BAB 12
Kedua-dua belah tangan Hajah Zanariah menekup mulut, diselubungi rasa terharu dan tak percaya. Sedaya upaya dia cuba menahan air matanya yang mula membanjiri tebing mata daripada mengalir.
Pantas saja ditarik tubuh tinggi lampai itu ke dalam pelukan eratnya, lama. Menghilangkan segala rasa rindu yang memenuhi ruang hati tiap tidur dan jaganya. Rindu seorang ibu kepada anak yang lama menjauh.
Namun begitu, pelukannya tidak berbalas. Anak bujangnya itu hanya membatu tanpa sebarang reaksi lantas mewujudkan kebekuan yang Hajah Zanariah sedar selalu hadir antara mereka.
Pelukannya dilepaskan. Kali ni matanya dibiarkan meneliti anak itu daripada rambut sehingga ke hujung kaki. Menyimpan kemas segala perincian tentang Kuzer Harmy ke dalam ingatan tuanya. Bekalan sekiranya ini adalah pertemuan terakhir mereka dan Jay sekali lagi pergi jauh.
Sudah dewasa anaknya ini. Semakin juga menjauh daripada kedua-dua ibu bapanya. Naluri keibuannya tersentuh.
Sedih apabila mengenangkan masa bersama anak-anak yang dibiarkan berlalu begitu saja. Tak peduli untuk melihat mereka membesar dek kelekaan Juwaidi bekerja dan berusaha untuk menyediakan sebuah kehidupan sempurna buat keluarga mereka.
Dalam pada itu, dia lupa akan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu. Gagal menguruskan keluarganya dengan baik dan dia faham kalau Sheila, Athira atau pun Kuzer berasa marah. Mereka berhak untuk punya perasaan sebegitu setelah dia tak mempedulikan hak mereka sebagai seorang anak.
"Lama mama tak jumpa Kuzer. Sihat?" Tapak tangannya menekap wajah anak itu, matanya melimpah dengan kasih dan rindu.
Satu emosi yang buat Jay rasa janggal dan aneh, seperti dalam drama pula. Tak benar dan lakonan cuma. Dadanya terasa sesak.
26 tahun dan baru sekarang nak tunjukkan kasih sayang. Bukankah dah terlalu lambat untuk itu?
"Sihat. Bersedia untuk terima apa juga bentuk hukuman yang mama dan abah nak jatuhkan." Dia menapak ke belakang menjauhi ibunya sambil mendepakan tangan. Pulang juga dia ke rumah ini yang selama 22 tahun menjadi tempat dia berteduh. Itu pun setelah penat berdebat dengan ketidakrelaan yang merupakan penghalang utama kepada kakinya untuk melangkah ke sini.
Hajah Zanariah menyeka air matanya seraya menggeleng. Bibirnya mengukir senyuman tulus, menjentik tangkai hati Jay.
Namun semudah perasaan itu hadir, semudah itu jugalah Jay menepisnya. Tak perlu dibiarkan berbunga-bunga, kelak bila lakonan ini berakhir, sakitnya dia juga yang menanggung. Terlalu lama mengharapkan kasih yang sebegini daripada mamanya dan kesudahannya, dia juga yang kecewa sendiri.
"Perkara lama. Benda dah jadi pun. Tak ada siapa perlu dihukum atau dipersalahkan," ujar Hajah Zanariah seraya menghulurkan tangannya kepada Jay. Teragak-agak sebentar si anak sebelum hulurannya itu disambut.
Mereka beriringan bergerak ke ruang yang begitu menyerlah dengan dekorasi gabungan moden dan juga vintage. Hasil cetusan idea seorang pereka hiasan dalaman terkenal.
"Abah rasanya tengah hari nanti balik. Makan tengah hari sama-sama?" Hajah Zanariah bertanya dengan penuh pengharapan.
Mungkin masih ada waktu untuk memulihkan semula keluarga mereka. Dia sudah mencubanya dengan Athira dan kemajuan itu ada walaupun terlalu kecil untuk diukur.
Apa lagi yang boleh dilakukannya apabila setiap kali dia mengusulkan untuk mereka menghabiskan masa bersama, ada saja alasan Athira untuk mengelakkan diri. Berlainan pula dengan Sheila yang sentiasa gembira apabila dia berkunjung ke rumah. Banyak ragam anak-anak.
Jay menuntaskan mata ke jam di tangan.
Dia masih punya waktu dan dia seratus peratus pasti rancangannya hari ini akan berjalan dengan lancar. Tak ada apa yang lebih membuatkan hatinya senang selain memikirkan itu.
Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah bertenang dan biarkan rancangan itu berjalan sendiri. Bahagian selanjutnya akan difikirkan nanti.
Jay melabuhkan punggung di atas sofa berukir empuk itu, dia tersenyum.
"Sure. Lama Jay tak dengar abah berleter. Itu pun kalau dia ada masa untuk itu nanti." Tak ada niat buruk kecuali berlaku jujur, tapi entah kenapa sebaik saja ayat itu keluar dari mulutnya, ia kedengaran tak lebih daripada satu sindiran.
Dia perasan itu apabila mama terdiam, hanya tunduk memandang tangannya di atas ribaan. Dan sesungguhnya ketika itu dia rasakan seperti seorang anak yang teruk. Tak adil!
Lily mengerling ke arah jam di dashboard kereta. Hampir ke pukul 1.15 tengah hari, bermakna sudah 15 minit dia lewat. Tak ada lain yang perlu disalahkan kecuali kesesakan trafik, terutama sekali pada waktu-waktu begini. Semua staf turun untuk mengisi perut yang kosong setelah dari pagi menghadap timbunan kerja.
Memarkirkan kereta, dia segera mengeluarkan lip gloss dari tas tangan sebelum pergerakannya terhenti separuh jalan.
Uh, kenapa beria-ia nak bersiap pula ni?! Hish!
Lip gloss tersebut dimasukkan semula ke dalam tas tangan. Walaupun begitu, masih sempat lagi dia memeriksa penampilannya sekali lalu di rear mirror.
Dia menarik nafas dan cuba untuk bertenang. Menghalau segala perkara mengarut yang mengisi ruang benak daripada terus bermukim. Dia perlu bersikap waras, rasional dan profesional yang mana tak pernah menjadi satu kesukaran buatnya.
Dia Lily Nadira, okey! Dilahirkan dengan skil serta kebolehan tersendiri yang tak pernah gagal buat orang kagum.
Lily menggigit bibir.
Barisan ayat itu seperti pernah didengari sebelum ni. Oh, dia dah mula kedengaran seperti Jay! Lelaki itu perlu dijauhi segera, pengaruh yang sangat tak baik.
Langkahnya diaturkan dengan penuh tertib, satu per satu. Sengaja mahu memberi masa kepada dirinya untuk mengarang ayat. Kekalutan yang tercipta tika ini juga ada kaitan dengan Kuzer Harmy.
Setelah semalaman berfikir, akhirnya dia berjaya meyakinkan diri untuk memberikan jawapan kepada soalan yang sering diajukan Jay sejak lelaki itu pulang. Soalan yang nampaknya begitu penting, sama penting juga dengan jawapannya.
Jadi, ajakan lelaki itu untuk berjumpa tengah hari ini akan digunakan sebaik-baiknya oleh Lily.
Mungkin mereka pernah bersama, mengenakan orang dengan plot-plot mengujakan tapi semua tu dah tak penting. Dia bukannya lagi anak belasan tahun dan tentu sekali tak perlukan keseronokan seperti tu. Hal ini tak boleh dibiarkan berlarutan dan mesti dihentikan segara.
Matanya memandang sekeliling ruang restoran itu, mencari kelibat lelaki yang cukup dikenali. Lelaki yang tak lekang dengan jaket, T-shirt serta jean pudarnya.
"Lily?"
Pantas dia mengalihkan pandangan. Jari-jemari kanannya menekup mulut kerana terkejut.
"Errr... Apa... Apa kau buat kat sini?" soal Lily, jelas tak menyangka akan kehadiran manusia lain yang tentu sekali tak termasuk di dalam senarai janji temunya tengah hari itu.
"Apa kau buat kat sini?" Soalan tersebut dikembalikan semula kepadanya.
Mereka berdua serius sedang keliru, terpacak di situ bagaikan tiang lampu bilamana semua pengunjung restoran itu sedang duduk menjamu selera sekali gus mencipta alunan tersendiri apabila garpu dan sudu berlaga.
"Jumpa orang. Kau? Hah, lunch date!" Lily membulatkan matanya, tangannya mencekak pinggang.
Reaksi yang membuatkan lelaki itu tersenyum. Pantas hidung Lily dicuitnya.
"Jumpa orang juga." Dia membalas.
Matanya meliar memerhatikan sekeliling, mencari kelibat si teman yang mengaturkan janji temu. Tapi sudah hampir setengah jam dia menunggu, batang hidung pun tak nampak. Mungkin dia patut cuba menghubungi sekali lagi.
"Okey, serius. Apa kau buat kat sini?" Tangannya ditarik dalam usaha wanita itu untuk mendapatkan kembali perhatiannya yang sedang menaip mesej.
Menghela nafas berat, dia menatap wajah Lily.
"Jay. Dia ajak aku makan tengah hari sama. Tapi mana entah, sedari tadi tak..." Ed terhenti apabila perasan perubahan pada wajah wanita itu.
"Kuzer Harmy?" Lily bertanya, seolah-olah mahu memastikan dengan lebih jelas. Berderau darahnya tiba-tiba.
Ed mengangguk seraya mengunjukkan skrin telefon bimbitnya yang tertera mesej daripada Jay sekitar pukul 11 pagi tadi. Tindakannya itu tambah membuatkan Lily kalut, hampir kepada panik juga.
Dia menghampiri, menyentuh perlahan tangan wanita itu.
"Oh My God! He knows! Ed, he knows!" Laju Lily berkata, membuatkan Ed yang tak dapat menangkap maksud sebenar kata-kata itu bertambah keliru.
Lily mencengkam lengannya. Pandangan mereka bertembung.
"Dia. Dah. Tahu." Satu per satu perkataan tersebut diucap Lily, ditekan supaya dia mengerti.
Sesaat, dua saat, tiga saat... Dan kemudian semuanya mula jelas di mata Ed.
Dia menyumpah perlahan.
Ugh, Kuzer Harmy dan rancangannya!
"Dia memang nak kita berdua jumpa kat sini. Cara klasik Kuzer Harmy untuk beritahu kita yang dia dah tahu," jelas Lily, agak tidak keruan. Air mukanya keresahan seperti seorang anak kecil yang baru saja ditangkap melakukan kesalahan besar.
Sesuatu yang Ed tak faham sehingga kini tapi dia memilih untuk tidak memberi sebarang komen. Sebaliknya menarik wanita itu ke meja yang baru dikosongkan, menolak lembut agar tunangannya itu duduk.
"Hei, relaks. Jay tu memang menakutkan tapi aku yakin dia takkan tembak kita." Dia memujuk, separuh bergurau.
"Hahaha." Lily mengepal jari-jemarinya, kembali merenung wajah Ed.
"Kau tak faham. Jay akan salah anggap nanti. Sebab tu aku nak jelaskan sendiri kepada dia," terangnya.
"Ini bukan perkara besar pun. Kalau betul dia dah berubah macam dia cakap tu, tentu dia akan faham. Kita kawan dia," tingkah Ed walaupun dia tahu persis kenyataan itu tak boleh diguna pakai.
Mereka sedang bercakap tentang Kuzer Harmy. Jadi, luaskan imaginasi dan bayangkan kesudahan terburuk.
"Exactly! Salah satu sebab kenapa dia takkan boleh terima ni dengan mudah. It's like us, betraying him."
Lily benar. Jay takkan boleh menerima hubungan mereka dengan mudah. Dia adalah kawan baik lelaki itu manakala Lily pula merupakan bahagian paling penting buat Kuzer Harmy. Sedikit pun tak menghairankan kalau lelaki itu merasa janggal dan tak mampu menghadam kenyataan itu dengan baik.
Hanya menambahkan retak ke dalam persahabatan mereka yang sedia dingin kerana tindakan kurang bijaknya semalam. Hal itu saja masih belum diselesaikan antara mereka, sekarang sudah timbul masalah kedua.
"Jangan risau, okey? Kita memang dah bercadang nak beritahu dia, kan? Sekarang dia dah tahu. Sekurang-kurangnya satu proses dah kurang." Ed berkata, tenang dan teratur. Tak sama langsung dengan keadaan hati serta fikirannya ketika itu.
"Jay takkan faham," ulang Lily, perlahan.
"Aku akan jumpa Jay dan jelaskan semuanya. Kalau dia marahkan kita, so be it. Tak payah beratkan kepala. Kita bukan kanak-kanak lagi dan dia perlu belajar terima hakikat."
Mereka berdua berpandangan dan dalam fikiran kedua-duanya hanya satu. Ini sungguh takkan menjadi mudah!
Jay memilih untuk menjadi pendengar yang setia tatkala kedua-dua ibu bapanya membuka cerita tentang salah seorang sahabat mereka yang juga menetap di Auckland. Topik yang langsung tak menarik. Sekurang-kurangnya tak menarik seperti apa yang telah dirancangkan untuk manusia yang mengaku sebagai kawan baiknya dan juga...
Oh ya, dalam kategori apa dia harus masukkan Lily?
Tak penting! Kedua-dua mereka sepatutnya lebih tahu daripada melakukan sesuatu yang tak boleh diterima seperti ini. Ugh! Satu pengkhianatan kepercayaan daripada dua orang yang cukup dipercayainya. Dan lakonan Zaed Akram pula harus dipuji, layak mendapat pencalonan Oscar. Patutlah beria-ia benar lelaki itu menyuruhnya supaya menjauhi Lily.
Bravo, bravo!
"Abah tak ada mesyuarat hari ni? Atau golf dengan kawan-kawan setaraf?" Dia menyampuk, menyuapkan hirisan epal ke dalam mulut. Nadanya sengaja mahu menyindir, mengenakan bapanya itu.
Dengan mama dia masih boleh berkompromi tapi dengan abah, sukar untuk menjaga kelakuan. Tambahan pula apabila dia tak lebih daripada satu kegagalan di mata orang tua itu. Seorang anak yang tak membawa untung, satu pelaburan yang merugikan.
Ouch!
"Ada, petang nanti. Dengan Amri. Bekas bakal bapa mentua kamu dan sekarang, bakal bapa mentua Zaed. Kecilnya dunia ni, kan?" balas Tuan Haji Juwaidi bersahaja. Sengaja menekan bahagian yang dia tahu akan membuatkan hati anak muda itu membara.
Baru setahun jagung, ada hati nak cari pasal dengan veteran macamnya. Bertahun-tahun menghabiskan masa di dalam dunia perniagaan, sindiran halus seperti itu takkan mampu mencalarkannya walau segaris pun.
Riak Jay berubah terus. Wajah orang tua itu direnung tajam, tahu persis permainan bapanya.
Satu permainan yang tak pernah membosankan walaupun setelah sekian lama.
"Errr... Bila Kuzer nak pindah balik sini?" Menyedari ketegangan antara dua beranak itu, cepat-cepat Hajah Zanariah mengubah tajuk. Menjeling tajam ke arah sang suami yang berpura-pura tak faham.
Anak baru nak rapat sikit, dah nak cari pasal. Patutlah hubungan anak-beranak ni tak pernah nak baik, getus hati kecil Hajah Zanariah.
"Dia kan merajuk dengan saya. Memang jangan haraplah dia nak balik." Pantas Tuan Haji Juwaidi memberi jawapan, tidak melepaskan peluang untuk tambah mengapi-apikan keadaan. Jegilan Hajah Zanariah yang hampir terjojol biji mata itu tidak diendahkan.
Cara untuk menguruskan anak keras kepala yang suka memberontak seperti Kuzer Harmy ni mudah saja. Perkataan 'jangan' perlu digunakan sebagai senjata provokasi dan kemudian barulah dia akan bergerak mengikut rentak yang disusun. Kata lainnya, menggunakan teknik 'reverse psychology.
Lihat saja nanti.
Bingkas bangun, Jay menghampiri Hajah Zanariah. Tangan ibunya itu dicium, dan tidak melakukan yang sama dengan Tuan Haji Juwaidi yang sedang santai menghisap cerut di sebelah. Bibirnya tak lekang dengan senyuman angkuh yang buat perut Jay menggelojak.
Huh!
"Esok Jay balik sini. Ada perkara Jay nak selesaikan dulu hari ni," ujar anak muda itu tanpa nada.
Ya, perkara seperti menangani satu pembelotan manusia bergelar sahabat!
Tidak mempedulikan abahnya yang hanya beberapa inci saja jarak daripada mamanya, Jay segera mencapai jaket dan mengatur langkah menuju ke pintu.
Dasar keras kepala. Tuan Haji Juwaidi cuba menahan senyuman yang mula merayap ke bibir, meraikan kemenangan kecilnya tadi.
"Kuzer Harmy." Dia memanggil, mengeluarkan sesuatu dari saku seluar lalu dibaling ke arah anak itu.
Jay menyambut tanpa minat.
Apa saja lagi helah orang tua ni?
"Kat dalam garaj." Orang tua itu berkata sambil tangannya menyalakan sebatang cerut lagi.
"Another bribe? Nampaknya tak ada sesiapa pun yang berubah dalam masa empat tahun ni," tempelak Jay, sekadar mahu melampiaskan marahnya yang tak pernah surut.
"Percayalah, kamu perlukan 'rasuah' tu. Lebih baik daripada ulang-alik naik teksi."
Jay tersenyum sinis.
"Good point. Terima kasih... Kut."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro