Bab 4
KERESAHAN Azman tak usah diucapkan dengan perkataan. Semuanya dah jelas tergambar. Hampir dua hari Aira tak balik rumah. Tak pernah pula budak ni buat perangai. Dia benar-benar syak sesuatu telah berlaku pada Aira tapi nak repot polis, masih tak cukup empat puluh lapan jam. Malah, Airin dan isterinya melarang. Tak nak keluarga dapat malu kerana ada anak yang lari dari rumah.
Tuhan... Mereka ni sedar ke tidak, Aira mungkin dalam bahaya? Mungkin diculik. Tapi, tiada pula mana-mana panggilan masuk meminta tebusan. Aneh. Apa dah jadi ni? Aira tak dapat dikesan langsung.
"Abang tak payah dok buat muka macam itulah depan saya..." Maria menegur suaminya. Dari semalam, tak habis-habis dengan muka macam tu. Sakit pula hati.
"Aira tu dah dewasalah, abang. Dia boleh pergi mana aje yang dia suka. Nak risau kenapa?" Nasiblah dia tak hempas pinggan nasi. Nak makan pun tak seleralah.
Apatah lagi sejak tadi dia tengok Azman hanya pandang nasi putih itu.
"Aira tu manalah pernah keluar tanpa bagi tahu kita, Maria. Awak pun tahu budak tu perangai dia macam mana. Nak pergi mana-mana mesti minta izin. Mesti cakap dekat kita. Ini tiba-tiba aje senyap. Abang tak kira. Esok pagi abang nak pergi buat repot..." tegas Azman.
"Eh, abang ni..."
"Tak payahlah buat repot, ayah..." Airin yang muncul tiba-tiba menyampuk. Terus duduk di sisi Maria. Mengucup pipi wanita itu seketika sebelum menyenduk nasi.
Seharian tak sempat makan. Sibuk dengan mesyuarat projek baru majalah pelancongan. Harap sangat dia dapat. Dia begitu teruja dah ni.
"Kenapa Airin cakap macam tu? Airin tahu ke Aira ada dekat mana?"
"Aira pernah cakap dia rindu dekat kawan lama dia..."
"Kawan lama?" Maria dan Azman menyoal hampir serentak.
Senyuman Airin mekar seketika apabila Maria memandang padanya. Jujurnya dia pun tak tahu tapi dia macam dapat agak sesuatu.
"Dulu masa sekolah, Aira tu ada sorang kawan lelaki. Rapat sangat. Sambung belajar pun dekat universiti yang sama. Tapi, lelaki tu hilang tiba-tiba. Masa tu, Aira memang sedih sangat. Rasanya sekarang lelaki itu dah muncul kut... Zariq nama dia." Pandai aje dia meneka.
Tapi, kemungkinan itu ada. Bukan sekali dia nampak Aira pandang gambar Zariq. Naik menyampah dia. Pernah juga Aira tanya dia, manalah Zariq menghilang. Boleh jadi dah sampai Itali. Berbahagia di sana setelah dapat tunaikan impian nak menjadi pelukis handalan.
"Ayah tak pernah tahu pun tentang Zariq tu?"
"Kak Su mesti tahu, kan?" Airin pandang pada Kak Su yang baru saja bawa pinggan lauk tambah.
Dia yakin sangat. Kak Su adalah satu-satunya yang jadi tempat Aira meluah rasa. Tipulah kalau Aira tak pernah sebut tentang Zariq.
"Betul, Su?" soal Maria. Keras.
"Errr..." Kak Su letak pinggan atas meja. Terkejut satu hal dengan soalan Airin. Tiba-tiba nak libatkan dia.
Aneh. Padahal dia dah cakap, Aira hanya keluar sehelai sepinggang. Nak pergi beli barang dapur. Tapi, tiba-tiba hilang. Telefon tak dapat. Semuanya tak dapat dikesan. Patutnya hari kejadian tu terus buat repot, tapi dua beranak ni sibuk nak halang.
"Kau dengar tak, Su?" sergah Maria.
"Errr... Ya, puan. Aira adalah cakap sikit tentang budak lelaki tu. Tapi, kata Aira dia orang kawan aje. Kawan baik. Zariq tu bercinta dengan orang lain. Jadinya, tak mungkin Aira ikut Zariq tu, puan..." Pandai pula Kak Su mengagak.
Tapi, logiklah. Bukan pakwe pun sampai Aira nak ikut. Kalau kata betul Zariq tu muncul, takkanlah sampai dua hari Aira tak balik rumah.
"Orang lain tu, siapa?" Azman menaruh minat.
"Aira tak pernah bagi tahu pula..."
"Haaa... Dengar tu, bang. Budak Aira tu suka Zariq. Tapi, Zariq suka orang lain. Gamaknya, bila Zariq dah ajak dia pergi... Itu yang dia senyap-senyap pergi."
"Awak ni Maria..." Azman jegilkan mata. Senang-senang tuduh Aira macam tu.
"Awak jangan cakap macam abang tak kenal Aira tu macam mana. Abang tak kira, esok abang nak pergi buat repot." Terus dia bangkit meninggalkan nasi yang langsung tak luak.
Mana boleh makan bila anak daranya hilang tanpa khabar. Yang anehnya, langsung tak dapat dikesan.
"Tapi, ma... Serius. Rin memang rasa dia ikut pakwe dia. Mungkin dia rasa nak lari dari rumah ni. Bila peluang dah ada, dia cabutlah..." Airin pula menambah. Menuduh kakaknya.
Kak Su kerut kening. Memanglah Aira ada cakap nak keluar dari rumah ni. Keluar dengan izin. Bukan melarikan diri. Bukan jenis Aira tu. Tapi... Kak Su pandang Airin sekilas sebelum berlalu ke dapur.
Aira banyak berkongsi dengannya. Hanya berkongsi dan dia simpan sendiri.
AIR yang ada dalam tempayan itu sejuknya mencucuk tulang. Tapi, segar. Lepas dua hari, baru dia dapat mandi dengan elok. Elok ke? Bolehlah daripada tak mandi langsung. Lelaki gila itu sediakan segalanya untuk dia. Sampai ke anak baju. Biarpun saiznya sedikit besar, lantaklah. Janji boleh tukar. Nak dikira malu, memang malu tapi dia terdesak. Eloklah kalau dia buat tak tahu aje.
Pintu bilik air yang beratap rimbunan pohon hutan dan langit itu ditutup. Aira senyum sendiri melihat lelaki yang pernah menghulurkan dia air sedang membelah kayu. Rasa macam hidup zaman bila entah. Dah lama dia tak buat semua tu melainkan zaman sekolah dulu bila pergi berkhemah kadet polis sekali dengan... Ingatan Aira berlari ke belakang. Kenapalah sekarang, kerap sangat nama Zariq muncul dalam kepala dia?
Apa saja yang dia nampak sekarang, semuanya mengimbau memori bersama lelaki itu. Yang begitu pentingkan diri sendiri. Memang itulah yang dia rasa tentang Zariq. Dia begitu sayangkan Zariq tapi kenapa Zariq pergi tinggalkan dia terkontang-kanting sendiri menghabiskan sisa-sisa pengajian? Perjalanan hidupnya setelah itu berubah. Dia dah kurang ketawa. Malah, ada impian yang pergi bersama Zariq.
Kerana itu dia ada di rumah itu. Diikat kaki dan tangan. Kalau Zariq ada, tentu Zariq akan bakar semangat dia untuk terbang bebas mengejar cita-cita sendiri. Perlahan-lahan, lelaki bisu itu didekati. Aira cuba beranikan diri. Dia perlu tahu dia ada dekat mana sekarang. Dia perlu pergi. Dia tak akan terus jadi mangsa lelaki kejam itu. Apa pun jadi, dia tak akan menyerah kalah.
Sehingga dia tahu apa silap dia, dia akan terus teguh berdiri. Hunuslah apa saja. Dia akan berusaha untuk hidup.
"Nama kau ni, siapa?"
Lelaki itu menoleh. Menepuk dada sendiri. Aira angguk. Gamaknya, boleh dengar tapi tak boleh bercakap.
"Na... ma..." ulang Aira.
Lelaki itu pandang Aira lama sebelum alihkan mata dan terus memotong kayu. Aira duduk di atas bongkah kayu sedikit jauh daripada lelaki itu. Dia senyum sendiri. Nak marah pada budak ini pun, tak ada guna. Dah tentu dia hanya ikut arahan.
"Kita dekat mana ni, sebenarnya?" Soalan itu, Aira tahu tak akan berjawapan. Tapi, saja nak tanya. Sedapkan hati sendiri yang dia masih ada dekat dengan keluarga.
"Kau ni umur berapa? Nampak lagi muda daripada aku..."
Barulah lelaki itu menoleh. Angguk. Aira kerut kening. Tak faham. Dia lagi muda ke, aku lagi muda. Argh... sudah. Seperti bercakap dengan tiang. Tapi, hati dia tercuit juga.
"Aku rasa, aku lagi tua daripada kau. Kau boleh panggil aku kakak..." suruh Aira.
Lelaki itu senyum dan angguk. Aira juga ukir senyum lebar tanpa sedar. Setelah dua hari, baru pertama kali rasa dilayan seperti manusia.
"Mari kakak tolong..." Melihat lelaki itu angkat bongkah kayu yang sedikit besar, Aira cuba nak angkat tapi dihalang. Perbuatan lelaki itu dan bahasa isyaratnya susah untuk Aira faham.
"Alaaa... Kakak dah biasa buat kerja berat..." Dia angkat juga kayu itu tanpa dapat dihalang oleh lelaki itu.
"Okey. Ni kakak nak tanya. Kalau nak makan lagi, kena buat kerja ke macam mana?" Jujurnya, perut dia lapar. Makanan semalam dah ditelan oleh jembalang tu.
"Dapat sesuap pun jadilah," pujuk Aira. Waktu ini, mata dia berair. Apa yang ayah makan? Mama dan Airin mesti bising kalau orang lain buat jus pagi-pagi. Pahitlah, masamlah. Hanya air tangan dia yang mama dan Airin minum.
Hari ini, dia perlu mengemis demi sedikit makanan.
"Boleh, ya?" pujuk Aira tapi lelaki itu nampak menikus tiba-tiba.
"Kau nak pujuk Nazri bawa kau pergi mana?"
Soalan itu, buat Aira kejang. Dia menoleh dan lelaki berwajah bengis itu muncul entah daripada mana.
"Saya..."
"Jangan cakap kau nak balik? Jawapan kau tu, tak laku dekat sini," jawab lelaki itu laju.
Aira ketap bibir. Dia tunduk. Kaki mula melangkah. Nak masuk ke dalam bilik yang dah dua hari jadi tempat dia tidur.
"Kau nak pergi mana? Aku tak habis cakap lagi..."
"Nak masuk. Nyamuk!" Memang banyak nyamuk. Sejak semalam, tak sudah-sudah dia tepuk kulit sendiri. Lama-lama bukan mati sebab kena seksa atau kebulur, tapi sebab denggi. Walaupun tak nampak pula nyamuk aedes. Tapi, kulit dia pedih. Banyak dah bintik merah dekat kulit ni.
"Oh, nyamuk sikit dah tak boleh tuan puteri ni. Banyak cantik muka kau..."
"Aku memang cantik! Yang kau tak puas hati tu, kenapa?!" jerkah Aira.
Nazri terdiam. Lelaki itu juga. Gamam. Mata Aira merah. Tapi, pada tubirnya ada air mata. Kata-kata Aira kali ini... Dia harus iakan. Memang Aira cantik. Tiada siapa mampu nafi.
Dia dekati Aira. Tuala yang membelit bahu Aira sejak tadi, direntap hingga gadis itu jatuh terduduk di atas tanah. Tubuh yang baru dibersihkan kembali kotor. Malah, pakaian yang baru dia tukar juga, kotor!
Hati Aira menjerit. Dia angkat wajah, merenung tajam lelaki itu.
"Apa guna kau bagi aku tukar baju kalau kau nak kotorkan balik?!" tempik Aira nyaring.
Lelaki itu mencangkung di depan Aira... Tersengih tajam.
"Sebab aku nak kau tahu... Sebersih mana pun kau bersihkan diri kau, kau tetap tak akan dapat basuh kekotoran yang dah kau buat pada aku!" gumam lelaki bengis itu tepat di depan wajah Aira lalu dia tegakkan badan dan terus menapak masuk ke dalam pondok. Menutup pintu sekuat hati.
Aira bangkit. Memandang lelaki di depan dia. Nazri nama budak ni. Dia senyum. Menghantar isyarat yang dia okey. Dia akan terus okey. Tapi, air mata dia jatuh juga. Aira pandang Nazri.
"Nazri, ya?"
Nazri diam. Tak angguk, tak nafi.
"Kalau kakak tolong kau buat kerja, kau boleh bagi kakak makanan sikit? Kalau ada beras, kakak boleh masak sendiri. Tak ada lauk pun, tak apalah. Janji, nasi..."
Wajah Nazri berkerut. Aira tahu apa yang Nazri nak tanya. Nasi tengah hari tadi. Malas nak jawab, Aira hanya senyum bila Nazri tunjukkan sesuatu. Pantas dia dekati bungkusan itu dan bila dia buka ikatannya, dia rasa nak meraung melihat plastik beras. Cepat-cepat dia bangkit ke tempat dapur kayu. Periuk lusuh sederhana itu dicapai. Cepat-cepat dia isikan beras. Nak dijerang.
Tapi, baru nak melangkah ke tempayan, kakinya tersadung. Lutut terus mencium tanah. Tangan masih kukuh memegang periuk tapi isinya berterabur. Aira mendongak. Wajah lelaki bengis itu tersenyum. Jahat.
"Kau tumpahkan beras, Aira? Kau memang suka buang semua yang berharga, kan?" Lelaki itu mencangkung depan Aira yang sedang membetulkan duduknya.
Wajah Aira berkerut. Rasanya, lutut dia luka. Tempat yang sama.
"Kau tahu apa hukuman kau sebab suka menyakitkan hati aku dengan rosakkan apa saja yang aku sayang?" Kening tebalnya terjongket.
"Kau tak boleh makan, Aira. Tapi, kalau kau nak juga, kau kutip ajelah beras ni. Kau masaklah. Kat sini, tak ada orang gaji yang nak penuhi kehendak kau."
"Tapi, beras ni dah kotor..." Aira pandang beras yang tumpah.
"Sebab tu aku suruh kau makan yang ni aje kalau kau lapar sangat. Sebab, sekotor-kotor beras ni, bila dah basuh... Boleh bersih. Tapi, sekotor-kotor kau... Aku tak fikir kau ni jenis yang boleh dibasuh," herdik lelaki itu.
Dia bangkit dan mahu berlalu tapi suara Aira mematikan tingkahnya.
"Kau tu siapa nak hina aku bersih atau kotor? Kau ingat apa yang kau buat dekat aku ni, bersih? Suci?" Air mata Aira jatuh berjejeran. Tanpa tangisan. Dia geram sebenarnya. Tak sudah-sudah lelaki ini menghina dia.
Wajah tampan itu menoleh. Menggenggam penumbuk. Ikut hati dia, mahu saja dia layangkan buku lima dia pada wajah cantik Aira tapi dia bukan jenis sakiti perempuan dengan buku lima. Banyak cara lagi untuk terus buat Aira menderita.
"Aku kenal kau, Aira. Aku kenal dengan baik perempuan macam kau. Tapi, tak apa. Selagi kau dekat sini, aku akan pastikan kekotoran yang ada pada kau tu hilang sikit demi sikit. Masa masih panjang, Aira. Jangan tergesa-gesa..." Senyuman sengetnya terjongket tajam. Sebelum dia berlalu pergi tanpa menoleh lagi.
Saat matanya bertentang mata dengan Nazri, Aira senyum sambil mengesat pipi yang basah. Pandangan Nazri tersimpan simpati.
"Kakak okey..." Kata-kata itu, adalah untuk dirinya sendiri.
Dia okey. Cuma, air mata dia mengalir.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro