Bab 6
DAH tengah malam. Tapi, Aira tak dapat agak pukul berapa sekarang. Jam dia tiada lagi di pergelangan tangan. Bunyi unggas dan serangga sedikit membuat hati dia kecut. Dia tahu, dia dibawa ke tempat yang jauh. Cuma, tak tahu di mana. Boleh jadi juga, dia memang akan habiskan sisa hayat dia di sini. Dalam pondok usang ini. Yang hanya berdinding kayu dan beratap rumbia.
Sejak tadi, tak henti-henti dia menepuk seluruh badan sendiri. Selimut yang ada tak mampu menghalang nyamuk daripada terus menggigit tubuhnya. Rasanya, seluruh tubuh dia akan merah. Malah, luka di betis dan lututnya juga mula terasa pedih. Gamaknya dah kena jangkitan.
Aira angkat tubuh. Pelita itu dibawa dekat ke katil. Disuluh tempat yang sakit. Ya, dah nampak sedikit nanah muncul. Dia perlukan antiseptik dan antibiotik sekarang. Kalau tak, dia boleh jatuh sakit.
Luka itu dilapkan dengan tuala. Ditekapkan perlahan. Pedih. Aira berdesis panjang. Dia hanya mampu pandang lukanya. Tiba-tiba, dada dia berdebar bila terdengar derap tapak kaki. Nazri ke? Sejak beberapa malam dia di sini, rasanya Nazri tiada. Dia mahu bangkit mendekati pintu. Kotlah dia lupa nak kunci. Biasa, setiap malam dia akan selak pintu kayu itu biarpun dia tahu, sekali kena tendang aje memang akan menyembah bumi.
Bila pintu itu terkuak bersama sedikit cahaya dan berserta bunyi yang berkeriuk, ia begitu menakutkan. Aira rebahkan tubuh. Dia berselubung. Sekujur tubuh yang menggigil dipujuk agar diam.
Aira tekup mulut sendiri. Dalam hati berdoa tak sudah agar tetamu yang tidak diundang ini mungkin Nazri ataupun lelaki itu. Namun, dia tetap kecut. Setidak-tidaknya, dia tahu Nazri tak akan berani apa-apakan dia kerana takutkan lelaki itu. Biarpun tak suka, lelaki itu tak mungkin akan sakitkan dia dengan cara kotor macam ni.
Kelopak mata terkatup rapat. Sekujur tubuh yang menggigil makin tenang. Dia tolak sedikit selimut yang menutup seluruh wajahnya. Mengintai di balik lampu pelita yang samar-samar.
Lelaki tu! Aira hampir menjerit tapi bila lelaki itu menoleh, dia cepat-cepat pejam mata. Buat-buat tidur. Sesekali, dia tepuk lengannya yang digigit nyamuk. Menggaru setiap tempat yang dihinggapi serangga halus itu. Menyakitkan hati. Sama dengan lelaki gila ni. Begitu menyakitkan hati.
Bila dia yakin mata itu tidak lagi memandangnya, Aira buka mata. Lama dia perhati lelaki itu menggantung kelambu. Dia hampir menangis bila akhirnya, kain kelambu itu menutupi kawasan tidurnya.
Rupa-rupanya, hati lelaki ini bukanlah dicipta daripada kerikil. Tapi, hati seperti dia juga. Apa yang buat lelaki ini begitu keras dan sekarang... Seperti dua orang berbeza.
"Jangan ingat aku ada simpati dekat kau, perempuan!" Suara lelaki itu berbisik halus di sisi katil Aira. Berbicara sendiri.
Entah kenapa, suara itu kedengaran begitu sayu. Tak seperti kebiasaannya. Kata-kata itu, sepertinya lelaki ini mahu berkongsi sesuatu.
"Aku tak akan biarkan kau mati dengan cara yang mudah, Aira. Kau perlu terseksa sama seperti aku. Kau adalah tertuduh dalam kes ini, Aira," tambahnya dan berlalu keluar sambil merapatkan daun pintu.
Setelah dipastikan lelaki itu menjauh, Aira tolak selimut hingga ke paras pinggang. Dia pandang kelambu yang dah selamatkan dia daripada serangan nyamuk. Yang akan memberikan dia tidur yang sedikit lena. Membiarkan dia dapat bermimpi indah pada malam hari biarpun siangnya segala keperitan itu adalah nyata.
Daripada apa yang lelaki itu katakan, sepertinya dia telah lakukan perkara yang begitu teruk. Yang terkutuk. Yang tak boleh dimaafkan. Yang menjadi persoalannya, kenapa? Adakah sebab Airin? Lelaki ini juga menjadi salah seorang mangsa Airin? Hinggakan dia yang dijadikan tempat membalas dendam?
Argh... Aira mengeluh. Lemah semangatnya. Lelaki ini pernah mencintai Airin gamaknya. Andai telahan dia betul, tidaklah pelik bila dia menjadi mangsa. Dari dalam rumah, hingga ke luar rumah dia perlu tanggung segala kesan perbuatan Airin. Tapi, masalahnya... Betul ke?
Aira bangun. Dia pegang kelambu. Lembut. Seperti baru. Tak sedar, dia koyak senyum. Entah apa yang menggembirakan hati setelah mendengar kata-kata lelaki itu tadi. Padahal dia akan menjadi banduan lelaki itu buat selamanya.
Tapi, jika itu ketentuan... Dia pasti akan mampu menghadapinya. Jika benar dia salah, dia akan akur menerima segala hukuman. Tapi, jika dia tidak bersalah... Dia yakin Tuhan akan bantunya.
Aira kembali rebahkan tubuh. Kali ini, lenanya datang tanpa dijemput. Bersama keindahan memori semalam yang makin dia rindu. Memori bersama Zariq. Tapi, tak kurang juga memori yang mahu dia lupuskan daripada ingatan. Cuma, tak pernah berjaya.
DARIPADA tadi, Airin senyum. Aira buat muka. Malas betul nak layan kalau tiba-tiba Airin koyak senyum begitu lebar. Adalah tu nak minta sesuatu. Aira mahu berlalu. Dia masih ada kuliah ni. Lagipun, dia dah janji dengan Zariq nak keluar awal. Sebelum kelas, makan dulu. Tambah pula, Zariq free hari ni. Dia pula hanya ada satu kelas. Lepas tu, mereka akan buang masa sama-sama.
"Kau nak aku hantar?"
Aira kerut kening. Tiba-tiba aje.
"Kau nak apa sebenarnya ni?" Aira dah buat muka.
"Kau ni, aku nak buat baik pun kau nak syak bukan-bukan, kan?" Airin peluk tubuh sambil melihat kukunya yang baru dirias semalam.
"Masalahnya, kau tu kalau buat baik dengan aku... mesti ada sebab, kan?"
Tawa Airin lepas. Aira memang kenal dia. Tapi, seperti biasalah. Bila mahukan sesuatu dia perlu korbankan sesuatu.
"Dan kau juga kena ingat, apa yang mama dan ayah dah buat untuk kau hingga sekarang..." Kening tipis Airin naik. Sengaja dia ingatkan Aira.
Jangan mudah lupa tentang hakikat itu!
Serta-merta Aira diam. Tunduk seketika sebelum kembali memandang Airin. Dia sabarkan hati. Apa nak kata, inilah bahagian dia dalam rumah ni.
"Kau nak aku tolong apa?" Rasanya, dia dah buat semua untuk Airin. Malah, dia yang minta tolong Zariq carikan agensi modeling untuk Airin memandangkan Zariq ada kenal beberapa orang dalam bidang tu.
Masa itu, pujian dia tentang Airin melambung. Walaupun duit yang kononnya ayah nak bagi untuk dia belajar digunakan untuk beli kereta untuk Airin. Dia tetap tak merungut. Bukan hak dia. Pernah, dia bersengkang mata menyiapkan kerja rumah Airin sejak Airin sekolah lagi. Tak lupa bila dia jadi kuli pada adik sendiri. Membeli setiap apa yang Airin mahukan. Menyiapkan makanan serta pakaian.
Kali ini, apalah sangat yang Airin minta. Dia akan tunaikan sekiranya ini yang mampu buat dia membalas jasa.
"Kau tak cakap pun kau ada kawan lelaki yang handsome..."
Dahi Aira berkerut. Siapa? Serta-merta dia teringatkan Zariq. Memang Zariq kacak. Malah, semua orang cemburu dengan dia sebab berjaya rapat dengan lelaki yang menjadi sebutan di kampus. Tapi dia dan Zariq, hanya kawan baik.
"Kau boleh minta apa saja, Airin. Tapi, bukan Zariq..." larang Aira. Kerana dia tahu. Airin mata keranjang.
Bermusim.
Jika sesuatu itu menjadi sebutan, dia akan berusaha untuk dijadikan miliknya. Tapi, Zariq manusia. Yang baik. Dia tak nak Airin sakiti hati Zariq walaupun seinci. Lagipun, dia faham sangat. Airin tak boleh tengok dia lebih sikit. Semuanya nak direnggut.
"Aku tak nak kau..."
"Hey, perempuan tak kenang budi!" herdik Airin.
"Aku cuma tanya. Yang kau bersungguh ceramah dekat aku kenapa? Kau jealous? Kau takut kawan kau tu tak ada masa untuk kau?"
Nafas berat lepas. Mesti Airin nampak masa Zariq datang hantar dia semalam dengan sebuah Audi S5 merah garang. Kata Zariq, kereta pinjam. Dia tak kesah. Lagipun, mereka sama-sama teruja ada dalam kereta mewah itu semalam.
"Dia lelaki baik, Airin..."
"Habis tu, kau nak kata aku jahat? Tak boleh kawan dengan dia?!" bentak Airin kuat.
"Kenapa tu?" Mama menjenguk dari atas. Terkejut bila suara Airin bergema di ruang tamu.
"Aira ni, ma... Airin cuma tanya nama kawan dia... Tapi dia kata Airin macam-macam..."
"Airin! Bila masa aku..." Aira meninggi suara tapi tak jadi meneruskan kata bila mata mama terjegil luas. Dia menikus.
Airin senyum. Terasa menang gamaknya.
"Tak boleh ke Airin berkawan juga dengan kawan kau?" Mama dah ada bersama mereka. Menyinga pada Aira.
"Bukan tak boleh, ma... Tapi..."
"Kau takut kawan kau jatuh cinta dekat Airin?" tambah mama.
Aira telan liur. Jatuh cinta bukan masalahnya. Tapi, dia takut Airin mempermainkan cinta tu.
"Kejap lagi dia datang jemput..." beritahu Aira perlahan. Dengan hati yang berat.
Airin melompat suka.
TUBUH Aira mula panas. Hembusan nafas juga dah membahang. Dia demam. Tapi, dia angkat juga tubuh. Keluar dari bilik. Tekak yang kering, perlu dibasahkan. Tubuh dia benar-benar kekurangan air. Biarpun dia tahu masa untuk dia dapat makanan dan minuman masih jauh untuk tiba.
Sebaik saja pintu kayu itu ditolak, Aira menuju ke tempayan. Air yang diguna untuk membasuh pinggan itulah yang akan dia teguk. Dia tahu air ini air sungai. Bersih atau tidak, dia dah tak kesah. Janji dia dapat minum.
Sebuah bekas saiz kecil dicapai. Dia mengintai ke dalam tempayan. Airnya ada di bawah. Terlalu cetek. Rasa susah nak dicedok. Tapi, rengkung yang begitu gersang, perlu dibasahkan.
"Tolonglah. Seteguk pun jadi..." Aira berbisik sendiri. Membongkok dan akhirnya, dia berjaya cedok sedikit air daripada tempayan gergasi itu.
Ulas bibir yang kering, pecah dengan senyum. Pedih! Birai bekas itu didekatkan ke bibir. Tapi sayang... Tak sempat nak dia teguk, bekas itu lepas daripada tangan. Ditepis. Aira hela nafas. Memandang bekas itu lama. Kemudian, menoleh ke kanannya.
"Kenapa kau tepis bekas tu?" soal Aira perlahan. Tak larat nak menjerit.
"Kau ingat tak yang kau hanya boleh makan dan minum sekali aje dalam dua puluh empat jam. Rasanya, lewat petang semalam kau dah makan, dah minum. Ini..." Lelaki itu pandang jam di pergelangan tangan. Menggeleng kecil.
"Baru empat belas jam. Masih ada sepuluh jam untuk kau dapat makan minum!" Sebenarnya dia tak nak Aira minum air tu. Dah beberapa hari dalam tu. Air di dasar guri pula tu. Nanti kena penyakit lain pula.
Lantaklah kalau Aira nak kata dia kejam pun. Dia memang suka begitu. Aira lagi berganda kejam!
"Ya... Aku tahu..." Urat leher Aira bagai timbul bila dia telan liur tak henti-henti. Dia terus menoleh. Malas nak bertekak. Biarlah dia lena untuk seketika bagi mencari tenaga. Kejap lagi dia akan dikerah buat itu ini.
"Kau nak pergi mana?" Suara kasar itu menahan langkah Aira.
"Nak tukar baju. Dekat sini, nak makan kena buat kerja, kan?" soal Aira tanpa menoleh. Dia terus masuk ke bilik. Dirapatkan pintu.
Baju kotor semalam disarung ke tubuh. Seketika, dia keluar semula. Sebuah baldi dicapai. Dia tahu apa yang perlu dia buat. Dia perlu angkat air daripada mana entah memandangkan tempayan itu sudah hampir kosong.
"Air dah tak ada. Boleh bagi tahu kat mana aku boleh angkut air?"
Dahi lelaki itu berkerut. Dah kenapa perempuan ni jinak sangat ni? Dia renung tubuh Aira. Sesekali, nampak menggigil. Kemudian naik pada kepala Aira. Rambut panjang perempuan ni nampak kusut-masai. Semak. Macam orang gila! Kalau gila betul, puas pula hati aku ni! Wajah putih kuning itu nampak pucat.
"Sungai tu dekat belakanggg sana." Saja dia bagi isyarat dekat Aira yang memang sungai itu jauh sikit. Larat ke tubuh halus itu nak bekerja kuat? Sedangkan selama ini dilayan persis puteri.
"Ya. Aku pergi angkut air..." Dalam kepala salah satu sebabnya, dia mahu teguk air itu hingga hilang dahaganya. Dia mahu rendam seluruh tubuhnya di dalam air yang sejuk moga suhu badannya turun dengan cepat. Dia demam kerana jangkitan pada lukanya.
"Kau rasa kau kuat sangat ke?"
"Kuat atau tak, aku perlu buat kerja. Bukan itu ke yang kau nak?" soal Aira menyindir.
Dia atur langkah. Nak turun dari pondok ini tapi lengannya dipaut kasar. Baldi plastik itu jatuh. Dia toleh lelaki itu dan wajah lelaki itu berkerut padanya. Seboleh-bolehnya, Aira tak mahu melawan. Dia risau dia pengsan. Ini pun pandangan mata dia sudah sedikit berbalam. Dahlah tubuh panas, sekarang hati pula panas. Makin bertambah suhu tubuh dia dengan perangai lelaki gila ni.
"Kau ingat, kau boleh buat kerja dalam keadaan kau macam ni?" Lengan Aira dilepaskan. Kasar. Terkejut bila menyentuh kulit Aira. Panas.
Perempuan bodoh ni tak makan ubat ke apa? Tak silap semalam, dia dah letak ubat atas katil tu.
"Jangan risau. Aku tak akan mati setakat sakit sikit..." Aira tunduk nak capai tangkai baldi bila pinggangnya diraih lelaki itu.
"Eh... Apa kau nak buat ni?" Aira cuba menepis tapi kudrat yang tak seberapa membuatkan dia mudah saja diheret masuk ke bilik.
Tubuh yang sedia lemah, ditolak jatuh ke atas katil. Wajah Aira yang pucat, bertambah pucat bila lelaki itu mendekati. Dia peluk tubuhnya sekuat hati. Merenung wajah lelaki itu yang makin rapat dan tiada tanda untuk berganjak.
"Ini..." Tak semena-mena, satu plastik dicampak tepat ke mukanya.
"Aduh..." Aira gosok dahi.
"Kau ni..." Suara Aira mati bila dia pandang isinya.
"Itu ubat. Aku tahu kaki kau luka. Sapu ubat tu. Lepas tu, makan antibiotik. Tapi, rasanya kau tak bodoh sangat, kan? Ubat tu kena telan lepas makan. Dekat luar tu, aku ada bawa makanan untuk kau. Kau telan semua makanan tu jangan tinggal sebiji nasi pun. Lepas tu telan ubat. Aku tak nak kau susahkan aku dengan Nazri dengan sakit kau tu. Banyak lagi kerja yang kau kena buat untuk aku dekat sini! Faham?!" beritahu lelaki itu keras.
"Dan ini!" Kelambu itu direntap. Sekali rentap aje satu ikatannya putus.
"Kau jangan ingat kau memang dapat layanan tuan puteri dekat sini. Ini tempat aku. Hanya undang-undang aku yang berkuasa dekat sini. Hanya kata-kata aku yang boleh dipakai kat sini. Jangan ingat sekali aku datang pasang kelambu ni untuk kau, tiap-tiap malam aku akan pasang. Lepas tu, dah pagi... Tak reti nak lipat? Kau kena ingat. Kalau kelambu ni koyak, aku koyakkan pakaian kau! Senang kau tidur tak payah pakai kelambu, tak payah pakai baju! Ingat tu!" Terus lelaki itu keluar dari situ. Membiarkan Aira sendiri.
Dia memandang pintu yang tak ditutup rapat. Makna kata betullah. Hati lelaki ini masih sama dengan dia. Bukan hati batu!
Tak sedar, Aira senyum.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro