Bab 4
Dua hari selepas Putera Danial mendaftar masuk, suasana di universiti kembali tenang. Tiada lagi wartawan dan polis di pintu utama. Tiada lagi gadis-gadis yang terjerit-jeritkan nama dia di kaki lima. Tapi, tak menjerit di kaki lima, mereka menjerit di tempat lain.
Tak menjerit, mereka berbisik-bisik pula apabila ternampak Putera Danial. Setiap kali Putera Danial berjalan dari satu tempat ke satu tempat, pasti ada suara yang akan menjerit memanggil Putera Danial ataupun tuanku dalam nada mengada-ada dan meminta perhatian. Oh, sungguh aku tidak faham.
Aku berjalan ke arah blok C, blok yang menempatkan bilik komputer untuk pelajar yang tidak mahu ke Pustaka Ilmu. Niat dalam hati nak mencari bahan di Internet memandangkan bilik sewa aku tak disediakan kemudahan Internet. Kalau di Pustaka Ilmu, waktunya terhad bagi setiap pelajar sebab kononnya ramai lagi yang nak gunakan kemudahan itu. Lagipun di Pustaka Ilmu, tak semua komputer boleh digunakan untuk cetak bahan yang akan digunakan nanti. Duduk di bilik sewa murah, terpaksalah bersusah sedikit. Sebab itulah aku banyak menghabiskan masa di universiti ni berbanding di bilik sewa.
Aku baru tiba di laluan yang menghubungkan blok C dan B sewaktu terpandang Putera Danial di ruang legar blok C. Bukan itu saja, putera itu dikelilingi sekumpulan gadis yang meliuk-liuk di hadapannya. Aku tergamam. Serius?
Aku gagahkan juga kaki aku melangkah ke arah lif yang kedudukannya bersebelahan dengan kumpulan putera itu. Itu pun disebabkan tiada jalan lain untuk ke bilik komputer sana. Sekilas aku memandang ke arah mereka. Baru aku perasan, tiada lelaki yang menjadi pengawal dia hari ni. Patutlah terpaksa juga melayan kerenah peminat!
Sementara menunggu lif terbuka, aku memerhatikan gelagat Putera Danial melayan gadis-gadis yang mengerumuninya. Bibirnya setia dengan senyuman walaupun aku rasa dia rimas dengan keadaan itu. Ah! Pasti dia dah biasa dikelilingi perempuan macam tu. Tapi, pada aku, Putera Danish tetap jauh lebih kacak daripada Putera Danial. Putera Danish jauh lebih berkarisma. Dan setiap kali dia tersenyum, peh... aku pun cair jadinya.
Aku menekan-nekan butang lif. Lambat pula lif ni sampai ke bawah. Penat dah mata aku dijamu dengan gelagat pelajar perempuan universiti ni. Bosan menunggu lif, aku meliuk-liukkan badan aku, cuba meniru aksi gadis yang aku lihat. Kemudian aku ketawa sendiri. Kelakar rasanya.
Aku pandang pula ke arah Putera Danial yang masih bersabar. Erk! Terasa berderau darah turun ke muka. Mata Putera Danial tajam memerhatikan aku. Wajahnya yang tadi sentiasa tersenyum sudah hilang serinya. Dia nampak aku berlakon menggedik tadi?! Banyaknya insiden tak menarik antara aku dan dia. Oh God, why?
Pintu lif terbuka tepat pada masanya. Cepat-cepat aku masuk dan menekan angka tiga. Mata masih memerhatikan Putera Danial. Dengan gaya yang cukup sopan, dia meminta diri daripada kumpulan gadis tadi untuk pergi. Pergi ke arah lif yang hanya aku seorang di dalamnya.
Mata aku membulat. Rasa jantung sudah nak melompat keluar. Berkali-kali aku menekan butang untuk menutup pintu dengan kuat. Gelabah jadinya. Dalam hati tak putus-putus berdoa mengharapkan pintu lif tertutup. Langkah Putera Danial semakin hampir. Lagi selangkah untuk dia masuk ke dalam lif, pintu lif elok tertutup. Sempat aku menangkap senyuman Putera Danial sebelum pintu lif tadi tertutup. Aku menarik nafas dalam-dalam sebelum melepaskan keluhan yang kuat.
"Argh!" jerit aku sekuat hati.
Kenapalah banyak sangat insiden tak best antara aku dengan Putera Danial dalam dua hari ni?!
Aku leka melayari laman web sepanjang berada di dalam bilik komputer. Di telinga terselit sepasang fon telinga yang bersambung dengan mp4 di atas sebelah papan kekunci. Lagu-lagu nyanyian Jasmine berulang kali bermain di telinga. Sesekali aku turut menyanyikan lagu-lagunya dengan nada yang perlahan. Apa saja yang berlaku di sekeliling, langsung aku tidak sedar sehinggalah aku dikejutkan bunyi telefon yang tiba-tiba berdering.
Berkerut dahi apabila melihatkan nombor yang tertera. Nombor telefon yang aku tidak kenali. Malas mahu melayan, aku menekan perkataan Silent supaya bunyinya berhenti. Dua tiga kali perkara sama terjadi, akhirnya aku menerima sebuah pesanan ringkas.
Kenapa tak angkat abang call?
Aku menggigit bibir. Jantung aku mula berdetak kencang. Abang? Aku ada empat orang abang dalam hidup aku. Abang Hadi, Abang Hanif, Abang Hakim dan Abang Harith. Tapi mereka tak tahu nombor telefon yang aku gunakan sekarang kerana nombor ini khas untuk kawan-kawan di universiti saja.
Aku mula gelisah. Kalau abang-abang aku tahu nombor ni, adakah bermaksud rahsia aku di sini sudah terbongkar di kampung? Kalau ya, pasti ayah mengamuk betul dan yang paling aku takutkan, Abang Hadi yang jauh lebih tegas berbanding ayah mengamuk. Aku memberanikan diri membalas mesej itu. Bertanyakan siapa yang menghantar pesanan ringkas tadi.
Abang Jade la.
Aku menarik nafas lega. Mujur bukan abang-abang aku.
Abang Jade mana?
Abang Jade bas.
Lama aku memikirkan siapa Abang Jade bas yang dimaksudkan. Bila masa pula aku bagi nombor telefon kepada abang bas ni? soal aku kepada diri sendiri. Teringatkan peristiwa semalam, aku tersengih sendiri. Ini sebab Putera Danial itulah aku bagi nombor aku kepada abang bas sebagai pengeras. Pengeras sebab dia bantu menghantar aku sampai ke kelas.
Sorry tak tahu nama abang, Jade.
Dan mesej kami berpanjangan sehingga kami berjanji hendak makan malam bersama. Aku masih tak mampu berhenti tersengih. Sengal juga kepala otak Abang Jade ni. Dalam mesej pun dah lawak macam apa, aku tak tahu kalau jumpa nanti macam manalah keadaannya.
Terpandangkan jam komputer sudah pukul dua belas tengah hari, aku terus mengemas buku-buku dan alat tulis yang aku gunakan sepanjang membuat kerja tadi. Tadi sudah berjanji dengan Hairi untuk berjumpa di kafeteria pukul satu nanti. Jadi, lebih baik aku yang tunggu dia sebab Hairi bukannya suka menunggu orang. Tak pasal-pasal sebab benda kecil kami bergaduh.
Aku bangun untuk meninggalkan meja. Kerusi yang aku gunakan, aku tolakkan kembali ke bawah meja. Baru beberapa langkah meninggalkan meja, aku hampir terjatuh apabila kaki aku tersadungkan sesuatu. Mujur aku boleh mengawal imbangan badan aku. Hanya buku dan telefon bimbit yang terjatuh, yang membuatkan satu bilik komputer terdiam. Masing-masing yang ada di dalam bilik ini memandang aku seketika sebelum kembali menyambung tugasan mereka.
Aku menggigit bibir menahan rasa malu. Sekilas aku pandang ke belakang. Apa yang aku sadungkan tadi? Mata aku memerhatikan sepasang kaki yang elok melunjur ke arah laluan. Kurang ajar! Siapa yang pandai sangat duduk macam tu? Mata aku beralih pula ke arah muka tuan badan. Elok Putera Danial memandang aku dengan pandangan tajam.
Aku menyeringai geram. Memang patut dia ni kena tendang keluar daripada universiti diraja tu. Perkara asas macam ni pun tak boleh nak fikir boleh membahayakan orang awam. Huh! Aku hanya berlalu tanpa menghiraukan pandangan Putera Danial yang tidak lepas daripada memandang aku. Kalau dengan ini dapat menebus balik 'hutang' aku kepada dia, jatuh tertumus ke atas lantai pun aku terima.
"Kenapa muka monyok semacam ni?" Hairi menegur sebaik saja dia tiba di kafeteria. Beg sandang diletakkan di kerusi dan dia mengambil tempat di sebelah aku.
"Tak ada apa. Penatlah..." Kepala aku yang bertongkatkan tangan menukar posisi dengan meletakkan kepala terus ke atas buku di atas meja. Wajah Hairi sedikit pun tidak aku pandang. Tak mahu membuatkan suasana tegang, akhirnya aku menegakkan badan dan meraup muka dengan kedua-dua tapak tangan.
"Dahlah tu... Jangan stres sangat. Minggu depan nak cuti. Chill la. Jom, kita tengok ada apa untuk dimakan!" ajaknya. Sempat tangannya menggosok kepala aku. Berserabut rambut aku jadinya.
Dengan rasa malas, aku melangkah juga ke arah kaunter. Nasi Ayam Percik menjadi pilihan untuk tengah hari ni. Kami sama-sama menguncikan mulut sewaktu makan. Entah kenapa sejak peristiwa semalam, aku rasa malas sangat hendak bercakap dengan Hairi walaupun kami tetap kena berjumpa di dalam kelas setiap hari.
"Kau marah aku ke?" Tiba-tiba Hairi bertanya.
Aku terhenti mengunyah makanan. Ketara sangat ke perubahan aku? Aku seboleh-bolehnya tidak mahu menunjukkan rasa tidak suka dengan tindakan dia semalam. Tak mahu dia terasa hati.
"Kenapa cakap macam tu?" soal aku perlahan. Hilang rasa selera untuk makan. Akhirnya aku meletakkan sudu dan garpu. Gelas berisi jus oren aku capai.
"Sebab sejak aku kiss semalam, kau banyak diam."
Aku menghela nafas perlahan. Wajah Hairi aku pandang tak berperasaan. Kemudian, aku mengalihkan pula pandangan ke arah taman bunga di hadapan kafeteria. Memerhatikan orang yang lalu-lalang tanpa menghiraukan Hairi yang mahukan penjelasan.
"Aku bukan marah... Aku cuma tak suka."
"Tak suka?" soal Hairi sinis. "Selama ni kau nampak macam tak kesah. Tak sangka pula kau ni konservatif sangat. Adele, aku kiss pipi aje tau!"
"Pipi pun, kiss juga, kan?"
"Alah, selama ni aku pegang-pegang, kau tak bising pun? Tak ada bezanya pun, Adele."
Aku diam. Malas mahu memanjangkan lagi perbualan apabila Hairi nampak sudah mula naik angin. Konservatif? Hanya kerana tidak suka dibuat sesuka hati begitu, aku dah dilabel konservatif? Aku berperang dengan perasaan sendiri. Terasa ada satu suara berbisik kepada diri aku. Ini bukan kau, Adele...
"Okey. Kalau kau tak suka, aku minta maaf. Lepas ni aku tak buat lagi..." Suara Hairi menyedarkan aku daripada lamunan.
"Aku sayang kau. Tapi kalau kau tak sedia lagi, tak apa. Aku boleh tunggu." Akhirnya Hairi mengalah. Mendengarkan kata-katanya, aku sedikit tersenyum. Wajahnya aku pandang dengan rasa sayang. Gembira apabila Hairi cuba memahami dan menerima prinsip aku.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro