BAB 1
PROLOG
Lily Nadira merenung kosong ke arah cermin meja solek di hadapan. Refleksinya memantulkan kembali debat perasaan yang hebat dalam hati yang kini mula mengganggu rasionalnya untuk berfikir.
Kesakitan yang menghimpit bersama jutaan perasaan lain membuatkan dia terlupa sebentar kepada sepasang mata yang sedari tadi memerhati dan menanti untuk dia memberi respons.
Tapi bukankah sudah terlambat? Apa saja kata-katanya selepas ini takkan mampu mengubah semua yang sudah berlaku.
"Kak ngah dah cuba halang dia daripada buat kerja gila ni tapi..." Satu keluhan berat keluar dari bibir wanita yang lima tahun lebih tua daripadanya itu. Risau dengan kekalutan yang bakal tercipta apabila berita ini sampai ke pengetahuan semua.
Sungguh kalut, bakal berantakan segalanya.
Wajah Maira Athira juga nampak kusut, sesak dengan masalah yang baru bertandang.
"Bukan Lily tak kenal dia macam mana," tambah Athira sambil memicit pangkal lehernya. Kelihatan cukup kesal dengan apa yang telah berlaku.
Lily sekali lagi membatu.
Memang dia kenal lelaki itu, terlalu kenal sebenarnya. Sudah ramai menjadi bahan mainannya dan sekarang, dia juga merupakan salah seorang daripada mereka.
Sayangnya, lelaki itu tak dapat memilih masa yang lebih baik lagi untuk menamatkan permainan.
Tiga hari sebelum pernikahan mereka? Ah, kau memang hebat! Lily mengetap bibir.
Marah, geram, malu, dan kecewa, semuanya bergabung membentuk sebuah perasaan yang terlalu menyakitkan.
"Kak ngah ikut dia sampai ke lapangan terbang dan..."
"Kenapa?" pintas Lily. Suaranya mendatar cuma.
Athira memandang wajah kosong milik gadis berusia 20 tahun itu, sedikit bingung dengan ketenangan yang dipamerkannya.
Untuk seseorang yang baru saja ditinggalkan beberapa hari sebelum hari bahagianya, Lily terlalu tenang atau lebih tepat lagi, terlalu handal menyembunyikan perasaannya.
"Apa penjelasan dia?" soal Lily kembali, kali ini setiap patah perkataan ditekannya.
"Errr... Dia cakap ini jalan yang terbaik. He said that both of you wasn't ready for this kind of commitment, that it was all too hasty. Something about being too perfectly corrupted for one another. Entahlah, apa yang dia cakap tak masuk akal."
Lily mengangguk.
Jadi, apa saja yang lelaki itu beritahu dia selama ni tak benar. Ah, sepatutnya Lily lebih tahu!
Menyeru kekuatan yang masih bersisa, Lily memaksa diri untuk bangun.
"Lily nak pergi mana? Kita kena fikirkan cara untuk selesaikan masalah ni." Suara Athira sedikit kalut. Tangannya pantas mencapai lengan Lily.
"Kalau itu yang dia fikir, mungkin kita patut hormati keputusan dia. Don't worry, no judgement. Semua orang kenal dia macam mana." Dia memang tak guna. Tambah Lily dalam hati.
"Lily..."
Menarik lengannya daripada pegangan Athira, dia memaksa satu senyuman.
"Excuse me, I have a wedding to stop."
BAB 1
Melangkah keluar dari balai ketibaan, jantungnya tiba-tiba terasa beberapa degup lebih pantas. Bahang yang mula membakar segenap ruang tubuh seolah-olah tidak dapat disejukkan oleh pendingin hawa lapangan terbang antarabangsa tersebut.
Dia menghela nafas, menarik bersama bagasi di tangan dan mula mengatur langkah.
Gementarkah aku?
Hampir pecah ketawanya apabila perasaan itu singgah. Lucu dan sungguh mengarut.
Mustahil perasaan nan satu ini gementar. Tak pernah ada tempat dalam hidupnya untuk perasaan kecil yang menjatuhkan sebegitu kerana dia takkan pernah mungkin membenarkan walau sedikitpun ruang untuk kelemahan seperti itu menetap.
Dia berjeda seketika, membenarkan diri untuk mengamati sejenak panorama yang menghiasi pandangan. Udara yang dulu selalu mendodoi tidur malamnya dihirup dalam-dalam seolah-olah melepaskan rindu yang terlalu lama ditanggung.
Sentimental atau dirinya sengaja membuang masa untuk berlama-lama di sini daripada berjumpa dengan mereka yang tak pernah hilang walau seminit pun daripada ingatan?
Memikirkan itu membuatkan dia kembali mempersoalkan tujuan sebenar kepulangannya. Soalan yang seperti tak punya jawapan yang benar kerana dia sendiri tak tahu.
Cuma yang pasti, dia tak mahu menghabiskan seluruh hidupnya seorang diri di negara asing. Terlalu 'kosong' walaupun untuk seseorang yang tak pernah peduli akan apa-apa sepertinya.
Cermin mata hitam aviatornya ditanggalkan lalu disangkut ke kolar jaket yang dipakai.
Ah, lagipun sudah terlalu lama dia berada di sana! Kalau dia benar mahu membina kehidupan yang baru, dia perlu memulakannya dari tempat segala kisah tercipta.
Meskipun jika itu bermaksud dia terpaksa berhadapan dengan manusia-manusia yang pasti sudah lebih daripada bersedia untuk melapah dirinya hidup-hidup.
Dan untuk itu, dia tahu persis siapa yang perlu dicari dan destinasi pertama yang perlu dituju.
Bibirnya mengukir senyum.
"Tak ada rancangan untuk hari ni?" sapa Masyitah kepada anak daranya yang baru menjejakkan kaki ke ruang tamu setelah sedari pagi mengurung diri di dalam ofis kecil miliknya bersama kerja-kerja yang seakan-akan tak pernah selesai.
Lily mengambil tempat di sisi ibunya, menjongketkan kening berpura-pura tak memahami.
"Tak keluar dengan buah hati ke?" Masyitah bertanya lagi, mahu menyakat.
Lily ketawa. Lantas terbayang wajah encik tunangan yang kini sudah hampir tiga hari berada di rantauan atas urusan kerja. Ibu pula bukan tak tahu akan hal tersebut tapi tetap juga mahu mengusik.
"Ibu bercakap tentang buah hati yang mana ni? Sebab kalau tak salah Lily, buah hati Lily satu-satunya sekarang ada kat Philippines. Lagi pun, bukan ke hari tu ibu pesan dengan Lily supaya jangan kerap sangat keluar dengan dia?" duga Lily kembali.
"Tapi, itu tak bermaksud Lily kena duduk dalam ofis tu 24 jam sepanjang hari minggu," komen Masyitah.
Agaknya anak dara zaman sekarang lebih selesa bekerja sampai turut dibawa kerja-kerja tersebut pulang ke rumah dijadikan peneman siang malam. Haish, dia yang tengok pun kadang-kadang naik pening!
Lily menggaru-garu kening, tak tahu apa yang harus dikatakan untuk membalas komen ibunya yang tepat mengena sasaran itu. Harus diakui, memang hujung minggu kebelakangan ni dia lebih banyak menghabiskan masa dengan bekerja, tambahan pula dengan ketiadaan tunangan tersayang.
Alah, ibu dan ayahnya sendiri pun bukan selalu ada di rumah. Jadi, daripada dia tercongok kebosanan seorang diri, baik dia tumpukan sepenuh perhatian dan tenaga kepada kerja. Lagi pula, susah nak puaskan hati klien yang satu ni.
"Okey, tak kesahlah kalau itu buat Lily bahagia tapi kesihatan kena jaga juga tau." Masyitah meletakkan kembali majalah di dalam pegangan ke atas meja lalu bangun. Dia membetulkan baju kurung moden berwarna biru muda yang dipakainya lalu mencapai tas tangan di atas sofa.
"Jadi ke pergi rumah pak ngah malam ni?" soal Lily, meneliti ibunya yang berdandan rapi.
"Ayah dah tukar rancangan. Esok pula katanya ke rumah pak ngah. But I'm meeting your dad for dinner tonight at Marriott. Nak ikut sekali?"
Lily laju menggeleng.
"Habis tu nak buat apa saja hari ni? Lily Nadira, jangan beritahu ibu yang Lily nak sambung buat kerja balik." Mata ibunya membuntang bulat seakan-akan tak percaya.
"Hmmm, not sure yet but I do feel like reading. Maybe I'll try to read one of those romance novels that I so absent-mindedly bought three hundred years ago."
Mendengar itu, Masyitah ketawa.
Kalau dengan Lily, memang banyak kerenah. Ada saja kata-kata selamba yang lucu keluar dari mulut anak gadis itu.
Mereka berdua bergerak ke pintu.
"Kalau macam tu, selamat membaca. Ibu gerak dulu. Jumpa malam nanti."
"Okey, kirim salam kat ayah. Toodles." Pipi ibunya itu dicium.
Lily melambai, memerhatikan sehingga kereta milik ibunya keluar dari pekarangan rumah lalu hilang dari pandangan sebelum kembali menutup pintu.
Kekosongan mula menghuni segenap penjuru rumah. Walaupun dia memang tak punya sebarang keinginan untuk keluar pada hari ni, tapi kesunyian yang wujud sungguh buat dia rasa tak selesa.
Mengingatkan dia kepada perasaan itu. Perasaan yang takkan pernah pergi tak kira berapa lama waktu berjalan. Perasaan ditinggalkan, kehilangan.
Cukup memalukan untuk diingatkan kembali tetapi terlalu menyakitkan untuk dilupakan begitu saja.
Lily tersentak, memarahi diri sendiri kerana sekali lagi membenarkan rasa itu mengambil alih.
Hmmm... Kerana itulah dia lebih suka membebankan diri dengan kerja daripada membiarkan waktu terbuang begitu saja. Kerana dia tahu, satu saat tanpa melakukan apa-apa, fikirannya pasti akan melayang jauh mengingatkan perkara yang tak perlu.
Namun tentu saja ibu tak perlu tahu tentang hal ini atau pasti orang tua itu akan bertambah risau. Bukan mudah untuk meyakinkan mereka semua yang dia sudah benar-benar bergerak ke hadapan walaupun hakikatnya kesakitan itu masih menjadi sebahagian daripada dirinya.
Cukup perit, terlalu pahit.
Lupakan semuanya, Lily. It's not worth it. Hatinya memujuk.
Sekadar mencapai sebuah buku daripada rak dan bersama secawan Milo di tangan, Lily bergerak ke patio. Dengan dekorasi ringkas yang tak pernah gagal membangkitkan ketenangan, ia merupakan tempat kegemaran Lily untuk berehat.
Dia membaringkan diri di atas hammock dan menghabiskan beberapa minit kemudiannya membelek setiap perincian buku tersebut sebelum mula menyelak helaian pertama.
Baris demi baris dibacanya, disulami dengan kuapan yang cukup mengganggu konsentrasi. Sama ada keadaan yang terlalu selesa membuatkan dia mengantuk atau otaknya memang tak mampu menampung pembacaan sebegini.
"Aku rasa kau dah hidup sorang lama sangat sampai kau dah lupa cara untuk hidup dengan manusia normal macam aku ni!" jerit aku dan segera melangkah ke bilik.
"Dan kau pula kena belajar hidup dengan manusia, bukannya kenangan silam." Kata-kata itu menyapa telinga ku bagaikan halilintar.
Sekali lagi tangannya menekup mulut menahan kuapan, memaksa diri untuk terus membaca.
Dia takkan pernah gagal menyakitkan hati aku!
Sebaris ayat penutup dan akhirnya Lily menyerah kalah, membenarkan matanya untuk terus terpejam diulit damai angin petang.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro