Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 2

Lelaki itu tersenyum sendiri, senang melihat gelagat tuan puteri yang baru terjaga daripada lena yang sungguh nyenyak. Sedikitpun tidak menyedari kehadiran manusia lain bersamanya yang sedang merenung dengan penuh minat tatkala wanita itu mengomel memarahi diri kerana tertidur sehingga ke lewat petang begini.

Rambutnya yang melepasi bahu itu ditocang meskipun ikatannya tidak kemas, membenarkan beberapa juraian jatuh mengelus pipi.

Perutnya sekali lagi melonjak gementar seperti tadi apabila dia menghampiri pekarangan rumah milik Lily Nadira. Terasa seolah-olah berada pada zaman remaja semula dan walaupun dia tak suka mengakuinya tapi Ermeelia benar.

Perasaan itu masih wujud.

Aduh! Kalau dengan orang lain dia sedikitpun takkan terkesan, tapi tidak dengan wanita ini. Namun tiada yang menghairankan kerana Lily Nadira sentiasa berbeza daripada yang lain, cukup unik kepada dirinya.

"You'll make a great Sleeping Beauty but we both know that being a princess is not really your cup of tea," sapaannya membuatkan wanita itu terjerit kecil. Hampir terlompat sebelum laju saja dia menoleh. Kedua-dua belah tangan mulusnya digenggam erat, bersedia untuk mempertahankan diri daripada apa juga jenis serangan.

Namun, segala gerakan si gadis terhenti sebaik saja pandangannya mendarat kepada suara tadi. Sepasang mata bulatnya merenung tanpa berkedip, seolah-olah tak percaya pula dengan kewujudannya di situ.

Untuk beberapa ketika, pandangan mereka menjadi satu.

Segala kenangan serta kisah yang pernah wujud antara mereka berputar kembali bagaikan rakaman yang tak pernah luput. Masih jelas dan segar dalam ingatan seolah-olah masa tak pernah berlalu walau sesaatpun dan mereka masih di zaman remaja yang tak membanggakan. Penuh dengan akal tak matang yang hanya membawa masalah.

Lelaki itu bangun daripada duduknya dan mula mengatur langkah dengan rentak yang cukup perlahan. Rentak yang sengaja diambil untuk mendera perasaannya dan mungkin juga perasaan Lily yang masih membatu tanpa sebarang kata.

Terkejut benar nampaknya.

"Lily." Meluncur laju nama itu daripada bibirnya, tetap tenang walhal kekalutan yang beraja dalam hati, hanya Tuhan saja yang tahu.

Lily menelan liur yang tersekat di kerongkong. Nafasnya terasa sesak. Bertentang empat mata dengan manusia yang bernama Kuzer Harmy, menghadap keangkuhan menggunung ditambah pula dengan ketenangannya yang tak tercarik. Argh, percaturan yang terlalu kejam!

Berbagai-bagai perasaan menghimpit sehingga untuk berdiri begitu saja sudah terlalu menyakitkan.

Empat tahun dan sekarang dia tiba-tiba muncul. Nampaknya kegilaan Kuzer Harmy tak pernah berkurangan walaupun satu darjah.

Ugh, memang tak guna! Namun yang pasti, Lily Nadira tak mahu kelihatan lemah apabila berhadapan dengan lawan seperti Jay.

"Well, well, well, if it isn't the runaway groom." Membasahkan bibir, Lily berkata sinis. Matanya mencerlung merenung tatkala ketawa lelaki itu meletus, membingitkan telinganya.

"Glad you could still remember me. Apa khabar?" Tidak mempedulikan sindiran Lily, dia mengambil beberapa lagi tapak ke hadapan supaya kali ini dia terus berdiri tepat di hadapan wanita itu.

"Selepas apa yang kau dah buat, 'lupa' tu perkataan yang cukup besar. Kau nak apa, Jay? Siapa yang benarkan kau masuk?" sela Lily, pantas. Tidak mahu membuang masa barang seminit pun untuk mukadimah yang tak punya nilai.

Dia bukan bodoh dan Kuzer Harmy bukan orang asing kepadanya. Segala lakonan serta helah raksasa ni sudah dapat dijangka.

"Aku kan kawan lama kau, tentulah pembantu rumah kau benarkan aku masuk. And as for why I am here, isn't it obvious? I miss you, Lily." Memang sengaja Jay memilih respons sebegitu. Terlalu lama menghabiskan masa bersama sehingga dia tahu jelas 'butang' mana yang perlu ditekan untuk menaikkan darah wanita itu. Dan tidak ada yang lebih menyeronokkan daripada melihat Lily cuba menahan marahnya daripada meletus seperti gunung berapi aktif.

Lily mencebik seraya mengambil beberapa tapak ke belakang, mencipta kembali jarak antara mereka. Berterusan berada terlalu hampir dengan Jay hanya tambah membuatkan kepalanya berserabut dan Lily sendiri yakin, Jay tahu jelas akan hal tersebut. Lelaki ini terlalu mahir mempergunakan kelebihan yang wujud. Cis!

Dia mendongak dan pandangan mereka sekali lagi bertaut.

Empat tahun berlalu dan tak ada perbezaan ketara antara Jay yang dikenalinya dulu dengan yang sedang berdiri di hadapannya kini. Tentu saja manusia sama yang telah menghancurkan hatinya.

Lelaki itu masih dengan jaket, T-shirt serta jean pudar. Rambutnya yang kini mencecah kolar baju disisir kemas, mewujudkan keranggian tersendiri. Ditambah pula dengan kulit sawo matang yang menunjukkan dia masih lagi gemar bersukan, sepasang mata yang tajam merenung serta tulang pipi yang merupakan salah satu aset termahalnya, Kuzer Harmy merupakan bukti kukuh sebuah kematangan dan gabungan genetik yang baik.

"See anything you like?" Usikan Jay membuatkan muka lantas Lily bertukar panas.

Terasa kerdil dan bodoh kerana memberi peluang kepada Jay untuk mengenakannya. Entah apa pula kerjanya dia meneliti rupa makhluk yang satu ni. Hish!

"Tak ada apa tentang diri kau yang menarik. In fact, you disgust me! Hampir setengah dekad dan baru sekarang kau nak tunjuk muka? Oh please, Jay. Apa pun permainan gila kau, simpan saja. Aku tak berminat. Now get out of my house!" Suara Lily meninggi, membenarkan marah mengambil tempat. Marah yang lebih ditujukan kepada diri sendiri kerana terlalu mudah berasa selesa dengan kewujudan Jay di situ.

Apa yang sepatutnya dia lakukan ialah mencakar ketenangan yang menghuni wajah itu, bukan mengagumi kelebihan yang dimilikinya. Haish, Lily Nadira!

Jay diam dan untuk seketika, Lily pasti dia dapat melihat rasa bersalah singgah ke wajah tenang itu.

"Aku tahu apa yang aku buat dulu tak..."

"No, you don't know anything, Jay. Tak apa, biar aku jelaskan supaya kau lebih faham. You've completely humiliated my family, humiliated me! Kau buat aku rasa tak ada nilai langsung. "

"Come on, it can't be that bad."

Spontan, tangan Lily mencapai mug berisi Milo di atas meja lalu dicurah isinya ke muka lelaki itu. Bibirnya diketap geram, hatinya membakar dengan amarah.

"Kalau kau fikir tindakan kau dulu takkan beri sebarang kesan, nampaknya kau lagi gila daripada apa yang aku sangka."

Jay meraup wajahnya yang mula melekit akibat 'serangan' kecil Lily sebentar tadi.

Memang dia layak menerima apa saja bentuk kemarahan wanita itu dan dengan kelancangan kata-katanya tadi, dia layak mendapat balasan yang lebih teruk lagi sebenarnya.

"We were a mess back then. Marriage won't make things better. We were so young and selfish and... And corrupted. Aku... Aku..." Dia menghela nafas, kehilangan kata-kata untuk menjelaskan.

"Whatever, Jay. Kalau kau nak jadi pengecut, jangan heret aku sekali. You're incapable of loving anyone else but yourself. I should have known better," bidas Lily.

Berdesing telinga Jay. Sememangnya dia tahu kebolehan wanita itu untuk menyakitkan hatinya dan dia sepatutnya lebih bersabar, tapi kata-kata Lily itu terlalu pedih. Orang lain boleh memikirkan apa pun tentangnya, mencipta berbagai-bagai fakta sendiri tapi Lily Nadira tak ada hak itu.

Bertahun-tahun bersama dan itu pandangan Lily terhadap dirinya selama ni? Yang dia tak mampu untuk menyayangi orang lain?! Jadi, selama ini hatinya itu diberikan kepada siapa, huh?!

"Keputusan tu untuk kita berdua. Kalau kau berkeras tak nak faham, itu hak kau. And for your information, I did meet someone that I really care about after I left."

Lily terdiam.

Jantungnya terasa seperti mahu meletup, wajahnya mula membahang.

Apa mungkin untuk kesakitan itu berganda? Dia yakin sudah tak ada perasaan lain untuk raksasa bernama Kuzer Harmy ini selain kebencian, mana mungkin untuk dia berasa cemburu.

Cemburu kerana bukan dia orang yang mampu membuka pintu hati Jay untuk belajar menyayangi? Haish Lily, berhenti buat perkara lebih rumit!

"Baguslah. The beast has finally learned to actually care about someone. Errr..." Lily berdehem.

"Aku masuk dulu. Perlu bersiap untuk keluar makan dengan tunang tersayang," ujarnya lagi dengan senang.

Jay mendengus.

"Nampaknya tak ada apa-apa yang berubah. You're still a good liar I must say. Tunang, Lily? Seriously?"

Laju saja Lily menggeleng. Matanya tiba-tiba bersinar kerana kali ini, dia sudah punya jalan untuk menunjukkan kepada Jay si bongkak yang dirinya sudah tak ada apa-apa makna kepada Lily Nadira. Hanya sebuah kisah silam yang perlu dilupakan.

"Ops, kau memang kenal aku, Jay. Aku memang menipu. Apa boleh aku cakap, bad habits die hard. Tapi satu-satunya yang aku tipu adalah tentang keluar makan tu. Yang lain semua benar. I'm engaged... to be married." Tangannya diangkat supaya Jay dapat melihat sendiri cincin yang kini sudah dua tahun menghiasi jari manisnya.

Dahi lelaki itu berkerut dengan riak tidak senang.

Satu markah kepada Lily Nadira. Tahniah!

"I've moved on, Jay. And you're nothing more than my old high school memory."

Beberapa saat berlalu pergi, diisi sebuah kesunyian yang sarat dengan kedinginan serta kesakitan tersendiri. Masing-masing kehilangan kata-kata, seolah-olah mengakui yang mereka berdua masih mempunyai kesan ke atas satu sama lain dan empat tahun bukan satu tempoh masa yang mampu untuk membunuh perasaan yang sudah berakar lebih lama daripada itu.

"Siapa?" Jay memaksa diri bertanya.

Dia tak layak untuk berasa kecewa sebenarnya. Normal bagi Lily untuk bergerak ke hadapan walaupun dia tak senang mendengarnya. Tambahan pula apabila dia begitu yakin wanita itu takkan mengambil langkah terburu-buru seperti memulakan sebuah perhubungan yang baru setelah apa yang terjadi.

Ah, bodohlah dia kalau dia fikir Lily akan terus menunggunya selepas apa yang dia dah buat! Tak kiralah macam mana sekalipun Jay berusaha untuk membenarkan keputusannya dulu, menghilang hanya beberapa hari sebelum mereka bergelar suami isteri, namun harus diakui, tindakannya itu salah.

Lily mungkin benar, semua tu sekadar alasan semata. Tipikal Jay, melarikan diri seperti seorang pengecut apabila dia mula merasakan tanggungjawab itu terlalu berat buatnya.

"Jay."

"Uh... Ya, bukan masalah aku. Anyway, congratulations. Errr... Kau rasa Ed ada kat rumah tak? Aku ingat nak buat kejutan. Dan ya, sebab aku perlukan tempat untuk tidur malam ni."

"Keluarga kau tak tahu kau balik?"

Jay menggeleng.

"Aku perlukan masa. You know, before they chop me into tiny pieces, a punishment that I so totally deserve."

"Yup, you deserve to be chopped into pieces," balas Lily.

"Oh, maknanya Milo tadi tu hanya pengenalan untuk hukuman lain yang lebih dahsyat?" Gurauan Jay yang akhirnya berjaya membuatkan Lily tersenyum lantas mewujudkan suatu perasaan yang tak dapat digambar. Terlalu sukar dirasakan untuk mengalihkan pandangan daripada terus berlabuh di wajah Lily yang kini sedang tunduk merenung selipar Flip Flops merah jambu yang dipakainya.

Mereka berdua senyap, membuatkan keadaan kembali janggal.

Janggal... Perkataan yang tak sepatutnya wujud antara mereka. Pada dasarnya seolah-olah tak ada apa yang berubah. Lily masih seperti biasa, manis dan berani, dua kombinasi membentuk seorang wanita yang sering menghiasi ruang fikirannya.

Namun kenyataannya, tak ada lagi yang sama. Perit untuk diakui, tapi mereka kini sudah menjadi dua orang asing yang pernah berkongsi sebuah kisah sebelum membawa haluan masing-masing. Terima kasih kepada perbuatan gila dan bodoh manusia bernama Kuzer Harmy yang sememangnya pakar dalam menghancurkan segala macam perkara, terutama sekali hidupnya sendiri.

"Lily, aku minta maaf. Sungguh. Aku tahu aku tak boleh ubah apa-apa tapi..."

"Ugh, aku masuk dulu. Dah lewat ni. Kau tahu jalan keluar, kan?" pintas Lily.

Sebarang penjelasan daripada Jay hanya akan membuatkan mereka lebih lama di sini. Melihat lelaki itu saja sudah membuatkan hatinya sakit, apatah lagi mendengar karangan ayat serta alasan membela diri terbaik yang entah sejak bila disusun.

Terlalu banyak yang mereka lalui bersama dan untuk terus berpura-pura seakan-akan semua itu tak punya sebarang makna memerlukan sepenuh kekuatan. Kekuatan yang pada ketika ini terlalu rapuh dan goyah.

"Bye, Lily."

"Toodles. And Jay..."

Langkah Jay mati dan dia menoleh, mengjongketkan keningnya.

"Welcome home." 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro