Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 11

BARU nak panjat dua anak tangga, Aira jatuh terjelepok. Selipar dia licin. Dia mengaduh sendiri. Airnya tumpah. Dahlah hujan begitu lebat. Baju dia hanya ada yang ini. Yang lain tak kering lagi. Aira cuba bangun tapi dia kembali terduduk. Buku lalinya perit. Sekali lagi dia cuba bangkit, masih tak berjaya. Bukan kerana buku lali itu saja tapi dia benar-benar keletihan.

Seluruh tubuhnya sakit. Seperti dihempap batang balak. Akhirnya, Aira rebahkan badan di atas tanah. Membiarkan hujan membasuh rasa sakitnya. Menyentuh wajahnya. Menyembunyikan tangisannya. Dia buka mata bila dirasakan air itu tidak lagi menyapa wajah dan tubuhnya.

Lelaki itu muncul. Memayungi dia.

"Air belum penuh." Aira bangkit. Duduk bersimpuh. Tak larat nak bangkit. Katalah apa saja. Paksalah dia buat apa pun, dia memang tak berdaya. Kalau dia cakap nak tadah air hujan, sah-sah lelaki ni mengamuk lagi!

"Aku dah tak larat."

"Yang kau bodoh sangat pergi angkut air dalam hujan tu, kenapa? Kau rasa kau kebal? Tak jatuh sakit?"

"Habis tu, kau suruh aku penuhkan tempayan tu. Kalau tak penuh, kau tumpahkan semua. Kau suruh aku penuhkan balik. Kau ingat aku larat ke nak buat benda sama berkali-kali? Kau tahu tak aku dari semalam tak makan? Kau tahu tak, aku hanya minum air sungai tu aje? Kau tahu tak?" Aira raup wajah. Dia dah mula menangis lagi.

Dia betul-betul terseksa. Jika beginilah keadaannya, makin teruk dan tak terjangka... Dia lebih rela jadi hamba mama dan Airin. Setidak-tidaknya, dia dapat makan tepat pada masanya. Dia ada katil sendiri. Dia ada pakaian yang boleh ditukar. Dia tak akan merungut lagi. Dia akan bersyukur biar bagaimana teruk pun mama dan Airin melayan dia. Dia tak akan sebut lagi tentang impian dia. Tak akan cakap sepatah pun untuk tinggalkan rumah tu.

"Bangun!" Zafiq mengarah.

"Aku tak larat."

"Bangun!!!" Arahan Zafiq makin keras.

Aira angkat muka.

"Aku dah cakap, aku tak larat. Biar aje aku dekat sini. Kau balik rumah kau sana! Jangan ganggu aku! Lagipun, kau tahu yang aku tak akan dapat lepaskan diri dari sini. Kau nak takut apa?!" marah Aira dengan nada yang sebak. Dia terus membatu di situ.

"Hey, aku tak takut kau nak larilah, perempuan. Tapi, aku..." Bicara Zafiq jeda di situ.

Dia renung tajam mata Aira yang sedang memandang dia. Dada Aira nampak berombak. Kencang. Tak payah cakap, dia memang boleh nampak Aira penat.

"Tapi apa?" soal Aira berani.

Zafiq ketap bibir. Cuba ditenangkan amarah yang sedang mengaum dalam dada. Ini bukan masa nak mengamuk.

"Aira, hari hujan... Haiwan berbisa banyak. Baik kau bangun!" Zafiq makin hilang sabar. Buatnya tiba-tiba kena sengat jengking ke, dipatuk ular ke... Satu hal pula.

"Biar aku kena sengat pun. Kau peduli apa? Patut kau suka tengok aku terseksa macam ni, kan? Kau memang harap aku mati, kan?"

"Gila!" marah Zafiq. Sabar dia kian menipis. Sikit lagi nak koyak ni. Dia mencangkung dan menarik lengan Aira.

"Kan aku dah cakap, kalau kau nak mati pun... Aku akan seksa kau cukup-cukup!"

Aira menoleh. Dadanya naik turun. Ringan tangan dia nak cakar wajah lelaki ini. Biar turut sama merasa, pedihnya layanan yang dia terima.

"Bangun, Aira!" Zafiq bangkit. Ditarik Aira agar turut sama bangkit tapi bila perempuan itu terus membatu, Zafiq tiada pilihan.

Dia tunduk dan terus mencempung tubuh Aira ke dalam pelukannya. Rontaan Aira langsung tak beri kesan pada tenaganya. Pintu bilik itu ditendang dan Aira dihempas di atas katil.

"Kan aku dah cakap biarkan aku!" marah Aira. Sakit belakang dia.

"Biarkan kau? Hey... Kau tak rasa ke apa yang kau buat tu macam nak tarik perhatian aku? Nak minta simpati aku? Seronok, kan? Aku peluk kau? Kau sukalah kan lelaki layan macam tu? Sentuh kau sana sini..."

"Hey, berapa kali aku nak cakap... Zariq atau sesiapa saja tak pernah sentuh aku. Kau aje yang..."

"Aku buat apa?" Zafiq rapatkan wajahnya ke wajah Aira.

"Aku buat apa, Aira? Kau tak rasa aku cuba selamatkan kau ke tadi? Aku terdesak peluk kau? Kau ingat aku hadap sangat nak sentuh perempuan macam kau? Bekas orang? Come on..." Terus Zafiq jarakkan tubuh mereka.

Mengibas baju yang sedikit lembap. Dia tarik bangku kayu dan labuhkan duduk di situ. Sesekali dia mendongak, ada air menitis daripada atap. Bukan di satu tempat, malah di beberapa tempat yang lain.

"Kau memang sengaja buat aku sakit hati, kan?"

"Kalau ya, kau nak buat apa?"

Aira diam seketika.

"Apa pun jadi, aku tetap tak mengaku salah..."

"Tak apa. Aku ada cara nak buat kau mengaku satu hari nanti. Tapi, buat masa sekarang, nah..." Zafiq letak beg plastik yang Nazri siapkan tadi.

"Banduan dalam penjara pun, dapat makan. Aku tak kejam macam kau. Kau kata kau lapar, kan? Pergilah masak sendiri..." arah Zafiq sinis.

"Lagi satu, baju koyak kau tu..." Ingat lagi dia yang rentap baju Aira. Dahlah koyak, basah pula. Sehelai lagi dia nampak tersidai di luar. Gamaknya, Aira tak sempat nak angkat kerana sibuk mengambil air daripada anak sungai.

"Tukar!" suruh Zafiq sambil membuka T-shirt yang dia pakai dan dicampak ke riba Aira. Membiarkan tubuhnya hanya dibalut singlet putih. Kemudian, terus saja dia keluar dari situ.

Seperti sebelum ini juga, tanpa menoleh lagi.

Aira genggam baju tersebut erat. Bau lelaki itu menyengat. Bukan bau busuk tapi bau seorang lelaki. Baju putih itu dipandang lama. Seperti merenung abang pada Zariq. Dan kau Zariq, mana kau pergi? Kenapa tak muncul dan katakan kebenaran? Bukan aku yang kau cinta, Zariq. Bukan aku yang sakiti kau.

Aira rebahkan tubuh setelah menukar baju. Besar dan menggeleber. Tapi, tak kesahlah. Cukuplah untuk melindungi dia daripada kesejukan bila selimut dia juga tak kering.

KEMURUNGAN Zariq semakin menjadi-jadi. Biarpun jauh dia bawa Zariq dan Nazri ke Phuket. Malah, ke pulau milik arwah umi. Di mana ada sebuah rumah kayu yang dibina. Cantik seni binanya. Menghadap lautan dan dikelilingi pepohon nan hijau. Dia tenang di sini. Malah, Zariq juga suka. Tapi sekarang, segalanya berbeza. Ke mana saja, Zariq tetap begitu. Termenung dan ada masanya Zariq bercakap sendiri. Menangis dan ketawa.

Tuhan... Zafiq raup wajah. Dia pandang Nazri.

"Yie, abang ada kerja dekat resort kejap. Nak kena sign dokumen sikit. Kau tengok-tengokkan Zariq. Jangan biarkan dia lepas daripada pandangan kau sesaat pun..."

"Yalah, bang. Yie tengok dia. Abang pergilah. Jangan risau. Apa-apa hal, Yie terus call abang."

Berat hati nak tinggalkan Zariq. Tapi, apa nak kata dia ada tanggungjawab lain pada pekerjanya. Malah, ada yang dah bekerja sejak zaman umi dan ayah lagi. Mana boleh dia abaikan semua itu. Sementelah pula, dia baru saja membuka ladang penternakan tiram bagi penghasilan mutiara. Malah, ada pelabur dari Sabah juga datang.

Zafiq berjalan ke jeti bila mana Rahim sudah sedia menanti bila Nazri datang berlari padanya.

"Abang!" Laungan Nazri menghentikan langkahnya.

Wajah Zafiq cemas.

"Kenapa, Yie?"

"Abang Zariq cari abang. Dia mengamuk tak jumpa abang..."

"Tuhan..." Zafiq pandang Rahim yang dah bersedia di dalam bot.

"Im, kau tolong uruskan semua kat ofis. Semua dokumen yang aku nak kena sign, kau bawa sini nanti. Team dari Sabah yang datang tu, kau handle ajelah. Zariq tak sihat..."

"Yalah, bos..."

Zafiq terus berlari. Sebaik tiba di rumah, Zariq sedang menangis sambil menggenggam rambut. Nampak takut. Nampak sakit.

"Abang jangan tinggalkan Riq. Abang jangan..."

Zafiq dekati adiknya. Melutut di depan Zariq. Memeluk tubuh kurus itu erat. Dia hampir menangis.

"Abang jangan tinggalkan Riq. Aira, jangan tinggalkan saya. Abang jangan tinggalkan Riq. Aira, jangan tinggalkan saya..." Berpuluh kali, Zariq hanya ulang ayat yang sama.

Air mata Zafiq gugur. Pelukan mereka terlerai. Zariq berlari ke pintu tapi sayang bila dahi itu terhantuk dinding. Dang! Dan, Zariq rebah tak sedarkan diri dengan dahi yang mula mengalirkan darah. Waktu ini, hati Zafiq lebih lagi berdarah.

MATA Zafiq terbuka. Peluh kecil merenik pada dahi dan seluruh dadanya. Dia pandang ke kiri. Jendela itu terbuka dan terkatup berkali-kali ditolak angin yang garang. Dia bangkit dan menutup jendela itu rapat. Duduk di birai katil.

Kau tak nak abang tinggalkan kau tapi kau... Zafiq mendongak. Memandang siling dan terlintas akan sesuatu. Dia bangkit dan menyarung jaket ke tubuh. Lampu suluh juga dicapai. Setelah itu dia terus keluar bersama sekaki payung menuju ke pondok.

Aira! Hati dia mula berlagu bimbang. Dia lupa langsung tentang Aira dan atap pondok yang bocor. Langkah kaki dipercepatkan dan bila dia tiba, dua keping atap sudah terbang entah ke mana.

Zafiq kalut.

"Aira?" panggilnya kuat seraya mengetuk pintu. Tak guna! Perempuan ni kunci dari dalam.

"Aira, buka pintu ni!" arah Zafiq bersama ketukan bertalu-talu.

"Aira?" Suaranya makin kuat. Kali ini dia tak mahu lagi menanti. Sekali tendang aje, pintu itu terkuak lebar.

Terbersit hati melihat Aira yang sedang mengerekot di bucu dinding. Di mana hanya tempat itu masih sedikit kering. Tapi, perempuan ini masih boleh lena. Seluruh tempat sudah lencun. Malah, baju putih milik dia yang dia campak pada Aira tadi juga nampak basah. Anak baju Aira nampak jelas di matanya. Zafiq pejam mata seketika. Dia buka mata semula dan satu perkara yang dia perasan. Aira memeluk plastik yang dia bawa. Dia cepat-cepat membuka jaketnya dan membalut tubuh Aira. Setelah itu, pipi perempuan itu ditepuk.

"Aira? Bangun..."

Tiada sahutan.

"Aira?" Kali ini, dia tepuk pipi Aira sedikit kuat. Barulah gadis itu angkat kelopak mata. Merenung tepat padanya dengan pandangan yang begitu sayu.

"Kenapa kau tak panggil aku?"

Aira kemam bibir seketika.

"Aku ada hak ke?"

Wajah Zafiq berubah. Dia telan liur sendiri. Terasa disindir tapi ini bukan masa untuk mengamuk. Dia dongak ke atas. Hujan makin mencurah. Angin juga makin kuat. Rasanya, berlarutan hingga ke pagi kalau mengikut pengalaman dia.

"Jom..."

"Mana?"

"Ikut ajelah..." Suara Zafiq sedikit meninggi.

Aira betulkan duduk. Dia masih memeluk plastik itu. Zafiq merengus kasar.

"Letak plastik tu kat sini..."

"Tak nak. Ini makanan aku. Nanti, kalau aku buang, kau suruh aku kutip. Kau suruh aku makan yang ni aje. Kali ni, aku simpan..."

"Aira..."

"Aku nak masak esok. Aku pun tak suka bazirkan makanan macam kau juga. Aku sayang rezeki ni..."

"Aira!" Zafiq menjerkah bila melihat Aira yang langsung tak hiraukan panggilan dia. Suara itu teresak-esak.

"Tinggal aje. Kat rumah tu banyak lagi. Biar aje dekat situ. Jom..." Zafiq bangkit. Dihulurkan tangan pada Aira tapi teragak-agak gadis itu mahu menyambutnya.

"Aira, jangan buat aku hilang sabar. Kau tengok atas tu. Atap dah terbang. Kau nak duduk sini sorang-sorang?" marah Zafiq lagi.

Dia paut lengan Aira dan memaksa gadis itu bangkit. Saat Aira berdiri, jaketnya jatuh. Mata Zafiq sekali lagi terpaku tepat pada Aira dan dia pantas menoleh ke lain.

"Kutip jaket tu, Aira. Pakai!" arahnya.

Seperti lembu dicucuk hidung, Aira sarung jaket besar itu ke tubuh. Membiarkan lelaki ini menggenggam tangannya dan dia mengikut saja. Dan, bila sesekali angin bertiup kencang, Aira rasa tangan kasar itu menjalar, memeluk bahunya. Erat dan makin rapat. Kepalanya jatuh pada bahu yang tidak sepatutnya. Dia mula rasa selamat. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro