Bab 5
TANGAN Zariq ligat membawa berus itu menari di atas kanvas. Suasana matahari terbenam dan seseorang yang sedang berenang di bawah sinar keemasan suria nan senja, dilakarnya dengan penuh cermat. Nak diabadikan di atas sekeping kertas.
Sebaik saja lelaki itu berlari ke arahnya setelah berhempas-pulas melawan arus ombak, Zariq tersengih. Lukisan itu siap sebaik saja dia noktahkan dengan tandatangannya. ZRQ.
"Cantik?" soalnya.
Modelnya angguk. Sejak dulu, inilah model tetap. Dalam keadaan paksa atau rela. Lelaki itu senyum lebar. Nampak menarik tapi dia tak reti pasal lukisan. Tak tahu nak nikmati. Selalu Zariq kutuk. Tapi, dia... Katalah apa saja. Dah memang tak reti.
"Riq betul nak sambung belajar ke Itali?" tanya lelaki itu sambil mengelap kepala.
Zariq angguk.
"Tunggu scholarship..."
"Hey... Apa guna abang usahakan semuanya kalau Riq nak tunggu scholarship? Abang tanya ni sebab abang boleh hantar Riq bila-bila masa aje. Riq cakap aje bila, abang dah sediakan semuanya. Janji, Riq nak belajar dan seronok. Pada abang, tiada apa lagi yang penting, melainkan Riq..."
Senyuman Zariq lebar. Dia nak pergi segera kalau boleh. Tapi, dia dah janji dengan Aira untuk sama-sama tamatkan pengajian asasi. Aira pun bukan calang-calang asasi. Undang-undang lagi. Tough juga tu. Tapi, Aira tu bijak. Senang dapat penaja. Kalau dia minta abang jadi penaja Aira, boleh ke ah?
Zariq sengih tiba-tiba.
"Kalau Riq minta abang taja seseorang ni, boleh tak?"
"Nak taja siapa?" Dahi lelaki itu berkerut lebat tapi dia ketawa kemudiannya. Apa sajalah untuk Zariq walaupun dia rasa permintaan Zariq ni pelik.
"Adalah seseorang ni. Tapi, nantilah dulu. Tunggu dia habis asasi. Riq nak temankan dia. Lepas tu, Riq pergi..."
"Hai. Sampai tahap tu Riq suka dia? Sampai sanggup buang masa?" Zariq sebenarnya dah dapat tempat di salah sebuah universiti di Itali. Tak perlu penaja pun. Dia mampu tanggung segalanya untuk Zariq.
Segala kekayaan yang dia ada, hanya untuk Zariq. Untuk dia, cukuplah kebahagiaan Zariq.
"Seseorang tu, girlfriend ke?"
Zariq ketawa dengan telahan itu.
"Girlfriend tu maksud dia, kawan perempuan, kan? Dah itu maksudnya..." Zariq jeda dan angguk. Aira memang kawan perempuan dia.
Seketika mereka menyepi bila suara camar memecah hening petang hari. Zariq kemas kanvasnya. Dikelek. Kemudian memandang pada lelaki itu.
"Riq bahagia?"
Zariq angguk. Dia memang sangat bahagia.
"Dia buat Riq bahagia?" Soalan itu menusuk lagi.
Kali ini, Zariq ketawa. Ketawa dan terus ketawa.
Hati lelaki itu lapang. Inilah bahagia yang dia inginkan buat Zariq. Rasa tak sabar pula nak tengok wajah perempuan yang dah berjaya takluk hati Zariq. Makna kata lepas ni, dia perlu berkongsi Zariq dengan perempuan lain?
Argh... Ada rasa cemburu. Tapi, senyuman Zariq... Tak ternilai.
MATA dibuka. Nazri muncul depan mata.
"Kenapa?" soalnya sambil memicit pelipis. Penat. Penat badan, penat emosi.
Bila Nazri menunjuk isyarat makan, dia angguk. Bangkit dan menggeliat. Kemudian, bahu Nazri disapa.
"Kau dah makan?"
Nazri geleng.
"Jom makan sama..." Mereka sama-sama menuju ke meja makan tapi kosong. Dia pandang Nazri.
Tapi, Nazri senyum. Mengisyaratkan. Bukan di sini, tapi di pondok sana.
"Kau nak aku makan dengan perempuan tu?" Wajahnya mula menampakkan riak marah.
Bila Nazri diam dan tunduk, dia lepaskan nafas berat. Tiada niat nak tinggikan suara pada Nazri tapi mana mungkin dia duduk makan semeja dengan perempuan yang paling dia benci di dunia?
"Kenapa tiba-tiba ajak aku makan dekat sana? Sedap sangat ke perempuan tu masak?" Emosinya berjaya dikawal semula.
Nazri angguk laju. Ibu jarinya tegak.
Dia ketawa kecil. Sedap apalah sangat bila dalam karung itu hanya ada beras, sedikit bawang, beberapa tin sardin dan telur.
"Kalau gitu, kau pergilah makan. Aku makan sorang. Jangan risau dekat aku..." ujarnya menyuruh Nazri pergi.
Lama Nazri berdiri di situ. Pandangan penuh memujuk biarpun dia tahu, tiada siapa lagi mampu pujuk hati keras lelaki ini. Akhirnya, Nazri beralah. Pergi ke pondok yang jaraknya seratus meter di belakang rumah ini.
Dia labuhkan duduk sebaik saja Nazri hilang daripada pandangan. Memicit kepala kemudian meraup wajah. Mimpi dia semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Semakin kerap. Semakin jelas. Semakin mencucuk hati.
Matanya terbuka tiba-tiba. Dia pandang ke pintu yang dah terkatup rapat. Nazri! Laju dia bangkit dan berlari mengejar Nazri. Ada sesuatu yang jadi kerisauan dalam kepala dia.
Lariannya makin laju namun masih berhati-hati. Tak mahu tersungkur kerana jalan lecak lepas hujan malam tadi. Tambah pula suasana dah makin suram bila malam dah mula menjelma. Sebaik saja dia tiba, dia nampak Nazri dah hampir menyuap nasi ke mulut. Larian dia makin deras. Serentak itu dia tepis tangan Nazri. Pinggan yang berisi nasi dan lauk sardin itu juga tertepis sama.
Nazri bangkit. Terkejut. Terpinga-pinga dia pandang bosnya.
Aira apatah lagi. Hanya pandangan benci dilemparkan pada lelaki gila ini. Penumbuk digenggam kemas. Ikut hati, dia nak cakar aje wajah tampan tu. Biar tinggal parut sampai bila-bila.
Biar kau ingat perbuatan aku dekat kau sampai kau mati, jembalang! Huh.
"Kau ni dah kenapa, hah? Kau tahu tak, Nazri baru nak makan?" jerit Aira.
"Eloklah baru nak makan. Tak makan lagi. Aku tak nak kau perdayakan Nazri. Kenapa? Kau ingat dia tak boleh bercakap, dia tak ada akal nak fikir?"
"Hah?" Aira ketawa kecil. Kelakarnya la hai. Apalah yang lelaki ni fikir tentang dia, ya? Bila masa dia memperdayakan Nazri?
"Aku tak tahu kau nak cakap apa? Perdayakan apa?" Lawak betul manusia sorang ni. Sampai ke tahap tu dia fikir.
"Nazri nak makan aje. Kenapa? Kau ni hati jenis apa, hah? Sampaikan pekerja kau sendiri pun kau tak bagi makan? Lepas dia buat semuanya untuk kau?" herdik Aira. Berani. Lantaklah kalau pinggan plastik ni nak melayang atas muka dia pun. Dia tak kesah.
Dahlah perut lapar. Penat pula tu. Nak makan, jadi macam ini pula. Dia pandang wajah Nazri. Hampa.
"Eh, kau jangan tuduh aku macam kau kenal aku..." Jari telunjuk lelaki itu lurus ke wajah Aira.
"Kenapa?" Aira dongak. Menadah wajahnya bawah pandangan lelaki yang dia tak pernah tahu namanya. Jari kasar itu ditepis.
"Kau terasa ke? Sebab betul, kan? Oh... Kau kutuk aku, boleh pula. Aku kata kau sikit, kau kata jangan..." Sengaja Aira peluk tubuh.
"Hey, perempuan!" Rahang Aira dicengkam.
Wajah penat itu berkerut. Tangan Aira cuba menolak tapi cengkaman itu seperti sengaja ditekan, lantas dia biarkan saja. Rahang dia dah rasa nak remuk.
"Kan aku dah cakap. Kau tak ada hak apa-apa pun sekarang. Jauh sekali nak tuduh aku macam-macam. Kalau kau nak tahu, aku sentiasa layan Nazri baik sebab dia baik dengan aku. Tapi, aku layan kau jahat... Sebab kau jahat. Aku cuma risau kau letak racun dalam makanan ni. Kau suruh Nazri pujuk aku makan, mesti sebab kau dah bubuh racun, kan? Tapi, aku tak nak. Kau bagi Nazri makan. Betul tak?"
"Hey, lepaslah!" Aira kumpul semua tenaga dan menolak tangan kasar itu. Dia menapak ke belakang beberapa langkah. Menggosok rahangnya.
"Kalau kau nak gila, kau gila sorang-sorang. Kalau kau nak kebulur, kau kebulur sorang-sorang. Kau ingat aku ni macam kau, nak racun orang? Kalau kata aku nak bunuh kau... Aku tak akan bagi kau racun. Aku akan tikam tepat dekat jantung kau. Masa tu, aku akan pandang mata kau! Aku akan senyum depan kau. Aku akan tekan pisau tu sampai tembus ke belakang badan kau. Aku akan cakap dekat kau, aku puas hati! Kau dengar tak?" marah Aira dengan suara yang nyaring.
Lelaki ini memang benar-benar sakit jiwa. Tergamak tuduh dia nak racun Nazri. Apa yang dia ada dalam pondok serba daif ni? Dia masak apa yang ada. Jangan kata nak dapat racun, setitis air minum pun susah.
Mendengarkan kata-kata Aira, lelaki itu hilang kata buat seketika. Hanya merenung mata merah Aira. Pandangan itu bukan lagi pandangan takut seperti kali pertama tapi pandangan marah yang meluap-luap.
"Kalau kau takut sangat aku bunuh Nazri, biar aku makan semua ni. Senang. Aku bunuh diri sendiri. Tak payah nak sakit hati jadi tahanan kau dekat sini!" Aira dekati meja kayu usang itu. Dia duduk dan baru saja nak suap nasi ke mulut, tangannya dipegang. Kejap.
"Jangan, Aira!" Lelaki itu ketap rahang. Menggeleng berkali-kali.
"Kenapa kau halang aku nak makan? Kau bukan ke nak aku mati?" tanya Aira tak dengan nafas naik turun menahan amarah yang sedang membakar. Langsung dia tak fikir kesannya selepas ini.
"Aku tak nak kau mati sebab racun ni, Aira..." Waktu ini dia memang benar-benar yakin Aira dah letak sesuatu dalam makanan ini. Perempuan ni memang tak boleh percaya!
Aira ternganga beberapa saat. Menggeleng sendiri.
"Aku lapar, kau tahu tak? Aku lapar!" Mata Aira dah mula basah. Kebengisan dia tadi hanya seketika. Dia kini dah hampir merayu. Dia tolak tangan lelaki ini. Terus disuap ke mulut hingga licin sepinggan. Bersama titisan air mata yang tak berhenti. Susah untuk dia telan. Dia paksa dirinya. Dia perlukan tenaga. Perlu hidup. Hanya itu yang dia tahu.
"Aku tak mati, kan?" Matanya mencerlang tajam pada lelaki ini. Aira bawa pinggannya ke tempayan. Nak dicuci. Tapi, sempat dia menoleh.
"Lagipun, aku tak hadap nak ajak kau makan kat sini. Nazri yang nak kau makan sebab takut kau mati kebulur. Pada aku, senang kalau kau betul-betul mati kebulur! Daripada kau buat aku macam ni! Satu hari nanti, kau akan sujud dekat kaki aku minta maaf dan masa tu, kau jangan harap aku akan maafkan kau!" marah Aira sebelum dia masuk ke dalam bilik dan menghempas pintu kayu itu kasar.
Dia duduk di atas katil. Air mata dia jatuh.
Apa dosa aku, Tuhan?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro