BAB 11
"Apa?!" Suara Lily meninggi, mengundang pandangan tak bersetuju daripada ibu dan ayahnya.
Anak dara kena jaga kelakuan, kena baik pekerti. Barulah bakal mak mentua berkenan, apatah lagi kalau bakal mak mentua tu memang terkenal dengan sikap sopan santun dan etikanya. Pesanan ibu itu kembali terngiang-ngiang di telinga.
Lily tersengih, menggaru-garu hujung hidungnya.
Ibu serta ayahnya kini nampak panasaran. Masing-masing memasang telinga untuk mendengar butir perbualan yang lain.
Menjauhkan telefon dari mulut dan dengan riak tak bersalah, Lily berkata...
"Sally dan masalah cinta dia. Errr... Lily naik atas dulu ya, ibu, ayah."
Sungguhpun dia tak suka berbohong lebih-lebih lagi kepada kedua-dua orang tuanya tapi kes kecemasan seperti ini memerlukan pengecualian.
Perkataan 'menipu' dan 'berbohong' kedengaran terlalu kasar kepada Lily. Jadi, ketika zaman-zaman gelapnya dulu, dia lebih suka menggunakan perkataan 'mengubah kebenaran' untuk menjustifikasikan perbuatannya itu. Salah satu kemahiran semula jadi yang langsung tak membanggakan, cuma buat hati ibu dan ayahnya lara saja.
Dulu dia terlalu muda, tidak tahu meletakkan prioritinya sebagai seorang anak, manusia, teman. Silapnya kerana mempercayai, mencintai seseorang yang tak layak dengan sepenuh hati. Membiarkan seseorang itu menariknya bersama ke dalam kegelapan dengan harapan dia mampu menjadi cahaya yang mampu menjadikan seseorang itu berbeza.
Ah, masa lalu!
"Why would you do that?" soal Lily, tak percaya.
Seluruh badannya terasa panas, berat seperti nak demam. Effect yang hebat memandangkan subjek yang terlibat juga bukan calang-calang.
Lily menutup rapat pintu sebelum duduk di birai katil. Cuba menenangkan diri supaya otaknya dapat berfikir dengan waras. Mendengar segala penjelasan daripada si pemanggil tambah membuat perutnya berserabut.
Tarik nafas, hembus, tarik nafas, hembus. Kau boleh selesaikan ni. Tak ada yang perlu dirisaukan, Lily Nadira.
"Memanglah tapi bukan sekarang. Timing is crucial when it comes to him," ujarnya.
Dia tak mahu lelaki itu dengar daripada orang lain, terutama sekali perkara penting sebegini. Mereka rapat suatu ketika dulu, berkongsi dunia dan cerita yang sama tak kiralah yang baik atau pun yang buruk. Lelaki itu pernah menjadi bahagian yang paling penting buatnya tak kiralah betapa dia cuba menafikan.
Walaupun keadaan berbeza sekarang, tapi sekurang-kurangnya demi persahabatan mereka yang pernah tercipta, lelaki itu berhak mendengar dari mulutnya sendiri. Mungkin dengan cara itu kesakitan yang ada dapat dikurangkan.
Sebetulnya dia tak mahu Jay tahu sampai bila-bila. Kerana itu juga dia seolah-olah menangguhkan masa dengan alasan demi alasan. Menunggu Jay bersedia, mencari masa yang sesuai... Aduh! Padahal kenyataannya, dia bimbang jika kebenaran itu akan melukakan Jay, orang sama yang begitu mudah menghancurkan hatinya.
Bukankah itu menjadikan dia punca kepada segala masalah yang sedang dan bakal terjadi? Keengganannya untuk terus menapak ke depan dan melepaskan dengan rela hati.
Lily menggigit bibir, membeku apabila satu kenyataan mula menetap dalam benaknya.
"Beri dia masa untuk bertenang malam ni. But you will fix this, mister. Minta maaf!" tegas Lily sekali lagi lalu menamatkan panggilan.
Telefon di tangan digenggam erat, kuat. Memejamkan mata, dibiarkan badannya jatuh menghempas tilam.
Bagaimana kalau setelah apa yang berlaku empat tahun dulu, Lily Nadira masih tak dapat melepaskan satu-satu manusia yang sepatutnya dilupakan?
"Jay nak pesan apa lagi? Tak nak makan?"
Lambat-lambat Jay menggeleng.
Tak berminat untuk melakukan apa pun sebenarnya selain daripada tidur sehingga perasaannya kembali pulih seperti sediakala. Menurut pengalaman seorang Kuzer Harmy, proses pemulihan selalunya memerlukan sehari setengah dan juga satu rancangan menimbulkan masalah. Subjek pilihan pula tentulah orang sama yang meletakkan dia di dalam keadaan ini bersama-sama perasaan yang cukup tak menyenangkan.
Namun zaman itu sudah lama berlalu. Dia bukan lagi budak-budak tak matang yang tak peduli baik buruk sesuatu, apatah lagi nak mengenakan kawan baiknya sendiri. Sekarang, dia cuma memerlukan masa untuk bertenang sebelum keadaan akan kembali seperti biasa.
"Bila Jay balik sini?" Sheila memulakan buah bicara walhal dia sudah ada jawapan kepada soalan itu.
Apabila Jay menelefon tadi dan mengajaknya untuk berjumpa, girang bukan kepalang hatinya. Lama tak berjumpa, teringin sekali dia nak berbual dengan adiknya yang satu ni. Melihat dengan mata sendiri keadaannya, mendengar ceritanya atau apa-apa sajalah.
Namun sepanjang perjalanan, adiknya lebih senang mendiamkan diri. Hanya mempamerkan senyuman yang cukup plastik dan membatu di tempat duduk sebelah. Sedari dulu lagi Jay bukan seorang anak yang gemar berkata-kata, terutama sekali apabila abah serta mamanya ada bersama. Menghabiskan kebanyakan masanya di luar, perbualan paling panjang yang pernah terjadi antara mereka cuma tentang kunci motosikalnya yang tersalah letak. Itu membuktikan betapa Jay cuba mengasingkan dirinya daripada dunia beku yang wujud di rumah.
Walaupun begitu, Jay amat rapat dengan adik keduanya, Maira Athira. Pastinya kerana mereka berkongsi kedegilan yang sama.
"Baru saja. Tak apa ke kak long keluar malam-malam ni?" Suara garau adiknya kedengaran prihatin.
Sheila tersenyum, hatinya tiba-tiba sejuk.
Dia sentiasa tahu bahagian adiknya yang ini wujud walaupun Jay sentiasa berusaha untuk menyembunyikannya. Berlagak seolah-olah tak peduli tentang sesiapa pun, cuba mewujudkan imej keras batu yang tak punya rasa atau pun kasih. Namun Sheila tahu, seperti juga orang lain, Jay amat mengambil berat tentang orang yang rapat dengannya, menyayangi mereka sepenuh hati walaupun sukar untuk dia mengakui itu.
"Kak long dah minta izin abang long tadi. Kenapa Jay nak jumpa kak long ni? Rindu ke?" Usikannya membuatkan Jay turut tersenyum menampakkan barisan giginya yang tersusun rapi.
"Budak-budak tu mesti dah besar, kan?" tanya Jay. Teringat kepada dua orang anak saudaranya yang kini kalau tak salah sudah berusia tujuh tahun.
"Dah masuk darjah satu. Singgahlah rumah nanti, boleh jumpa dia orang."
Jay tidak memberi respons, yakin yang... Ah ya, Haikal dan Hafiz! Yakin yang si kembar itu tak mengingatinya pun kerana kedua-duanya masih kecil ketika dia menghilangkan diri.
"Kak long rasa Jay tak balik jumpa mama dengan abah lagi, kan?"
Jay mendengus, jelas nampak rasa tak senangnya dengan hala tuju perbualan mereka.
"Tak bolehlah macam tu. Mereka tetap ibu bapa kita tak kira apa pun," pujuk Sheila.
Ya, ibu bapa yang tak pernah ada untuknya. Hati Jay menggerutu.
Dia pernah menghabiskan masa seminggu di hospital bertemankan pembantu rumah dan kak ngah serta kak long sedangkan ketika itu dia baru berusia 10 tahun. Dalam keadaan seperti itu, selalunya ibu bapa memilih untuk menghabiskan masa bersama anak yang sedang sakit tapi bukan mama dan abahnya. Penerbangan ke Hong Kong serta perbincangan dengan prospek klien lebih penting daripada kesihatannya.
Kenapa dia sebagai anak yang perlu memahami kegilaan kedua-dua orang tuanya mengejar kemewahan dunia? Meletakkan mesyuarat dengan manusia-manusia asing yang tak punya sebarang pertalian di tahap lebih tinggi daripada keluarga sendiri. Padahal selalu ditontonnya di televisyen tentang kasih sayang ibu bapa yang tak punya batasan, tak mengenal lelah.
Uh, semua tu rekaan untuk hiburan semata. Titik!
Dia tak pernah dipedulikan sedari kecil lagi, apa yang membezakannya sekarang?
"Mereka bekerja keras sebab nak berikan kita kehidupan yang sempurna. Tak nak kita membesar dalam kekurangan. Lagipun, sejak balik dari Mekah, mereka betul-betul dah berubah, Jay. Selalu saja nak luangkan masa dengan kak long dan kak ngah." Lembut Sheila berkata.
"Good for them. I'm still not interested," sela Jay.
"Belajar bersyukur, Kuzer Harmy. Mama dan abah tak pernah biarkan awak tu susah sikit pun."
"Oh, is that why everytime I got into trouble at school, they'll send someone else to fill in their shoes instead of sorting it out themselves? Ah, lupa! Dia orang tak ada masa untuk perkara remeh macam tu." Dia mengulang semula ayat yang pernah diucapkan abahnya kepadanya suatu ketika dulu lantas menyedarkannya yang kehidupan Kuzer Harmy adalah suatu perkara remeh kepada orang penting seperti Encik Juwaidi Harmy. Oh lupa, Tuan Haji Juwaidi Harmy sekarang!
"Jay..."
"Lupakan saja. Jay nak jumpa kak long sebab nak tanya tentang satu hal ni."
Sheila membetulkan duduknya, menumpukan sepenuh perhatiannya kepada anak muda itu. Nampak serius sehingga ketara kelihatan urat-urat hijau di tengkuknya.
"Tentang Lily." Pendek Jay berkata.
"Kenapa dengan Lily?" Sheila kehairanan.
Sememangnya dia mengenali rapat gadis manis itu. Kisah Kuzer Harmy tak akan lengkap tanpa Lily Nadira. Tapi dia fikir saat itu sudah berlalu pergi apabila pernikahan mereka dibatalkan.
"Tak tahu kenapa tapi Lily macam tak nak Jay tahu siapa tunang dia. Ed pula, uh! Langsung tak membantu," jelas Jay.
Oh!
Sheila mula faham.
"Apa yang Jay nak tahu daripada kak long?"
"Siapa tunang Lily?"
Tolonglah beritahu supaya hatinya yang sedang berkecamuk ni lebih tenang. Dia tak tahu kenapa tapi dia memang tersangat peduli! Dan dia takkan boleh melupakannya macam tu saja, mustahil.
"Soalan mudah. Tapi Jay kena janji sesuatu dulu dengan kak long."
Wah, kakaknya dah pandai bernegotiate! Satu peningkatan mengagumkan untuk seorang yang lurus seperti kak long.
Jay menjongketkan kening.
"Name your price."
Sheila tersenyum kelucuan.
Sudah seperti berurusan dengan ahli kongsi gelap pula gayanya.
"Balik jumpa mama dengan abah. Sekali pun tak apa."
Ketegangan Jay bertambah satu darjah lagi. Dia sungguh tak suka dipaksa melakukan sesuatu di luar kerelaannya. Sekarang, kak long sedang menggunakan kelebihan yang ada untuk mengikat Jay kepada sesuatu yang tak mahu dilakukannya.
Berfikir untuk seketika, dia mengangguk memberi persetujuan.
Sheila membasahkan bibir, bersedia untuk memberikan jawapan kepada persoalan yang jelas mengganggu fikiran adiknya itu.
"Tunang Lily tu sebenarnya..."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro