BAB 5
Ketukan bertalu-talu di pintu membuatkan Zaed Akram yang baru saja melangkah keluar dari bilik mandi sedikit kalut. Menyumpah sendiri, dia terkocoh-kocoh menyarungkan seluar.
Baru saja cadangnya nak melelapkan mata dan merehatkan tubuh yang lesu setelah seharian menempuh perjalanan memenatkan. Nampaknya niat itu terpaksa ditangguhkan dulu meskipun matanya mungkin tak akan bersetuju.
"Kejap!" laung Ed dari dalam bilik.
Rambutnya yang basah dilap sekali lalu dengan tuala sebelum tuala tersebut dicampak ke dalam bakul baju kotor yang hanya menanti masa untuk dihantar ke dobi. Tidak peduli lagi untuk melihat refleksinya di cermin, dia bergerak ke almari lalu mencapai sehelai T-shirt dan melangkah ke ruang tamu dengan hati yang membara.
Ketukan tersebut semakin kuat dan galak, membuatkan darah Ed mendidih.
Sama ada sesiapa saja yang berada di luar sana tak dengar laungannya tadi atau memang sengaja mahu mencari pasal seawal jam 2 pagi begini.
Dia mendengus. Pintu ditariknya dengan kasar.
"Bahagian mana tentang 'kejap' yang kau tak..." Kata-katanya dimatikan oleh rasa tak percaya yang menggunung. Hilang terus rasa mengantuknya, terbang melayang entah ke mana. Effect yang lebih hebat daripada secawan kopi mahu pun Nescafe.
Matanya digosok beberapa kali untuk memastikan dia benar-benar tak bermimpi.
"Helo, Ed." Lelaki tinggi lampai tersebut tersenyum nakal. Senyuman yang selalu dikenakan apabila dia sedang memikirkan sesuatu yang bakal membawa masalah, senyuman yang membuatkan Ed teringat terus kepada berpuluh-puluh rancangan jahat yang pernah mereka jalankan bersama.
Tapi kali ini, senyuman itu mungkin kerana lelaki itu sedar usaha kecilnya untuk menaikkan darah Ed tadi berjalan dengan penuh jayanya.
"Well, I'll be damned. Kuzer Harmy is back." Ed ketawa, menggeleng seolah-olah masih tak percaya dengan kepulangan teman baiknya itu.
Jay turut sama ketawa.
"The one and only. Boleh tak sekarang kau benarkan aku masuk atau kau nak tengok kad pengenalan aku dulu?" ujar Jay, mendepakan tangannya seakan-akan sudah bersedia untuk diperiksa.
"Maaflah, bro. Aku masih lagi terkejut. Kau tahu kau ada kesan macam tu ke atas orang. Masuklah, buat macam rumah aku." Ed bergerak beberapa tapak daripada muka pintu untuk memberi ruang kepada Jay menapak masuk.
Menutup pintu, dia berjalan membuntuti Jay ke ruang tamu.
"Oh... By the way, kau pakai baju terbalik," komen Jay dengan bersahaja seraya menghenyakkan punggungnya di atas sofa.
Matanya dibiarkan melata di sekeliling ruang rumah Ed yang tampak kemas dan cantik dekorasi dalamannya. Bersesuaian dengan personaliti temannya itu yang amat mementingkan penampilan.
Sesuatu yang membezakan mereka berdua sebenarnya.
Kuzer Harmy lebih ringkas dengan hanya mengenakan jean serta jaket, manakala Zaed Akram pula takkan dapat dipisahkan daripada Bottega Veneta atau pun Christian Louboutin untuk melengkapkan imejnya sebagai anak seorang naib canselor merangkap penganalisis kewangan.
Penampilannya dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki sentiasa kemas dan rapi. Rambutnya tak pernah dibiarkan panjang walau seinci, wajahnya tak pernah dibiarkan tak bercukur dan pakaiannya sentiasa padan sehingga kadang-kadang Jay terfikir tentang modul apa yang diterapkan di rumah oleh bapa Ed, Profesor Madya Datuk Dr. Zakiy Hassan.
"Bila kau balik?" soal Ed.
"Dua hari lepas. Ed, aku harus cakap yang aku bangga dengan kau. Dah ada syarikat sendiri, rumah sendiri. Aku sentiasa tahu kau berbakat besar."
"Kau menyindir atau memuji? Syarikat IT kecil-kecilan saja. Tak ada apa yang nak dibanggakan pun. Mana kau tahu aku tinggal kat sini?"
Jay memandang Ed, tersengih nakal.
"Aku tanya adik kau, Zakri."
"Kau telefon adik aku kat asrama sana nun? Keluarga kau tinggal dekat aje, tak payah nak dramatik sangat sampai perlu telefon Zakri kat Perak."
"Now, now, where's the fun in that? Aku beritahu kerani sekolah tu yang aku ayah kau dan aku perlu bercakap dengan Zakri segera. Bukan salah aku kalau mereka terlalu mudah percaya. Oh ya, aku mungkin ada ugut adik kau sikit tapi sebab aku tak nak dia buka mulut depan keluarga kau tentang kepulangan aku." Jay berkata. Riak kebosanannya membuatkan tawa Ed meletus.
"Jay, kau masih tak berubah. Otak bergeliga kau tu kalau digunakan untuk business, mesti dah jadi jutawan." Dia bergerak menuju ke dapur, menghilang di sebalik kegelapan yang menghiasi segenap ruang rumah.
"Business apa, skim cepat kaya? Aku mungkin ada bakat mengenakan orang seperti tu."
Kembali bersama dua botol air mineral di tangan, Ed menghulurkan sebotol kepada Jay dan mengambil tempat di sofa berhadapan dengan lelaki itu.
Pertama kali dia mengenali Kuzer Harmy adalah ketika mereka berdua berumur 13 tahun. Sejak itu, mereka menjadi kawan rapat dan Ed turut terlibat sama dalam apa juga yang ada di dalam kepala gila Jay.
Namun berbeza daripada temannya itu yang seolah-olah tak punya batasan dan gemar merencana, dia lebih senang mendengar dan kalau rancangan tersebut dirasakan keterlaluan, sama ada dia cuba menghalang atau menjauhkan diri sehingga semuanya selesai.
Tetapi selalunya dia akan berusaha memujuk Jay keluar daripada semua idea gila tersebut. Satu usaha yang tak pernah membuahkan hasil apabila berdepan dengan kedegilan tahap kepala batu manusia bernama Kuzer Harmy.
Pada pendapat papa, Jay memerlukan pemulihan serta terapi namun bagi Ed, lelaki itu hanya memerlukan kasih sayang, perhatian dan persahabatan.
Persahabatan... Yang mana sekarang sedang berdiri di atas landasan yang cukup rapuh apabila mengenangkan hal yang dia pasti belum sampai ke pengetahuan Jay.
"Untuk sesuatu seperti tu, kau perlukan penolong yang sama handal dalam hmmm... Memutar kebenaran," gurau Ed.
Jay menjongket kening.
"If you're referring to Lily Nadira, forget it. That little Barbie doll is engaged." Segaris kekecewaan singgah ke wajah itu dan walaupun seketika cuma tapi sempat ditangkap jelas oleh mata Ed.
Kekecewaan yang benar wujud dalam hati makhluk pentingkan diri yang tak suka dikalahkan oleh perasaan.
Dia tahu semuanya yang terjadi antara dua manusia tersebut dan hubungan mereka sesungguhnya tak normal. Jay dan Lily merupakan gandingan sama padan, bukan saja dari segi fizikal tetapi juga mental. Cara mereka berfikir hampir sama dan keupayaan mereka memutar belit keadaan tak perlu dipertikaikan. Itulah yang terjadi apabila terlalu banyak menghabiskan masa dengan satu sama lain, hasil 16 tahun persahabatan.
Dia sendiri mengenali Lily melalui Jay.
Kalau ada perkara yang betul-betul penting buat Kuzer Harmy selain dirinya sendiri, perkara itu adalah Lily Nadira. Kerana itu dia pasti ramai terkejut apabila Jay memilih untuk menghilangkan diri selama beberapa hari sebelum pernikahan mereka.
"Yup, aku ada dengar. Apa perasaan kau? Errr... Maksud aku, memandangkan kau dengan dia rapat dulu." Ed berdehem. Botol air mineral itu dicapai lalu diteguk sekali, membasahkan tekak yang tiba-tiba terasa kering.
Cuaca malam ni memang panas atau itu perasaan dia semata? Fuh!
"'Rapat' tu mungkin perkataan yang agak longgar. Kami hampir berkahwin, Ed. Apa pun, kau tahu siapa tunang dia?" Jay menyoal, wajahnya kelihatan benar berminat untuk tahu.
Mata Ed membulat.
"Eh?! Manalah aku tahu. Jarang berbual dengan Lily. Masing-masing sibuk. Lagipun, pelik pula nak berborak bila kau tak ada." Alat kawalan TV di sisinya dicapai dan tanpa sebab, televisyen dihidupkan. Sengaja mahu mengalihkan seketika perhatiannya daripada Jay yang sedang membuat pertimbangan sendiri.
Buat masa sekarang, menonton adegan Gerald Butler dan Katherine Heigl yang sedang bertekak mempertahankan pendapat masing-masing dalam The Ugly Truth lebih baik daripada melayani soalan-soalan Jay berkaitan Lily serta tunangannya.
"Pelik," ujar Jay, membuatkan dahi Ed berkerut. Nyata kurang senang dengan reaksi temannya itu.
"Apa yang peliknya? Kau tinggalkan dia lama, Jay. Memang melampaulah kalau kau harapkan dia untuk tunggu kau selepas semua tu. Like any normal human being with sound minds, she moved on. So should you," ujar Ed satu per satu supaya jelas di pendengaran Jay. Wajahnya itu direnung, cuba untuk menebak apa saja yang ada dalam fikiran lelaki tersebut.
"Pelik sebab Lily tak nak beritahu aku siapa tunang dia, dan kau pun sama. Hmmm, anyone I know?"
"Ya Allah, Jay. Aku bukan tak nak beritahu kau tapi aku tak tahu! Jangan nak mengarut boleh tak? Lagipun, siapa saja tunang Lily tak ada kena-mengena dengan kau. Kau Kuzer Harmy dan kau boleh dapat sesiapa saja yang kau nak." Suara Ed meninggi.
Dia bangun daripada sofa, sengaja mahu mewujudkan sedikit jarak antara mereka berdua. Terasa mula dihimpit oleh aura gelap Jay yang kembali muncul, membuatkannya lemas dan rimas.
Ed tahu apa yang ada dalam fikiran Jay ketika ini dan memikirkan itu saja sudah buat dia sesak nafas.
Dia kenal benar Kuzer Harmy dan menyerah kalah dengan mudah bukan perangainya. Kalau dia mahukan jawapan, memang itulah yang akan dicarinya tak kira apa juga cara serta harganya. Salah satu kesukaran apabila berurusan dengan orang seperti Jay adalah rasional tak pernah menang kerana dia langsung tak peduli.
"Aku tak berminat dengan siapa-siapa, tak punya perasaan pun untuk itu. Tapi... Aku berminat nak kenal dengan tunang Lily. Jangan risau, aku budak baik sekarang. Takkan buat benda-benda bodoh macam dulu lagi." Jay membasahkan bibir sebelum menambah.
"Aku pasti dia seorang yang sangat membosankan."
Senyuman yang kini terukir di bibir Jay membuatkan Ed kecut perut.
"Mungkin, sebab tu Lily tak nak beritahu kau. Dia tak nak kau gelakkan pilihan dia atau dia tak nak kau buat masalah. Lily kawan kita, belajar respek keputusan dia. Lupakan saja, tak penting pun." Dan dia tak pasti kalau Jay mendengar kata-katanya kerana lelaki itu kini sedang sibuk membelek sesuatu di telefon bimbitnya.
Melemparkan alat kawalan jauh ke atas sofa, Ed meraup wajahnya dengan kasar. Dia menarik nafas.
Jika Jay sudah mula berlagak seakan-akan dia tak wujud, maknanya lelaki itu sedang merancang sesuatu dan sebarang rundingan tak akan diterima atau pun diambil kira lagi. Perkara yang kerap dilakukan Jay sekiranya dia tidak mahu dileteri dengan poin-poin serta hujah yang dirasakan tak penting dan membuang masa.
Hantu kau, Jay! Ed mengetap bibir.
"Jay, apa tujuan kau balik sini?" Dia bertanya, kali ni nadanya lebih serius menuntut perhatian.
Jay mengangkat muka, membalas renungan Ed dengan sedikit rasa kagum.
"I didn't know you had a temper, Zaed Akram. Impressive." Keningnya dijongketkan, masih lagi mahu menyakat.
"Jay..." Ed mengeluh berat.
Sejujurnya dia senang apabila Jay sudah kembali tapi sekurang-kurangnya dia perlu tahu tujuan kepulangan lelaki tersebut supaya dia dapat bersedia dengan apa juga yang bakal berlaku.
"I belong here. My life, my story will end here." Satu jawapan tenang daripada seseorang yang dulunya tak pernah punya perasaan.
Jawapan yang buat Zaed Akram terus kematian kata.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro