Bab 14
MATA Airin luas memerhatikan keindahan laut Phuket. Cantik sangat sampai susah dia nak gambarkan dengan kata-kata. Tak puas mata memandang. Nak-nak bila Alif siap dapatkan dia bilik yang menghadap kolam dan lautan. Lagilah dia teruja. Dia labuhkan duduk di atas kerusi di beranda usai membersihkan diri. Kejap lagi nak turun makan malam. Dengar kata, masakan di sini kelas pertama. Malam ni, bolehlah berenang.
Dia renung kolam dari tingkat dua bilik penginapannya. Kolam itu nampak kosong. Hanya ada seorang saja yang sedang berenang. Airin memicingkan pandangan. Sebaik saja perenang itu timbul di permukaan, meraup rambut ke belakang, wajahnya jelas di pandangan mata Airin.
Dia tongkat dagu di atas pagar beranda. Menatap penuh minat bila lelaki itu memanjat tebing kolam. Mencapai sehelai tuala dan duduk di atas kerusi. Mengelap rambut yang agak panjang. Matanya tajam memerhati otot dan lengan kekar lelaki yang hanya berseluar pendek dan berbaju singlet putih.
Boleh jadi rakyat Thailand tengok pada rupa kacak itu. Tapi, pelancong Malaysia ramai juga di resort ni sampaikan dia rasa dia hanya ada di Pulau Perhentian. Airin bangkit. Terus mengintai apabila lelaki itu bangkit dan berjalan masuk ke dalam bangunan.
Dia sengih. Tajam. Tuala di atas kepala dilonggarkan. Rambut yang basah, dikirai dengan jari. Rasa nak kenal lelaki segak itu mencanak dalam dada.
MENU makan malam untuk tetamu, dia sendiri yang pilih. Haruslah yang segar saja. Dia tak nak jatuhkan reputasi resortnya dan juga nama dia sendiri. Haih! Rasa silap pula setuju dengan temu ramah ni. Dia tak nak pada mulanya, tapi Rahim yang pujuk. Ini untuk membakar semangat muda. Memberi inspirasi.
Inspirasi pada dia dulu hanya Zariq. Tiada yang lain. Selain itu, dia dapat membantu ramai orang. Menyediakan peluang pekerjaan dan juga pada alam, dia anggap itu sebagai bonus. Ramai antara pekerja dia yang datang dari Malaysia dan juga rakyat tempatan. Kebanyakannya, yang kurang berpendidikan melainkan di pihak pengurusan dan pemasaran saja. Janji nak belajar setiap masa. Ilmu itu tak kira masa dan di mana.
Tapi sekarang, dia seperti tiada apa. Jiwa dia kosong. Zahirnya saja nampak gah. Hakikatnya, berbeza. Kekosongan yang semakin hari, semakin kontang tak berisi.
Berat hati dia nak melangkah untuk makan malam bila Rahim mengetuk pintu biliknya. Tapi, dia terpaksa juga. Tak nak timbulkan apa-apa masalah. Nanti, nama baik mereka juga yang rosak. Rahim dah atur segalanya dengan elok.
"Kau dah atur semua?" tanya Zafiq sambil melipat lengan kemejanya hingga ke atas siku.
"Dah, bos."
"Terima kasih, Im..."
"Apa-apa aje untuk bos..." Rahim sengih. Menekan punat lif. Mahu turun ke bawah dari tingkat sepuluh di mana hanya bilik Zafiq dan pejabatnya saja ada di sini.
"Dia orang tak pernah kenal aku, kan?"
"Eh, bos ni... Bergurau pula. Jangan kata orang luar nak kenal, staf sendiri pun ada tak kenal bos lagi."
Rahim ketawa kecil. Ingat lagi macam mana Zafiq datang resort dua bulan lepas. Siap ada pekerja yang tanya dia menginap di sini atau tidak bila terus saja menuju ke lif dan menekan punat tingkat sepuluh. Siap dilarang lagi Zafiq naik. Bagi tahu ini kawasan larangan. Bos saja dapat naik ke sini dan juga pekerja.
"Kau gelak dekat aku, Im?" Zafiq buat suara dingin.
Terus Rahim berdeham panjang.
"Errr... Taklah, bos. Tapi, saya rasa eloklah kalau sesekali kita buat perjumpaan dengan semua pekerja. Makan-makan sikit. Yang dekat pulau uruskan tiram, memanglah kenal sebab bos selalu ke sana tapi bos jarang dekat sini. Balik KL lagilah jarang..."
Oh ya... Rahim tepuk dahi. Sebut pasal Kuala Lumpur, dia baru teringat sesuatu.
"Kau kenapa?" Mata Zafiq menjeling Rahim. Serentak itu pintu lif terbuka dan dia menapak segak menuju ke dewan makan.
"Bos, mak long call..."
"Bila?" Langkah Zafiq mati. Dia toleh pada Rahim. Kenapalah lambat sangat budak ni nak cakap pasal mak long call?
"Dua hari lepas. Dia kata dia cuba call bos tapi tak dapat. Saya cakap coverage tak okey sebab kat sini asyik ribut aje. Dia pesan, kalau tak dapat balik jenguk dia orang dekat sana, dia orang nak datang sini..."
"Kau ni, Im." Fuh... Debaran dalam dada Zafiq kembali tenang. Risau juga kot-kot ada benda jadi ke.
"Uruskan tiket untuk mak long dengan pak long."
"Bila, bos?"
"Hujung minggu ni, kalau boleh. Atau kau tanyalah dia orang nak datang bila."
"Bawa ke resort atau ke pulau?"
Zafiq renung Rahim. Dia tahu, Rahim penuh dengan tanda tanya. Sampai masa, Rahim akan tahu.
"Jangan ke pulau. Sini aje. Nanti aku datang. Kau pun tak boleh datang pulau buat sementara. Aku simpan perempuan dekat situ," beritahu Zafiq jujur.
"Saya dah agak. Ingat lagi bos pesan barang-perempuan daripada saya. Tapi ini, bos tinggalkan dia sorang-sorang, tak apa ke, bos? Katanya ribut lagi malam ni, membawa ke dua tiga hari gamaknya..." Wajah Rahim risau.
Dalam risau, dia harap sangat Zafiq tak buat perkara bukan-bukan. Ini pertama kali Zafiq mengaku simpan perempuan. Tapi, simpan yang macam mana? Diguna pakai atau dijadikan hiasan? Boleh jadi, untuk dijadikan punching bag. Argh... Kalut!
Mengerti dengan kerisauan Rahim, Zafiq hanya diam sendiri untuk beberapa ketika. Perlu ke dia balik malam ni? Demi Aira? Demi perempuan yang dah rosakkan bahagia dia? Yang dah renggut senyuman dan tawanya dengan begitu kejam? Demi perempuan yang tak pernah reti berterima kasih? Yang tak pernah kenal erti kesal atas perbuatan sendiri?
Padahal, dia gantung kelambu.
Dia belikan ubat.
Dia masak.
Dia sediakan pakaian.
Malah, dia lindungi Aira malam tu!
Argh... Zafiq ramas rambut. Benci dengan diri sendiri. Dia patut lebih kejam. Sama seperti Aira yang begitu kejam.
"Lantak dialah..." putus Zafiq. Dia malas nak fikir.
Langkah kaki diatur sedikit pantas tapi langkahnya mati bila bahunya terlanggar seseorang. Hampir saja wanita itu tersungkur jika Zafiq tak sempat sambar lengannya.
Wanita itu menoleh. Wajahnya berkerut.
"Jalan pakai hidung ke pakai mata?" Wanita cantik itu menyoal. Sinis. Huh. Entah faham entah tidak. Kakinya sedikit sakit. Mujurlah dia tak tersungkur dengan pakaian sekarang ni. Dahlah kasut tinggi. Boleh terseliuh kaki dibuatnya kalau jatuh.
"I'm sorry. Are you hurt?" Zafiq menyoal sopan. Kotlah cedera, dia akan minta Rahim bawa ke hospital.
Wanita itu tilik tubuh sendiri seketika dan menggeleng. Rambut yang jatuh ke pipi, dia selit di belakang telinga. Dia angkat mata, memandang lelaki yang melanggarnya. Pada mulanya, rasa nak marah tapi dia cam wajah ini. Lelaki siang tadi. Yang berenang sendirian.
Memang matanya tak pernah silap memandang. Lelaki tinggi ini memang punyai daya memikat tersendiri biarpun tiada senyuman tersungging pada bibirnya.
"No. I'm just fine. Thank you..."
"Okay then..." Zafiq sopan meminta diri bila suara wanita itu menahan langkahnya.
"Are you staying here?"
Zafiq angguk.
"Well, I got lost..."
"Where are you heading to?"
"Dining room..."
"Dining room? Not the café?" Dahi Zafiq sedikit berkerut.
"Yes..." Wanita itu angguk lagi. Dia ada jamuan istimewa malam ni.
Zafiq pandang Rahim.
"Dia ni daripada kumpulan dari Malaysia tu ke?" soalnya.
Rahim angkat bahu.
Wanita itu ketawa kecil dan mendekati Zafiq.
"Malaysian?"
"Haaa..." Zafiq angguk lagi.
"Boleh cakap bahasa Melayu?"
"Fasih," jawabnya sepatah.
"Oh God... Ramai betul orang Malaysia I jumpa dekat sini. Rasa macam dekat Pulau Perhentian..."
"Owner dia pun orang Malaysia, cik..." Rahim mencelah.
"I noticed that," jawab wanita itu acuh tak acuh. Kerana itu tujuan mereka ke sini. Matanya kembali memandang pada Zafiq.
"Datang bercuti juga ke?"
"Errr... Ada kerja sikit."
"I pun..."
Sudah. Zafiq lepas nafas yang paling perlahan. Dia dah lambat ni. Ada pula yang ajak dia berkenalan biarpun perempuan ni tak cakap dengan kata-kata. Perbuatannya itu dah cukup lantang berbicara.
"Oh, tadi you cari dining room, kan?"
"Oh ya, betul. I ada dinner..."
"I pun nak ke sana. Jom kita sama-sama..." pelawa Zafiq.
"Ya? Okey. Boleh panggil I, Rin..." beritahu perempuan itu.
Zafiq mencebik dalam hati. Rin ke siapa ke, dalam kepala dia hanya ada satu nama perempuan yang lekat sekarang. Nama perempuan tak guna tu!
"Zafiq..." beritahu Zafiq seraya menolak daun pintu bilik khas itu bila semua orang turut berdiri menyambut kehadirannya.
Dan, syaratnya pada Rahim, tiada hal peribadi yang akan ditanya! Titik!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro