BAB 14
Satu malam yang dirasakan terlalu panjang perjalanannya. Hembusan angin menerobos masuk melalui tingkap bilik yang sengaja dibuka bagi memberi peluang kepada ketenteraman malam bertandang. Tiada taburan bintang menghiasi langit hitam pekat itu malam ini, memberi petanda mungkin hujan akan turun membasahi bumi bila-bila masa nanti. Satu rahmat daripada Sang Pencipta.
Lily Nadira berteleku di tepi tingkap, matanya merenung sesuatu yang tak pasti di kejauhan sana. Dirinya mungkin di rumah, cuba memperdayakan jasad dengan pelbagai pujukan supaya berehat padahal fikirannya tak berada di situ.
Tak habis-habis teringatkan Kuzer Harmy. Mesej Lily, dua puluh kesemuanya dan tanpa menerima sebarang balasan. Membuatkan hatinya bertambah gundah.
Terkenang kembali suatu ketika dulu apabila Jay melakukan hal yang sama. Mengasingkan diri daripada semua orang selepas satu pertengkaran besar dengan bapanya. Seminggu berlalu tanpa sebarang panggilan atau pun mesej sehingga dia dan Ed benar-benar risau.
Di seluruh tempat mereka mencari sehingga akhirnya menemui lelaki itu separa sedar di rumah salah seorang manusia yang tak layak dijadikan teman. Manusia yang membenarkan anak-anak muda bermasalah seperti Jay terus tenggelam dengan bantuan pil-pil khayal yang hanya menjahanamkan.
Keadaan Jay ketika itu cukup menghancurkan hati, tapi Lily tak pernah terfikir sekali pun untuk meninggalkannya. Sudahlah lelaki itu tak punya sesiapa yang benar-benar peduli. Kalau dia juga pergi, kepada siapa lagi Jay nak berharap?
Sekarang, dia risau jika perkara yang sama berulang. Jay tak boleh dipercayai untuk menjaga dirinya sendiri.
Ah, sampai bila dia harus membiarkan lelaki itu memanipulasikan perasaannya dengan kerisauan sebegini?
Telefon bimbit yang diletakkan di atas meja solek bergetar, mengejutkan Lily daripada satu perjalanan memori yang masih lagi menyakitkan. Perlahan dia bergerak ke situ, duduk di atas kerusi bulat membelakangi cermin tinggi. Enggan melihat pantulan kesugulan wajahnya sendiri.
Telefon tersebut didekapkan ke telinga. Desahan nafas berat yang kedengaran sebaik saja panggilan itu berjawab seolah-olah memberitahu Lily akan perkhabaran tidak baik yang bakal disampaikan.
"Ed." Dia memanggil lembut, seolah-olah cuba memujuk.
"I've lost him. Aku dah hilang kawan baik aku." Perlahan Ed berkata.
Lily memejamkan mata. Tangannya yang berlabuh di dada mencengkam kuat baju tidur yang dipakai, umpama dapat merasakan dengan jelas kesakitan di dalam sana.
Salah mengatur langkah dan harganya kini adalah sebuah persahabatan.
Kenapa kau terlalu pentingkan diri, Lily? Dia sepatutnya lebih tahu. Apa yang ada dalam benak ni ketika dia menerima lamaran keluarga Ed dulu?
Imaginasinya melampau kalau dia fikir dia mampu hidup bahagia dengan kawan baik kepada lelaki yang pernah disayanginya... Masih disayanginya. Kebahagiaan yang tak mungkin akan hadir tanpa dia menghancurkan hati sesiapa.
"Jay akan lakukan banyak kesilapan kalau dia marah. Aku yakin dia tak bermaksud apa-apa. Persahabatan kau orang cukup penting buat dia." Lily berkata.
"I thought our friendship could withstand anything, but I thought wrong." Diam sejenak seakan-akan Ed cuba meyakinkan diri sendiri dengan kenyataan tersebut. Kemudiannya lelaki itu mengeluh. Kecewa benar kedengarannya.
"Tak apa, aku masih ada kau. Itu pun dah cukup untuk aku."
Kata-kata yang buat hati Lily tersentuh. Kata-kata yang lantas mengikatnya lebih dalam bersama Zaed Akram. Tak ada ruang lagi kini untuk berpatah balik. Dia tak boleh meninggalkan lelaki itu kini.
"Kau nak jumpa? Kita boleh keluar ambil angin, tenangkan fikiran," usul Lily.
"Tak apalah. Aku rasa aku nak tidur saja lepas ni. Keadaan kau macam mana? Aku tahu kau takkan berhenti risaukan Jay."
"Aku risaukan kau orang berdua," balas Lily pantas.
Mereka berdua senyap. Melayani fikiran sendiri, bersama jutaan kata yang tak mampu diucapkan walaupun masing-masing tahu kebenarannya.
"Lily..." panggil Ed.
"Hmmm?"
"Kau rasa semua ni salah kita?"
Dia teragak-agak untuk menjawab.
Sebahagian daripadanya merasakan mereka tak bersalah manakala sebahagian lagi tak henti-henti memarahi diri sendiri kerana mengambil satu keputusan yang meletakkan mereka bertiga dalam keadaan sebegini.
Tapi dia diberikan peluang untuk sekali lagi gembira. Hidup bersama Ed lebih mudah, cerah. Terasa bebas dan ringan tanpa perlu melayani kebimbangan meruntun seperti masa-masanya bersama Jay dulu.
Sesungguhnya dia dalam usaha 'menyelamatkan' Kuzer Harmy daripada raksasa yang bermukim dalam bahagian gelap lelaki itu, dia kehilangan dirinya sendiri. Terlupa tentang kebahagiaan yang sepatutnya dia layak terima.
"Memang salah kita." Ed membuat konklusi sendiri apabila tidak menerima jawapan daripadanya.
Kuzer Harmy adalah masa lalu manakala Zaed Akram pula merupakan masa depan terbaik yang seorang wanita boleh impikan. Putera idaman, menurut Sally.
Lagipun, tak kira apa yang berlaku, berpatah semula ke garisan permulaan demi sebuah kisah yang kabur bukan satu pilihan. Lily takkan mengorbankan kebahagiaannya sekali lagi untuk orang yang tak pernah tahu menghargai.
"Tak, bukan salah kita. Jay memang takkan memudahkan keadaan untuk sesiapa pun." Dengan yakin dia menjawab, tidak mempedulikan rontaan sang hati.
Lampu yang masih menyala menerangi ruang dapur menjadi petunjuk kepada Lily yang ibunya masih belum melelapkan mata meskipun jam menunjukkan hampir ke pukul 11.35 malam. Dia tahu ibu tersayangnya itu akan menghabiskan masa membelek buku masakan atau majalah dekorasi di dapur setiap hari sebelum tidur.
Rutin setiap malam Masyitah yang sentiasa cuba mempelbagaikan jenis masakan untuk syarikat kateringnya. Dia juga gemar mencari inspirasi bagi hiasan pelamin serta ruang dewan melalui majalah-majalah fesyen serta dekorasi terkini. Berada dalam perniagaan sebegini memerlukannya untuk sentiasa peka dengan perubahan dan trend semasa. Kadang-kadang dia juga bertukar pendapat dengan puteri tersayang yang lebih memahami pasaran dan selera orang muda.
"Ibu tak tidur lagi?" sapa Lily, menguntum satu senyuman yang hambar dan kosong. Gelas dari dalam laci kabinet dikeluarkan lalu diisi dengan air kosong di atas meja.
Masyitah mengangkat muka.
"Belum. Ni tengah tengok resipi ni hah. Ingat esok nak cuba masak dengan Meen." Selalunya dia yang memasak dan pembantu rumah mereka tu sekadar menjadi tukang rasa saja. Pengkritik bebas bak kata pembantu tersebut tempoh hari.
Lily mengambil tempat bersebelahan Masyitah. Jari telunjuknya bermain-main di bibir gelas tersebut, sengaja mengalihkan tumpuan sendiri dengan aktiviti tak penting.
"Ada sesuatu nak cerita dengan ibu?" teka Masyitah. Cermin matanya ditanggalkan lalu diletak di atas majalah.
Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak, Lily terus diam.
Tak tahu dari mana harus mula membuka cerita. Risau sekiranya masalah itu akan membuatkan hati ibunya tak senang. Sudah besar panjang tapi masih lagi menyusahkan ibu dengan perihal cintanya yang tak seberapa. Lebih banyak perkara penting yang memerlukan perhatian.
"Pasal Kuzer Harmy?"
Kali ini Lily pantas menoleh, kaget kerana tekaan itu kena tepat kepada sasaran. Terlalu ketarakah kesuraman di wajahnya sehingga ibu mampu meneka dengan mudah?
"Mana ibu tahu?" Dia menyoal.
"Hari tu Meen beritahu ibu ada sorang lelaki datang jumpa Lily. Semalam pula ibu terserempak dengan mama Kuzer. Katanya Kuzer dah balik. Tengok keadaan Lily sejak dua tiga hari ni pun ibu dah boleh faham semuanya." Wajah satu-satu puterinya itu direnung lama. Cuba mentafsir sendiri isi kandungan fikiran anak itu.
Sungguhpun dia dan Hajah Zanariah sudah lama berkawan baik tapi terus terang dia katakan yang Kuzer Harmy sangat mengecewakannya. Dia sentiasa tahu anak muda itu bukan pengaruh baik buat Lily. Puterinya itu menjadi seseorang yang sangat berbeza apabila bersama Kuzer.
Namun begitu, dia tak pernah cuba menjadi penghalang kepada persahabatan yang sudah terjalin ketika masing-masing berusia lima dan tujuh tahun lagi. Mereka berdua membesar bersama sehingga dia merasakan Kuzer sebahagian daripada keluarga mereka. Tambahan pula apabila hubungan kedua-dua anak itu tersangat rapat, menyatakan tempat penting yang wujud dalam hati Lily buat Kuzer.
Sayangnya anak muda itu tak henti-henti membuat masalah, mengheret bersama Lily ke dalam setiap kekalutan. Satu demi satu penipuan terbit dari mulut gadis itu. Penipuan yang pada mulanya dicipta untuk melindungi Kuzer dan kemudian berubah menjadi satu tabiat.
"Dia memang dah balik." Perlahan Lily mengiakan.
"Kuzer dah tahu tentang Zaed?"
Lily mengangguk.
"Jadi sekarang Lily ragu-ragu dengan keputusan Lily tu?"
Zaed Akram, satu-satunya putera Profesor Madya Datuk Dr. Zakiy Hassan hasil perkahwinan pertamanya, merupakan teman baik Kuzer dan juga anak gadisnya ini. Mempunyai pengalaman tersendiri dalam mencipta masalah walaupun tak pernah sekali-kali bertindak di luar kawalan. Namun semua kenakalan itu ditinggalkan jauh apabila dia mula menginjak matang, mula memahami erti sebenar sebuah tanggungjawab. Satu perjalanan yang panjang dan Zaed telah menjadi seorang manusia yang benar-benar membuatkan hati bapanya bangga.
Tapi sejujurnya, Masyitah tak pernah menyangka akan wujud ceritera antara Lily Nadira dan juga Zaed Akram, memahami dengan jelas rasa hormat kedua-duanya terhadap persahabatan mereka bertiga.
Entahlah, mungkin sudah tertulis begitu. Dia atau sesiapa tak dapat menolak. Melainkan kalau anak gadis yang satu ni mula ragu-ragu dengan keputusan sendiri ataupun mempunyai fikiran yang berbeza.
"Lily tak nak lukakan hati sesiapa pun. Memang Lily dah boleh agak Jay takkan dapat terima hal ni dengan mudah. Tak seharusnya Lily perjudikan persahabatan Ed dengan Jay."
"Kita tak boleh puaskan hati semua orang. Cuma Lily kena buat keputusan, hati siapa yang Lily nak jaga." Lembut dan teratur Masyitah memberi nasihat. Sedar dengan kekeliruan yang menghuni jiwa si anak.
Dia tak boleh memberikan penyelesaian bagi masalah itu. Yang dia termampu lakukan hanyalah memberi sedikit panduan supaya Lily mampu mencari jalan keluar sendiri. Dengan cara itu Lily dapat belajar memikul tanggungjawab dan membuat keputusan.
Lily memeluk tubuh ibunya erat, meminjam barang secebis kekuatan dan kedamaian daripada wanita itu.
"Selepas apa yang dia dah buat, kenapa masih juga dia yang Lily dahulukan?" Mengenangkan itu, membuatkan Lily bertambah benci dengan dirinya, terlalu benci. Cuma manusia bodoh dan tak waras saja yang akan terus membenarkan rasa itu berterusan wujud. Seumpama ia satu hukuman sepanjang hayat untuk menyayangi raksasa seperti Kuzer Harmy.
"Dan Ed sangat baik, ibu."
Masyitah mengganguk, menyatakan yang dia benar-benar mengerti. Rambut Lily diusap lembut.
Desahan nafas Lily semakin berat, menyatakan yang dia mungkin akan hilang kawalan jika berterusan berbicara tentang perkara ini.
Kekuatannya semakin rapuh dan untuk terus bertahan tanpa air mata yang sedayanya disimpan. Tak guna sungguh manusia bernama Kuzer Harmy itu. Hati Lily merintih.
"Dia kata dia dah berubah, bukan lagi Jay yang dulu." Walaupun begitu tetap juga dia cuba mempertahankan lelaki itu, tak tahu kenapa.
Dia sungguh mahu percaya yang Kuzer Harmy benar berubah.
"Mungkin kadang-kadang kita tak boleh terlalu menurut kata hati. Tak semua keinginan hati tu baik untuk kita, Lily Nadira." Masyitah mengingatkan.
Lily tidak membalas.
Dalam diam mengakui kebenaran kata-kata ibunya itu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro