Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 3

AWAL pagi lagi Haifa sudah berperang di dapur untuk masakkan menu kegemaran Nadhir. Nasi beriani kambing. Paling pantang lelaki itu kalau jumpa. Kalau orang berniaga tepi jalan pun dia sanggup berhenti untuk beli.

Senyuman menghiasi bibir Haifa. Hari ini Nadhir pulang. Dia takkan keseorangan lagi seperti semalam. Hari ini dia ada bantal peluknya.

Semalaman dia tak tidur. Mustahil dia dapat tidur nyenyak. Selagi belum dimaafkan, selagi itu dia tidak rasa aman. Berkali-kali pun dia menukar posisi tidur, matanya tetap segar-bugar. Akalnya teringatkan Nadhir. Hanya Nadhir boleh lelapkan dia. Nadhir yang selalu ada di sisi setiap kali dia susah untuk lena. Hanya lelaki itu mempunyai tangan magis untuk menyorong kantuknya.

Cukuplah kesedihan semalam. Haifa tak mahu ingat lagi. Dia buang peristiwa memilukan itu jauh-jauh. Anggap saja itu mimpi ngeri di malam hari.

Hari ini hari baru. Permulaan baru. Harapan baru.

Dan harapan Haifa hanya satu, Idlan Nadhir.

Lelaki yang sudah 13 tahun menjadi hak miliknya yang sah. Jujur Haifa bahagia bersama Nadhir. Terasa kemanisan berumah tangga di setiap sendi tubuh. Biarpun Nadhir bukan lelaki yang pandai nak berayat manis, segala perbuatan lelaki itu menyerlahkan sifatnya yang penyayang.

Bagi Haifa, Nadhir sudah cukup sempurna dengan setiap perbuatan lelaki itu.

Lelaki itu bijak menyentuh hatinya dengan setiap perbuatan. Biarpun Nadhir hanya tolong sapu rumah, bagi Haifa itu sudah cukup buatkan dia gembira. Kalau pulang ke kampung opah di Kelantan, Nadhir pun boleh dibawa lari oleh anak-anak buahnya yang lain. Semua nakkan Nadhir.

Lelaki itu dengan anak-anak sangatlah pemurah. Pernah dia borong aiskrim Magnum dari kedai runcit untuk setiap seorang anak buahnya ketika hari raya. Memang meriah. Kadang-kadang seharian Haifa tidak nampak batang hidung Nadhir. Laju aje anak-anak buah mereka larikan Nadhir.

Ke mana saja Nadhir pergi, semua orang menyenangi lelaki itu. Kerana itu, Nadhir boleh popular di universiti.

Jodoh mempertemukan Haifa dengan Nadhir. Menjadi pasangan suami isteri yang masih teguh istananya. Nadhir seorang yang prihatin dan berintegriti terhadap tanggungjawab manakala Haifa seorang yang bertolak ansur dan mudah beralah. Menipulah kalau Haifa kata dia tidak rasa seperti wanita terbahagia.

13 tahun bersama Nadhir tidak cukup lagi buat seorang Haifa Daliya. Setiap hari dia masih mahukan Nadhir. Dia mahu menjalani kehidupannya bersama Nadhir setiap masa. Menuju ke puncak bahagia di syurga kelak.

Bahtera yang berlayar di lautan pun ada kalanya berhadapan ribut taufan yang dahsyat, inikan pula sebuah perkahwinan. Memang tak lari dengan masalah dalaman. Semua sudah jadi lumrah.

Begitu juga waktu sekarang.

Kerana sedar salah sendiri, Haifa terus tanamkan hasrat untuk pikat si suami. Dia yakin radang Nadhir akan reda. Api kemarahan Nadhir akan terpadam juga. 13 tahun pernikahan, sudah macam-macam mereka lalui. Sengketa kali ini hanyalah episod persinggahan kepada mempelai tersebut.

Selesai masak, Haifa terus mengemas rumah sementara menunggu ketibaan Nadhir. Senyum girang tidak dapat disembunyikan. Dia tak sabar hendak hidangkan nasi beriani kambing pada Nadhir. Sudah lama juga dia tidak masak lauk itu dan Nadhir juga tidak meminta.

Peluh di pelipis dilap dengan hujung lengan baju. Haifa lepaskan keluhan penat. Setiap inci rumah diteliti, memastikan tiada lagi habuk atau kekotoran yang ada. Puas, bibir merah itu mengulas senyuman lagi.

Kipas dihidupkan di ruang tamu sebelum Haifa labuhkan duduk di sofa. Kepalanya menjengah ke luar rumah, mencari kelibat kereta Proton Persona kelabu milik Nadhir.

Sesaat. Dua saat.

Tiada tanda-tanda kereta itu akan muncul.

Haifa sekadar angkat bahu. Mungkin Nadhir ada urusan yang perlu diselesaikan dahulu. Remote control di atas meja dicapai. Sementara menanti Nadhir, Haifa putuskan untuk menonton kaca TV.

Badan diselesakan di atas sofa. Dilunjurkan kaki sebelum lengan sofa dijadikan tempat melabuhkan kepala.

Kaca TV yang memancarkan filem Munafik melekakan Haifa. Filem bertukar filem sebelum Haifa tanpa dia sedari, sudah beralih ke alam mimpi.




NADHIR matikan enjin kereta. Keadaan rumah yang gelap mula menjadikan dia panasaran. Dahi berkerut seribu. Kereta Bezza yang dipakir bersebelahan dengan keretanya meyakinkan Nadhir bahawa Haifa ada di rumah. Tetapi kenapa rumah gelap-gelita?

Tak berlenggah, Nadhir keluar dari perut kereta lalu mangga pintu dibuka. Pintu kayu ditolak seraya menghidupkan lampu di ruang tamu.

Spontan Nadhir menangkap tubuh genit Haifa yang terlena di atas sofa. Kaca TV masih terpasang sedangkan orangnya sudah diulit mimpi. Nadhir menutup pintu rumah dan dikunci. Gugusan kuncinya disimpan ke dalam bekas kaca yang terletak di meja di sudut penjuru ruang tamu.

Remote control bersebelahan Haifa dicapai dan dimatikan kaca TV. Nadhir duduk berlutut menghadap Haifa yang masih nyenyak. Jam di pergelangan tangan kiri dilihat sekilas.

8 malam.

Nadhir masih ingat lagi mesej yang dihantar Haifa tengah hari tadi. Dari pukul 10 pagi hingga jam 2 petang isterinya mengingatkan dia untuk pulang. Bukan sekali, berkali-kali. Kali pertama, Nadhir balas mesej tersebut dengan dua aksara O dan K. Selepas itu, mesej Haifa yang seterusnya tidak dibalas. Dia naik rimas hinggakan matikan telefon.

Dan kini, dia ada di sini.

Lewat.

Ya, sangat lewat.

Rambut bahagian hadapan diraup perlahan. Wajah lena Haifa direnung. Dari kelopak mata yang menyembunyikan mata bundar Haifa, hidung bulat dan bibir merah yang sedikit merekah. Nadhir perasan akan lingkaran hitam yang menampilkan diri di sekitar mata Haifa.

Anak rambut Haifa yang menganggu pemandangannya ditolak ke belakang telinga penuh kelembutan. Pipi wanita itu disentuh dan diusap.

Mata dipejam.

"Abang tak tahu macam mana lagi abang perlu buat untuk buang rasa marah abang ni jauh-jauh. Tiap kali abang nampak muka Ifa, abang teringat kejadian lepas. Sebab tu abang tak suka Ifa cuba dekat dengan abang. Nanti Ifa yang kena sembur balik," monolog Nadhir sendirian.

Senyuman tipis terbias.

Nadhir sendiri tidak tahu sampai bila dia akan terus begini. Rasa dingin pada sang isteri tidak mampu dipadam. Dia tidak terdaya untuk beri kemaafan kepada Haifa. Tidak untuk kesalahan kali ini. Hatinya berat untuk memaafkan.

Nadhir bangkit. Tangannya menyelinap di antara leher dan belakang lutut Haifa. Tubuh genit itu didukung terus ke bilik utama mereka. Diletakkan wanita itu berhati-hati. Sedikit pun tidak mahu wanita itu terjaga. Kedudukan selimut dibetulkan hingga ke paras dada Haifa. Penghawa dingin dihidupkan.

Wardrobe baju dibuka dan Nadhir capai sehelai baju dan kain pelekat. Langsung, lelaki itu menghilang di balik pintu tandas.

Bunyi pancuran air dari bilik air menganggu lena Haifa. Haifa celikkan mata. Tangan menggagau ke ruang sebelah. Perasan akan diri yang sudah berubah tempat, Haifa segera bangun sebelum rasa perit menujah-nujah kepala. Akibatnya, Haifa kembali terlentang. Spontan jari naik memicit kepala. Bunyi desiran terlepas dari dua ulas bibir.

'Dah pukul berapa ni?' bisik hati Haifa.

Mata menerawang ke siling. Mata digolekkan ke sisi. Jam yang ada di dinding dipandang lama.

8.28 malam.

Dan-dan bola mata Haifa membulat. Kepala yang sakit terus lesap dari kepala. Digagahkan tubuh untuk bangun. Tangan meraba-raba mencari telefon. Tiada.

Mengenangkan dia di bilik, Haifa mula diam. Seingat Haifa, dia berada di ruang tamu menanti Nadhir pulang. Ketika itu baru jam tiga petang. Setelah penat bertarung di dapur dan bersungguh-sungguh membersihkan rumah, dia baring sambil menonton filem yang terpasang. Bagaimana pula dia ada di sini?

Haifa pandang sekeliling hinggalah terperasan bakul baju yang berisi. Baru tengah hari tadi bakul itu dikosongkan dan dibasuh baju kotor.

Kalau bakul itu berisi bermaksud...

Haifa terkebil-kebil. Bibir dikemam.

Suaminya dah pulang!

Mulalah Haifa ketuk kepalanya. Kenapa dia tidur lama sangat sampai tak dapat nak sambut kepulangan suami sendiri? Tapi sungguh, Haifa tak sedar langsung. Tidur terasa amat lena. Mungkin disebabkan malam semalam dia tidak cukup tidur.

Perlahan-lahan Haifa bangkit. Dinding menjadi alat bantu untuk dia berdiri. Bunyi pancuran air masih jelas kedengaran. Sementara menanti sang suami selesai bersihkan diri, ada baiknya Haifa panaskan lauk.

Perut yang berkeroncong diusap kecil. Pagi tadi dia hanya sempat jamah roti krim dengan milo panas aje. Selepas itu dia ibarat berpuasa hinggalah ke waktu ini.

Haifa senyum. Tak apalah kalau makan lambat pun, asalkan dapat makan dengan suami. Itu lebih mengasyikkan.

Setiap langkah yang diatur dipastikan stabil. Kepalanya masih berpusing. Berkerut-kerut dahi cuba melawan rasa yang mencucuk.

Tak semena-mena, Haifa tidak perasan akan satu anak tangga yang ada hinggakan kakinya melangkau dua anak tangga. Disebabkan dirinya tidak sedar perbuatan tersebut, tubuh Haifa mula terubang-ambing. Pandangan yang berpinar-pinar tak mampu untuk membantu.

"Argh!"

Akhirnya, Haifa tekup mata rapat-rapat. Merelakan tubuh bertemu dengan bucu tangga.

Beberapa detik hanya terbiar kesunyian. Haifa mula hairan. Serasanya patut dia sudah menyembah lantai dan tergolek-golek jatuh ke tingkat bawah. Aneh pula bila tidak terasa kesakitan pada mana-mana anggota tubuhnya kecuali titisan-titisan air yang menitik jatuh ke wajahnya.

Air?

Haifa langsung celik. Terpampang wajah Nadhir yang pucat.

"Ifa okey tak?"

"A... abang..."

Baru Haifa hendak jarakkan diri, dia tersedar ada benda kasar menghalang perbuatannya. Lekas mata menganalisis benda tersebut.

Melihat tangan Nadhir melingkari pinggang rampingnya, Haifa tersedar lagi.

Nadhir selamatkan dia.

Spontan bibir merekah senyum. Wajah Nadhir dipandang semula.

"Terima kasih, abang." Tubuh itu didakap. Hidung mengesan bauan mandi Nadhir. Wangi! Lama sudah dia tak peluk Nadhir seperti ini. Rindunya dengan tubuh ini.

"Hrmm, lain kali hati-hati."

Nadhir mula rasa rimas. Bahu Haifa digenggam dan ditolak ke belakang, membina jarak antara mereka.

Wajah Haifa yang polos memandangnya ditenung. Nadhir perasan kulit isterinya itu pucat. Bahkan dakapan tadi juga tidak terasa seperti dulu. Tubuh Haifa seolah-olah mengecut dalam pelukannya.

Tak makan ke isterinya ini?

"Kenapa, abang?"

Nadhir menggeleng kecil. "Tak ada apa. Aku tak selesa."

Sebaris ayat itu menikam sanubari Haifa. Senyuman yang terpamer di bibir mula goyah. Wanita itu langsung menunduk. Disandarkan tubuh ke dinding. Sebelah tangan naik memeluk tubuh.

"Maafkan Ifa. Ifa dah lama tak peluk abang."

Bibir bawah digigit.

'Sabar Haifa, suami kau masih marah. Dia tak maksudkan pun apa yang dia cakap.' Haifa memujuk diri, tak mahu tenggelam lagi dengan emosi yang negatif. Bahkan dia sudah berazam untuk tawan hati Nadhir. Hari ini dia masih belum berpeluang untuk pujuk Nadhir. Dia tak boleh putus asa.

"Abang tak keringkan rambut? Nak Ifa buatkan? Dulu, abang selalu minta Ifa lapkan rambut abang sambil abang peluk Ifa." Haifa ubah topik perbualan.

Tangan berura-ura hendak capai kain bersih di leher Nadhir sebelum ditepis.

"Dah dah, tak payah. Aku boleh buat sendiri."

Sekali lagi, Haifa ditolak. Dan untuk kali yang seterusnya Haifa terasa hati.

Liur ditelan kesat. Bagaikan ada pasir di celah kerongkongnya.

"Erm, kalau macam tu... Ifa panaskan lauk ya? Abang mesti laparkan? Harini Ifa masak lauk kegemaran abang. Kita makan sama-sama ya?" Wajah diceriakan.

Haifa ambil langkah dengan laju, hendak lari dari pandangan mata Nadhir. Terasa diri ditenung bagaikan mahu tembus. Dulu mungkin boleh dia rasa bagaikan di awang-awangan tetapi kini tidak. Dia berpijak pada bumi yang nyata. Emosi Nadhir masih tidak berubah, masih marahkan dia. Untuk bermanis dan bermanja dengan suami, bukan ini waktunya.

Langkah yang diatur mula goyah saat Haifa terkenang kepalanya yang sakit. Spontan tangan menahan diri ke dinding. Kalau tak, sia-sia aje jatuh lagi.

Seketika, bahu Haifa disentuh.

"Ifa okey ke tak? Kalau tak sihat, bagitahu. Jangan paksa sangat tubuh tu. Tak mampu nak buat, cakap. Minta tolong." Laju Nadhir membebel. Dalam bebelannya, dua tangan hinggap pada bahu Haifa sebelum dipapah tubuh itu turun tangga dengan selamat.

"Abang nak bantu ke kalau Ifa minta tolong?" Meluncur soalan itu dari mulut Haifa.

Nadhir bungkam. Dikerli sang isteri di sebelah. "Ramai aje orang sudi nak tolong."

"Tapi hanya abang aje yang boleh bantu Ifa."

"Apa maksud Ifa ni?"

"Abang boleh tolong maafkan kesalahan Ifa? Boleh ke abang?" Dan-dan hujung mata sudah berair. Jari laju mengesat pipi.

Sampai di tingkat bawah, segera Haifa lepaskan diri dari pelukan sisi tersebut. Terasa lemas sekiranya berlama. Nadhir pun bukannya nak maafkan dia, biarpun beribu kali dia pinta.

Nadhir mengeluh. Dia terpukul dengan ayat Haifa. Berulang kali soalan itu berlayar di mindanya.

Maafkan wanita itu.

Masalahnya, mampu ke dia? Sudah hampir lima bulan hubungan mereka dingin. Haifa sudah banyak kali memujuk. Macam-macam cara.

Hanya dia yang bermasalah.

Hati dia dah tertutup untuk maafkan kesalahan Haifa. Bagi Nadhir, Haifa punca dia jadi begini dan Haifa perlu tanggung semua ini. Bukan dia.

Nadhir melangkah ke dapur. Tubuh disandarkan ke dinding, bertentangan dengan dapur. Haifa yang terhuyung-hayang menjadi santapan mata. Seketika dia gelengkan kepala.

"Pergilah duduk sana. Tak sihat tu, cakap. Aku tak adalah kejam sangat nak paksa bini buat semua benda walaupun tak sihat." Nadhir melangkah ke sebelah Haifa. Api dapur dihidupkan.

Haifa kemam bibir. Memang betul dia tak sihat. Kepala berpinar seperti hendak pengsan. Hanya kerana sedar tugas sebagai isteri, digagahkan jua untuk buat semua benda.

Tapi...

"Abang masih anggap Ifa isteri abang?"

"Ifa patut bersyukur yang kita ni masih suami isteri."

Malas nak bertegang urat dan terus makan hati, Haifa capai gelas dan isi dengan air kosong. Panadol di satu rak kabinet diambil. Keluar dari ruang dapur, Haifa duduk di ruang makan.

Air kosong diteguk sedikit. Jemari Haifa naik mengesat hujung mata. Basah jari telunjuk.

Mengenangkan balasan Nadhir yang acuh tak acuh, sedikit sebanyak Haifa mula rasa mengah. Bukan dia tak bersyukur Nadhir masih menjaga kebajikan dia tetapi dia juga punya hati.

Hati Haifa juga sekeping.

Sekali dipecahkan, tidak akan dapat bercantum elok seperti yang dahulu. Hati yang kini sudah penuh dengan bekas calar dan retak. Pecah berkali-kali namun Haifa kutip semula serpihan tersebut dan tampal dengan penuh kasih sayang. Sebesar cintanya buat Nadhir.

Namun, hati yang sudah berbalut beribu kali pun boleh pecah lagi. Bila kaca yang ditampal dikenakan tekanan yang maha dahsyat, semuanya akan jadi sia-sia. Haifa tak mahu sampai ke tahap itu.

Haifa tak mahu hubungan dia dan Nadhir akan berubah menjadi asing.

Perkataan cerai itu kalau boleh diharamkan lidahnya dari meluncur keluar. Dia tak akan sesekali sebut perkataan itu. Takkan mahu minta perkara itu dari suaminya.

Haifa tersandar lemah pada kerusi. Semakin dia fikir, semakin menjadi-jadi rasa sakit di kepala.

"Nah, makan."

Nadhir muncul di meja makan dengan sepinggan nasi beriani dengan lauk kambing dan acar. Sambal dal sudah sedia tercurah di atas nasi.

Deria hidung Haifa segera memanggil diri untuk makan. Perut yang kosong sejak pagi juga sudah mula buat suara.

Pinggan yang satu itu dipandang. Nadhir tolak pinggan tersebut di hadapan Haifa.

Wanita itu pandang Nadhir tak berkelip.

"Abang tak makan? Ifa ambilkan untuk abang ya?"

"Eh, tak payah. Tak payah ambil." Tegah Nadhir. Dipaksa Haifa kembali labuhkan duduk. Kepala Nadhir tergeleng kecil. Badan sakit pun masih larat nak bergerak sana sini.

"Oh..."

Haifa mula terdetik. Nadhir nak makan sepinggan dengan dia ke?

Tangan Haifa cekap menggaulkan nasi sebelum daging kambing itu dicubit. Nasi dicedok ke tangan sebelum bergerak menghulur pada Nadhir.

Lelaki itu sudah terpempan. Tak menduga tindakan Haifa.

"Ifa suap abang ya? Macam dulu-dulu."

Keluhan mencelah pergi dari bibir Nadhir.

"Ifa makan seorang."

Untuk kali yang entah ke berapa, Haifa rasa ditolak mentah-mentah. Lagi-lagi dia disakiti. Balik-balik hatinya yang menjadi mangsa.

Haifa menunduk, melarikan pandangan dari Nadhir. Tangan kembali jatuh pada pinggan. Bila hati dah terusik, seleranya pun berterbangan pergi. Perut yang lapar pun boleh terasa kenyang dengan layanan suami.

"Abang tak nak makan? Lauk kegemaran abang ni." Suara Haifa bergetar. Sebelah tangan menyapu muka. Pandangan sudah mula kabur dek air mata.

"Aku dah makan dekat rumah mama tadi."

Haifa betul-betul tak mampu tahan. Air mata yang menodai pipi dibiar. Dah tak larat nak sembunyikan. Seketika esakan kecil mula kedengaran.

Kenapa? Kenapa dia yang perlu hadap semua ni? Dia sanggup berlapar dari pagi semata-mata mahu makan berdua dengan Nadhir. Kenapa Nadhir tak sudi? Kalau ya pun dah makan, tak boleh ke jamah sikit untuk jaga hati dia?

Rasa sakit kepala membuatkan Haifa rasa nak hentak kepala ke meja. Ke pinggan. Ke mana-mana yang boleh rawat hati dia.

"Tak payah nak nangis. Aku ada ni temankan kau."

Tak cukup! Bentak hati Haifa. Sekeping sukma di balik dada terasa benar-benar mengecut. Kecewa, lagi dan lagi hingga tak terbilang.

Pinggan ditolak. Haifa bangkit dan berlalu. Panadol dan gelas diangkat. Pinggan dibiarkan. Haifa berlalu ke dapur. Tangan dibilas. Dua pil panadol ditelan dan diteguk air. Gelas diletakkan dalam singki tanpa dibasuh sebelum dia menghilangkan diri ke bilik tetamu di bawah. Tak larat rasanya nak naik atas.

Suara Nadhir yang memanggilnya diabaikan. Dia pekakkan telinga untuk kali ini. Cukup. Cukup. Hatinya tak boleh terima lagi.

Pintu dibiarkan terkunci sebelum tubuh dilabuhkan ke tengah katil. Comforter yang ada ditarik menutup setiap inci tubuh. Haifa peluk bantal dan dihambur semuanya di situ.

Kau tahu tak rasa sakit dan kecewa yang bergabung itu bagaimana? Itulah yang Haifa rasakan. Rasa yang terlalu sesak di pekung dada. Rasa nak meletup pun ya.

Haifa pejam mata rapat-rapat. Dia mahu lena cepat. Dia nak hilang dari dunia. Biarlah alam mimpi memujuk dia. Dia tak mampu nak terus kuat depan Nadhir. Dia kalah.

Berkali-kali dia cuba nasib, sepantas kilat Nadhir patahkan hasrat dia waima dengan sebaris ayat.

Ayat dari seorang suami yang menikam isteri itu sakit rasanya. Terasa diri ini tidak punya nilai buat sang suami.

Masih available lagi tau guys. Nak dapatkan boleh terus tekan link di bio. Admin akan assist untuk pembelian. Harga PO sah sehingga 7 Julai sahaja.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro