Bab 4 : Sachihiro
Takahiro's POV
Biasanya, setiap pagi aku dan Sachihiro akan pergi ke sekolah bersama-sama. Begitu juga pada waktu balik. Tapi lain pula dengan pagi ini. Kerana baru saja aku ingin ke rumah Sachihiro untuk menjemputnya, aku baru perasan ada satu mesej yang dipesan oleh Sachihiro malam tadi.
Orang gila
Oi, sajat. Aku rasa aku tak sihatlah malam ni. Badan aku sakit.
Mungkin sebab aku struggle sangat kot dengan badminton semalam.
Esok pagi, jangan tunggu aku. Aku tak sekolah.
Tanpa banyak soal, aku pun hanya menghantar 'Ok' saja padanya. Kemudian aku berpatah balik dan pergi ke sekolah tanpa Sachihiro. Jarang-jarang si gila ni tak pergi ke sekolah sebenarnya. Sebab sebelum ini Sachihiro jenis tak suka ponteng sekolah walaupun jatuh sakit.
Mungkin sakitnya kali ini terlalu teruk, jadi dia terpaksa berehat seketika. Nampaknya balik sekolah nanti aku perlu ke rumah Sachihiro untuk bagi buah tangan.
Kasihan pula dengan dia.
Aku pun bersekolah seperti biasa, dari pagi sampai petang. Tidak ada apa-apa yang menyeronokkan pun untuk diceritakan di sini, kerana Sachihiro tidak hadir ke sekolah. Ya, memang betul. Sangat bosan rasanya sekiranya tidak ada Sachihiro kerana dialah satu-satunya penyeri dan pelawak di sekolah.
Terutama di dalam kelas.
Aku sendiri pun tak tahu, kenapa orang macam dia boleh berkawan dengan aku.
Seusai tamat sesi persekolahan, aku pun terus pergi ke sebuah kedai runcit untuk membeli sedikit makanan dan buah-buahan. Kebanyakan buah-buahan yang aku beli ialah buah yang masam-masam seperti limau, apel hijau dan mangga kerana Sachihiro memang suka makan benda yang masam.
Aku ingat lagi kata-kata yang pernah dituturkan oleh Sachihiro dulu.
"Lelaki yang suka makan benda masam ni sebenarnya seksi dan... cepat dapat jodoh. Nenek aku cakaplah," katanya dengan bangga sekali.
Tak semena-mena, bahuku terhinjut-hinjut semasa beratur di kaunter pembayaran kerana geli hati bila teringat semula kata-kata itu.
Kasihan Sachihiro, ditipu hidup-hidup oleh nenek kesayangannya.
Tanpa membuang masa lagi, aku pun pergi ke rumah Sachihiro setelah membayar.
Tok tok tok
Aku mengetuk pintu rumah Sachihiro.
"Sachihiro! Ini aku, Hiro."
Aku mengetuk lagi pintu tersebut untuk beberapa kali sebelum pintu itu akhirnya dibuka oleh seseorang. Bukan Sachihiro.
Tapi ayahnya.
"Eh, pakcik! Maafkan saya sebab datang pada waktu macam ni. Saya Takahiro, kawan Sachihiro datang nak melawat. Boleh saya tahu dia kat mana? Saya ada bawa sedikit buah tangan..."
Namun, sesuatu yang tidak dijangka tiba-tiba berlaku. Aku melihat mata pakcik itu mulai berkaca. Melihat reaksi daripada pakcik itu pun membuatkan aku terus jadi panik. Aku pun terus menyentuh bahu ayahnya.
"Pakcik, ada apa ni pakcik?"
"Hiro, pakcik sendiri pun baru nak tanya soalan yang sama dengan kamu."
Dahiku berkerut. Soalan yang sama? Apa maksud pakcik ni? Aku tidak faham apa yang dia cuba sampaikan. Tidak lama kemudian dia bersuara lagi.
"Sachihiro hilang sejak semalam. Langsung tak balik sampai sekarang..."
Mataku membuntang. Melopong mulutku saat mendengar apa yang dikatakan oleh ayah rakan baik aku itu. Tak mungkin... Apa semua ini?
"Ta-tapi, pakcik... Sachihiro mesej kat saya kata yang dia sakit. Saya ingat dia tengah berehat kat rumah! Betul ke dia belum balik dari semalam pakcik?" tanyaku sekali lagi seolah-olah tidak percaya.
"Betul, nak. Last pakcik tengok dia pun masa pergi sekolah. Pakcik dah cuba call, tapi tak angkat. Pakcik pun dah cuba cari merata tempat tapi tetap tak jumpa," katanya dengan nada pasrah sekali.
Aku berfikir sejenak.
Maknanya Sachihiro hilang sejak petang semalam? Selepas dia menghantar aku sehingga ke rumah, kemudian dia pergi dan hilang? Adakah dia sudah diculik, sama seperti yang melanda Jepun selama tiga tahun ini?
Tapi, mesej itu...
Mesej yang dihantar oleh Sachihiro itu seolah-olah menunjukkan yang dia sudah berada di rumah sedangkan dia belum. Adakah Sachihiro memang sengaja melakukan ini? Untuk apa?
Aku mati akal!
Melihat tangisan pakcik yang berada di depan aku itu, membuatkan hati aku semakin remuk. Tanpa aku sedari air mata aku mula mengalir juga.
Tidak lama kemudian, aku pun lantas memeluk ayah Sachihiro itu untuk menenangkan sedikit hatinya walaupun aku sendiri juga mengalirkan air mata. Belakang pakcik itu aku tepuk-tepuk perlahan.
"Tak apa, pakcik. Pakcik sabar, ya. Saya teman pakcik pergi balai polis untuk report."
Sachihiro...
Mana kau pergi?
To be continued...
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro