Bab 12
KEPALA Azman rasa pening tiba-tiba. Apalah nak jadi dengan anak-anak dia? Seorang hilang entah mana pergi. Telefon pun tidak. Atau memang Airin ni menipu dia? Sedangkan semua tak tahu mana Aira pergi? Yang Si Airin ni pula sign kontrak dengan agensi pelancongan mana entah? Main sign aje. Cubalah bawa berbincang dengan orang tua dulu. Macam tiada mak bapak.
"Ayah, Rin pergi timba pengalamanlah. Lagipun, sambil-sambil wartawan tu nak interviu salah seorang rakyat Malaysia yang berjaya di sana. Katanya, tak pernah lagi ada yang berjaya interviu dia tu, tapi kali ni dia macam setuju. Itu yang dia nak Rin ikut sekali untuk photo shoot. Bolehlah ayah..." Lengan Azman dipeluk erat.
Sesekali, Airin pandang Maria. Meminta agar mama menyokong tindakannya.
"Pergi dengan Alif ke?" Bukan dia tak kenal Alif tu. Bos dekat majalah dan syarikat pelancongan apa entah namanya. Nak dilarang Airin berkawan, budak ni mana makan saman.
"Yang nak interviu orang tu, team Aliflah..." Airin sengih. Meminta simpati dan pengertian ayah.
"Ayah risau, Rin. Dahlah Aira entah mana-mana..."
"Nak risau apa dekat Aira tu. Dia memang sengaja pergi. Pandai pergi, pandailah dia balik," tambah Maria.
Azman mengeluh.
"Berapa hari?"
"Dalam tiga empat hari aje, ayah. Kalau kata projek tu jalan, baru Rin pergi lagi sekali. Ini kiranya nak survey lokasi dululah."
Akhirnya, Azman hanya menyepi. Melarang tidak, memberi izin jauh sekali. Tapi, dia malas nak fikir. Sehari dua ni, kesihatan dia makin merosot. Tiada siapa peduli, melainkan Aira. Tapi, manalah Aira? Kalau betul Aira suka sangat dengan lelaki bernama Zariq tu, dia akan izinkan. Aira pun dah sampai umur untuk kahwin.
Selama ini, bukan sekali Aira zahirkan hasrat nak keluar dan hidup sendiri. Dia yang melarang. Berjanji untuk membiarkan Aira keluar bila tepat pada masanya. Masa yang dia maksudkan adalah bila Aira menjadi seorang isteri pada lelaki yang bertanggungjawab dan mampu menjaga Aira.
"Jaga diri, Airin," pesannya perlahan.
Senyuman Airin koyak. Senyuman Maria juga. Lega ayah izinkan. Lega bila ayah mula percaya yang Aira benar-benar ikut lelaki itu pergi. Tapi, agaknya mana Zariq hilang lepas dia tinggalkan lelaki itu seperti anjing kurap dulu?
Pertama kali dia melihat Zariq bersama Aira, hati dia dipagut cemburu. Macam mana Aira boleh dapat lelaki kaya seperti itu. Tengok sajalah pada motor dan kereta Zariq biarpun lelaki itu kata itu semua pinjaman. Dia tetap mahu percaya itu harta Zariq. Zariq anak orang berada. Tapi, bila dia dapat tahu yang Zariq anak yatim piatu, malah tiada apa... dia mula bosan. Lagipun, dapat tengok wajah kecewa Aira... itu lebih bernilai.
"Rin, ni mama nak tanya..." Maria memanggil anaknya bila Azman keluar ke laman.
"Zariq tu, betul ke pakwe Aira?"
"Betullah gamaknya..."
"Kacak?"
"Kacak kot..." Entahlah. Malas nak ingat wajah Zariq. Memanglah kacak tapi... Hurm...
"Kaya?"
Terus Airin gelak. Kalau Zariq tu kaya, dia mungkin dah jadi isteri Zariq sekarang. Tapi, Zariq tu tiada apa. Tak mungkinlah dia nak hidup susah. Kasih sayang tak dapat penuhi keinginan dia. Semua yang ada, Zariq pinjam. Buat malu dia aje bila semua kawan-kawan dapat tahu.
"Kira padanlah dengan Si Aira tu..." cebik Airin. Dia ingat lagi saat Aira hadir dalam hidup mereka. Dia tak boleh terima. Hingga saat ini.
Kerana apa? Kerana semua orang nampak Aira tak ubah seperti bidadari dan dia pula seperti jembalang tanah. Semua kebaikan milik Aira dan segala kejahatan itu adalah daripada dia. Tidakkah itu semua tak adil?
"I hate her, ma..." akui Airin. Dia kerling Maria. Wanita itu hanya senyum.
MENDENGARKAN Zariq bercerita tentang niat nak sambung belajar sampai ke negara orang, timbul cemburu di hati Aira. Kalau dia mohon penaja, agaknya dia boleh dapat juga tak? Kalau dapat, nak ke ayah izinkan?
"Kalau saya mohon, awak rasa saya dapat tak?"
"Awak nak sambung law ke?"
Aira angguk. Matanya bersinar-sinar.
Zariq senyum. Angguk.
"Haruslah dapat. Awak kan bijak. Nak pergi sama-sama?" Kening lebat Zariq terangkat.
"Betul ni?" Aira teruja.
"Bila masa saya pernah tipu awak sejak kita kenal?"
Tawa Aira terhambur. Dia angguk berkali-kali dengan senyuman yang buatkan mata bundar dia hampir terkatup.
"Eh, awak nak tengok sesuatu?" Zariq jongket sebelah kening. Terus dia keluarkan kamera Canon DSLR miliknya.
"Saya snap. Cantik?"
"Zariq!" Aira terjerit kecil. Bila masa pula Zariq tangkap gambar dia ni? Curi-curi pula tu. Jari runcingnya laju berlari di atas LCD kamera milik Zariq. Melihat gambar-gambarnya.
"Tapi ini..." Mata Aira tunak merenung gambar lain. Pemandangan sebuah resort. Lautan dan matahari terbenam yang begitu indah.
"Dekat mana ni? Cantiknya..." Aira hampir menangis melihat keindahan yang Zariq abadikan dalam gambar.
"Phuket..."
"Thailand?"
Zariq angguk.
"Saya pernah ke situ. Nanti, kalau ada masa saya bawa awak pergi pula. Saya yakin sangat, awak akan jatuh cinta dengan pemandangan dia. Mesti ada rasa nak tinggal kat sana. Tak nak balik rumah lagi dah..."
"Ya?" Mata Aira bersinar-sinar bila Zariq berjanji.
"Janji tau..."
"Tengok tu... Berapa kali nak cakap. Bila masa saya pernah mungkir janji sejak kita kenal? Tak pernah, kan?" Zariq buat muka.
Aira ketawa.
"Tapi, cantik pula saya bila awak yang ambil gambar ni." Dengan Zariq, dia dah biasa puji diri sendiri.
Zariq mencebik lebar. Tapi, dia angguk juga. Aira memang cantik pun. Kalau berjalan dengan Aira, memang akan jadi tumpuanlah dia.
"Itu kenyataan. Kawan baik saya ni, memang cantik. Tapi..." Zariq lempar pandangan jauh ke belakang. Menongkat dagu dan melambai beberapa kali.
"Yang baru nak datang tu, lagi cantik..."
Dahi Aira berlapis kerutan. Dia toleh belakang. Airin sedang mendekati. Kenapa Airin boleh ada dekat sini pula?
"Awak ajak dia datang sini?"
"Hurm... Saya tak ada kelas hari ni. Saya datang ni pun sebab nak temankan awak. Tapi, saya ajak adik awak sekali. Awak tak kesah, kan?"
Saat ini, wajah Aira serba salah. Rasanya, baru sebulan dia kenalkan Airin dengan Zariq. Secepat inikah bunga cinta antara dua orang ini berkembang?
"Saya sayangkan awak, Zariq. Saya risaukan awak sebab saya kenal adik saya macam mana," luah Aira. Wajahnya mendung.
Tapi, lelaki itu hanya senyum.
"Kalau awak ikhlas pada saya, saya juga yakin adik awak ikhlas dekat saya..."
"Kami berbeza, Zariq. Tak ada yang serupa..." Malah, darah pun lain. Dia nak cakap tentang hakikat tu tapi berat lidahnya.
"Awak kenal saya kan, Aira?" soal Zariq.
"Saya memang betul-betul sukakan Airin. Saya akan bahagiakan dia," janji Zariq meyakinkan Aira.
Argh... Hati Aira mahu meningkah tapi dia pilih untuk diam. Susah sungguh bila mata dan hati yang nampak cinta. Memanglah Zariq mampu bahagiakan Airin tapi sebaliknya, macam mana. Airin tak boleh bahagiakan sesiapa.
"Kalau dah itu yang awak cakap, saya tak akan sentuh lagi tentang hubungan awak dengan Airin. Tapi, satu awak kena janji..." Bicara Aira serius. Sebelum Airin tiba, dia kena luahkan sebab dia tahu Zariq kini tiada banyak masa untuk dia.
Itu hakikat yang sedang terjadi. Sama seperti yang mama dan Airin katakan sebelum ini. Dia tidak cemburu. Langsung tidak. Cuma, tak mahu Zariq terluka. Itu saja.
"Apa pun jadi, awak kena bahagia. Awak kena terima dengan hati yang terbuka. Saya sentiasa ada untuk awak. Awak kena ingat tu. Kalau awak tak nak saya kahwin pun, saya tak akan kahwin. Kita kawan sampai kita mati. We'll grow old together..."
Waktu ini, Zariq senyum dan angguk.
"Saya sayang awak juga, Aira..." Persahabatan mereka, tak pernah ternoda.
ZARIQ! Aira buka mata. Dia nampak tercari-cari.
Mana Zariq? Mana awak, Zariq? Awak kata sayangkan saya, tapi kenapa awak sanggup biarkan abang awak seksa hidup saya? Saya bukan pesalah. Saya difitnah hanya kerana gambar yang awak tinggalkan.
Air mata Aira jatuh ke pipi. Dikesat perlahan. Lama dia tunduk. Baru dia perasan dia ada di mana. Bilik yang bercat putih. Malah, cadar dan semua perabotnya juga berwarna putih. Tapi dia, masih berbalut jaket hitam milik lelaki itu. Dah kering pun. Makna kata, memang lelaki itu berpegang pada janji. Langsung tak buat khianat padanya.
Aira tolak selimut. Bangkit berjalan menuju ke tingkap. Dikuakkan tingkap itu lebar. Angin pantai terus berhembus garang. Sayup mata memandang. Boleh jadi laut itu Laut Andaman. Jika benar tekaan dia, dia memang berada di Selatan Thailand. Melihat pada keindahan pulau ini, gamaknya dia di Phuket. Pernah, dia teringin nak ke sini bila kerap kali Zariq sebut. Ingin menikmati keindahan alam. Zariq dah janji tapi sayang, janji itu dimungkiri. Hari ini, keinginan dia tercapai. Tapi, caranya begitu memeritkan.
Macam mana kalau dia tertangkap oleh pihak berkuasa. Pasti dia akan dipenjarakan. Aira menggigil sendiri memikirkan perkara itu. Jaket itu dizipkan hingga ke leher. Dia merapati sebuah meja. Ada buku yang tersusun di situ. Semuanya tentang fiksyen bahasa Inggeris. Terselit juga buku tentang hasil seni. Sah, ini kepunyaan Zariq.
Jarinya menari di atas buku-buku tersebut. Berniat nak mengambilnya. Boleh juga dijadikan bahan bacaan bila dia balik ke pondok usang tu. Yang dah menjadi rumah dia sekarang setelah berminggu dia di sini.
Jari runcingnya bergerak lagi hingga terhenti pada sebuah buku yang paling akhir. Ditarik buku itu. Buku tentang undang-undang. Dia pernah ada buku ni. Aira belek buku tersebut. Tepat pada muka surat yang dia inginkan.
Bagi mereka yang terlibat dengan kesalahan menculik, tertuduh yang terlibat boleh didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 (Semakan 1989) (Akta 365) yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau dipenjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan.
Bibir Aira menguntum senyum. Tidaklah dia berharap hukuman sebegini teruk pada lelaki itu apatah lagi bila dia tahu, lelaki itu abang pada Zariq. Cumanya, dia mahu keadilan. Dia belek helaian pertama.
Ada tulisan bertinta tangan di situ.
Ayah dengan umi, doakan Abang Zafiq capai impian untuk jadi seorang peguam yang disegani. Hanya Zariq dan Zafiq harta ayah dan umi, dunia akhirat.
Zafiq? Aira menyebut nama itu perlahan. Lelaki bengis itu, namanya Zafiq. Dan, buku ini tentulah hadiah pemberian daripada orang tuanya. Adakah benar Zafiq belajar tentang undang-undang sama seperti dia? Makna kata, Zafiq tahu akan hukuman apa yang bakal menimpa jika tertangkap? Tapi, masih buat tak reti?
"Aku dah tak kesah tentang apa nak jadi pada aku!" Kata-kata Zafiq pertama kali dulu, terngiang-ngiang dalam kepala.
Makna kata, lelaki itu benar-benar bersedia untuk apa saja. Tak sedar, Aira mengeluh. Dia bawa buku itu ke dada. Terus membuang pandang ke lautan. Teringin nak terjun dalam laut tapi dia tak reti berenang. Setakat air paras pinggang, boleh lagilah.
"Sampai bila kau baru nak sedar yang kau tu, bukan puteri dekat sini?"
Buku jatuh ke kaki. Aira menoleh. Zafiq sedang bersandar pada bingkai pintu. Entah bila pintu itu dibuka. Dia selit rambutnya ke belakang telinga. Meraup wajah berkali-kali.
"Aku dah bangun lama..."
"Sungguh? Aku datang lima belas minit lepas aku tengok kau berdengkur lagi..."
"Hah?" Mata Aira bulat.
Zafiq kerut kening. Apa kena pula perempuan ni? Aku tak tengking pun lagi. Tak cakap bukan-bukan pun? Terkejut kenapa?
"Betul ke aku tidur berdengkur?"
Leh... Zafiq rasa nak maki orang aje dengan soalan Aira. Ingatkan apalah tadi. Sebab berdengkur ke Aira boleh bulat mata sampai macam tu sekali? Dasar perempuan plastik. Tak boleh nampak kelemahan sikit pun. Semua nak sempurna aje.
"Kenapa? Orang berdengkur ni, buruk sangat ke?" soalnya keras.
Aira diam. Betul ke aku tidur berdengkur? Mati-mati selama ini ingat aku tidur tenang tanpa sebarang bunyi.
"Kau tak percaya? Nak aku rakam untuk kau malam ni?"
Terus Aira jeling wajah Zafiq. Malam tadi, baru rasa selamat. Tapi, untuk ketika itu ajelah. Zafiq kembali menyinga. Dia kembali rasa terancam.
"Tapi, kan..." Zafiq silang kaki. Memeluk tubuh sasanya yang dibalut T-shirt warna putih.
"Kau berdengkur tu membuktikan kau tu manusia biasa. Kurang serba-serbi. Tak sempurna langsung. Jadi, jangan nak berlagak kau tu perempuan sempurna mentang-mentang semua jantan dekat luar sana goyang ekor depan kau. Ini aku... Za..."
"Fiq?" tambah Aira bila lelaki itu terdiam di situ.
"Mana kau tahu nama aku?" Zafiq meluru pada Aira. Hingga Aira terkunci di birai jendela.
Bila Aira diam dan memandang ke bawah, matanya turut sama mencari sasaran. Nyata, dari situ. Buku itu. Laju dia tunduk dan mengembalikan ia ke tempat asal. Menoleh semula pada Aira dengan wajah yang begitu bengis.
"Berani kau sentuh harta aku?"
"Aku cuma nak baca..."
"Kau faham undang-undang ke?" tanya Zafiq sinis.
"Tapi, kenapa dulu Zariq cakap dekat aku awek dia belajar mass-comm?"
"Sebab itu orang lain. Bukan aku!" marah Aira. Berapa kali dia nak cakap, bukan dia. Orang lain. Zafiq ni tak faham bahasa Melayu ke apa? Atau perlu dia cakap Thailand, baru Zafiq faham?
"Kalau orang lain, siapa?"
"Itu adik aku, Airin! Dia yang bercinta dengan Zariq..."
Entah apa yang mencuit hati, Zafiq ketawa. Dia menjauh sedikit daripada Aira dan duduk di birai katil di mana dia letak perempuan ini semalam. Satu hal, sebab Aira dah hampir demam semalam. Dua, dia malas nak bertekak.
"Kalau betul Airin, kenapa aku tak jumpa langsung nama dan gambar Airin tu? Semua gambar dan nama kau?" Ada hati lagi nak kelentong dia, biarpun semua bukti dah jelas depan mata. Masuklah mahkamah dunia sekalipun, dengan segala bukti yang ada, Aira tetap akan kalah!
"Sebab tu aku suruh kau bawa Zariq. Dia boleh buktikan..." ujar Aira, separuh merayu. Suaranya sedikit lemah. Masih cuba memberi peluang untuk Zafiq sedar yang semua ini hanya kegilaan Zafiq.
Mata kuyu itu tajam merenung Aira. Lama. Sebelum berlalu ke pintu tapi suara Aira menahan kepergian dia.
"Bawa Zariq sebelum kau akan menyesal teruk satu hari nanti sebab layan aku macam ni..." Kata-kata Aira berbaur ugutan.
"Kalaulah aku boleh bawa dia, Aira... Tentu kau tak ada dekat sini."
Jawapan Zafiq itu...
"Apa maksud kau?" Tak sedar, dia mendekati Zafiq. Menarik bahu sasa lelaki itu agar menoleh padanya.
"Mana Zariq?"
"Kenapa? Kau rindu dia?"
Tak sedar, Aira angguk. Zafiq senyum. Tajam.
"Habis tu, kenapa kau buang dia dulu?"
"Bukan aku yang buang. Berapa kali kau nak aku cakap yang Zariq tinggalkan aku. Dia yang mungkir janji dengan aku!"
"Janji apa? Cuba kau cakap. Janji apa?"
Bibir Aira terkunci rapat. Janji apa? Janji untuk sambung belajar sama-sama di negara orang? Janji untuk bersama sampai ke tua andai Zariq kecewa. Bersama hanya atas dasar kawan? Janji itukah yang mahu dia katakan? Janji yang terus akan buat Zafiq mengesyaki dia.
"Tengok. Kau sendiri tak boleh cakap. Kau nak suruh aku percaya kau? Hey, Aira... Susah sangat ke kau nak mengaku, yang kau tu perempuan Zariq? Milik dia? Kalau kau mengaku, aku akan bawa kau jumpa dia," marah Zafiq dengan suara yang mula meninggi. Dia mencengkam bahu Aira.
"Sebab aku bukan milik Zariq! Aku bukan!" Jeritan Aira bergema serentak dengan dia menepis tangan Zafiq dan berundur beberapa langkah ke belakang.
"Kalau kau bukan perempuan adik aku, apa kata kau jadi milik aku!" Kaki Zafiq menendang pintu bilik. Terkatup rapat. Dia hampiri Aira yang ketakutan.
"Memandangkan kau cakap, kau bukan milik Zariq. Dia tak pernah sentuh kau. Lelaki lain pun jauh sekali. Kau juga cakap, aku yang pertama... Apa kata aku jadikan kata-kata kau tu kenyataan..." Dia makin mendekat.
Aira tahu, tiada tempat untuk dia lari melainkan hanya berserah pada takdir Ilahi bila Zafiq sudah mengepungnya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro