Bab 8
"Kenapa tak jawab?" soal Hairi yang masih menunggu jawapan aku.
Otak aku ligat berfikir. Apa jawapan yang aku nak berikan ni?
"Well, kau tahu kan aku banyak buat insiden tak best dengan dia? Jadi, itu yang dia nak jumpa."
"Dia kata apa aje?"
"Tak ada apa sangat pun. Cuma lepas ni jangan main pakai cakap ajelah..."
Hairi mengangguk tanda memahami kata-kata aku. Jauh di lubuk hati, aku terasa bersalah sebab berbohong dengan dia. Perbualan kami terhenti saat pensyarah melangkah masuk ke dalam kelas. Fokus kami mula diberikan buat sesi pembelajaran.
"Malam ni nak ikut aku?" Hairi berbisik.
"Pergi mana?"
"Quake."
Tanpa berfikir panjang, aku bersetuju. Lama tak merehatkan fikiran dekat sana.
Aku memilih untuk menggayakan dress berwarna merah separas lutut untuk ke Quake. Kemudian, aku melangkah pula ke arah cermin. Wajah dihias ala kadar supaya tidak nampak terlalu kusam. Rambut pula aku lepaskan. Puas berpusing-pusing di hadapan cermin, aku melangkah ke arah pintu. Sepasang kasut tumit tinggi hitam hadiah hari lahir daripada Hairi aku sarungkan ke kaki. Dalam sekelip mata, tinggi aku bertambah tiga inci.
Laju aku berlari keluar apabila telefon aku berbunyi. Pasti Hairi sudah menunggu di bawah. Janjinya tadi nak keluar makan malam terlebih dahulu sebelum ke Quake. Aku meninjau-ninjau di kawasan meletak kenderaan. Kereta Hairi masih belum kelihatan. Yang ada hanya sebuah kereta berhenti di bahu jalan dengan lampu dan enjin yang hidup. Dahi aku sudah berkerut. Ingatkan Hairi yang telefon tadi. Aku mendapatkan telefon bimbit dari dalam beg. Ingin melihat siapa yang menelefon aku sebentar tadi.
Baru aku hendak unlock screen, tiba-tiba kereta yang tadi berhenti di bahu jalan bergerak dan berhenti di depan aku. Bulat mata aku memerhatikan Aventador merah ni. Ada orang lain ke dekat belakang aku yang dia nak ambil? Aku menoleh ke belakang. Tak ada sesiapa pula. Dalam aku bersoal jawab dengan diri sendiri, cermin tingkap pemandu diturunkan. Wajah Putera Danial yang tersenyum menyapa pandangan aku. Ergh! Dia nak apa ni?!
"Naik," arahnya.
Aku berpeluk tubuh. Pandangan Putera Danial aku balas tajam. Arahan dia sedikit pun aku tak ikutkan. Angin tak ada, ribut tak ada, tiba-tiba nak suruh aku ikut dia. Silap besar! Cepatlah Hairi sampai. Tapi nanti jadi masalah lain pula apabila dia nampak putera raja seorang ni dekat sini.
"Adlina Hani, kamu mahu kami paksa seperti sebelum ni ke?"
Aku merengus geram. "Tuanku siapa nak paksa-paksa saya?"
Putera Danial diam seketika. "Sebab kami putera raja."
"Blergh!" Aku membuat muka. "Tak kuasalah saya nak layan tuanku. Saya ada date. Saya pergi dulu," kata aku lalu menapak meninggalkan Putera Danial.
Aku naik pelik. Macam manalah dia boleh tahu aku nak keluar tadi? La... Nombor dia agaknya yang telefon aku tadi? Berapa banyak nomborlah yang dia ada? Nombor dulu aku dah banned supaya dia tak dapat telefon lagi. Rimas! Takkan aku nak kena tukar nombor pula? Dengan kuasa dia, mudah sangat dia nak dapatkan maklumat aku. Terpandangkan Mercedes putih bergerak menghala ke arah aku, aku berlari-lari anak mendapatkan Hairi. Pada masa yang sama, Putera Danial pun berlalu pergi.
"Siapa?" soal Hairi sebaik saja aku duduk di sebelahnya.
"Hrm?" soal aku cuba menghilangkan rasa gemuruh yang tiba-tiba muncul.
"Lambor merah tadi tu. Siapa? Pelik aje nampak kereta mewah macam tu kat kawasan ni?"
Aku hanya mampu tersengih. Janganlah Hairi dapat tangkap itu Putera Danial. Habis aku nanti.
"Entah! Aku turun-turun terus nampak kereta kau."
Hairi hanya menerima jawapan aku bulat-bulat. Tapi jelas di wajah dia yang dia masih memikirkan perihal kereta tadi. Sudahlah kawasan Pangsapuri Seri Indah ni, kawasan orang yang tak kaya sangat. Mana tak pelik apabila kereta tu ada dekat situ.
"So, kita nak dinner dekat mana ni?"
"Rumah famili aku."
Aku membulatkan mata. Serius? Aku belum sedia nak jumpa keluarga Hairi walaupun sudah hampir dua tahun kami bersama.
"Biar betul?"
Hairi mengangguk tanda tidak main-main. Jantung aku berdegup kencang. Dengan pakaian macam ni, sesuai ke nak jumpa keluarga Hairi ni? Aku menilik keadaan diri. Macam tak sesuai aje dress ni nak jumpa mak dengan ayah Hairi.
"Kenapa?"
"Baju aku... Macam tak sesuai aje?"
"Habis, baju apa yang sesuai?" Hairi ketawa perlahan. "Selalunya memang kau pakai macam ni, kan? Relakslah... Famili aku macam aku juga," pujuk Hairi.
Aku menggigit bibir. Tetap rasa tak best nak pakai macam ni. Hairi tiba-tiba memperlahankan kereta dan berhenti di bahu jalan. Kemudian, dia menoleh ke arah aku dengan senyuman yang cukup menawan.
"Plus, kau dah nampak gorgeous sangat malam ni. No worries, okay?" Perlahan dan lembut sekali suara Hairi. Cukup membuatkan aku terbuai-buai mendengarnya.
Melihatkan aku mula tersenyum, Hairi meneruskan kembali pemanduannya. Aku pula leka memerhatikan suasana malam di Amanjaya sehinggalah kereta bergerak masuk ke kawasan perumahan Greenhills. Mata memerhatikan setiap reka bentuk rumah mewah yang ada. Kagum aku melihatnya. Rumah Hairi entah macam mana pula rupa bentuknya.
"Habis tu, jadi pergi Quake tak ni?"
Hairi mengangguk. "Jadi. Dinner sekejap aje."
Aku tidak membalas. Tiba-tiba rasa gelabah pula apabila Hairi membelok ke arah sebuah rumah banglo yang boleh tahan besarnya. Fuh... Fuh! Harap-haraplah keluarga Hairi okey.
"Kau okey tak?" Hairi bertanya sebaik saja kereta berhenti.
Aku mengangguk. Tanpa berlengah, aku membuka pintu kereta. Saat aku dan Hairi sama-sama berdiri di tepi kereta, bunyi kereta yang bergerak laju di jalan menarik perhatian kami. Kami menoleh ke arah jalan. Sempat mata aku menangkap Aventador merah laju bergerak.
Terasa berderau darah aku dibuatnya apabila teringatkan Putera Danial memandu kereta tu tadi. Dia ikut aku sampai ke sini ke? Heh. Aku senyum sinis. Nampak tak aku keluar nak jumpa keluarga Hairi? Kalau ikutkan, sekarang ni bertambah lagi satu tangga dalam hubungan kami. Jangan nak berangan lebih-lebihlah, tuan putera!
"Gila betul bawa kereta laju kat kawasan ni. Ingat dia seorang ada Lambor ke?" bebel Hairi tak puas hati. Malas mahu memanjangkan perbualan, aku mengajak dia untuk masuk. Hilang dah perasaan gelabah nak jumpa mak ayah Hairi dek Putera Danial. Terima kasih, tuan putera.
Aku tersenyum senang sepanjang perjalanan ke Quake sehingga Hairi tak terkata apa-apa apabila aku asyik tersenyum. Gembira sangat rasanya apabila kedua-dua ibu bapa Hairi menerima aku dengan baik sekali. Auntie Mai sangat ramah. Uncle Zaman lebih banyak mendiamkan diri tetapi mendengar segala perbualan antara aku dengan Auntie Mai. Sedikit pun aku tak rasa kekayaan mereka sekeluarga menjadi perbezaan antara kami berdua.
Tadi juga aku berjumpa dengan Acha, adik Hairi yang dia bawa ke Nori's pada malam aku keluar dengan Abang Jade. Cantik orangnya, banyak mengikut rupa Auntie Mai. Cuma sikapnya banyak mengikut Uncle Zaman yang banyak diam. Apa yang pasti, aku terasa diraikan malam tadi. Gembira dan senang hati betul aku rasakan sekarang.
"Tak sangka sangat parents kau baik!"
Hairi menjeling aku sekilas.
"Habis tu, selama ni kau sangka parents aku kejam sangat ke?"
Aku hanya menayangkan gigi. Senyum.
"Kan aku dah cakap, dia orang macam aku juga. Kita pun dah dua tahun, kan? Sebab tu aku rasa dah tiba masanya aku kenalkan kau dengan dia orang."
Aku mengangguk tanda bersetuju. Dua tahun bukan pendek jangka masanya. Apabila Hairi membawa aku berjumpa dengan keluarga dia bermakna dia serius untuk berkawan dengan aku. Bahagianya!
"Jadi, bila nak kenalkan aku dengan keluarga kau?" Hairi menyoal.
Aku terdiam. Rasa bagaikan dicekik saja mendengarkan soalan Hairi.
"Aku tak sedia lagilah, Hairi..." kata aku perlahan. Terbayang-bayang wajah ayah dan abang-abang aku di ruang mata.
"Tak sedia? Kau tak pernah cerita pasal kita kepada dia orang?"
Aku mengeluh. Macam mana aku nak sampaikan kepada Hairi? Susahnya nak menyusun perkataan!
"Dia orang bukan open sangat macam famili kau..." jelas aku ringkas.
Pasti mereka tak setuju aku berkawan dengan Hairi. Sudahlah niat aku nak sambung belajar dulu ayah dengan Abang Hadi tentang keras. Lagipun, aku pasti Hairi tak termasuk dalam senarai calon untuk suami aku versi ayah dan Abang Hadi. Aku menghela nafas perlahan. Tak boleh ke kalau esok nak kahwin, malam ni baru aku kenalkan Hairi? Tak larat rasanya hendak memenuhkan fikiran dengan masalah-masalah macam ni. Aduhai...
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro