Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 13

HUJAN yang tiba-tiba turun mencurah-curah di luar menjadikan malam semakin dingin. Kemeriahan malam berkurangan dek cuaca malam sebegitu. G-Shock hitam pekat di tangan kiri dipandang sekilas. Sudah pun pukul 10.30 malam. Tanda 'Open' pada pintu utama kini diterbalikkan menjadi 'Close'. Pelanggan memang sudah beranjak pergi sedari tadi.

Badrish bersandar di kaunter, memandang ke arah gadis yang sibuk menaip di komputer ribanya. Gadis yang datang bersama rama-ramanya! Gilakah aku? Pelbagai persoalan menghujaninya. Tiba-tiba bahunya ditepuk seseorang. Badrish pantas menoleh. Nina, Azli dan Josh berdiri di belakangnya.

"Dapur dah siap kemas. Pinggan mangkuk aje belum cuci. Kerja kau, kan?" Azli mengangkat kedua-dua belah tangannya sebelum diletakkan ke belakang leher. Penat bekerja terasa. Tidak sabar rasanya hendak beristirahat di rumah.

"Taulah!" balas Badrish bersahaja.

"Ni kunci." Nina meletakkan kunci Duncan Diner ke tangan Badrish.

"Apa?"

"Kunci pendua kedai ni la. Iqbal suruh bagi kat awak. Mulai hari ni, awak akan buka dan tutup kedai kalau syif pagi. Arahan Bos Iqbal."

Badrish mencebik. Hah! Trick nak tambah-tambah kerja aku. Nak bagi aku datang awallah tu. Memang sengaja nak kenakan aku... Apa pasal nak pesan kat Nina? Kenapa tak cakap sendiri dengan aku tadi? Takut?

"Eh-eh! Masih ada pelanggan lagi rupa-rupanya?" Josh menjuih bibir ke arah gadis di meja bernombor tujuh.

"Hmmm, nanti aku cakap dengan dia, yang kedai dah tutup..." Belum sempat Nina memulakan langkah, Badrish cepat-cepat menahannya.

"Tak payah, tak payah. Nanti aku dan Josh bagi tau dia." Bahu Josh dipaut. Pemuda berbangsa Cina itu memandang Badrish kehairanan.

"Kau orang baliklah dulu..."

"Oh, okey. Jumpa esok." Nina dan Azli pulang melalui pintu belakang, meninggalkan Badrish dan Josh di Duncan Diner.

"Aku nak baliklah..." Josh ingin pergi tetapi segera ditahan oleh Badrish.

"Eh, tunggu dulu. Tunggu dulu. Kau kerja lebih masa dengan aku!"

"Apa pasal pula?" Josh membetulkan topi di kepala.

"Aku mana ada kerja lagi. Kerja aku semua dah habis. Tu pinggan kat singki banyak-banyak tu kan kerja kau. Kaulah yang pergi cuci."

Ewah-ewah... Budak mata sepet ni. Hebat juga cakap Melayu. Satu Malaysia yang terbukti satu Malaysia... Hmmm... Hidup Malaysia! Badrish tersenyum penuh makna.

"Kau cuci pinggan-pinggan tu semua untuk aku?"

"Apa pasal pula?"

"Sebab aku nak cakap dengan customer kita tu laaa..."

"Cakap tu kejap aje, kan? Tak payahlah nak pass kerja kat aku pula!" Josh mencebir.

"Kalau kau nak tahu, aku ada satu cap Macbeth yang aku lama dah tak pakai. Aku rasa nak buang tapi sayang. Yalah, cap tu abah aku kasi. Souvenir masa dia melancong kat U.S. Sebab dah lama tak pakai, aku rasa macam nak buang aje." Badrish memeluk tubuh sambil memandang ke siling.

"Haih, bertuahlah orang yang dapat cap tu sebab limited edition, kan?"

"Sayang betul kalau kau buang. Apa kata, kau bagi kat aku aje?"

Ikan dah makan umpan! Hehe... Macamlah aku tak tahu yang kau tu cap collector. Kacang aje nak umpan kau... Hahaha... Badrish is the winner! Ho yeah! Badrish tersengih.

"Aku boleh bagi kau cap aku tu tapi in return, kau kenalah cuci pinggan mangkuk kat belakang tu. Cap tu anggap aje macam upah kau."

"Okey!" Setelah lama terdiam, Josh akhirnya bersetuju.

"Great!" Badrish membiarkan Josh berlalu pergi ke ruang belakang kedai. Dia kemudian berpaling ke arah gadis dengan rama-rama yang masih tidak berganjak di tempat duduknya. Dua pinggan Bolognese Spaghetti dan spesial Duncan salad tidak terusik. Hanya tin Diet Coke yang terbuka.

Badrish membuka apron hitam di badan sebelum diletakkan di atas meja kaunter. Dia kemudian mengatur langkah ke arah gadis berbaju T lengan panjang warna putih dan berseluar denim kelabu itu.

Step one...

"Er... Cik..." sapa Badrish memberanikan diri. Sesekali dia melihat ke arah rama-rama yang sesekali hinggap di bahunya.

"Cik..." sapanya lagi. Masih tiada jawapan.

"Maaf, cik... Kami dah tutup!" Suara Badrish seakan-akan tidak sampai ke pendengaran gadis di hadapannya itu.

Okay, step two...

Badrish melabuhkan punggungnya di atas kerusi berhadapan gadis cantik itu. Wajah gadis itu ditatap sepuas-puasnya. Skrin komputer riba dijengah, gadis itu menaip manuskrip novel rupa-rupanya. Badrish mengangguk-anggukkan kepala. Mungkin gadis itu tidak mahu apa-apa gangguan, sebab itulah dia tidak mempedulikan Badrish.

"Maaf ganggu awak type novel awak tu tapi kedai kami dah tutup. Awak ada orang jemput ke? Kalau tak ada, saya boleh hantarkan!" Badrish tersengih. Masih tiada apa-apa respons. Badrish mengeluh kecil. Dia buat bodoh aje aku cakap kat dia... Dia ni pekak ke? Kalau betullah pekak, takkan dia buta tak tengok aku depan dia ni? Dia buat aku macam tak wujud aje.

Tiba-tiba, hidung gadis itu berdarah. Badrish panik.

"Eh... Eh... Hidung awak berdarah! Hidung awak!" Badrish bertukar posisi. Kini dia sudah pun duduk di atas kerusi bersebelahan gadis yang tidak dikenalinya itu. Gadis itu seakan-akan tidak sedar yang hidungnya sudah berdarah. Badrish terpaksa mengelap darah yang keluar dengan sapu tangannya dan terus melakukan sebegitu sehingga darah itu berhenti mengalir.

Kenapa dengan budak perempuan ni? Kenapa dia boleh tak sedar yang hidung dia tu berdarah? Tak sedar dengan kehadiran aku? Tak sedar dengan apa yang berlaku kat sekeliling dia?

Badrish tersentak apabila Josh tiba-tiba muncul dari ruang belakang kedai. Josh angkat kening dan kepalanya sedikit, isyarat bertanya 'kenapa?' apabila melihat Badrish yang sedang menyapu sisa darah di hidung gadis yang aneh itu. Badrish hanya menjongket bahu.

"Dah habis ke basuh pinggan?" soal Badrish ingin tahu. Kalau betul dah habis, memang dishwasher dah kalah teruk dengan Josh!

"Sikit lagi. Aku lupa nak make call cakap aku balik lewat kat nenek aku. Nanti dia risau pula cari aku. Sebab tu aku nak call dia dulu... Boleh aku pakai phone Diner? Phone aku habis kredit!"

"Pakailah..." Badrish melihat saja Josh sedang berbual di telefon di meja kaunter. Tak sampai lima minit kemudian, gagang telefon diletakkan semula ke bawah.

"Kenapa dengan perempuan tu?" soal Josh separuh berbisik.

"Entah... Tapi aku tak sampai hati nak tinggalkan dia dalam keadaan macam ni! Tapi kalau kau balik, aku kena balik. Takkan aku nak berduaan dengan dia kat sini tapi macam mana? Aku panggil dia tak dengar. Aku cakap tak ada respons langsung!"

Josh serba salah.

"Tak apalah, Badrish. Aku temankan kau kat sini sampai dia balik nanti."

Yeah! Semangat satu Malaysia! Tolong-menolong tak kira bangsa. Syukur! Kata-kata Josh membuatkan Badrish menarik nafas lega.

"Betul ke, Josh? Macam mana dengan nenek kau?"

"Tak apa. Adik aku ada."

"Betul ni?"

"Kenapa? Kau tak nak ke?"

"Nak! Nak!"

"Kalau nak, kau diam ajelah."

"Hehe... Terima kasih, Josh!"

"Sama-sama!"

ORKID tersentak. Badannya terus terasa sakit sejurus selepas itu. Dia memandang ke sekelilingnya. Aku kat mana?

Seakan-akan baru tersedar dari tidur yang panjang, Orkid kabur pandangan. Matanya dipisat-pisat beberapa kali. Jam di komputer riba dipandang lama, hanya selepas itu digit jam kelihatan. Sudah pun pukul 2.00 pagi. Bunga ros putih yang tadinya segar sudah layu sedikit. Hujan sudah pun berhenti di luar.

Sebaik mahu terbangun dari tempat duduknya, Orkid terperanjat saat melihat seorang pemuda sedang tidur di bahunya. Bahunya serta-merta dijongket.

"Patutlah rasa sakit sangat bahu ni tadi," gerutu Orkid. Kepala yang tadinya enak terlentok di bahunya jatuh. Wajah pemuda itu tersembam ke meja, membuatkannya terjaga serta-merta.

"Aduh, sakitnya!" Pangkal hidung diusap-usap.

"Awak ambil kesempatan, ya?" Orkid memandang tepat ke wajah pemuda di sisinya. Pemuda itu angkat kedua-dua belah tangan.

"Mana ada!"

"Habis kenapa awak ada kat sini?"

"Saya tunggu awak. Saya tak sengaja tidur di bahu awak. Saya tertidur! Sumpah! Saya tak pernah tidur di bahu siapa-siapa sebelum ni kecuali mama saya, okey... Takkan sekarang saya saja-saja nak tidur di bahu perempuan yang saya tak kenal pula? Logically, it's never gonna happen unless you are my wife!" Lancar semua kata-kata itu keluar dari mulut Badrish, yang cuba membela dirinya.

"Percayalah, saya cuma tunggu awak."

"Tunggu saya?"

"Ni..." Sapu tangan dengan tompok darah itu diunjuk kepada Orkid.

"Hidung awak berdarah tadi. Saya tolong lap aje."

"Lain kali jangan sibuk hal orang." Orkid bingkas bangun. Nasib baik tak terduduk balik dek kaki yang terasa kebas kerana duduk terlalu lama.

"Sibuk awak cakap? Girl, awak tu macam tak ingat dunia taip entah apa entah kat lappy awak tu tau! Kedai kami dah tutup pun. Disebabkan awak, saya dengan kawan saya terpaksa OT kat sini..."

Orkid membisu. Dia masih memandang tepat ke wajah Badrish tanpa kedip.

"Ha, tengok apa?" Badrish mencebik.

"Orang tolong, dia nak sombong-sombong pula..."

"Pinjam handphone."

"Huh..." Badrish mencebik.

"Nevermind. You..." Orkid beralih kepada pemuda bermata sepet yang sedang duduk di kaunter.

Josh yang baru terjaga dek pertengkaran antara Badrish dan gadis misteri itu bingkas bangun dari kerusi kaunter.

"Pinjam handphone." Orkid sudah berdiri betul-betul di hadapan Josh.

"Handphone saya dah habis kredit," balas Josh jujur.

Orkid menoleh ke arah Badrish yang masih duduk di kerusi, masih tidak berganjak.

"Hesy, tengok apa?" getus Badrish.

Orkid masih membisu namun langkah tetap diatur menuju ke meja di mana Badrish sedang duduk.

"Yalah... Yalah... Nah." Telefon bimbit segera diunjuk kepada gadis yang masih dikelilingi rama-rama itu.

"Thank you!"

Tidak sampai lima minit bercakap di telefon, talian dimatikan. Telefon bimbit segera Orkid pulangkan semula kepada pemiliknya.

"Thanks a lot!" ucap Orkid sambil tangannya sibuk mengemas komputer riba dan jambangan bunga miliknya di atas meja. Sekejap lagi, Fayadh akan datang menjemputnya. Kasihan Fayadh yang ke sana sini, buntu mencari di mana Orkid berada.

"Dah nak terbang dengan rama-rama awak tu ke?"

"Terbang? Rama-rama?" Wajah Badrish dipandang dengan riak aneh.

"Awak dan rama-rama tu..."

"Awak cakap apa ni?" Orkid memeluk tubuh.

"Buat-buat tak tau pula. Awak orang bunian, kan?"

Berkerut dahi Orkid memandang wajah Badrish yang nampak begitu yakin. Orkid menggeleng-gelengkan kepala. Kalau terus layan budak ni aku boleh jadi gila...

"Awak belum betul-betul bangun dari tidur kut. Masih bermimpi!" Beg komputer riba disangkut ke bahu. Jambangan bunga ros putih dipekup ke dada lantas dia melangkah ke meja lain dan duduk di situ menunggu kedatangan Fayadh.

Ketukan di pintu utama kedai memeranjatkan kedua-kedua mereka. Josh yang tadinya hanya menjadi patung saksi pertengkaran aneh Badrish dan Orkid segera membuka pintu utama.

Terpacul wajah gusar Fayadh di pintu. Pemuda dengan sweatshirt hitam dan seluar jean biru pudar itu lantas mendapatkan Orkid.

"Kau okey ke? Maafkan aku. Aku tak ingat langsung tentang Diner ni. Rupa-rupanya kat sini kau pergi. Kau tak apa-apa?"

Fayadh betul-betul risau. Orkid Serena adalah tanggungjawab Aifan dan Aunty Sofea kepadanya. Kalau mereka tahu kejadian sebegini menimpa Orkid, Fayadh tidak akan memperoleh kepercayaan mereka lagi.

"Aku okey. Jangan risau..."

Fayadh memandang ke wajah dua orang pemuda di belakang Orkid satu per satu.

"Terima kasih!" ucap Fayadh ikhlas.

"Kami pergi dulu."

"Datang lagi, ya!" jerit Josh sambil melambai-lambaikan tangannya ke arah Fayadh dan Orkid yang sudah pun masuk ke dalam perut kereta.

"Kau kenal dia ke?" Josh mengerling ke arah Badrish di sebelahnya.

"Tak kenal. Just another weird customer!" Badrish hanya tersenyum sinis.

"Sahabatku... Meh aku buat kopi untuk kau. Kita minum dulu. Lepas tu kita balik, okey?"

"Huh... Nak ambil hati akulah tu!" Josh sempat menyiku Badrish di sisinya sebelum mengiringi Badrish ke dapur.

KERETA dipandu perlahan menyusuri jalan yang masih basah selepas hujan lebat beberapa jam yang lalu.

"Aku tak boleh nak hantar kau balik, Orkid..." ujar Fayadh sambil tangannya sibuk memutar stereng.

"Kenapa?"

"Sebab tadi Mak Esah ada call aku. Tanya pasal kau. Aku tak boleh nak buat dia orang risau jadi aku bagi tau dia kau ada kat rumah aku. Ada perbincangan dengan mama aku dan tertidur kat rumah kami. Lagipun, aku tak nak perkara ni sampai ke telinga Aunty Sofea dan Abang Aifan."

"Betul juga. Nanti makin risau pula dia orang dengan aku ni..." Orkid mengeluh kecil.

"Aku ni memang selalu sangat susahkan orang lain, kan? Termasuklah engkau!"

"Eh, susahkan apanya? Aku okey. Just please, lain kali cakap biar terang kau ada kat mana. Aku tak pasang GPS kat badan kau!"

Orkid tergelak.

"Fayadh, janji dengan aku perkara yang terjadi malam ni, rahsia tau! Jangan bagi tau siapa-siapa. Hal ni adalah antara aku dan kau aje. Karang tak pasal-pasal aku kena grounded. Walaupun aku tahu mereka buat macam tu untuk kebaikan aku tapi aku tak nak hidup terlalu bergantung kepada mereka. Aku pun nak merasa hidup macam orang biasa. Aku tahu kau faham kan maksud aku?"

"Sebab itulah aku macam orang gila cari kau tanpa bagi tau sesiapa pun. Unless, kalau kau dah hilang lebih 24 jam. Nak tak nak kena buat report. Hmmm... Nasib baiklah kau dengan orang yang baik-baik. Kalau orang nak buat jahat kat kau tadi senang-senang aje..."

Orkid hanya membalas kata-kata itu dengan senyuman sinis.

"Budak pelik tu ke yang kau maksudkan?"

"Pelik?"

"Sejak aku masuk kedai tu lagi dia dah tengok aku semacam aje."

"Dia terpikat kat kau kut!"

"Gila ke apa nak terpikat dengan perempuan pelik macam aku ni?"

"Kau cakap dia pelik tadi, kan? Okeylah tu. Pelik sama pelik! Haha..."

Orkid menumbuk lembut lengan Fayadh di sisinya.

"Eh, aku tengah driving ni, kan. Bahaya tau!"

Orkid memandang ke luar tingkap kereta.

"Risau betullah aku kalau dia tahu siapa aku... Dia dah tengok aku 'pergi'..."

Fayadh memandang ke arah Orkid yang bersandar di kerusi dengan jambangan ros putih dibaringkan di ribanya.

"Baju kau kenapa?"

"Huh?" Orkid pandang baju putih yang terkena tompok darah.

"Ah, ya! Tadi dia cakap hidung aku berdarah. Dia tolong lap."

"Whoa."

"Kenapa whoa?"

"Baiknya dia."

Orkid diam.

"Kenapa diam?"

Orkid hanya menggeleng.

"Aku penat. Aku rehat kejap. Sampai rumah nanti kejutkan aku, okey?"

"Hmmm... Okey, princess!"

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro