Bab 7
SYUKURLAH demamnya tak merebak. Dia pandang botol ubat yang ada di atas katil. Dekat dengan dia. Aira berjalan keluar. Suasana terasa hening. Yang menghiasi pendengaran hanyalah unggas hutan. Dia capai baldi. Rasanya dia boleh cari di mana anak sungai itu berada. Nazri pula entah ke mana. Orang gila itu juga tiada.
Perlahan-lahan, Aira menapak. Mengelak daripada ranting dan sesekali dia mendongak ke atas. Bimbang andai ada ular atau apa saja. Memikirkan dia di tengah hutan, segalanya boleh berlaku. Sudahnya, Aira letak baldi di atas kepala. Apa-apa jatuh, kepala aku selamat.
Dia senyum. Terus berjalan tenang, menikmati keindahan bunyi-bunyian unggas hutan yang berbisik sesama sendiri. Sesekali, perlu dia akui... Semua ini buat dia rasa tenang.
"Kau nak pergi mana?"
Langkah Aira mati. Rasa tenang sebentar tadi, musnah begitu saja. Suara kasar itu menahan dia. Dia toleh. Baldi yang ada di kepala diangkat. Daripada manalah lelaki ni muncul? Kejap ada, kejap tak ada. Tapi, satu yang mula buat dia yakin. Dia memang jauh daripada keluarganya.
Jauh. Boleh jadi... Aira matikan kata hati. Selagi tak cerap, tak boleh fikir bukan-bukan. Dalam keadaan macam ni, dia kena sentiasa stabilkan emosi dan fikirannya.
"Ambil air..." jawab Aira perlahan.
"Bukan nak lari?" Bibir lelaki itu tersungging dengan senyuman tajam.
"Kalau jalan ni boleh buat aku larikan diri, aku akan lari," jawab Aira. Datar.
Lelaki itu ketawa seraya menggeleng kecil. Ada hati nak lari. Tak tahu ke kau dekat mana ni, perempuan.
"Boleh..." Senyuman tipis terukir pada bibir lelaki itu. "Tapi, lepas tu kau kena berenanglah. Kau pandai berenang? Kalau pandai pun, larat?" Kening kirinya terjongket.
"Aku tak bodoh untuk tahu semua tu..." Aira ketap bibir. Dia dah tahu dia tak akan berjaya nak larikan diri. Dia terkepung daripada setiap arah.
"Memang kau tak bodoh. Kau terlalu bijak, Aira. Bijak mainkan hati dan perasaan orang..." Perlahan, lelaki itu berbicara sendiri. Dia tunduk seketika. Menyembunyikan rasa sebal.
"Mana kau tahu itu jalan nak ke sungai?" Dia alih pandangan pada Aira.
Aira pandang belakang. Jalan denai yang nampak selalu dilalui orang. Biarpun hanya ada tiga orang dekat sini.
"Ini nampak macam laluan. Aku hanya ikut sini..." Dia pandang lelaki itu.
Kening lelaki itu terjongket sebelah. Pandai pula kau fikir.
"Berani kau, ya?" sindirnya.
"Kalau aku nak takut, aku patut takut dekat kau. Kalau kata ada binatang buas, aku rasa kau lagi buas," bidas Aira lantas berpaling.
"Hey, perempuan!" marah lelaki itu.
Aira tak jadi melangkah. Dia mengeluh tipis. Boleh tak sesaat jangan ganggu ketenangan dia? Baru kejap tadi rasa tenang itu mengetuk hatinya. Rasa dia mula larut bersama alam semula jadi.
"Kau nak apa?"
"Aku bawa ni..." Plastik berisi makanan itu diangkat.
Wajah Aira berkerut.
"Lepas tu?" Sengaja dia tayang wajah tak bersalah.
"Kau jangan ejek aku, eh..." Telunjuk lelaki itu dah lurus. Kakinya juga mula mendekati Aira.
"Tak ejek pun. Aku tanya betul. Kau bawa tu untuk aku? Ke untuk kau? Kalau untuk kau, kau cakap dekat aku... Kenapa?"
"Aku lapar..."
Aira ledakkan tawa. Hingga basah juring matanya. Aduhai... Kelakarlah. Bila ketawa kuat macam ni hingga meleleh air mata, dia mula teringatkan seseorang.
"Kau tahu tak..." Aira masih cuba membendung tawanya. Semalam kata dia letak racun dalam sardin. Hari ni nak suruh masak? Tidakkah itu kelakar?
"Semalam kau kata aku nak bunuh kau dengan Nazri. Hari ni kau suruh aku masak? Kau ingat aku orang gaji kau." Aira kesat juring mata tapi tawa dia sukar nak berhenti ketika ini.
"Semalam kau masak aku tak tengok. Nazri dah tentu-tentu tak tengok. Hari ni, aku akan kawal kau sepanjang masa. Baru aku yakin untuk makan masakan kau..." Padahal semalam, masa Nazri paksa dia makan... Biarpun sesudu dia dapat rasa nikmatnya masakan dari rumah yang dah lama dia tak rasa.
"Sebab, kalau kau bubuh racun... Kita akan mati sama-sama dekat sini..." Lelaki itu senyum tajam.
Bahu Aira jatuh. Dia lepaskan nafas panjang. Bosannya nak bergaduh. Dekat rumah bergaduh dengan Airin, tak pernah menang. Sekarang ni, bergaduh dengan orang gila ni, lagilah tak menang.
"Aku masak. Tapi, dengan satu syarat..." Dah beberapa hari dia kat sini. Dia betul-betul nak tahu tentang sesuatu.
"Kau nak letak syarat dengan aku?" Sebelah kening lebat lelaki itu terjongket. Perempuan ni, amnesia ke apa? Hilang ingatan? Padahal orang dah cakap dah...
"Bukan aku dah cakap ke, dekat pulau ni..."
"Pulau?" sampuk Aira. Memanglah. Apa yang dia fikirkan tadi, betul gamaknya.
Lelaki itu diam. Terlepas kata. Dia hanya pandang Aira. Tak berkelip.
"Aku dah agak. Aku ada dekat pulau. Entah-entah pulau yang tak pernah orang jejak. Sebab tu, tak ada sesiapa." Wajah dia tunduk. Sebak mula mengetuk jiwa. Sejauh ini dia dibawa lari tanpa dia tahu kesilapan yang telah dia lakukan.
Tapi, Aira kembali senyum. Mengesat birai mata dan angkat wajah memandang lelaki itu yang makin dekat dengan dia. Dia juga malas nak berganjak. Untung batu, tenggelam. Untung sabut, timbul. Begitulah dia ibaratkan dirinya sekarang.
"Aku tahu syarat kau. Memandangkan ini tempat kau, aku kena terima semua. Tapi, adil ke bagi aku kau bawa aku sejauh ni untuk hukum aku atas kesalahan yang aku sendiri tak tahu?"
"Jadinya, syarat kau tadi tu adalah untuk tahu apa salah kau?" Bahu tegap lelaki itu terangkat bila dia hela nafas dalam. Dada bidang itu nampak sedikit berombak. Seperti memujuk sabar.
Perlahan-lahan, Aira angguk. Dada dia berdebar. Tangkai baldi dipegang kuat. Menggigit bibir bawah tak henti dengan mata yang terkebil-kebil. Bagai menanti dijatuhkan hukuman mati. Lama lelaki itu merenung dia. Sukar dia nak tafsirkan. Hampir lima minit berlalu, mereka masih di situ. Begitu. Tak berganjak.
"Kau masak dulu. Nazri pun dah lapar..." Lelaki itu menoleh dan berlalu tanpa menjawab soalan Aira.
"Tunggu!" jerit Aira.
Sebaik saja lelaki itu menoleh, dia terus berlari dan menerpa pada tubuh sasa itu. Baldinya lepas entah ke mana. Tangan diangkat dan saat mahu hinggap ke pipi yang menampakkan tulang itu, dia hentikan tindakannya.
Lelaki itu masih tenang. Aira menapak ke belakang selangkah.
"Kenapa kau tak halang?"
"Kenapa kau tak tampar?"
"Aku letih..." Aira mengeluh. Tadi, dia memang rasa nak tampar muka ni.
"Tahu pun letih..." ejek lelaki itu.
"Kalau letih, buat cara letih!"
"Aku letih sebab kepala aku semak dengan soalan. Macam-macam. Apa salah aku? Siapa kau? Kenapa kau buat aku macam ni?" Waktu ini, butir air mata Aira kembali luruh.
Lelaki itu hanya memandangnya. Kosong. Tanpa apa-apa perasaan. Jauh sekali belas simpati.
"Kau tahu tak..." Aira cari simpati dalam anak mata lelaki itu. Tapi sayang, memang tiada langsung.
"Aku tak tahu bila aku akan betul-betul bahagia. Lepas satu, satu ujian datang. Kalau dulu aku ada dia. Sekarang, setiap perbuatan kau buat aku ingat dekat dia. Dia tak pernah layan aku dengan buruk. Aku dah lama tak ketawa sampai keluar air mata. Dulu, hanya dia seorang boleh buat aku ketawa macam ni. Sekarang, bila aku jumpa lelaki macam kau, aku makin rindukan dia," cerita Aira.
Ya... Tadi masa dia ketawa, wajah dan nama Zariq muncul dalam kepala. Kerana itu dia ketawa. Bukan kerana lawak lelaki ini. Tapi, kerana ingatkan tawa yang pernah dia hamburkan bila bersama Zariq.
Kenapa tiada lagi lelaki yang seperti Zariq? Mana Zariq pergi tinggalkan dia sedangkan lelaki itu telah berjanji untuk tunaikan impian mereka bersama biarpun berlainan bidang.
"Sedangkan aku adalah kepercayaan dan keikhlasan pada dia. Tapi dia..." Aira akhirnya jatuh bersimpuh. Dia menangis semahunya. Segalanya makin membebankan. Makin berat. Sampaikan dia tak mampu nak menampungnya lagi.
Dia rindu ayah. Dia tahu sekarang, dia berada di negara jiran melihatkan plastik yang lelaki ini pegang dan tag pakaian yang lelaki ini belikan pada dia.
Mendengarkan kata-kata Aira, lelaki itu kerutkan wajah. Matanya merah. Dia makin yakin, memang Aira. Tapi, kenapa Aira? Kenapa kau renggut bahagia aku? Kala dia menyoal hati sendiri, Aira angkat wajah. Memandang dia bagai meminta simpati. Tapi, mana simpati yang Zariq minta dulu?
"Aku rindu ayah aku. Aku rindu Zariq..."
Dang! Seperti ditembak tepat ke hati, lelaki itu kaku di situ dengan pengakuan Aira.
MELIHAT Nazri makan, Aira senyum. Nampak berselera. Hari ini, berlaukkan ikan. Segar pula tu. Manalah lelaki gila itu beli? Boleh jadi di tanah besar. Dia tak tahu di sebelah mana dari sini. Biasanya kalau ada pulau-pulau kecil seperti ini, dia masih ada di selatan Thailand. Macam mana lelaki itu bawa dia menyeberang pun dia tak tahu. Tanpa pasport, tanpa kad pengenalan. Boleh jadi dia diseludupkan melalui jalan sungai. Jadi pendatang haram di negara orang.
"Nak lagi?" tanya Aira bila nampak pinggan Nazri hampir licin.
Nazri geleng. Tangannya ditunjuk pada Aira.
"Kakak?"
Nazri angguk.
"Kakak makan nanti. Lagipun, masih ada beberapa jam sebelum kakak dapat makan. Kakak tak nak bos gila kau tu, melenting. Kakak letih sangat nak melayan dia. Tanya soalan tak jawab." Sesekali, Aira melingas ke seluruh kawasan.
Manalah lelaki itu pergi. Tadi, hanya tinggalkan plastik itu begitu aje. Melangkah tanpa menoleh lagi. Bila dia kembali ke pondok, Nazri sedang penuhkan air dalam tempayan. Dia terus singsing lengan baju, menghidupkan api dapur kayu. Kemudian, terus masak. Lauk ini hanya boleh masak sekali. Esok, kalau lelaki itu tak datang dia hanya akan makan nasi dengan telur saja.
Argh... Cukuplah. Dalam keadaan ini tak boleh nak meminta lebih. Malah, dia pernah didenda makan sisa saja sewaktu zaman remajanya. Apalah sangat yang dia hadap sekarang. Malah, rasanya lebih indah. Tiada suara mama memetir. Tiada hinaan Airin. Bila malam, dia dibiarkan sendiri ditemani unggas. Tapi, rindu dengan nasihat ayah. Rindu juga nak bercerita dengan Kak Su. Sunyinya kian terasa.
"Suruh aku masak, dia hilang. Patut aku betul-betul bubuh racun!" bebel Aira sendiri.
Nazri tekup mulut. Terbelahak. Aira ketawa. Kelakarlah!
"Kau takut kakak bubuh racun sungguh ke?" Dia masih lagi dengan tawanya.
Nazri kelu. Memandang pinggan yang dah kosong.
"Jangan risaulah, Yie. Kakak tak gila macam bos kau nak seksa orang. Kalau kakak nak seksa orang pun, dia sorang aje. Kau tak salah," ujar Aira lantas dia bangkit mengambil segelas air untuk Nazri.
"Nah, minum..." suruh Aira bila dia kembali duduk.
"Kakak tanya kau boleh, Yie?" Aira cuba nak korek rahsia. Biarpun dia tahu, Nazri pasti tak akan pecah rahsia.
"Apa salah kakak dekat bos kau tu? Setahu kakak, selama kakak membesar ni... Kakak ada sorang aje kawan. Itu pun dia dah tinggalkan kakak. Kakak memang pelik sangat. Atau dia sebenarnya dendam dengan Airin?" soal Aira lebih pada diri sendiri.
Nazri mengerutkan dahi. Menggeleng. Tanda tak faham.
"Airin tu, adik kakak..."
Kepala Nazri mengangguk beberapa kali tanda faham.
Aira tongkat dagu. Memikir sedalam-dalamnya. Boleh jadi betullah apa yang dia telah sebelum ni. Lelaki ini putus cinta dengan Airin. Lepas tu, nak balas dendam dekat Airin, diculiknya dia. Tapi, tak ada pula dia sebut nama Airin.
"Kau pernah dengar dia sebut nama Airin?"
Nazri menggeleng.
"Nama Aira?"
Kali ini Nazri angguk. Aira mengeluh. Berat keluhannya kali ini. Gamaknya, memang dia salah tanggapan. Ini tiada kena-mengena dengan Airin tapi memang silap dia. Tapi, apa?
"Yie!"
Aira menoleh. Lelaki itu sedang berdiri di bawah pondok. Memandang dia dan Nazri yang sudah berdiri tegak.
"Balik. Hari dah lewat ni. Biar perempuan tu sorang-sorang. Dia kata dia lagi suka binatang buas..."
Aira bulat mata.
"Eh, mulut kau tu! Jangan cabul sangat!"
"Kau mana nak? Aku cabul kau atau aku cabul mulut aku sendiri!" bidas lelaki itu dengan senyuman meluat.
"Oh, jangan risau. Aku tak ambil bekas orang!" tambahnya lagi. Sengaja nak naikkan darah perempuan tak guna ni. Dia terus berlalu diikuti oleh Nazri.
Aira yang mendengarkan ayat terakhir itu juga bingkas bangun. Dia menapak laju menuju pada lelaki itu.
"Hey!" Saat lelaki itu menoleh, penampar sulungnya hinggap tepat ke pipi itu hingga lelaki itu tertoleh ke kanan. Nafas Aira mengah.
"Kau boleh kata apa saja. Tapi, kau tak boleh cakap aku ni bekas orang! Sepanjang hidup aku, kau orang pertama pegang kulit aku, tahu tak? Satu-satunya lelaki yang aku sayang itu pun, tak pernah sentuh aku pada hujung jari! Jadinya, kalau aku ni bekas orang... Orang tu adalah kau! Faham!" jerkah Aira.
Nazri dah ke tepi. Kecut.
Mata Aira bersinar galak. Merah basah. Marah dan sedih berbaur menjadi satu. Lelaki ini terlalu melampau hingga menghina maruah dia. Ingat dia apa?
Lelaki itu berlagak tenang. Pipinya tetap terasa pedih ditampar tangan kecil itu. Tapi, apalah sangat. Rasanya, hanya seperti digigit semut api. Aira hanya tunaikan hajat yang tak kesampaian tadi.
"Aku anggap kau dah lepaskan niat kau yang terbantut tadi..." ujar lelaki tu tanpa rasa bersalah.
Biarpun kata-kata Aira sedikit membuat hatinya terbersit. Aku lelaki pertama sentuh dia? Dia bekas aku? Lelaki itu gelak sendiri. Menggeleng berkali-kali. Tak sangka Aira boleh berkata demikian sedangkan...
"Kalau aku lelaki pertama yang pegang kau, habis tu... Zariq pula mana kau nak letak? Berapa kali dia perlu sentuh kau untuk siapkan berpuluh-puluh keping potret milik kau? Hah?" Kali ini, giliran dia pula menyinga.
Tapi, nampaknya Aira langsung tak kecut. Sebaliknya, ternganga sendiri. Terkejut gamaknya.
"Aku hanya sebut nama Zariq. Tapi, aku tak cakap dekat kau dia pelukis. Dan, potret aku..." Aira dekati lelaki itu. Ditilik wajah itu dalam-dalam.
"Kau siapa sebenarnya?"
"Aku adalah hakim yang akan jatuhkan hukuman pada kau, Aira..." jawab lelaki itu dekat dengan cuping telinga Aira sebelum dia berlalu pergi.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro