Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 2

RUPA-RUPANYA kedatangan Doktor Fadzly padanya selepas selesai pengebumian itu adalah kerana Orkid Serena. Dia ingin membincangkan tentang Orkid Serena tetapi Sofea terlalu leka. Sofea terlalu fokus kepada Orkid Serena yang terlantar tak sedarkan diri di hospital ketika itu.

Dia terlalu fokus menyiapkan dirinya untuk menjelaskan kepada kanak-kanak berusia tujuh tahun bahawa dia sekarang sudah menjadi anak yatim piatu dalam sekelip mata. Malah kanak-kanak itu tidak sempat untuk menatap wajah keluarga tersayang buat kali terakhir kerana jenazah perlu dikebumikan segera. Doktor tidak dapat menjangka bila Orkid Serena akan sedarkan diri dan kerana itulah jenazah keluarganya terus dikebumikan.

Jadi, hari ini, disebabkan apa yang dia lalui bersama Orkid Serena semalam, dia segera menghubungi Doktor Fadzly membuat janji temu. Itu pun selepas menjalankan operasi besar-besaran mencari kad nama yang Doktor Fadzly beri kepadanya pada hari pengebumian arwah Luqman dan Anggun serta anak-anak mereka, Faiq Fahman dan Mawar Leila. Dan hanya menjumpai kad nama itu di bawah alas lantai keretanya selepas setengah hari mencari.

"Dia lain. Saya dah jumpa ramai tapi yang ni lain."

"Apa maksud, doktor?" Wanita berblaus dusty pink yang dipadankan dengan seluar panjang warna krim itu kelihatan tidak senang duduk.

Doktor Fadzly membetulkan letak bingkai cermin mata di batang hidungnya yang mancung. Wanita bertudung litup di hadapannya itu direnung sejenak sebelum dia memulakan bicara.

"Masa tu, umur dia lima tahun. Arwah Luqman datang jumpa saya menceritakan tentang perubahan diri anak keduanya, Orkid Serena. Dia seperti dapat membezakan personaliti berbeza dalam diri anaknya. Kadang-kadang pendiam. Kadang-kadang terlalu ceria. Kadang-kadang mahu dipanggil Orkid. Kadang-kadang mahu dipanggil Serena. Padahal orangnya sama. Jasad sama tetapi yang berdiri di hadapannya seringkali menimbulkan tanda tanya. Jadi, kami kaji tentang Orkid Serena. Berdasarkan dari simptom yang ada pada diri Orkid Serena, kami cuma boleh katakan dia mengalami Dissociative Identity Disorder atau kita panggil DID... Atau untuk puan lebih senang faham lagi... Split personality."

"Allah." Hanya satu perkataan itu yang mampu dia ucapkan saat kenyataan itu disampaikan kepadanya.

"Tapi sehingga sekarang, kami tak boleh nak kenal pasti apa puncanya. Dia masih kecil. Masih budak lagi. Selalunya pesakit DID ni adalah berpunca daripada orang yang pernah mengalami trauma. The dissociative aspect is thought to be a coping mechanism di mana pesakit literally dissociate himself dari situasi atau pengalaman yang terlalu kejam, traumatic atau terlalu sakit untuk assimilate with his conscious self. Dia akan jadi orang lain. Orang yang jauh berbeza. The 'alters', atau kita panggil identiti yang berlainan dari mereka itu biasanya mempunyai gaya mereka sendiri, postures, gestures... Malah cara mereka bercakap juga kita sudah dapat tahu yang mereka itu berbeza."

"Biasanya, perubahan mereka ke identiti yang berbeza tu berlaku dalam tempoh berapa lama, doktor?"

"Oh, you mean the switching?"

"Switching?"

"Yeap! Switching can take second to minutes to days."

Sofea mengeluh berat.

"Ada arwah Luqman dan Anggun ceritakan apa-apa tentang trauma yang menyebabkan anaknya boleh jadi macam tu?"

"Mereka pun tak ada jawapannya. Semua macam terjadi secara tiba-tiba. Tapi apa yang kita perhatikan selama dua tahun rawatan, Orkid Serena tidak mempunyai identiti agresif sepertimana pesakit-pesakit kami yang lain. Untuk pengetahuan Puan Sofea, ada pesakit yang mengalami DID ni mempunyai lebih dari dua personaliti berbeza... Ada yang sudah dewasa tapi 'alter' mereka seorang budak remaja, ada yang jadi kanak-kanak malah ada yang jadi binatang! The 'alters' ada umur mereka sendiri, jantina dan sebagainya. Tapi Orkid Serena lain. Dia jadi dirinya tetapi personaliti 360 darjah berbeza. Malah dia namakan dirinya sebagai Orkid atau Serena, masih lagi menggunakan namanya sendiri."

"Selama dua tahun rawatan, Orkid... atau Serena...Tak menunjukkan tanda-tanda sembuh ke, doktor?"

Doktor Fadzly mengeluh kecil.

"Buat masa ini, kita masih boleh kawal Orkid mahupun Serena. Kedua-duanya tiada ciri-ciri yang membahayakan. Tidak agresif sama sekali. Namun begitu, rawatan perlu terus dijalankan kerana ada kes rawatan jangka panjang yang boleh menyembuhkan pesakit seperti Orkid Serena sebelum ini. Cuma, kita tak boleh nak jangka bila dia akan sembuh. Kita tak tahu personaliti yang ada pada Orkid Serena sekarang akan develop sampai tahap mana atau akan jadi bagaimana. After all, understanding the development of multiple personalities is difficult, even for highly trained expert."

Sofea masih beriak risau.

"Oh, satu lagi saya nak ingatkan. Tolong jangan beri tekanan pada dia. Saya takut, kalau-kalau tekanan boleh menjadi trigger untuk sisi agresifnya. Saya harap tak akan jadi begitu, cuma tak salah kalau kita berjaga-jaga. Amnesia, time loss, insomnia, headache, trances and 'out of body experiences' memang akan terjadi tapi kalau dia ada tanda-tanda self sabotage and even violence, cepat-cepat hubungi saya. Jangan sesekali leka atau lalai. Jangan sampai terlepas pandang."

"Hm... Baiklah."

"Saya dah sediakan preskripsi ubatan. Nanti puan boleh ambil kat kaunter. Sekarang boleh saya mulakan sesi rawatan terapi dengan Orkid Serena? Saya perlu tahu condition mental dia selepas apa yang dia dah lalui. If you don't mind, tolong panggil Orkid... Or... Serena masuk dan puan, sila tunggu di luar, boleh?"

"Thank you so much, Doktor Fadzly."

Sofea angkat punggung. Rasa macam terlalu banyak yang dia perlu hadam daripada penjelasan Doktor Fadzly. Kini dia terpaksa belajar membiasakan diri untuk terima hakikat bahawa kanak-kanak perempuan yang dia akan jaga sampai dewasa itu adalah kanak-kanak istimewa yang perlukan perhatian lebih dari kanak-kanak biasa.

Inilah dugaan terbesar untuknya tetapi Sofea tidak mahu rasa terbeban. Dia sayangkan sahabatnya, Anggun. Dia sudah berjanji untuk menjaga Orkid Serena seperti anaknya sendiri. Mana mungkin dia mahu mengeluh dan rasa terbeban sekarang. Dia ikhlas mahu menjaga Orkid Serena. Cuma dia harap dia akan dikurniakan lebih kekuatan untuk mengharungi hari-hari yang mendatang. Hari-hari yang dia tak boleh nak jangka.

"Orkid atau Serena?" Sofea sudah berdiri di atas kerusi menunggu, tidak jauh dari pintu bilik Doktor Fadzly di mana Orkid sedang duduk.

"Orkid!" Kanak-kanak bergaun merah jambu itu angkat tangan.

Sofea senyum segaris. So, masih Orkid seperti semalam. Ah... Semestinya Orkid sebab dia ceria sejak pagi sehingga sekarang... Serena jauh lebih senyap... Hanya bercakap sepatah, sepatah... Dan kadang-kadang langsung diam... Hati kecil Sofea bermonolog. Sofea yakin dia akan dapat membiasakan diri. Dia yakin satu hari nanti, dia akan tahu sama ada yang berdiri di hadapannya itu Orkid atau Serena tanpa perlu bertanya.

"Orkid kena masuk dalam tu. Jumpa Doktor Fadzly."

"Oh, macam selalu tu?"

"Ah... Ya... Macam selalu."

"Okey! Lepas ni mesti dapat coklat! Seronoknya!"

Sofea tersenyum seraya mengusap lembut rambut Orkid.

"Umi tunggu di luar ni, okey?"

"Okey!" Orkid angkat tiga jari sambil hujung jari telunjuk disatukan dengan hujung ibu jarinya.

"Good girl!"

"ORKID?"

Kanak-kanak berpijama corak teddy bear itu sedang berdiri menghadap tingkap yang terbuka luas. Sedang pandang awan kelam merah. Hari nak hujan lagi. Tak ada bulan. Angin di luar menerpa masuk menerbang kasar langsir di birai tingkap. Kalau tak ada palang penyangkut, sudah tentu langsir itu sudah jauh melayang menyelimuti Kalsom yang sedang duduk di sisi katil sambil membaca buku agama.

"Orkid... Kenapa, nak?" Lembut suara Nek Som memanggil.

"Jom tidur. Aina tak nak tidur dengan Orkid, kan? Tak apa. Mulai hari ni, Orkid boleh tidur dengan Nek Som."

Hujan menderu turun sesaat selepas itu. Cepat-cepat Kalsom tutup daun tingkap yang tadinya terbuka luas. Langsir ditarik agar menutup kaca lut sinar pada daun tingkap, menampakkan rintik hujan dan kilat sabung-menyabung.

"Orkid tak takut ke? Jom tidur." Bahu kanak-kanak itu dipaut, agar melangkah seiringnya menuju ke katil.

"Nek Som. Orang ni... Serena."

Kalsom telan air liur, teringat tentang penjelasan Sofea semalam, tentang Orkid Serena yang berbeza daripada kanak-kanak lain sebayanya. Berbeza dengan Aina. Berbeza dengan Aifan. Kalsom perlu berusaha buat Orkid Serena rasa tidak terasing.

"Ah... Yalah... Serena... Macam mana Nek Som boleh tak perasan." Kalsom tersenyum.

"Serena dah basuh kaki? Dah baca doa?" Kalsom dan Serena sama-sama baring di atas katil empuk di bilik itu.

"Orang tak mengantuk." Tiba-tiba, Serena bangun dan terus duduk bersandar di kepala katil.

"Habis tu Serena nak buat apa?"

Serena tuding jari ke arah buku hitam dengan pen merah jambu yang dia bawa masuk bersamanya semasa dia ke bilik Kalsom sebentar tadi.

"Nak tulis? Nak tulis apa?"

"Tentang rasa." Buku hitam itu sudah dicapai dari meja di sisi katil.

"Rasa? Kenapa, nak? Serena rindukan keluarga Serena?" Sayu hati Kalsom mendengar jawapan yang keluar dari mulut kanak-kanak itu.

"Rindu."

"Hmmm... Yalah. Serena tulislah. Tak apa. Lampu biar aje buka. Nek Som tak kesah. Nek Som boleh tidur dalam apa keadaan sekalipun!" Kalsom tepuk bahu Serena beberapa kali.

"Tapi kalau Serena nak tidur, tutup semua lampu boleh?"

Serena angguk.

"Nek Som."

Baru sahaja Kalsom hendak memejamkan mata, namanya dipanggil lembut oleh Serena.

"Kenapa, nak?"

"Kenapa asyik hujan? Hari pun rasa sedih macam orang ke?"

"Hari hujan sebab awan dah sarat dengan wap air. Bila dah sarat, jadilah hujan..." Kalsom senyum nipis. Jawapan ringkasnya itu hanya ikut fahamannya sahaja. Dia sendiri tak tahu, entah betul atau tidak tapi macam dia pernah baca tentang pembentukan hujan dalam buku teks Aifan satu ketika dahulu, ketika duduk menemani cucunya itu membuat kerja rumah.

"Kalau macam tu, kita menangis sebab hati kita dah sarat ke, Nek Som?" Tanpa nada kata-kata itu dilontar sambil tangan terus mencoret sesuatu pada ruang buku.

Kalsom terdiam.

"Hmmm... Serena tulis apa? Boleh Nek Som baca?"

Perlahan Serena menggeleng.

"Orkid pesan sebelum dia pergi tadi jangan cepat percayakan orang."

"Serena tak percayakan Nek Som?"

"Belum lagi."

Kalsom tersenyum, membuatkan kedut di wajahnya semakin jelas kelihatan. Walau bagaimanapun, keanggunannya masih jelas terpancar. Kecantikan dan keanggunan yang kini diwarisi oleh Sofea.

"Nek Som tidurlah."

"Hmmm... Yalah. Nek Som tidur dulu. Assalamualaikum. Selamat malam." Akhirnya, mata tuanya mengalah.

"Waalaikumussalam. Selamat malam."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro