Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

Prolog

ORKID.

Atau Serena.

"Orkid ke Serena?" Dia jongket kening. Rasa tidak yakin.

"Orkid."

"Password?"

Orkid senyum. Wajah itu kelihatan lembut. Dia tahu itu Orkid sejak senyum itu terukir tapi dia masih mahu kepastian.

"Rainbow."

"Tu aje?"

"Rainbow. Michael Jackson Kiss His Brother In University."

"Ding!"

Ding tu tandanya lulus. Pass. Yakni itu memang Orkid. Memang itu perjanjian mereka. Kalau tak, dia tidak tahu itu siapa. Yang berdiri di hadapannya itu siapa. Orkid atau Serena. Kedua-duanya sama sahaja. Yang berbeza hanya pada perwatakan. Yang membezakan mereka ialah kata laluan yang telah mereka persetujui bersama.

Gadis berbaju kurung rona peach itu mengeluh kecil.

"Orang masih tak boleh nak faham. Password memang kena panjang macam tu ke?"

"You should be thankful that your password is shorter than Serena's."

"Apa password Serena?"

"Haippp! Kan dah cakap... Mana boleh bagi tahu."

"Kenapa? Serena is me. Me is Serena."

"No. Serena is Serena. You is you. You are Orkid." Dia menekan-nekankan suara.

"Orang pun boleh jadi Serena, kalau orang nak."

"Dah boleh macam tu eh, sekarang?"

"Boleh."

"Macam mana boleh jadi boleh?"

Diam. Tak ada jawapan.

"Tak nak bagi tahu?"

Pemuda baju kotak-kotak rona kelabu dan biru itu kini bersandar di kerusi meja nombor tujuh Duncan Diner, pada hari terakhir Duncan Diner beroperasi.

"We're already agree to one thing."

"And what's the one thing?"

"Sebuah rasa yang sama."

"Which is?"

"We loves you."

Terpanar.

"Then what am I suppose to say? That I love you both?"

Senyum lebar.

"You should love us, both."

Senyum berbalas.

"Fortunately, I do. I do love you, both."


Bab 1

SUMMERSHINE dilanda musim hujan. Dan pada saat bumi basah hampir setiap hari itu, hatinya juga basah. Awannya juga mendung. Hilang segala-galanya pada usia begitu memberi impak besar dalam hidupnya sebagai anak kecil yang kini tiada tempat bergantung dan bermanja.

Siapa lagi akan memahami dirinya sepertimana sekumpulan manusia indah dan penuh kasih sayang yang telah jauh pergi, pergi tak kembali. Sekumpulan manusia. Sekumpulan manusia yang selama ini tidak pernah putus asa dan tidak pernah melepaskan genggaman tangannya. Sekumpulan manusia indah bernama keluarga.

"Manusia semua dah tak ada."

"Ya. Yang ada cuma kau dan aku."

"Hanya kita?"

"Hanya kita."

"Dan bagaimana kita akan terus hidup?"

"Sepertimana manusia lain."

"Tapi manusia-manusia indah semua dah tak ada. Bagaimana?"

"Aku ada. Kau ada."

"Hanya kita?"

"Hanya kita."

Duduk bersila di hadapan pusara keluarganya dengan air mata yang tidak berhenti mengalir membuatkan badannya rasa lemah. Dia tak nak bangun. Nak balik sekarang nak buat apa? Boleh buat apa? Dah tak ada sesiapa. Dah kosong. Sekelip mata.

Rumah dua tingkat itu dah kosong sejak dia balik dari hospital semalam. Mereka dah pergi. Sekumpulan manusia indah semua dah pergi tinggalkan dirinya. Entah mengapa mereka tak nak tunggu dia. Padahal kalau mereka ajak dia sekali, dia tak kesah. Asalkan bersama mereka. Sekarang dia sendirian. Nak buat apa sendirian?

"Orkid."

Sapaan itu membuatkan budak kecil berusia tujuh tahun itu angkat muka pandang si pemanggil yang kini dah labuh punggung di atas bangku, di sebelahnya.

"Serena. Orang ni... Serena."

"Ya. Mak cik tahu. Mak cik tahu nama Orkid, Orkid Serena, kan?" Wanita itu tersenyum. Wajahnya juga sembap. Matanya juga bengkak sepertimana keadaan Serena sekarang.

"Serena."

"Oh... Errr... Orkid... Serena... Nak mak cik panggil Serena ke?"

Serena masih pandang wajah wanita di sisinya itu dengan pandangan kosong. Dia tak faham. Hmmm... Serena mengeluh kecil. Lalu pertanyaan wanita itu dibiarkan senyap sunyi tanpa apa-apa jawapan. Biarlah. Tak penting. Lagipun yang duduk di sisinya sekarang bukannya ahli dari kumpulan manusia indah. Dia kenal wajah itu. Tapi ya, dia yakin. Dia memang bukan dari kumpulan manusia indah.

"Serena. Ini Mak Cik Sofea. Kalau Serena masih ingat?"

"Mak Cik Sofea?"

"Ya. Ingat tak?"

"Kawan ibu dan ayah?"

Sofea angguk laju. Ternyata kanak-kanak berkurung putih dan berselendang kuning cair itu masih ingat akan dirinya.

"Mak Cik Sofea yang jemput orang dari hospital hari tu, kan?"

Sofea angguk lagi. Runtun hatinya melihat kanak-kanak yang seakan-akan mengerti akan kehilangan yang baru sahaja dia hadapi. Betapa Orkid Serena kelihatan tabah menahan air mata yang bergenang di mata sekarang sambil mata menatap pusara di hadapannya.

"Serena okey? Jom, kita balik sekarang?"

"Balik? Nak balik mana? Mereka ada kat sini. Orang nak buat apa balik rumah?"

Kini pandangan mata bulat itu beralih dari pusara, kepada Sofea di sisi.

"Mak cik boleh temankan Serena di rumah."

"Tapi ibu, ayah, abang dan adik semua ada kat sini. Orang nak buat apa balik rumah? Orang tinggal sini ajelah."

Sofea tahan sebak. Kalau boleh dia tak nak menangis lagi. Kalau boleh, dia tidak mahu kelihatan lemah di hadapan kanak-kanak itu. Dia mahu Serena lihat dia sebagai seorang wanita yang tabah, yang boleh menjaganya sehingga Serena mampu berdiri di atas kakinya sendiri. Ya. Sofea sudah nekad. Dia akan menjaga Serena sepertimana dia menjaga anaknya sendiri. Sofea tak sampai hati nak biarkan anak kecil itu dihantar ke rumah anak yatim.

Empat hari yang lalu, kenderaan yang dinaiki keluarga Serena telah terlibat kemalangan yang meragut semua nyawa penumpang dan pemandu kecuali Serena. Ayah, ibu, abang dan adik perempuannya yang berusia dua tahun telah pergi buat selamanya. Serena terlantar tak sedarkan diri sehinggalah hari ini.

Inilah kali pertama Serena mengunjungi pusara keluarga tersayang yang dia namakan kumpulan manusia indah. Sesungguhnya, bagi Serena mereka adalah segalanya. Mereka adalah satu hadiah besar dalam hidupnya yang dia tidak pernah jangka akan hilang dalam sekelip mata. Jiwa Serena jadi kosong. Yang ada dalam fikirannya sekarang ialah satu-satunya persoalan yang dia atau sesiapa tiada jawapannya, kenapa mereka tak bawa dia bersama?

Serena tarik nafas dalam-dalam sebelum dilepaskan perlahan.

"Semuanya akan jadi mudah."

Sofea angkat kening pandang wajah suram Serena.

"Serena cakap apa tadi?"

Kanak-kanak itu geleng perlahan.

"Mereka tak akan balik lagi, kan?"

"Serena..." Serba salah Sofea hendak menjawab soalan yang baru muncul dari mulut Serena itu.

"Er... Serena... Kita balik jom? Hari pun dah nak gelap. Hmmm, esok. Esok kita ke sini lagi, okey?"

"Mak cik jawablah. Mereka tak akan balik lagi, kan? Macam mana kalau orang rindu? Macam mana kalau orang nak peluk ayah dan abang sebelum tidur? Macam mana kalau orang nak rasa masakan ibu? Macam mana kalau orang nak cium adik?"

Suara Serena mula bergetar dan kemudian esak tangis yang sedari tadi ditahan keluar serta-merta.

Rapuh. Sofea juga turut menangis seraya merangkul bahu Serena. Dipeluknya kanak-kanak itu erat.

"Serena, mak cik tahu, mak cik tak akan dapat ganti tempat ibu kamu... Tapi mak cik takkan biarkan Serena hidup seorang. Mak cik akan jaga Serena. Serena duduk dengan mak cik okey? Mak cik akan uruskan semua."

"Mak cik akan temankan orang di rumah tu?"

Sofea menggeleng.

"Serena tinggal rumah mak cik. Boleh duduk dengan Nek Som, dengan Aina dan Aifan."

"Mak cik pun ada kumpulan manusia indah?"

"Huh? Manusia indah?"

Serena angguk.

"Ibu cakap, kumpulan manusia indah yang orang selalu sebut tu namanya keluarga."

Keluarga. Kumpulan manusia indah? Jadi Serena sebut keluarga sebagai kumpulan manusia indah? Sofea tersenyum.

"Ya. Itu kumpulan manusia indah yang mak cik ada. Tapi Serena boleh join kumpulan yang mak cik ada tu, kalau Serena nak."

Sepasang mata dengan anak mata warna coklat cair itu kini pandang tepat ke wajahnya dengan penuh harapan.

"Boleh ke macam tu?"

"Mestilah!"

"Kalau macam tu, mak cik bawalah Nek Som, Aina dengan Aifan tu duduk sekali dengan kita di rumah orang. Rumah orang besar. Ada banyak bilik."

Sofea geleng perlahan.

"Yang tu kita bincang nanti okey... Sekarang, Serena duduk aje kat rumah mak cik. Duduk dengan mak cik."

Tiada jawapan tapi genggaman tangan Serena meyakinkan Sofea bahawa anak kecil itu sudah bersetuju. Rasa sayu menular dalam segenap ruang hati. Dia dah bincangkan dengan emaknya tentang Orkid Serena, yang dia hendak menjaga anak kecil itu sehingga mampu hidup sendiri. Emaknya bersetuju tapi Sofea tidak tahu tentang bagaimana penerimaan anaknya, Aina dan Aifan.

"Ya Allah, Kau permudahkanlah semuanya."

Sofea sempat pandang langit kelabu di balik payung lut sinar yang melindungi dirinya dan Serena dari rintik hujan yang baru sahaja kembali turun membasahi bumi setelah setengah hari hanya menghadiahkan langit kelabu sebagai santapan mata yang cuba mencari sinar matahari. Entah di mana sinar itu pergi. Harap cepat kembali.

"MULAI hari ni. Serena akan duduk dengan kita."

"Eh. Kenapa pula? Mak bapak dia pergi mana, mi?"

Sofea usap lembut bahu Serena yang duduk di sisinya.

"Nanti umi akan jelaskan semuanya kepada Aina, okey?"

Sofea cuba untuk menjaga hati kedua-duanya. Kalau dijelaskan kepada Aina sekarang, Serena pasti akan kembali rasa sedih akan kehilangannya. Kalau tidak dijelaskan kepada Aina, mungkin akan timbul salah faham.

Kalau semuanya sudah besar remaja mungkin mereka akan faham. Sekarang semuanya masih kecil. Masih belum tahu berfikir sewajarnya. Masih perlu bimbingannya. Masih perlu tunjuk ajarnya. Dalam tempoh itu, semua tindakan dan kata-katanya harus dijaga agar anak-anak kecil itu senang faham dan bertindak sewajarnya.

"Aifan, okey?" Pandangan kini ditala kepada Aifan yang duduk di sisi Aina, berhadapannya dan Serena. Kalsom, ibunya pula ada di dapur. Dia yang terlebih dahulu tahu tentang Serena segera siapkan makan malam istimewa, untuk menyambut kehadiran anak kecil itu.

Budak lelaki berumur sebelas tahun itu hanya angguk sekali.

"Aifan masuk bilik dulu. Dan kanak-kanak ni tak dibenarkan masuk dalam bilik Aifan. Tidak boleh sama sekali. Tu aje." Aifan terus berlalu pergi.

Sebaik abangnya hilang daripada pandangan, Aina kembali pandang wajah ibunya.

"Dia akan duduk dalam bilik Aina ke, mi?" Aina kelihatan gusar.

"Buat sementara?"

Aina mencebik.

"Laaa... Tak best la kongsi. Abang okey aje tak payah kongsi. Tak adil."

"Aina. Umi kan dah cakap untuk sementara."

"Sementara tu berapa lama, mi? Mak bapak dia pergi bercuti ke?"

"Aina. Umi akan jelaskan nanti. Sekarang pergi dapur, tolong nenek prepare meja makan."

Aina angkat punggung dan terus menonong ke dapur. Langkahnya diayun kuat sedikit, tanda protes.

"Serena..."

"Hm?"

"Maafkan anak-anak mak cik."

Serena senyum. Seakan-akan memahami.

"Serena nak mandi dulu? Tunggu sini sekejap. Mak cik ambilkan beg pakaian Serena kat kereta."

Sementara Sofea keluar semula dari rumah dua tingkat itu, Serena hanya duduk di ruang tamu sambil mata pandang sekeliling rumah. Rumah itu sederhana besar, tapi memang agak kecil berbanding dengan rumahnya sebelum ini tapi dia suka. Dia suka adanya kumpulan manusia indah dalam rumah itu. Ada Aifan. Ada Aina. Ada Nek Som.

"Awak tengok apa?" Aina muncul sambil peluk tubuh.

"Awak siapa? Kenapa umi tiba-tiba bawa awak balik rumah ni? Apa nama awak tadi?"

"Nama orang... Serena."

"Nama awak pelik."

Serena cuba tersenyum.

"Awak nak tinggal berapa hari dengan kami ni?"

Tak ada jawapan. Bukan dia tak nak jawab, cuma dia memang tak ada jawapan. Akhirnya, dia jongket bahu.

"Harap tak lamalah. Kalau lama, awak terpaksa ikut kami balik kampung."

"Kampung?"

Aina dah duduk di hadapannya sambil main hujung rambut panjangnya yang diikat dua.

"Bulan depan cuti. Umi cakap nak balik kampung. Duduk rumah nenek."

"Nenek? Nek Som tu ke?"

Aina angguk.

"Oh."

Tiba-tiba, Sofea muncul dengan beg bagasi warna merah jambu muda dengan dua saiz. Satu besar dan satu lagi sederhana besar. Cukuplah untuk permulaan Serena untuk tinggal bersamanya. Kalau ada barang yang tertinggal, nanti dia akan kembali ke rumah asal Serena untuk mendapatkannya kerana kunci rumah itu memang ada padanya. Dia yang menjaganya bagi pihak Serena sehingga Serena berumur 18 tahun nanti.

"Bual apa dengan Serena?" sapa Sofea apabila melihat dua kanak-kanak itu ada di ruang tamu.

Aina tidak menjawab cuma terus bangun lalu melangkah pergi meninggalkan ruang tamu. Dia kembali ke dapur.

"Serena... Jom! Kita ke bilik. Buat sementara, Serena duduk satu bilik dengan Aina, okey."

"Maaf. Nama orang... Orkid."

Berkerut dahi Sofea memandang wajah kanak-kanak itu.

"Apa dia?"

"Orkid."

"Tapi tadi..."

"Hm... Mak cik ni... Nama apa tadi? Tadi Serena ada sebut tapi..."

Riak muka Sofea semakin pelik. Dahi berkerut dengan mata tidak beralih ke arah kanak-kanak yang sedang memandangnya, tenang.

"Mak cik nama apa?"

"So... Sofea. Nama mak cik, Sofea..."

"Ah... Ya! Mak Cik Sofea. Kawan ibu dan ayah, kan? Kawan dari sekolah menengah lagi. Kan? Tapi kenapa jarang nampak mak cik? Mak cik tak pernah ke rumah kami?"

"Dulu mak cik tinggal jauh. Sebab tu la..."

"So, mulai hari ni, orang akan duduk sini dengan mak cik?"

Sekali lagi Sofea mengangguk.

"Ada siapa lagi kat rumah ni?"

Sofea telan air liur. Tadi dia dah kenalkan semuanya pada kanak-kanak itu dan sekarang soalan itu kembali diutarakan kepadanya. Sofea jadi keliru. Yang ada di hadapannya kini seperti kanak-kanak lain, bukan Serena.

"Dengan anak-anak mak cik. Aina dan Aifan... Dan emak mak cik, Serena..."

"It's Orkid." Orkid laju mencelah.

"Ah... Ya... Orkid. Orkid boleh panggil emak mak cik, Nek Som."

"Oh, okey! Tak sabar nak jumpa mereka!" Orkid kelihatan teruja.

"Hm... Kumpulan manusia indah milik orang dah tak ada. Serena cakap mereka tak akan kembali. So, sekarang kami boleh duduk dalam kumpulan manusia indah Mak Cik Sofea ke? Mak Cik Sofea izinkan?"

Berbeza dengan Serena yang tadi, kanak-kanak di hadapannya kelihatan lebih ceria dan lebih banyak cakap. Ada sedih di matanya tapi dia seakan-akan cuba melawan dan menyembunyikan daripada Sofea. Suara halus milik kanak-kanak itu masih sedikit bergetar tapi tidak seperlahan seperti sebelum ini. Yang ini seakan-akan tersuntik semangat lain. Lain. Seperti orang lain, bukan Serena. Yang ini Orkid. Tapi mereka orang yang sama cuma berbeza. Pening dibuatnya! Sofea raup wajah.

"Orkid Serena." Perlahan Sofea menyebut nama itu dan kanak-kanak itu tersenyum lebar.

"Orang ni... Orkid. Serena dah pergi."

Sofea telan air liur. Sekarang dia yakin ada sesuatu yang tak kena. Ada sesuatu yang mungkin dia telah lepas pandang. Ada sesuatu yang dia perlu cari sebab dan kenapa. Orkid Serena berkongsi satu nama tapi ternyata personaliti berbeza.

Tak hairanlah kenapa sebelum arwah Anggun menghembuskan nafas terakhir, dia minta Sofea berjanji untuk menjaga dan melindungi Orkid Serena. Adakah disebabkan ini? Hanya kerana dirinya orang yang Anggun betul-betul percaya, yang mampu menerima Orkid Serena seadanya?

Sofea duduk melutut di hadapan Orkid. Kedua-dua belah tangannya diletakkan di atas bahu kanak-kanak yang kini mahu dipanggil Orkid.

"Orkid. Mulai hari ni, mak cik akan jaga Orkid."

"Serena?"

"Mak cik... Mak cik akan jaga Orkid... Dan... Serena, semampu mak cik. Jadi, hanya satu yang mak cik minta."

"Apa dia?"

Orkid letak kedua-dua belah tangannya di atas bahu Sofea pula, membuatkan wanita itu tersenyum dalam menahan tangis yang mahu keluar.

"Janji dengan mak cik, tak kiralah yang ada depan mak cik ni, Orkid... atau Serena... Jangan pernah berahsia dengan mak cik. Mulai hari ini, Orkid atau Serena... Boleh panggil mak cik umi. Umi akan jaga Orkid Serena, macam anak umi sendiri. Dan tolong jangan pernah rasa berbeza, kerana umi yakin. Apa yang dah jadi, apa yang ada dan tiada sekarang adalah aturan Yang Maha Esa. Umi akan cuba sehabis baik. Panggil mak cik umi, okey?"

"Umi?"

Sofea angguk dengan air matanya yang kini mengalir deras macam empangan yang baru pecah. Sebak rasa hatinya mengenang nasib anak kecil di hadapannya itu sekarang.

Orkid kemudian peluk wanita di hadapannya itu erat. Tubuhnya yang kecil kini terduduk di atas riba Sofea sambil menangis teresak-esak.

"Jangan menangis... Umi."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro