Bab 14
"NAK ke mana?" Badrish meletakkan dulang di atas meja kaunter. Iqbal kelihatan sedang bersiap-siap untuk meninggalkan Duncan Diner.
"Aku nak pergi bank in duit. Kau jaga Duncan kejap."
"Aku? Aku kan banyak lagi kerja nak buat ni. Nak cuci pinggan lagi. Melambak kat belakang tu ha..." Pemuda berapron hitam dan bertopi merah itu memeluk tubuh.
"Kau nak kerja susah ke kerja senang? Kau jaga aje la depan ni. Banyak songeh betullah," bebel Iqbal seraya melangkah menuju ke pintu utama Duncan Diner.
"Oit! It's 4 p.m. Mana ada bank buka!"
"Machine la, samdol."
"Habis tu tak dapat nak tunggu malam-malam nanti ke, esok-esok ke?"
"Aku ke kau bos ni? Dahlah. Aku blah."
Iqbal terus saja berlalu pergi meninggalkan Badrish yang masih bersandar di kaunter. Tiba-tiba seekor rama-rama putih hinggap di bahunya. Badrish membuka topi di kepala sebelum menggaru-garu kepalanya yang tak gatal. Rasa pelik.
"Rama-rama apa pula ni? Takkanlah..." Badrish memandang sekeliling ruang Duncan Diner. Tidak begitu ramai pelanggan waktu petang sebegini tetapi gadis yang duduk berbual dengan temannya itu menarik perhatian Badrish. Sungguh, dia dikelilingi rama-rama!
Lantas Badrish mengatur langkah ke meja di tepi dinding kaca itu. Dan dari jauh, Badrish lihat gadis itu memandang ke arahnya. Badrish hampir tidak dapat berkata apa-apa sebaik sampai di meja tersebut. Wah, heaven! Kenapa dia perlu datang dalam keadaan yang indah macam ni? Kenapa dia istimewa sangat? Siapa dia?
"Hi, guys... May I take your order?" Badrish memulakan bicara. Buku nota kecil dikeluarkan dari poket seluar hitamnya.
"Kau... Kau yang malam tu, kan?" soal Fayadh sebaik memandang tepat ke wajah lelaki yang berdiri di sisi meja.
"Haaa... Kaulah yang malam tu. Yang jaga kawan aku ni." Belum sempat Badrish menjawab, Fayadh sudah membuat kesimpulan sendiri.
Badrish hanya menganggukkan kepalanya sambil tersengih.
"Fayadh... Dahlah tu. Biar dia buat kerja dia." Orkid mencelah.
"Bagi kami fish and chips dua, orange juice satu, melon juice satu."
"Tu aje? Duncan salad tak nak?" Mata Badrish tertumpu ke arah gadis berbaju T putih dan berseluar denim biru pudar itu. Baju putih lagi. Agaknya, memang warna kegemaran dia. Sama warna dengan rama-rama yang dia bela. Hehe...
"Yeap! That's it! Kenapa? Kau nak belanja kita orang ni ke?" tukas Fayadh berseloroh.
Orkid sudah berpaling ke tepi. Kalau tidak kerana Fayadh yang beria-ia mahu ke Duncan Diner untuk makan tengah hari, dia tidak mahu lagi menjejakkan kaki ke sini. Malu!
"Kalau macam tu, dessert aku belanja!" Badrish menepuk dada.
"Wah, betul ni?" Fayadh teruja seraya betulkan letak bingkai kaca mata di batang hidung yang mancung.
"Awak tak payah nak layan budak ni. Dia ni miring!" celah Orkid, menujukan kata-kata itu kepada Badrish.
"Aku miring?" Fayadh tergelak.
Badrish turut mengukir senyum. Gurauan gadis rama-rama. Miring? Who ever in this world yang pakai word tu lagi? She's really something! Walaupun sombong sikit, tapi it's okay. Special girls are always hard to get...
"Okey. I'll be back soon with your meal!" Badrish minta diri.
"Okey, thanks!" ucap Fayadh sebelum Badrish hilang dari pandangan. Fayadh kemudian tatap wajah Orkid di hadapannya.
Gadis itu kehairanan.
"What?" Orkid menjegilkan matanya.
"Someone dah ada admirer. Siap dapat dessert free lagi." Fayadh senyum mengusik.
"Fayadh please la... He's probably somebody's boyfriend!"
"Ni la problem kau. Fikir negatif aje dulu. Habis kau ingat semua lelaki handsome kat dunia ni dah ada girlfriend ke? Tak semestinya. Contohnya aku."
"Bluekkk! Perasan handsome!"
"Hot hackers kut." Pemuda itu angkat kolar kemeja kotak-kotaknya dengan riak wajah penuh lagak.
"Banyak kau punya hot hackers. Yang kau beria-ia sangat apa pasal? Kalau kau nak kau ambillah, Encik Fayadh oi..."
"Huish! Simpang malaikat 44. Walaupun aku kategori handsome, aku ni straight okey? Tak semua lelaki yang handsome but single tu gay."
Perbualan mereka terhenti apabila Badrish tiba, menghidangkan makanan yang dipesan di atas meja.
"Here there are... You guys punya meal."
"Thanks!" ucap Orkid sepatah.
"Always..." Badrish menepis rama-rama di bahu kanannya.
"Welcome!"
"Er... Anything else, mr. waiter?" Orkid petik jari.
Badrish tersentak.
"Ah! Er... Just please let me know, if you both need anything, okay?"
"Okey."
Badrish berlalu pergi dengan hati yang berbunga-bunga.
"Kau tengok tak? Dia memang macam syok kat kau!" Fayadh mengunyah kentang goreng dari pinggan.
"Yalah tu!"
Rain, rain, go away...
Come again, another day...
LAGU Rain nyanyian Breaking Benjamin yang ke udara di corong radio seolah-olah menyuarakan isi hati Orkid. Dia penat. Keadaan cuaca yang tidak menentu menjadikannya bertambah penat. Doktor Fadzly cakap, semua itu boleh dikawal.
Semuanya terpulang kepada dirinya, kekuatan dalam dirinya untuk jadi dirinya sendiri tanpa wujudnya Orkid atau Serena. Dia boleh jadi Orkid Serena kalau dia mahu. Cuma dia perlu cari kekuatan untuk itu. Sekarang dia sendiri sudah tidak tahu siapa dirinya sebenar, Orkid atau Serena?
"Orkid, mama cakap, nanti Farah akan e-melkan cover buku untuk kau pilih..."
Orkid tersentak daripada lamunan.
"Kau dengar tak aku cakap apa? Kau kenapa? Kenapa diam aje dari tadi. Kau... Orkid ke Serena?" soal Fayadh teragak-agak.
Soalan Fayadh membuatkan Orkid serta-merta tergelak.
"Akulah. Orkid."
"Habis kenapa senyap semacam?"
"Tak ada apa." Orkid tersenyum.
"Macam mana kalau diri aku yang sebenar ialah Serena. Kau masih nak kawan dengan aku tak, Fayadh?"
"Kawanlah kut!"
"Kut?"
"Yalah. Masalahnya Serena tu, nak ke tak kawan dengan aku? Aku tak ada masalah. Haha!"
Orkid turut tergelak.
"Aku sendiri tak tahu, siapa sebenarnya aku."
"Kau masih continue rawatan dengan Doktor Fadzly? Doktor Fadzly tak cakap apa-apa ke pasal penyakit kau ni?"
"Benda sama. Aku rasa dia macam nak pantau keadaan aku aje. Nak tengok aku ke arah mana. Takut aku jadi ganas. Bunuh orang dengan identiti lain dalam diri aku ni ke apa... Ala macam dalam movie atau drama siri penyiasatan selalu tu?"
"Uish. Dahlah! Aku tak nak dengar lagi dah. Yang aku tahu, aku percaya satu hari nanti kau akan sembuh macam orang lain. Kau akan sembuh! Sembuh! Sembuh! Sembuh! Amin!"
Orkid tersenyum. Jasa Fayadh dan ibunya kepada Orkid memang sudah terlalu besar. Nurul, ibu kepada Fayadh la yang perkenalkan dia kepada syarikat penerbitan di mana dia bernaung sebagai penulis sekarang.
"Dah sampai." Fayadh memberhentikan kereta betul-betul di hadapan pintu pagar rumah banglo dua tingkat yang sudah sebulan lebih tidak Orkid jenguk.
Orkid sudah melangkah keluar dari perut kereta. Melepas rindu dengan memandang ke segenap kawasan rumah. Masih ada sisa memori bersama keluarganya yang terbayang di mata setiap kali dia memandang sudut-sudut kawasan rumah itu. Memori yang akan Orkid pegang sampai bila-bila walaupun sedikit cuma.
Fayadh bersandar di hadapan kereta.
"Kau betul ke nak pindah balik sini?"
Orkid toleh pandang pemuda dengan plaid shirt rona biru yang masih memandangnya tunggu jawapan.
"Betullah."
"Duduk alone?"
"Kenapa? Tak boleh?"
"Umi kau bagi ke? Abang Aifan?"
"Aku dah bincang dengan umi."
"Abang Aifan?"
"Tak lagi."
"Kau rasa dia bagi ke?"
Orkid jongket bahu.
"Aku rasa dia tak boleh nak cakap apa kut kalau umi aku bagi. Keputusan sekarang terletak pada umi."
"Kalau Aunty Sofea tak bagi?"
"Aku pujuk."
"Kalau tak bagi juga?"
"Aku pujuk lagi."
"Sampai bila?"
"Sampai dia benarkan aku pindah balik rumah aku inilah!" jawab Orkid bersungguh-sungguh sebelum turut bersandar di hadapan kereta.
"Siapa nak jaga kau nanti?"
"Aku jaga diri aku sendiri."
"Hmmm..."
"Fayadh!" Bahu Fayadh ditepuk lembut.
"Boleh tak kau jangan risau sangat? Reaksi kau ni macam reaksi umi akulah. Aku bukan budak kecil lagi. Semuanya akan okey. Percayalah! Mana tahu, kalau aku duduk rumah ni, aku boleh jadi sembuh ke apa? Siapa tahu apa yang aku perlukan ialah untuk diri aku terima diri aku sendiri seadanya tanpa aku perlu pilih untuk jadi Orkid atau Serena? Mungkin aku perlu bersendiri untuk semua tu. Aku perlukan ruang. Who knows, right?"
"Right."
Wajah tenang Orkid yang sedang renung rumah banglo mewah tetapi kosong tidak berpenghuni itu dipandang lama. Tak tahu nak cakap apa lagi. Orkid seperti sudah betul-betul nekad untuk pindah kali ini. Bukan kali pertama Orkid meluahkan rasa ingin hidup berdikari kepadanya, cuma kali ini Orkid nampak bersungguh-sungguh.
Fayadh tak boleh nak buat keputusan untuk sahabatnya tapi dia mampu berdoa agar Orkid mendapat hanya yang terbaik dalam hidupnya. Dan dia tidak akan berhenti berdoa.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro