Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 13

Sepanjang perjalanan, fokus Jay bukan ke arah jalan raya di hadapan yang tak pernah lengang dengan kenderaan bertali arus. Sebaliknya menerawang jauh bersama perasaannya yang tak keruan.

Tak pernah disangka dia mampu merasa kesakitan sebegini. Bertahun cuba membekukan perasaan dalam usaha untuk melindungi diri, sia-sia cuma kerana ia langsung tak membuahkan hasil.

Kesilapan pertama bermula apabila dia membenarkan manusia lain menetap dalam hatinya sebagai seorang sahabat. Meletakkan mereka di tempat yang cukup penting. Tempat yang tak pernah dibuka untuk sesiapa pun kerana kekurangan dirinya yang tak pernah mampu untuk mempercayai.

Tindakan yang terbukti kini satu kesalahan. Bilalah dia nak sedar sebuah perasaan itu melemahkan?

Memarkirkan Streetfighter 848 merah pemberian abahnya siang tadi, dia terpacak sebentar di situ. Matanya meneliti motosikal 849cc itu di antara rasa percaya dan tak percaya.

Dengan kuasa 132 bhp, motosikal eksotik Itali tersebut merupakan definisi lengkap sebuah gaya dan kepantasan berkelas terbaik. Satu cabaran baru kerana Jay yakin seperti semua rekaan cantik yang lain, motosikal ini juga takkan menjadi sesuatu yang mudah dikawal.

Satu pilihan 'rasuah' yang baik, Tuan Haji.

Kena dengan personalitinya, Jay lebih gemar menunggang motosikal berkuasa tinggi seperti itu daripada memandu kereta. Sesuatu yang sering menimbulkan masalah antaranya dan Lily dahulu.

Wanita itu mungkin sukakan cabaran tetapi membonceng motosikal seperti ini tak pernah wujud dalam kamus hidupnya. Sesuatu tentang tak sesuai dengan penampilannya sebagai seorang gadis feminin lagi lemah lembut.

Hah, betul sangatlah tu!

Menekan butang lif, dia sekadar membalas senyuman seorang wanita yang baru menapak hampir bersama bagasi. Daripada uniformnya, Jay dapat meneka wanita itu seorang pramugari dan baru saja pulang dari bertugas.

"Tinggal sini juga ke? Tak pernah nampak pun?" ramah wanita itu bertanya.

Dan dia tak berminat untuk melibatkan diri dalam sebarang perbualan. Namun sebagai lelaki, harus diakui perempuan tersebut cantik, menarik.

"Tak, singgah rumah kawan," balas Jay.

"I, Nurin. You?" Mata Nurin tak lepas memandang wajahnya seperti juga senyuman mesra yang tak lekang dari bibir wanita itu. Sudah terasa seperti berada di dalam pesawat pula.

Apa cik pramugari ni tak penat ke selepas menempuh perjalanan panjang? Jay berfikir sendiri.

"Hurm, Jay Harmy," jawab Jay seraya mengeluarkan telefon bimbit daripada kocek jaketnya dengan sebelah tangan lagi mengepit helmet. Sengaja berpura-pura sibuk padahal dia sebenarnya cuba mengelak daripada perlu menjawab soalan lain daripada 'teman' barunya itu.

Cantik ke, tak cantik ke, dia tak berminat. Seluruh zaman remajanya dulu sudah digunakan untuk mengejar wanita-wanita seperti ini dan dia lebih matang, begitu juga cita rasanya.

Melangkah masuk ke dalam lif, sikit pun dia tak memandang ke arah pramugari tersebut. Berharap wanita bernama Nurin itu akan faham penolakan sosial halus sebegitu.

Sepuluh tahun terlambat, Cik Nurin. Dia sudah buat satu pilihan suatu ketika dulu dan pilihannya tetap sama kini.

"Girlfriend?" Nurin bertanya, membuatkan Jay tertanya seketika tak memahami. Dan apabila wanita itu menjuih ke arah telefon bimbit di tangan barulah dia mengerti.

Ting!

Jay menghela nafas lega. Terselamatlah dia daripada terus berdepan dengan soalan yang mungkin nanti lebih mendalam.

Sebaik saja pintu lif terbuka, dia segera melangkah keluar.

"Oh, bakal isteri. Taken and not interested." Jay memberikan jawapan. Mengenyitkan matanya apabila riak Nurin berubah merah dengan penolakan terus sebegitu.

Berjalan menuju ke apartmen milik Ed, akal Jay memikirkan tentang apa yang bakal dilakukannya nanti.

Bersikap rasional, Kuzer Harmy.

Hampir pukul 11 malam baru Ed memandu masuk ke kawasan perumahannya. Setelah puas ke sana dan ke mari mencari sahabatnya yang seolah-olah lesap kembali dari radar. Berpuluh-puluh panggilannya tidak berjawab, mesejnya juga tak berbalas.

Macam mana dia nak selesaikan semua ni macam orang dewasa yang waras kalau pihak satu lagi berkelakuan tak ubah seperti kanak-kanak. Merajuk dan sekali lagi melarikan diri?

Apa Kuzer Harmy yang kononnya hebat sangat tu seorang pengecut?

Suis lampu di tepi dinding dipetik sebaik saja kakinya menapak masuk ke ruang rumah yang suram, sama seperti keadaan dirinya ketika itu.

Dia melangkah longlai ke dapur.

Mandi, tidur dan esok, sambung cari Jay. Sekarang tekaknya yang kering ni menjerit-jerit minta dibasahkan dengan segelas air kosong.

Kenapa harus dia yang mengalah dengan...

Jantungnya terasa seperti mahu pecah apabila terpandang susuk tubuh yang sedang duduk di kerusi kaunter, memerhati geraknya sedari tadi mungkin sengaja dibiarkan dalam kegelapan.

"Ed." Suara garau yang cukup dikenalinya itu menyapa.

Berusaha menenangkan diri, Ed menghidupkan suis lampu. Dalam masa beberapa saat saja kawasan itu sudah dilimpahi cahaya daripada lampu berbentuk lentera yang tergantung di atas siling.

Dia mengambil masa dengan meneliti keadaan dapur tersebut sebelum membenarkan matanya jatuh kepada tubuh Jay.

"Nasib baik aku tak ada sakit jantung. Kalau tak, memang aku dah jadi arwah. Kau tentu suka tu, kan?" tukas Ed. Jemarinya melonggarkan tali leher yang dipakai sebelum bergerak melucutkan beberapa butang kemeja corak kekotak birunya.

"Mungkin," balas Jay, mengalih tumpuannya kepada mug yang kini sudah hampir kosong.

"Seharian aku cari kau, Jay. Apa kau tak reti nak jawab panggilan aku? Dah tak tahu menaip mesej?" bebel Ed, sengaja membuang masa daripada membuka bicara terus kepada topik yang sememangnya perlu dibincangkan mereka.

"How's your... Hmmm... Lunch date?" Sindiran halus Jay membuatkan telinganya berdesing. Ikutkan rasa, mahu saja tubuh tinggi lampai itu digoncang-goncang supaya puas hati.

"Sangat matang, Kuzer Harmy. Kau tak perlu susah payah aturkan rancangan macam tu. There's other civil way of letting us know and it's called talking!" tempelak Ed.

"Kita dah cuba tu, ingat tak? Tapi kau tak nak beritahu aku apa-apa. Oh, if you are looking for your pocket knife, it's still in my back. I'm sure you're gonna need it for other future backstabbing." Dia bangun dan bergerak ke ruang tamu. Jaketnya di atas sofa dicapai.

"Kejap, kejap. Kita tak selesai lagi kat sini, jadi kau takkan ke mana-mana." Ed bertegas.

Keadaan senyap dengan ketegangan yang berupaya mencemar udara di sekitar apartmen itu. Dengan Jay berdiri membelakangi dirinya, Ed tak dapat menebak emosi lelaki itu atau pun meneka perkara yang sedang bermain dalam benaknya.

"Kau menghilang macam tu saja, tinggalkan semua orang kat sini dengan satu alasan yang cukup rapuh. Pernah tak kau fikir kesannya kepada Lily?"

Jay tak membalas, masih memilih untuk mendiamkan diri.

"Kau tahu tak betapa terlukanya dia dengan perbuatan pentingkan diri kau tu? Satu-satunya orang yang sayangkan kau sepenuh hati dan kau tinggalkan dia. Sekarang kau marah sebab dia cuba nak mulakan hidup baru?"

"Apa yang aku buat dulu tak ada kena-mengena dengan apa yang kau buat sekarang! Atau kau sebenarnya memang tunggu masa sesuai untuk berlagak hero dan selamatkan Lily daripada patah hati?" bidas Jay, dadanya berombak menahan marah.

Dia berpaling menghadap Ed, mencerlung merenung wajah lelaki itu.

"Ed, kau kawan baik aku dan kau sepatutnya lebih tahu. Dalam banyak-banyak perempuan kat dunia ni, kenapa mesti Lily juga yang kau nak?" Tinggi suara Jay membelah kesunyian. Tak peduli kalau satu kawasan itu mampu mendengar kerana dia memang sakit hati.

"Kenapa kau peduli? Kau dah hilang segala hak untuk berasa cemburu selepas kau tinggalkan dia. Dan kau berdelusi kalau kau balik dan fikir keadaan masih sama macam dulu. Tak seperti kau, manusia berubah. For better."

Ceh, Ed memang sengaja mencari pasal dengannya! Menekan dengan sengaja untuk menaikkan kemarahannya yang bersedia untuk meledak bila-bila masa saja.

Jay mengetap gigi.

"Sebab tu juga kau rasa aku tak berhak tahu perkara sebenar?"

Ed menggeleng.

"Bukan aku tak nak berterus terang, tapi Lily. Dia nak tunggu waktu sesuai sebab dia tahu kau takkan boleh terima. Tak masuk akal tapi dia masih pedulikan kau, Jay. Dan aku hormati keputusan dia tu."

Satu-satunya orang yang sayangkan kau sepenuh hati dan kau tinggalkan dia.

Kata-kata Ed sebentar tadi terngiang-ngiang di telinga.

Satu-satu orang yang mampu mencintai lelaki pentingkan diri sepertinya. Satu-satunya orang yang memahami dirinya, luar dan dalam. Fakta yang nampaknya masih tak berubah. Sehingga amat perit dirasakan apabila dia terlalu hampir untuk kehilangan orang itu sekarang.

Terlalu hampir. Ah, urusan hati memang sesuatu yang menyusahkan!

"Segala yang terjadi antara aku dan Lily, kau takkan faham. Namun seperti opportunist lain, kau terus terkam sebaik saja nampak ruang untuk mencelah. Pasti lebih baik bagi kau kalau aku tak balik terus," desis Jay.

"Itu yang kau fikir, Jay." Ed memicit-micit kepalanya, jelas keletihan. Mental dan juga fizikal. Penat dengan tuduhan tak berasas Jay.

Sesuka hati saja menuduh seolah-olah dia memang sahabat tak baik dan juga licik. Dua sifat itu yang lebih cocok dikaitkan dengan Kuzer Harmy sendiri sebenarnya.

"Aku tak licik macam tu. Tak pernah rancang apa-apa pun. It just happened. Walaupun kau tak suka dengar, tapi aku sayangkan Lily."

"Huh!" Hampir tergelak Jay mendengar deklarasi tulus itu. Buat dia rasa lebih meluat untuk berlama-lama di situ, menghadap wajah Ed.

"Kita kawan dan aku takkan pernah sakitkan hati kau. Tapi untuk hal ni, aku sungguh nak kau faham. Kau boleh marahkan aku tapi jangan libatkan Lily. She's been nothing but good to you."

Lama setelah mendiamkan diri, baru Jay membalas.

"Okey. Aku harap kau bahagia, Ed."

Ed menggeleng laju, sedikit pun tak termakan ketulusan plastik seperti itu. Dia kenal nada suara tersebut dan ia bukan satu ucapan tahniah, apatah lagi menyerah kalah. Cara tersendiri Jay untuk lari daripada berdepan dengan perkara yang menimbulkan rasa tak senangnya.

"Aku tahu kau tak maksudkan tu," ujar Ed.

Tawa Jay meletus, sinis dan tajam mengelus telinga Ed.

"You know me too damn well." Dia berjalan mendekati Ed, mematikan langkah tepat di hadapan lelaki itu.

Masing-masing berbalas pandangan. Ego berlaga, keangkuhan bertembung.

"Memang aku buat apa yang aku dah buat. Takkan cuba untuk nafikan tu dan kau boleh fikir apa yang kau nak fikir tentang aku. Pengecut, pentingkan diri, apa saja tapi bukan hipokrit. Kau tak boleh paksa aku rasa apa yang aku tak rasa."

Satu keluhan berat keluar dari bibir Ed.

"Aku betul-betul sayangkan dia. Satu konsep yang aku yakin cukup asing bagi kau. Dan aku tak harap pun kau faham," ucap Ed, sebelah keningnya meninggi. Sengaja mahu menguji.

Jay menganggukkan kepala penuh dinamis, seakan-akan bersetuju sepenuhnya dengan usul tersebut.

Aku faham, Ed. Lebih daripada yang kau sangka. Sebab sayang aku paksa diri untuk tinggalkan orang yang percayakan aku seluruh hatinya... Walaupun aku tahu dia akan terluka. Sebab sayang jugalah aku rasa dia berhak menerima Kuzer Harmy yang lebih baik, bukan Kuzer Harmy yang ditahan dilokap seminggu sebelum pernikahan kami. Dan kerana Lily sentiasa terima baik buruk aku tanpa ragu. Aku tahu dia takkan faham kalau aku terangkan yang aku perlukan waktu. Waktu sehingga aku boleh tengok diri aku sendiri di depan cermin tanpa rasa kotor. Kalau kau kata aku tak faham, mungkin sebenarnya kau yang tak faham aku. Jay menarik nafas yang tersekat di dada. Emosinya semakin tak terkawal dan dia tak boleh biarkan itu terjadi.

Dia perlu segera beredar.

"Sampai bila kita nak berbahas tentang hal yang sama? This has got to end." Ed berkata.

"Oh, jangan risau. This is the end."

"Of the conversation?" Dahi Ed berkerut.

Mencapai helmetnya, Jay menggeleng. Wajahnya kini merupakan refleksi sebuah ketenangan. Refleksi yang sengaja dipamerkan bagi menutup rasa sebenarnya daripada nampak ketara pada pandangan orang lain.

Biar dia saja yang tahu sakit itu.

"Tak. Our friendship." Dengan tekad Jay berkata.

Kunci rumah lelaki itu diletak perlahan di atas sofa, memberi satu titik penamat kepada persahabatan yang hampir 15 tahun terjalin. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro