BAB 2
JAMUAN makan yang sepatutnya menjadi ceria bertukar hiba buat Haifa bilamana Nadhir hanya mendiamkan diri sepanjang makan.
Tadi pun lelaki itu mahu duduk dengan kumpulan guru lelaki. Kalau tak disebabkan guru-guru lelaki di sini menolak Nadhir untuk duduk bersama isteri, memang taklah Nadhir akan makan di sebelah Haifa.
“Abang nak air apa? Ifa ambilkan.”
Sunyi. Tiada balasan dari Nadhir. Lelaki itu sedari tadi menunduk menikmati juadah makan. Sedikit pun tak pelawa isteri makan bersama-sama.
Haifa tarik nafas dalam-dalam. Dia bangkit dan berlalu ke barisan tong air yang menyediakan pelbagai jenis air. Haifa berkira-kira hendak mengambil jus oren memandangkan cuaca panas dan Nadhir juga tidak hilang rasa penat menguruskan pelajar. Nasiblah sekarang para pelajar sudah pulang ke rumah.
“Puan Haifa nak saya ambilkan ke? Banyak aje cawan ambil tu.”
Teguran seseorang memaksa Haifa menoleh ke punca suara. Berdiri teguh Cikgu Rizuan yang elok dengan jersi sekolah berwarna merah.
Haifa kembali menunduk. “Tak apalah cikgu. Saya boleh ambil sendiri.”
“Macam tak biasa pula panggil Riz ni, Riz. Dulu dekat uni elok aje. Dah tak sudi ke?”
Jeda.
Cikgu Rizuan hanya mengangguk. Tidak ambil pusing kebisuan Haifa. Matanya mengerli ke arah Haifa sebelum menumpukan perhatian pada Nadhir.
“Gaduh dengan suami ke?”
Pap!
Cawan plastik itu jatuh. Haifa cepat-cepat menggeleng. Cawan dikutip semula. Syukur tak letak air lagi.
Hujung mata menjeling ke arah Rizuan. Haifa abaikan soalan Rizuan. Tak mahu membuka cerita rumah tangganya. Biarlah dia sendiri yang selesaikan dengan Nadhir. Rizuan bukan sesiapa.
“Betulkan apa yang Riz cakap?”
Haifa masih membisu. Diteruskan tindakannya mengisi air sehingga penuh. Selesai satu, satu lagi cawan dipenuhkan dengan jus oren.
“I will take the silence as a yes.”
“Tak!” sangkal Haifa, tegas. Wanita itu segera berlalu pergi meninggalkan Rizuan. Malas dia hendak berlama dengan lelaki itu.
Bukan dia tak tahu yang Rizuan adalah kawan Nadhir. Mereka berdua ini adalah sahabat baik sejak dari zaman sekolah menengah. Dua-dua suka kanak-kanak. Kerana itu boleh jadi cikgu.
Bila Haifa bernikah dengan Nadhir, Rizuan bawa diri. Lelaki itu pernah meluahkan perasaan pada Haifa pada hari graduasi mereka. Namun, Haifa menolak.
Kini, Rizuan bersua semula dengan Nadhir di sekolah yang kebetulan tempat yang sama mereka berkhidmat.
Bagi Haifa, tak patut sangat tindakan Rizuan. Mereka sudah dewasa, dah sepatutnya pandai kawal hati dan perasaan. Haifa sudah bergelar isteri orang. Tak patut Rizuan cuba nak lagakan dia dengan suami. Rizuan harus sedar batas antara mereka.
Lagipun, Haifa bersumpah untuk setia dengan Nadhir hingga hujung nyawanya. Dia takkan berlaku curang. Nadhir akan jadi lelaki pertama dan terakhir yang bertakhta di hatinya selepas arwah bapanya. Tiada lelaki lain. Noktah.
Kembali ke tempat duduk, pinggan Nadhir sudah hampir licin. Perlahan-lahan Haifa letakkan cawan plastik tersebut. Dia duduk di tempat sendiri.
Nafas berat dilepaskan perlahan. Sedangkan nasinya belum berusik, Nadhir sudah selesai makan. Memang jelas sangat lelaki itu membawa hati. Memang betul tekaan Rizuan tadi. Dia saja yang menafikan.
“Ifa ambilkan jus oren untuk abang.”
Seperti yang Haifa sangka, tiada reaksi dari Nadhir. Tak mahu terus terasa hati, Haifa mula menjamah.
“Alang-alang dah sedondon merah tu, kenapa tak terus makan aje dengan Rizuan tu?” Terlepas satu soalan dari bibir Nadhir. Sempat dia hadiahkan jelingan pada Rizuan yang tersenyum ke arahnya. Nadhir berdengus. Sudu diletakkan ke meja sebelum tisu diambil dan dilap ke mulut.
“Abang nampak?”
“Aku masih ada mata lagi.”
Haifa diam.
“Ifa minta maaf.” Seleranya terputus dengan layanan Nadhir. Digagahkan jua diri menghabiskan lauk yang ada di pinggan. Kalau dibuang, sayang. Ini rezeki.
“Huh!”
Nadhir sudah mula hendak bangkit sebelum lengannya ditangkap Haifa. Lelaki itu mengangkat kening sebagai soalan.
“Abang dah nak gerak?”
“Dah tu?”
“Nanti orang kata apa pula? Duduklah, temankan Ifa makan,” pujuk Haifa.
Haifa tahu Nadhir akan akur. Lelaki itu sangat mementingkan imej. Biarpun berlaku sengketa antara mereka, Nadhir akan melayan dia baik-baik. Nadhir paling pantang jika ada cerita tidak enak berkaitan dirinya.
“Cepatlah makan.” Lelaki itu tarik lengannya. Duduk dibetulkan. Rambut yang sudah jatuh diraup ke belakang. Terasa rimas pula rambut yang menutup dahi dan keningnya. Nantilah dia potong.
Haifa senyum kecil.
Tak lama sehingga Nadhir keluarkan telefon pintarnya. Dan-dan jantung Haifa jadi tak tenteram. Tangan secara tidak langsung menangkap peranti tersebut.
“Apa lagi kau nak?”
“Abang nak mesej dia ke?” soal Haifa.
“Dah tu? Handphone aku, suka hati akulah.”
Jawapan Nadhir mengecewakan Haifa. Tubir mata terasa hangat.
“Ifa depan mata abang, kenapa abang tak nak layan Ifa? Abang nak semua orang tahu ke yang hubungan kita tak baik sekarang ni?”
“Kau memang saja, kan?”
“Tak salahkan Ifa nakkan perhatian dari suami Ifa sendiri?” Haifa sengaja provoke. Hanya dengan cara itu Nadhir akan berlembut dengan dia. Nak tak nak, Haifa perlu telan semua bicara kasar Nadhir. Sejak dia mengenali Nadhir, lelaki itu memang kasar bila marah. Kalau dah hilang amarah dia, lelaki itulah paling penyayang.
Ini yang orang kata, untuk menerima seseorang sebagai pasangan hidup... kita perlu terima baik buruk pasangan kita. Manusia itu tidak sempurna.
Begitu juga Nadhir. Haifa perlu terima kekurangan Nadhir seperti mana Nadhir terima kekurangan dirinya.
“Tak cukup ke dengan aku ada dekat sini?” Wajah Nadhir sudah keruh. Baginya, permintaan Haifa terlalu melampau. Dia ada dekat sini dah cukup baik. Kalau ikutkan, nak saja dia balik sekarang. Kalau tak kerana mereka berada di tempat awam, memang dia dah lama berambus.
“Tak. Tak cukup, abang. Ifa nak abang teman Ifa dan layan Ifa baik-baik. Sampai bila abang nak marahkan Ifa lagi?”
Setitik demi setitik air mata Haifa tumpah. Segera telapak tangan menekup cairan tersebut. Hari ini emosi dia tak mampu dikawal dengan baik.
Sudu diletakkan ke atas meja. Haifa sudah tidak punya hati hendak makan. Pinggannya masih tak bersentuh. Hanya sempat menikmati satu dua suap saja.
“Sampai bila-bila.”
Mahu saja Haifa menjerit.
Air mata yang baru dihapuskan bukti mula membanjiri seluruh wajah. Tak betah dengan pandangan cikgu-cikgu, Haifa membawa diri ke tandas. Wajah dibasuh. Dia tak mahu orang mencanang cerita tentang dia dan Nadhir.
Haifa cuba tenangkan diri. Acap kali dia memujuk diri untuk ikutkan perasaan sendiri. Dia mahu jadi air kepada api. Dia tak mahu hubungan mereka terus begini. Tapi, kenapa tiap kali dia cuba menjadi air, akhirnya dia menjadi kertas yang dibakar sehingga tinggal abu?
Kepala yang mula berdenyut-denyut dipicit.
Di dewan makan, Nadhir capai bekas polisterin sebelum makanan Haifa yang masih penuh dan diisi ke dalam bekas polisterin. Air yang dihidangkan oleh Haifa diteguk sehingga habis. Yang milik Haifa pula diminta makcik kantin bungkuskan.
Pandangan Nadhir beralih ke tandas guru yang dekat dengan kantin. Lama dia menanti Haifa untuk keluar tetapi masih kelihatan.
Entah mengapa Nadhir rasa rimas dengan kehadiran Haifa. Nampak muka Haifa pun dia tidak boleh. Kerana itu lidahnya lancar saja meluncurkan kata-kata yang tidak sedap didengari.
Inilah masalah mereka berdua yang bagi Nadhir, tak menjadi kewajiban untuk dia fikirkan. Biarlah Haifa nak terus makan hati. Dia malas nak fikir. Dia jadi begini pun sebab Haifa juga.
Bukan itu saja. Rizuan yang sememangnya menjadi pesaing sejak dari zaman universiti lagi tak habis-habis nak cabuli hak dia sebagai suami. Mentang-mentang Haifa dikatakan rapat juga dengan dia pada waktu dulu, tak bermaksud Rizuan berhak melayan Haifa sebagai seorang kawan lagi. Kalau ya pun nak cakap dengan Haifa, biar depan dia. Biar dia ada dan dengar sekali.
Serabut dengan segala masalah, Nadhir mula mengambil langkah pergi. Bekas polisterin dan jus oren yang sudah siap dibungkus dibawa bersama.
Di kubikel mejanya, mata Nadhir menangkap kuntuman bunga yang terletak elok di atas meja. Spontan dia gapai.
Tiga kuntum tulip putih. Bukan bunga mawar.
Nadhir tahu makna bunga ini.
Tulip putih bermaksud kemafaan.
Dia bukan mamat romeo yang suka berpujangga tapi disebabkan obsesi Haifa terhadap bunga mempengaruhi dia untuk memahami setiap maksud bunga.
Bunga adalah satu komunikasi antara dia dan Haifa yang terlalu istimewa. Sejak dari zaman bercinta, bungalah yang menjadi perantaraan. Marah, rindu mahupun meluahkan rasa sayang. Bunga sudah cukup untuk menyampaikan perasaan itu.
Kepingan kertas yang diselitkan diambil dan dibaca.
Ifa minta maaf.
Spontan rasa radang yang sudah lega kembali mendidih. Kertas itu dironyokkan sebelum dibuang. Nadhir terus mengemas mejanya dan terus punch card untuk balik. Bunga Haifa dibawa bersama.
Kebetulan dia bertembung dengan Haifa di depan pejabat, terus dia mengarah.
“Masuk kereta kau sekarang.”
Tak menunggu jawapan Haifa, lelaki itu sudah berjalan pantas. Kereta Bezza Haifa menjadi destinasi. Haifa di belakang terkial-kial mengejar langkah besar Nadhir. Termengah-mengah dirinya.
Sebaik punat kereta ditekan, Nadhir gantung makanan Haifa yang dibungkus. Bunga pula dicampak terus ke tempat duduk, mengelukan lidah Haifa yang melihat. Wajahnya berubah mendung.
“Cukuplah dengan bunga-bunga ni. Tak payah nak bagi aku lagi. Kau memang nak semua orang tahu ke masalah kau dengan aku? Sukalah nak canang aku ni suami dayus, macam tu?” hambur Nadhir.
“Tak abang. Bungakan bahasa istimewa kita...”
“Cukuplah Haifa. Cukuplah aku masih bela kau. Cukuplah aku masih jaga makan minum kau. Boleh tak kau jangan cuba nak hidupkan api kemarahan aku lagi? Atau kau memang suka aku terus-menerus marahkan kau? Kau memang suka ke hadap kebencian aku?” Berderu-deru amarah yang dilepaskan Nadhir. Sempat kakinya menendang tayar kereta, melepaskan rasa radang yang tak susut.
“Sekurang-kurangnya Ifa dapat bercakap dengan abang walaupun abang tengah marah.”
“Sudahlah, Haifa. Baik kau balik ajelah. Harini aku tak balik rumah. Pastikan pintu dengan pagar berkunci sebelum masuk rumah.” Nadhir berura-ura hendak masuk ke dalam perkarangan sekolah. Keretanya diparkir di dalam.
“Harini hari Sabtu. Abang patut balik rumah kita.”
Langkah Nadhir mati. Dia lepaskan keluhan.
“Kau dah lupa ke apa yang kita persetujui?” Nadhir memeluk lengan sendiri. Matahari yang terik atas kepala memaksa dahinya berkerut-kerut.
Haifa kemam bibir.
“Sorry, Ifa lupa. Ifa balik dululah kalau macam tu.” Tangan Nadhir dicapai dan dikucup sekilas. Haifa memboloskan diri ke dalam kereta sebelum memecut pulang.
Sepanjang perjalanan, hatinya hiba.
Malam ini dia tidur tanpa suami di sisi. Isteri mana saja yang tak terasa? Ada suami tapi tidak di sisi. Bukannya Nadhir perlu ke luar negeri pun. Masih di dalam daerah sama tetapi bukan rumah yang sama.
Disebabkan mak mertua Haifa, Azian tidak berapa sihat, terpaksalah Nadhir tidur di sana hari ini.
Mahu saja Haifa katakan dia hendak ikut serta ke rumah Azian tetapi apakan daya. Hubungan dia dengan Azian pun tidak berapa nak ngam. Lebih baik dia beralah dari terus memberi tekanan emosi kepada Azian.
Kereta Bezza milik Haifa selamat masuk ke garaj. Tak mematikan enjin kereta, lebat air mata yang menghujani wajah Haifa. Mata memerah ditenyeh berkali-kali manakala hidung yang pedih ditekan-tekan.
Haifa cuma mahukan Nadhir. Dia dambakan suaminya di sisi saat ini. Keterlaluan sangat ke permintaan dia?
Bunga tulip yang sudah patah batangnya diambil. Bunga itu dipeluk rapat ke dada. Takkan pernah hilang ayat yang Nadhir tuturkan pada dia sebentar tadi.
Nadhir tak lagi sukakan bunga. Nadhir sudah lupa bahasa istimewa mereka.
Bungalah yang selama ini menjadi perantaan cinta mereka tapi baru sebentar tadi bunga ini dicampak jauh. Perbuatan Nadhir seolah-olah membuang sebaris namanya dari hidup lelaki itu. Itu yang Haifa rasakan.
Selama ini, tidak pernah lagi dia saksikan dengan mata kepalanya bunga dibuang.
Hari ini Nadhir buat sejarah.
Tubuh terasa berat sangat. Haifa hembus nafas berat. Plastik berisi bekas makanan dicapai sebelum dibawa keluar. Bunga dan plastik diletakkan ke atas meja. Bunga tulip itu Haifa keluarkan sebelum diletakkan dalam bekas kosong yang berisi air.
Biarlah kalau Nadhir tak suka. Haifa tetap mahu bunga itu hidup. Memang akan layu suatu hari nanti tapi untuk beberapa hari, Haifa mahu lihat bunga ini.
Bekas polisterin dibuka. Rasa hiba tadi kembali menjengah.
Bagaimana dia hendak membenci Nadhir? Dia takkan pernah mampu.
Seteruk-teruk perangai Nadhir, lelaki itu tak pernah lupa untuk jaga kebajikan dia. Nadhir seorang yang prihatin semula jadi. Marah-marah pun masih teringat akan dirinya yang tak sempat makan tadi.
Nadhir seorang lelaki yang komited dengan tanggungjawab biarpun ada pemisah antara mereka.
Telapak tangan Haifa basah dengan air mata. Tersendu-sendu dia mengenangkan Nadhir.
Dengan rasa lelah, Haifa gagahkan diri untuk menjamah. Biarpun tanpa suami di sisi.
Hai semua! Preorder dah dibuka! Harga tengah murah, jemputlah beli. Boleh berurusan dengan admin di nombor yang tertera. Nak lagi mudah, tekan link di bio. Nak beli dekat shopee pun boleh, link di bio tau!
Cepat grab. Jangan tahan-tahan. Nak tahu Nadhir ni insaf ke tak, kena grab sekarang! Preorder hingga 7 Julai sahaja tau sebelum harga jadi mahal.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro