yang awak guna untuk panjat pokok ni dapat dari mana? Letak balik tempat asal."

"Tangga ni memang ada kat pokok ni."

"Eh? Apa-apalah... Dah. Cepat turun."

"Orang nak tinggal sini sampai hujan teduh."

"Dah kenapa? Saya ada payung ni. Jom balik. Umi cari. Nek Som cari. Tak lama lagi nak maghrib."

"Aina cakap kalau jalan dalam hujan, bahaya."

"Aina?" Aifan ketap bibir.

"Main dengan Aina sekali ke tadi?"

Serena angguk.

"Dah tu kenapa tak balik dengan Aina?"

"Aina dah lari balik masa hujan. Masa tu orang kat atas pokok lagi. Dia pesan tunggu sini, nanti dia datang balik dengan payung."

Aifan mengeluh berat. Di rumah tadi dia tengok Aina selamba mandi selepas basah lencun kena hujan. Lepas tu Aina baring depan televisyen, sambil makan keropok ikan yang digoreng dengan sos cili yang Nek Som goreng dan letak di dalam bekas buat snek.

Apabila ditanya mana Orkid, Aina jongket bahu. Apabila diarah cari Orkid, dia selamba jenguk sekali dalam bilik tidur dan terus cakap tak ada. Uminya pula tak ada, dah balik semula ke SummerShine, ada hal tapi esok akan datang balik sambung cuti.

Yang ada bersama mereka di kampung sekarang cuma Nek Som. Nek Som yang arahkan dia pergi cari Orkid. Orkid kali pertama datang ke Kampung Dahlia. Sudah tentu dia tidak tahu selok-belok kampung itu. Kata Nek Som, macam mana kalau dia sesat? Sudahlah hari agak gelap kerana awan mendung kelabu dek hujan. Tentu pencariannya bertambah sukar.

"Boleh tak kalau jangan dengar sangat cakap Aina tu? Dah. Cepat turun."

Dengan berhati-hati, Serena turun dari pokok dan berdiri di hadapan Aifan.

"Kita kena cepat balik."

Budak lelaki sebelas tahun itu segera memayungi Serena.

"Eh?" Aifan pandang wajah Serena yang bersahaja di sisinya.

"Orang kena tulis." Serena bersuara perlahan.

"Tulis?" Sempat dia memutar payung agar bahagian koyak tidak mengenai Serena. Agar Serena tidak basah. Padahal gadis itu sudah basah lencun.

"Orang tak boleh ada di sini."

"Dah tu kenapa tak turun balik rumah aje terus tadi?"

"Orang takut kalau orang turun, Aina datang tengok orang tak ada."

"Lain kali balik aje kalau rasa nak balik."

"Hmmm."

Aifan dan Serena kemudian berjalan seiringan sehingga sampai di rumah. Sepanjang perjalanan, Aifan nampak mulut Serena terkumat-kamit. Dari gerak mulut itu, Aifan tahu Serena sedang sebut 'nak tulis, nak tulis.'

Aneh. Kenapa umi dan Nek Som tak berterus terang sahaja Serena ni sakit apa? Sekejap umi panggil Orkid. Sekejap umi panggil Serena. Sekejap dia ni banyak cakap, sekejap jadi macam ni. Ya, macam ni. Senyap. Tak cakap apa-apa. Berkelakuan pelik.

"Awak sakit apa?" Soalan yang mahu dipendam dalam hati sahaja tiba-tiba terpacul keluar tapi kanak-kanak berbaju T kosong warna jingga dan berseluar panjang warna coklat cair itu yang sudah basah dan kotor itu tidak menjawab. Menoleh pun tidak. Seakan-akan tidak mendengar suara Aifan.

"Dagu tu kenapa?" Pandangan Aifan tertumpu pada luka dengan lebam di dagu Serena tapi seperti tadi, Serena tidak memberikan apa-apa reaksi. Sama seperti tadi. Mulutnya masih terkumat-kamit. Langsung Aifan terus diam tidak mahu bertanya apa-apa lagi.

Sebaik melangkah ke dalam rumah, Nek Som terus menerpa memeluk Serena sambil mengucapkan syukur.

"Awak pergi mana? Saya cari awak tadi." Aina capai tangan Serena yang sejuk.

"Yalah tu," celah Aifan sambil menjeling ke arah Aina.

Kanak-kanak yang sudah siap berpijama dengan kartun Chibi Maruko di dadanya itu tersengih memandang abangnya. Agaknya, Aifan sudah tahu cerita sebenar daripada Serena.

"Aina pergi ambilkan tuala," arah Nek Som.

Aina menurut tetapi langkahnya mati apabila melihat Serena terlebih dahulu berlari masuk ke biliknya.

"Kenapa dengan Serena tu, nek?" Aina dah melangkah undur, kembali ke arah di mana Nek Som berada.

Nek Som hanya terdiam sebelum arahkan Aina pergi sambung tengok televisyen. Dia hendak siapkan makan malam supaya lepas usai solat maghrib nanti, mereka boleh terus makan malam. Tapi sebelum ke dapur, dia sempat jenguk Serena di dalam bilik. Kanak-kanak itu sudah duduk di atas lantai sambil bersandar di katil sambil menulis sesuatu di dalam buku hitam dengan pen merah jambunya.

"Serena?"

Tiada jawapan. Serena terlalu tekun dengan penulisannya.

"Serena? Mandi dulu, nak. Nanti demam." Dia cuba meraih tangan Serena tetapi kanak-kanak itu menepis. Langsung Kalsom tidak berani hendak berbuat apa-apa lagi. Takut kalau-kalau dia memaksa, lain pula jadinya dengan keadaan Serena yang luar biasa itu. Yang hanya mampu dia lakukan cuma mengelap rambut dan kemudian menyelimuti Serena dengan tuala kering, agar kanak-kanak itu tidak kesejukan.

"Nek Som ada kat dapur, kalau-kalau Serena perlukan Nek Som."

Tiada jawapan daripada Serena membuatkan Nek Som terus berlalu pergi. Sempat dia menelefon anaknya, Sofea menceritakan tentang keadaan Serena dan memesan Sofea agar membeli ubat demam siap-siap semasa balik ke kampung nanti.

"Dia tu kenapa sebenarnya, nek?"

Kalsom pandang wajah pelik Aifan yang baru tiba di dapur.

"Dia sakit. Aifan kena faham."

"Aifan boleh faham tapi Nek Som kena buat Aina faham."

Kalsom mengeluh berat. Bukan dia dan Sofea tidak pernah cuba menjelaskan satu per satu dengan cara paling mudah difahami kepada Aina dan Aifan tetapi Aina seperti menolak keadaan diri Orkid Serena. Dia tidak mahu Orkid Serena dilayan secara istimewa, lebih daripada layanan terhadapnya. Dia tidak mahu perhatian diberikan lebih kepada Orkid Serena.

Mungkin kerana umurnya dan Aifan yang berbeza menyebabkan penerimaannya juga berbeza. Kalsom hanya mampu berdoa agar apabila sudah dewasa kelak, Aina tidak terus bersikap seperti diri Aina hari ini.

"Dah. Aifan jangan fikir banyak. Aifan pergi mandi. Bersihkan diri tu..."

Nek Som lihat Aifan mengangguk sebelum menaiki anak tangga, menuju ke tingkat dua rumah itu. Aifan ke bilik ambil tuala agaknya sebab bilik mandi ada di bawah, sama tingkat dengan dapur. Rumah itu dulunya ada tiga bilik sahaja tetapi selepas Aina lahir, Nek Som upah orang buat ubah suai rumah, tambah satu bilik. Biar anak cucunya balik senang, ada bilik masing-masing.

Aifan yang baru sahaja melalui bilik di mana Serena berada segera patah balik untuk jenguk kanak-kanak itu. Dia masih seperti tadi, duduk di atas lantai, bersandar di katil sambil menulis. Entah apa yang ditulis. Satu hari nanti, Aifan nak tengok isi buku itu. Rasa ingin tahunya membuak-buak.

Aifan cepat-cepat ke biliknya capai tuala dan buka laci meja tepi katil. Seingatnya, dia ada menyimpan baki plaster yang Sofea belikan untuknya pada cuti sekolah tahun lepas apabila dia kemalangan basikal di kampung itu.

"Nasib baik!" Lega hatinya saat melihat plaster itu masih ada. Lantas Aifan kembali mendapatkan Serena.

"Hoi."

Tiada jawapan.

"Ada plaster ni. Boleh letak kat luka kat dagu tu."

Masih tiada jawapan.

Aifan mengeluh. Kalau menulis dalam buku tu memang tak nak gangguan macam tu ke? Memang kena pekakkan telinga? Hatinya tertanya-tanya.

"Serena."

Langsung tiada apa-apa respons daripada Serena membuatkan Aifan terus sahaja duduk di sisi Serena, buka dan tampal plaster pada luka di dagu kanak-kanak yang tenggelam dalam dunianya sendiri itu. Walaupun begitu, Serena masih tidak mempedulikan kehadirannya. Aifan mengeluh lagi. Entah berapa kali dia sendiri tidak terhitung.

Mendengar derap kaki dari luar, Aifan cepat-cepat keluar dari bilik meninggalkan Serena. Nasib baik sempat. Kalau Aina nampak dia duduk dengan Serena mesti macam-macam yang dia akan perkatakan. Aifan malas nak hadapi itu semua. Aina badan sahaja kecil tapi mulut boleh tahan. Itu tak termasuk perangai kaki report dia lagi! Aifan dah cukup masak dengan perangai Aina.

Aina melangkah masuk ke bilik yang dia kongsi bersama Serena dan matanya tertumpu kepada plaster corak dinosaur pada dagu Serena.

"Eh, tadi tak ada plaster. Sekarang dah ada? Siapa letak? Nek Som? Nek Som ada plaster comel macam tu ke? Nak mintaklah nanti. Heee..." Aina melompat duduk di atas katil.

"Serena... Kenapa awak balik? Kan dah cakap jangan balik dulu sampai hujan berhenti. Hujan baru aje berhenti. Sepatutnya, masa ni la awak turun dari pokok tu... Hmmm... Tak boleh dengar arahan betullah awak ni. Lain kali awak kena ikut cakap saya. Saya kan lebih tua dari awak. Birthday saya bulan lima. Umi cakap awak lahir bulan tujuh. Kira saya ni kakaklah!"

"Oh. Hai, kakak!"

"Eh!" Aina terus terduduk, terperanjat dengan Serena yang tiba-tiba bangun dan memandang ke arahnya dengan senyuman paling lebar.

"Serena..."

"Bukan. Ini Orkid. Orang rasa nak mandi. Baju ni basah. Sejuk! Orang nak towel kering selain ni." Orkid tayang tuala yang ada di kepalanya.

"Mana towel lain? Ada tak towel lain? Cepatlah jawab. Kalau orang demam susah pula nanti. Kak Aina?"

Aina telan air liur sebelum tuding jari pada almari tepi tingkap.

"Laci nombor dua."

"Oh, thank you!"

Aina hanya diam, tengok sahaja perbuatan Orkid satu per satu. Ini bukan kali pertama dia melalui keadaan sebegitu. Keadaan di mana Serena mengalami perubahan sikap. Yang dia perasan, setiap kali Serena ingin dipanggil dengan nama Orkid, dia akan jadi seperti ini, ceria macam tak ada satu masalah pun dalam dunia, banyak cakap dan suka melawan. Terus terang, Aina lebih gemar habiskan masa dengan Serena yang mahu dipanggil sebagai Serena, bukan Orkid.

"Malam ni awak tidur aje sini. Mulai hari ni, saya tidur dengan Nek Som!" Aina terus berlalu pergi, keluar dari bilik tanpa menoleh lagi.

Orkid senyum segaris.

PLASTER di dagu dah terbuka, terjuih macam lidah yang terjelir. Tangan kiri lantas lekatkan semula plaster di dagu. Gam dah tak berapa nak lekat lepas mandi tadi. Badan rasa segar selepas mandi tadi tapi tak lama. Entah mengapa kepala rasa sedikit berat dan badan jadi lemah.

"Kenapa, nak? Kenapa termenung? Makan nasi tu." Nek Som bersuara sambil pandang wajah Orkid yang seakan-akan sedang berfikir.

"Fikir apa?"

Orkid geleng laju.

"Umi tak datang sini lagi ke, Nek Som? Orang rindu."

Aina mencebik. Rindu... Rindu... Apa pasal nak kena rindu umi orang lain pula? Mengada-ada...

Orkid perasan perubahan riak Aina yang duduk di hadapannya tapi dia tak kesah. Dia takkan sembunyikan apa yang dia rasa. Lebih-lebih lagi tentang perasaan yang indah sebegitu.

"Paling awal pun, umi kamu akan sampai pagi esok. Kalau gerak dari SummerShine tu lepas subuh, lebih kurang dalam tiga empat jam lepas tu sampailah..."

"Oh." Orkid senyum segaris sebelum suap nasi dengan kuah ayam masak kicap ke dalam mulut.

"Sedapnya Nek Som masak."

Nek Som senyum.

"Kalau betul sedap, makan banyak sikit."

"Haah la... Memang sedap nenek masak malam ni." Aina mencelah. Mana mungkin dia akan membenarkan perhatian dan kasih sayang neneknya beralih kepada budak perempuan yang tiba-tiba muncul dan tinggal bersama keluarganya.

Orkid tersengih.

"Kan? Kalau macam tu, Aina la kena makan banyak sikit. Nah..." Orkid jadi baik hati, bangun dan cedok ayam dari pinggan lauk ke pinggan Aina.

"Nah, kuah... Makan kuah banjir sedap, kan?" Orkid cedok kuah dengan sudu banyak kali sampai banjir nasi atas pinggan Aina.

"Nek... Banjir sangat ni... Aina tak..."

"Makan Aina." Dua patah perkataan daripada Aifan itu membuatkan Aina terus terdiam.

"Hmmm... Dah. Makan... Makan... Habiskan semua lauk. Kalau tak habis tak apa, boleh bagi dengan Ozzy," tukas Nek Som sebaik menyedari ketegangan antara Aifan dan Aina.

"Huh? Ozzy mana, nek? Kenapa dari tadi tak nampak?" Aifan seakan-akan baru teringat akan kucing liar yang sering datang ke rumah neneknya untuk mencari makan.

Nama Ozzy tu dialah yang bagi. Saja untuk senang nak panggil walaupun kucing tu bukan penetap di rumah itu. Tapi kalau neneknya tak ada di kampung, Ozzy akan jalan-jalan cari makan di rumah sekitar kampung berbekalkan wajah comel dan ekornya yang pendek tak sampai 10 cm.

"Entahlah. Dari petang sebelum hujan tadi memang tak jenguk rumah ni ha..."

"Oh..." Perbualan tamat di situ. Sempat Aifan mengerling ke arah Orkid yang makan penuh selera. Sesekali, budak perempuan dengan gaun tidur corak kartun Doraemon itu betulkan plaster di dagu yang asyik terbuka dan cepat-cepat alih pandangan apabila Orkid memandang ke arahnya.

Usai makan malam, Orkid terus masuk bilik. Aina pula sambung buat apa yang paling dia gemar buat pada masa lapang, menonton televisyen. Semua kartun, drama TV dia boleh layan tanpa jemu. Ditanya apa cita-citanya? Ya, sungguh sesuai dengan aktiviti masa lapangnya. Aina mahu jadi pelakon satu hari nanti. Dia mahu jadi popular sama macam Siti Saleha. Sama macam Lisa Surihani. Itu antara idolanya.

"Serena."

"Bukan. Orkid ni."

"Orkid atau Serena awak tetap orang yang sama." Aifan hanya berdiri di muka pintu bilik.

"Nak apa? Orang nak rehat ni."

"Kenapa? Sakit?"

Orkid yang sedang bersandar di kepala katil pandang Aifan yang masih setia berdiri di muka pintu.

"Entah. Orang rasa nak tidur."

"Nah. Ganti plaster tu."

"Huh? Rupa-rupanya awak yang bagi plaster tu kat Serena. Terima kasihlah..." Senyum serta-merta terukir di bibir.

"Terima kasih," ucapnya sekali lagi.

"Hmmm." Aifan hanya angguk sebelum berlalu pergi.

Orkid senyum dan pandang plaster yang Aifan letak di atas meja kecil sisi katil. Dia sendiri tak tahu mana datangnya luka pada dagunya. Dia marahkan Serena kerana tak tau nak jaga diri. Serena sepatutnya jangan biar Aina buat sesuka hati. Orkid betul-betul tak suka. Kenapa Serena lemah sangat? Kenapa Serena ikut semua cakap Aina?

Orkid capai buku hitam dari beg galas merah jambu berdekatan almari pakaian. Dia mula menulis sesuatu. Biar Serena baca. Dia memang tak pernah tulis apa-apa. Itu buku Serena tapi Orkid pernah jumpa buku itu sebelum ini tapi tak pernah sibuk nak tahu apa isi buku itu.

Tulisan Serena memang jauh lebih kemas berbanding dirinya. Orkid gelak sendiri melihat perbezaan itu tapi mesej perlu disampaikan. Bukan dia tak pernah sampaikan kepada Serena tentang Aina tetapi Serena memang jenis tak banyak cakap.

Dia harap, kalau dia tulis di dalam buku itu Serena akan sentiasa ingat pesanannya. Orkid tulis pada setiap helaian ketujuh dalam pengiraannya sehingga muka surat terakhir.

Hati-hati dengan Aina.

Sincerely, Orkid.

"Aku harap kau baca dan akan selalu ingat."

Orkid kemudian simpan balik buku milik Serena sebelum baring di atas katil. Badan betul-betul rasa tak selesa. Lemah longlai. Kepala terasa berat. Dia perlu berehat. Dia perlu tidur.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro