Bab 12
"AKU... Aku tak percaya cinta! Aku tak percaya C.I.N.T.A!"
Yeahhh! Itulah lagu versi rock metal aku, yang aku rasa lepas ni Liyana Jasmay confirm malu nak nyanyi lagu tu lagi sebab aku nyanyi dah terlampau merdu! Yeah, one more time!
Pap! Belakang kepala Badrish ditampar kasar. Pemuda dengan apron hitam itu hampir tersembam ke singki.
Samdol... Siapa berani kacau aku tengah perform?! Menyirap rasa darah Badrish naik ke muka, terus merah hampir saga.
"Seronok kau nyanyi, ya?" Iqbal yang berdiri di sisi Badrish memeluk tubuh.
"Ada ke aku bayar kau untuk perform sini ni? Aku bayar kau untuk cuci pinggan mangkuk tau! Tu kat luar tu, berlambak pelanggan. Kalau pinggan mangkuk ni tak siap cuci lagi, aku nak guna apa untuk hidang pelanggan aku? Tangan kau?"
"Ha!" Badrish memetik jari.
"Aku suggest daun pisang biar rasa kekampungan sikit."
"Banyaklah daun pisang kau!"
Pemuda berapron hitam itu tersengih.
Iqbal mengetap bibir geram.
"No wonder la Aunty Melly pass kau di bawah jagaan aku. Duduk kat SummerShine ni. Kesian aku tengok mama kau tu."
"Ala, Iqbal... Relakslah. Aku betul-betul nak berubah ni."
"Macam ni ke kau nak berubah, Badrish? Parent kau pun dah mati akal kat town tu tengok perangai kau ni. Umur dah 25 tahun, tak ada achievement. Asyik tukar kerja sana sini. Disuruh kerja kat office abah kau tu, kau tak nak juga... Apa yang kau nak sebenarnya?" bebel Iqbal yang tua setahun daripada Badrish.
Naik rasa rimas. Badrish mula mencari akal, nak tukar topik.
"Dahlah. Dahlah. Pergi! Pergi! Aku nak buat kerja ni. Karang pelanggan kau makan dengan daun pisang pula. Shooh! Shooh! Membebel aje kau kat sini..."
"Aku bos kau, suka hati akulah nak membebel sampai esok pagi pun!" Iqbal ketap bibir geram. Sepupunya itu memang jenis susah nak dengar cakap.
"Nama aje sepupu... Tak sporting langsung!" dengus Badrish sambil kembali membasuh pinggan.
"Apa kau cakap?"
"Ah, tak ada apa-apa, encik bos!" Badrish buat senyuman palsu, Iqbal menggeleng-gelengkan kepalanya sebelum berlalu pergi.
Badrish membasuh tangan sebelum mencapai telefon bimbit dari poket seluar denimnya. Nombor pada skrin sentuh segera ditekan sebelum telefon bimbit itu disua ke telinga.
"Ma!"
"Apa lagi ni?"
"Adik nak balik town! Adik janji adik akan berubah, kerja elok-elok kat town tu tapi please... Bagi adik balik rumah..." rayu Badrish.
"Last few years pun adik cakap macam tu tapi tak ada pun mama tengok apa-apa perubahan. Masih juga main-main..."
"Tapi ma..."
"Tak ada tapi-tapi. Adik kena duduk situ sampai adik betul-betul dah berubah. Mama dah bagi tau Aunty Maria dan Uncle Jo untuk tengok-tengokkan adik kat sana..."
"Tak boleh nego lagi ke dengan papa untuk kurangkan tempoh adik stay kat sini ke, ma? Duduk sini bosanlah. Bukan ada apa pun. Shopping complex pun ada dua biji aje! Skatepark pun kecik gila... Besar taik telinga aje! Bosan!"
Terdengar ketawa kecil Puan Mellysa di hujung talian.
"Kalau nak nego, nego sendiri dengan papa, adik. Itu keputusan papa, mama tak boleh nak tolong..."
"Tapi, ma..."
"Dah, dah! Lagi satu, jangan nak curi-curi balik town or papa cut terus your allowance. Masa tu, adik carilah sendiri duit untuk sara hidup..."
Badrish mengeluh berat.
Aku? Sara hidup aku sendiri? Seriously, aku belum bersedia! Argh, pressure! Pressure! Allowance yang abah bagi aku tu pun cukup-cukup untuk bayar sewa apartmen dan utiliti. Dan gaji aku kerja kat Duncan Diner ni pula adalah duit untuk makan dan keperluan aku yang lain. Memang aku tahu takkan pernah cukup pun.
"Badrish!" Ika, gadis dengan rambut diikat satu itu muncul di sebalik pintu ke bilik tempat barangan dapur dibasuh.
"Lepas habis syif awak, Bos Iqbal nak jumpa kat office..."
"Okey! Okey!" balas Badrish malas.
Ada apa hal lagi Si Iqbal ni? Tak puas membebel tadi la tu! Dari minggu lepas, masa aku start kerja sampailah hari ni asyik membebel macam orang tua. Padahal tua setahun aje daripada aku... Huh!
Tomorrow - Friday - White rose.
ORKID melangkah ke dalam Duncan Diner dengan sejambak bunga ros putih di tangan dan beg komputer riba tersangkut di bahu. Dia tidak akan ke mana-mana tanpa komputer ribanya. Fayadh akan menemuinya di sana untuk makan malam. Sofea dan Aifan sudah pun berangkat ke Sarawak petang tadi.
"Badrish!" jerit Iqbal dari kaunter pembayaran. Tidak lama selepas itu, pemuda berapron hitam dan bertopi merah itu muncul mendekati Iqbal.
"Ya, encik bos... Ada apa?"
"Serve table 7."
"Aik? Aku kan dishwasher machine, apa pasal aku kena jadi waiter pula?"
"Remember, kau ganti tempat Adit hari ni? Kau nak gaji lebih, kan? So, this is it."
"Bukan dia start pukul 7.00 malam ke?"
"Habis kau ingat jam sekarang 5.00 petang? Cuba kau tengok jam kat dinding tu..."
Badrish menurut. Aaa... Dah pukul 8.30 malam. Apa pasal masa cepat berlalu ek? Aku baru nak terlelap kat singki. Penat selepas skate lewat malam semalam belum habis lagi. Tidur aku belum revenge!
"Maaf, encik bos. Tak perasan. Baik, saya bertugas sekarang."
Pesan mama, jangan lawan cakap Iqbal. Iqbal is the boss! He is the one that will help me to survive. He will give me money. Yeah, money is all I need!
Iqbal tergelak kecil. Bukan niatnya untuk berkeras dengan sepupu sendiri tetapi harapan ibu dan bapa saudaranya itu harus diutamakan. Badrish harus berubah dan Iqbal akan membantunya ke arah itu. Masa bulan madu sudah pun berlalu, diganti dengan masa untuk mencari sumber kewangan untuk meneruskan hidup. Takkan nak bergantung dengan ibu bapa sampai tua?
Walaupun hakikatnya, Iqbal juga datang dari golongan berada seperti Badrish, Iqbal lebih suka berdiri atas kaki sendiri. Nilai itu yang mahu dia terapkan dalam diri Badrish yang masih kebudak-budakan.
"Table seven... Table seven..." Badrish menyanyi kecil sambil menatang dulang berisi menu. Tiba-tiba langkahnya terhenti di ruang hujung kafe. Seorang gadis sedang duduk dengan sejambak ros putih di atas meja. Bukan itu yang membuatkannya terpanar di situ, gadis itu kelihatan dikelilingi rama-rama!
Badrish memisat-misat matanya.
Gilakah aku?
Pandangannya masih tidak berubah. Gadis itu memang dikelilingi rama-rama! Badrish menarik lengan Jidi yang lalu di sebelahnya. Pemuda itu tersentak.
"Apanya, Abang Badrish?" Pemuda yang baru habis SPM itu kehairanan.
Badrish mengetap bibir.
"Kan aku dah cakap jangan panggil aku abang! Rasa macam dah tua sangatlah. Panggil aku Badrish aje! Poyolah kau ni!" bebel Badrish.
"Sorry! Sorry!" Jidi tunduk beberapa kali.
Badrish malas ambil pusing.
"Kau tengok perempuan tu." Dia memuncungkan bibirnya ke arah meja yang dimaksudkan.
"Cantik! Kenapa? Abang Badrish nak usyar ke?" Cepat Badrish menampar belakang kepala Jidi.
"Er... Kau nak ke?" Kekok. Jidi menelan air liur. Tidak seperti Iqbal, majikannya, Badrish memang jauh lebih kebudak-budakan.
"Kau tengok tak apa yang aku tengok?"
"Tengok."
"Apa yang kau tengok?"
"Perempuan cantik? Comel? Dan yang sewaktu dengannya?"
"Selain itu?"
"Tu ajelah!"
"Rama-rama yang terbang di sekeliling dia tu?"
Bulat mata Jidi memandang wajah Badrish di sebelahnya. Dia kemudian cepat-cepat menggeleng sebelum meminta diri. Mungkin Badrish stres bekerja, fikir Jidi sendirian. Badrish masih berdiri di sebalik dinding. Sesekali menjengah ke meja bernombor tujuh itu.
"Kau buat apa lagi kat sini ni, Badrish? Kan aku suruh kau..."
Belum sempat Iqbal menghabiskan ayatnya, lengannya sudah ditarik oleh Badrish.
"Sini kau!"
"Apa?" Iqbal menepis jemari Badrish yang mencengkam bahunya.
"Kau tengok apa yang aku tengok?"
"Hah! Dia dah mula dah. Tak habis-habis pasal perempuan kau ni, kan? Ni ke kau kata kau nak berubah?"
"Ssshhh! Stop membebel macam mama aku tu sekejap boleh tak? Boleh tak kalau kau jadi cousin aku yang macam best untuk sekejap? Kalau tak boleh lama, lima minit pun cukuplah."
"Hesy, apanya?" getus Iqbal.
"Tengok tu..." Badrish menuding ke arah gadis di meja nombor tujuh.
"Kau tengok apa yang aku tengok?"
"Ya, ya! Perempuan cantik. Habis?"
"Selain tu?"
"Tak ada apa-apa selain tu! Dan untuk pengetahuan kau, aku tak berminat tengok perempuan lain selain daripada isteri aku."
"Isy! Tau la baru lepas kahwin. Tuuu... Kau tengok tak rama-rama yang terbang macam bahagia kat sekeliling dia tu kau tak tengok?"
Iqbal memandang tepat ke wajah Badrish. Aku dah buat dia tertekan sampai jadi gila ke? Apa aku nak jawab kat parents dia nanti kalau dia ni betul-betul dah gila?!
"Kau tengok tak?" Badrish kembali menyoal.
"Kalau ya pun kau nak jatuh cinta, reka cerita logik sikit boleh tak?"
"Betul, Bal. Aku nampak. Aku tak tipu!"
"Dahlah. Dahlah. Nanti kau sambung dengan imaginasi kau tu. Pergi ambil oder dia cepat. Nanti orang cakap service kita slow pula!" Iqbal kembali ke kaunter pembayaran.
Nafas ditarik dalam-dalam sebelum dilepaskan perlahan-lahan. Badrish kemudian mengatur langkah ke meja nombor tujuh dengan seribu persoalan di dalam kepalanya. Sesekali dia menepis rama-rama yang hinggap di bahunya.
Gadis itu memandangnya kehairanan.
"Are you okay?" soal gadis itu dengan dahi berkerut.
"Ah... Ya... Ya... I'm fine. Chill... Chill..." Ah, macam mana nak chill kalau dah tengok benda tak logik macam ni? Aku dah gila ke? Ah, tidak! Tak mungkin!
"Hmmm, ini kali pertama saya kat sini. Anything yang awak boleh syorkan as my dinner meal tonight?" soal Orkid sambil membelek menu, langsung tidak memandang ke arah Badrish yang masih memandangnya tanpa kedip.
"Hm, meal nombor tujuh should be just nice for you..."
"Ya ke?" Menu diletakkan di atas meja.
"Er... Yap! Bolognese spaghetti dengan spesial Duncan salad."
"Apa yang special dengan Duncan salad tu?" Orkid menopang dagu.
"Sebab kat Duncan aje ada... Sebab tu nama meal tu Duncan salad." Badrish tersenyum. Apa punya jawapanlah yang aku bagi ni!
"Apa-apalah... Bagi saya set nombor tujuh." Malas nak fikir! Baik oder untuk Fayadh sekali. Macam tak betul sangat waiter ni. Huh!
"Saya nak dua set tu. Minum... Bagi saya Diet Coke satu... And..." Orkid berkira-kira dalam hati. Fayadh benci Diet Coke.
"Pepsi satu."
"Okey!" Cepat-cepat Badrish berlalu pergi, bimbang bayangan rama-rama berterbangan itu akan terus menghantuinya. Mungkin aku terlalu penat!
Orkid menghantar pemergian pelayan yang aneh itu dengan penuh kehairanan. Dia kemudian tergelak sendirian tanpa sedar. Telefon bimbit dari beg komputer ribanya dicapai lantas mencari nama Fayadh sebelum butang memanggil ditekan.
"Kau kat mana?"
"Aku masih kat rumah lagi. Tunggu kakak aku. Dia guna kereta aku. Katanya nak ke super market kejap. Kau dah ke kedai bunga?"
"Dah. Nasib baik sempat. Kedai dah nak tutup dah."
"Apa pasal tiba-tiba nak beli bunga awal?"
"Esok aku malas nak keluar. Esok ramalan cuaca cakap hujan. Baik tukar terus bunga dalam pasu aku tu malam ni."
"Oh. Sorry tak dapat temankan kau pergi tadi."
"Tak apa. Ramalan cuaca cakap hari ni okey. Langit pun aku tengok okey aje... So, aku rasa takkan ada masalah punyalah. Aku dah cakap dengan Mak Esah aku keluar dengan kau. Lepas tu pergi rumah kau, jumpa Aunty Nurul. Aku kan ada discussion dengan dia tentang novel baru aku yang nak diterbitkan next month."
"Kau kat mana sekarang?"
"Kat Diner. Kau cepat drive here tau."
Beep! Talian mati di situ.
"Helo, Fayadh? Fayadh?" Tiada jawapan. Orkid memandang ke arah telefon bimbit di tangannya. Padam.
"Habis bateri! Ah, macam mana boleh lupa nak caj?" Orkid meraup muka, kecewa.
"Harap-harap, Fayadh ingat lagi Diner yang aku cakap aku nak pergi tu... Hmmm..."
Fayadh pandang telefon bimbitnya.
"Orkid?" Talian sudah terputus.
"Orkid cakap dia di Diner. Eh, Diner yang mana satu ha?"
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro