Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 10

NAFAS Aira tercungap-cungap bila wajahnya disimbah air. Dia angkat tubuh. Terbatuk berkali-kali hingga merah matanya. Dia kerutkan kening dan memandang lelaki depan matanya yang muncul setelah beberapa hari menghilang.

"Kau nak tidur sampai bila? Atau kau nak tidur terus? Tak payah bangun sampai bila-bila dah?!" sembur lelaki itu. Marah!

Aira buat tak dengar. Sekadar mengelap wajah dan rambut yang basah. Malas nak layan amukan orang pagi-pagi ni.

"Kau pergi mana?" tanya Aira biarpun tekak masih perit.

"Kau lupa sesuatu nampaknya. Kau tak ada hak apa-apa dekat pulau ni! Jadi, jangan tanya apa-apa soalan!" tegas Zafiq.

"Bangun!" arahnya.

Aira jatuhkan kaki ke lantai. Bantal dan selimut dia basah. Dia renung lelaki itu dengan rasa tak puas hati. Sudahlah tinggalkan dia sendiri. Nazri pun entah ke mana. Tinggal dengan pelbagai persoalan pula tu. Lepas tu muncul, buat dia macam ni.

"Kau tahu tak kau biarkan aku sorang-sorang dah tiga empat hari?"

"Jadinya?" Zafiq menyoal tanpa rasa bersalah sekelumit pun.

"Kau tak fikir ke aku makan ke tidak. Aku sihat ke tidak..."

"Semua tu tak ada kaitan dengan aku."

"Kiranya kau memang nak aku mati, kan?"

"Kalau aku nak kau mati, awal-awal aku dah bunuh kau!" Mata Zafiq terjegil.

"Tapi, aku nak kau lalu perkara paling menyakitkan. Bangun! Ada kerja kau kena buat!" Dia tarik bahu Aira. Tak sengaja, baju itu koyak di bahagian lengan. Terus Zafiq lepaskan. Aira pantas menekupnya.

"Tak boleh ke kau tak berkasar? Kau tahu kan, aku ni perempuan? Kalau aku ada kudrat macam lelaki, aku tak akan bagi kau layan aku macam ni!" marah Aira. Dia tolak rambut basahnya ke belakang. Rimas.

"Sebab kau perempuanlah baru kau boleh goda lelaki yang kau suka. Ikat dia orang. Biar ikut aje cakap kau. Lepas tu, kau tinggalkan dia. Tak cukup dengan tu, kau hina dia. Kau paksa dia melutut depan kau. Kau suruh dia merayu-rayu pada kau tapi akhirnya, kau tetap tinggalkan dia."

Wajah Aira jelas terpinga-pinga. Apa jenis pertuduhan yang lelaki ini bacakan untuk dia? Dia langsung tak faham.

"Aku tak faham apa kau cakap ni. Dari hari tu lagi, aku memang tak faham. Macam mana kau tahu Zariq seorang pelukis dan potret aku..." Bicara Aira mati. Dia renung lelaki itu.

"Kau abang Zariq, kan?"

Zafiq ketawa sinis.

"Oh, aku ingat kau bodoh sangat tak boleh nak agak aku ni abang lelaki yang kau dah kecewakan. Kotlah, kau ni ramai sangat jantan, sampai dah lupa mana sorang..."

"Kejap... Aku kecewakan Zariq?" Aira ketawa kecil. Tak sengaja yang pastinya.

Wajah Zafiq menyinga.

"Kenapa kau ketawa? Kau seronok dapat mempermainkan hati dan perasaan adik aku? Hina adik aku? Gitu?!" jerkahnya.

Aira menyusun nafas agar lebih tenang. Dia duduk di birai katil. Langsung tak memandang lelaki itu. Dia senyum sendiri.

Sudahnya, aku memang sentiasa kena tanggung kesan atas kejahilan kau, Airin.

Dia melangut pandang pada lelaki itu.

"Aku nak jumpa Zariq. Kalau dia tahu kau buat aku macam ni, dia akan sedih..."

"Sedih? Hey... Zariq dah jenuh bersedih lepas kau tinggalkan dia, malukan dia... Dia cukup sedih sampaikan..." Zafiq ketap bibir. Dia pejam mata lama. Aira tak boleh tahu. Sampai bila-bila!

Bila dia buka mata, Aira sudah berdiri dekat dengannya. Wajah cantik itu menadah pandangannya. Di bawah dagu.

"Aku merayu. Bawa Zariq. Kau akan tahu yang kau salah faham. Aku tak pernah tinggalkan dia tapi dia yang tinggalkan aku. Dia yang mungkir janji. Bukan aku," rayu Aira.

Zafiq ketawa.

"Kau ingat aku nak percaya? Hey, kau tahu tak kesannya pada Zariq bukan sikit? Bukan sekejap. Kesannya pada hidup aku, pada segalanya, pada Nazri..."

"Nazri? Kenapa dengan Nazri?" Segalanya makin berselirat. Kenapa Nazri juga terlibat sama? Jika Nazri kawan pada Zariq, dia tak pernah kenal Nazri.

"Kau kawan dengan dia, Zariq tak pernah cakap dekat kau dia ada abang?"

Aira menggeleng.

"Aku tak pernah tanya lepas aku dapat tahu orang tua dia dah tak ada..."

Jujurnya, dia tak pernah tahu siapa Zariq. Dia hanya tahu Zariq anak yatim piatu. Selebihnya, dia tak tanya. Dia bimbang Zariq terluka. Hidup bersendirian tanpa orang tua, bukan mudah. Dia tahu perasaan itu. Sebab tu dia tak pernah usulkan tentang susur-galur Zariq kerana susur-galur dia sendiri pun, berselirat.

"Kau tahu Zariq ada pulau? Ada perniagaan besar dekat negara orang? Dekat negara sendiri? Ada banglo? Ada kereta besar?"

Sekali lagi, Aira geleng.

"Kau tak pernah naik kereta merah kesayangan dia? Tak pernah tengok Zariq bawa motor besar kesayangan dia tu?"

Mata Aira merenung lelaki di depannya. Kereta Audi itu milik Zariq rupa-rupanya. Tapi, kenapa Zariq bohong dia kata itu semua pinjaman? Atau sebab Zariq tak nak menunjuk.

"Zariq kata motor dan kereta itu, dia pinjam..."

"Hah. Sebab dia tak mengaku dia kaya-raya, kau tinggalkan dia. Sebab dia tak boleh bagi apa saja kau nak. Kalau kau tahu dia ada segalanya, tentu kau tak tinggalkan dia, kan?"

Tak... Tak... Aira menggeleng sendiri. Dia hanya kawan baik Zariq. Airin yang bercinta dengan Zariq. Bukan dia. Itu pun selepas penat dia merayu pada Airin agar hargai lelaki sebaik Zariq. Malah, dia juga dah nasihatkan Zariq. Tapi, cinta itu membutakan!

"Bukan aku yang bercinta dengan dia. Tapi, orang lain. Adik aku..." ujar Aira separuh berbisik. Bibirnya sudah menceber. Dia sedang menahan sebak. Kolam air matanya dah melimpah. Dia renung lelaki depannya.

"Bukan aku. Lagipun, aku tak pernah tinggalkan dia. Dia yang tinggalkan aku. Dia yang mungkir janji," tegas Aira. Serentak itu, air matanya jatuh. Laju menuruni lekuk pipi.

"Aku tak pernah tinggalkan Zariq. Tapi, orang lain..." Aira menyeka air matanya kasar. Dia mahu lelaki ini percaya. Dia tak pernah menipu.

Zariq cintakan orang lain. Bukan dia.

Zafiq mendekati Aira. Helaian rambut Aira yang basah disentuhnya. Diselak ke belakang. Wajah basah Aira langsung tak memberi kesan padanya.

"Kenapa kau nak nafi, Aira? Bila semua muka kau yang Zariq abadikan pada lukisan dia? Setiap helaian lukisan tu, ada nama kau. A.I.R.A." Dia eja nama Aira. Kotlah dia yang bodoh. Lain dieja, lain disebut.

"Betul tak, itu ejaan nama kau?"

"Ya, tapi... Zariq tak cintakan aku. Tolonglah percaya..." Aira sambar tangan lelaki itu. Menggenggam jari-jemarinya erat. Dia dah hampir terduduk. Dah hampir melutut.

Zafiq hanya memandang. Inilah yang dia mahu. Dia nak Aira melutut di depannya, meminta maaf dengan rendah hati kerana pernah memperlakukan Zariq dengan cara yang sama.

"Aku sayangkan Zariq. Aku tak akan lukakan dia..."

"Ya... Aku percaya. Percaya pada kata-kata adik aku bila dia cakap tentang janji kau dengan dia. Bila dia sebut... Kita akan kejar impian kita sama-sama, Aira. Awak adalah sebuah kepercayaan dan keikhlasan yang akan saya simpan selamanya," ujar lelaki itu berbisik dekat dengan wajah Aira.

Seperti membaca gerak bibir, Aira pandang mulut lelaki itu lama. Apa lelaki ini cakap? Dia tak faham. Tapi, ayat itu seperti pernah melalui pendengaran dia bertahun dulu. Demi teringat akan janji mereka, air matanya kian laju. Itu kata-kata Zariq bila mereka bercerita tentang impian dan kehidupan. Tentang keikhlasan. Tentang kejujuran.

"Tak kan sebab lukisan, nama dan kata-kata tu... Kau nak hukum aku macam ni?" Tangisan Aira semakin menjadi-jadi.

"Tidak ke itu semua jadi bukti, Aira?"

"Bukti apa semua tu? Itu semua bukan bukti!" jerit Aira sekuat hati. Kenapalah susah sangat lelaki ini nak percaya?

"Kalau sebab ini kau bawa aku sampai ke sini, aku bantah segala pertuduhan kau pada aku! Aku bantah. I object!" Aira terus menjerit seperti diserang histeria.

Tapi, Zafiq hanya tenang. Tangannya yang ada dalam genggaman halus jemari Aira direntap. Dia menapak ke belakang beberapa langkah. Menjauh daripada Aira. Dia bimbang jika dia sakiti Aira dengan cara yang dia sendiri tak mahu.

Sekarang, dia hanya nak Aira mengaku dan merayu sebuah keampunan. Tapi, nampaknya, Aira tak akan pernah mengaku. Sayangnya... Aira tak pernah hargai Zariq dan sekarang, tak hargai peluang yang dia buka.

"Apa nak kata. Dekat sini, hanya undang-undang aku yang berkuasa. Kerana itu, bantahan kau ditolak, Aira. Your objection..." Zafiq menggeleng.

"Overruled!" Terus dia keluar dari situ setelah memberikan keputusan dalam perbicaraan pertama!

DUA buah baldi itu diangkat serentak. Tempayan besar itu dah kosong atau sengaja dikosongkan. Lelaki tu keluarkan arahan tegas untuknya. Dia perlu buat segalanya sendiri sekarang. Dia rela. Dia mampu. Dia bukanlah seperti yang disangka. Dia tak pernah dilayan seperti puteri. Malah lebih kepada hamba. Kerana dia selalu diingatkan tentang siapakah dia.

Aira panjat tebing sungai. Berhati-hati agar air dalam baldi tak tumpah. Jarak ke pondok itu hampir seratus meter. Dia harap dia kuat. Dia tabah. Aira mendongak ke langit. Nampak kelam. Kejap lagi, pasti hujan.

Perlahan-lahan dia berjalan. Sedikit demi sedikit, air bersih itu tumpah di sepanjang perjalanan dan bila sampai di pondok, hanya tiga per empat masih berbaki. Aira kuatkan semangat. Dia perlu penuhkan air hari ini juga sebelum lelaki itu kembali. Jika tidak, dia tak dapat makan. Malah, sejak semalam segala makanan tiada berbaki.

Hati Aira benar-benar sebu. Adakah selama ini dia begitu berlebih dalam rezeki yang Tuhan bagi? Kerana itu Tuhan uji begini. Tidak sekali Aira salahkan takdir. Tapi, sebagai manusia yang lemah lagi jahil, dia ingin ajukan soalan itu pada Pencipta.

Sebaik saja dia mahu pergi buat kali ketiga, Nazri hulurkan tangan. Aira menggeleng.

"Jangan, Yie. Biar kakak buat. Nanti kau kena marah. Kakak rasa bersalah nanti. Kau pergilah tempat bos kau. Kakak dah biasa sorang-sorang..." Aira tahu, ada rumah agam yang jauh lebih selesa di pulau ini. Rumah lelaki itu yang sampai sekarang, dia masih tak tahu namanya biarpun identiti lelaki itu sudah tak menjadi rahsia lagi.

Melihatkan ketegasan Aira, Nazri berlalu dengan berat hati. Tadi, dia nak bawa sedikit beras untuk Aira tapi dia bimbang jika Zafiq nampak walaupun masa dia tinggalkan rumah itu tadi, Zafiq sedang sibuk dengan kerja yang sedikit banyak. Malah, ladang tiram juga ada masalah sedikit bila dilanda ribut malam tadi dan nampaknya malam ini, ribut akan melanda di sini pula.

Sebaik saja dia tiba, Zafiq sudah menanti di anjung. Wajah Nazri murung. Hanya membalas pandangan Zafiq.

"Kau pergi mana, Yie? Hari nak hujan ni..." Zafiq mula nak membebel pada Nazri. Dia tak nak hilang seorang adik lagi. Sejak dulu, biarpun Nazri hanyalah sidekick Zariq, tapi dia sayangkan budak ini.

"Masuk. Nanti kita makan sama-sama. Abang tak nak makan sorang-sorang malam ni..." Dah banyak hari dia tak dapat makan dengan Nazri. Sibuk ke Patong untuk uruskan pelancong dan mencari keperluan. Padahal, dia tak suka Patong tu. Siang hari okey lagi. Kalau malam, semua benda ada dekat situ. Yang tak elok yang pastinya. Yang seronok, pantainya cantik.

"Yie?" panggil Zafiq bila Nazri mahu masuk ke dalam.

Lelaki itu menoleh padanya. Mata itu, menyimpan seribu kesedihan. Tak mungkinlah Nazri pun dah jatuh kasih pada Aira? Perempuan itu betul-betul pandai berlakon. Kononnya rendah diri. Membiasakan diri kakak pada Nazri.

"Kau pergi belakang ke?"

Nazri angguk. Dia menghantar isyarat hari nak hujan dan Aira masih lagi mencedok air dari sungai. Cuaca pula makin gelap tapi tempayan itu baru separuh diisi. Tambah pula, tiada apa yang Aira boleh makan malam ni.

"Kau nak hantar beras dengan telur dekat dia?" tanya Zafiq telus.

Nazri diam. Maknanya betullah tu.

"Kau tahu kan apa dia dah buat dekat Zariq?" Bahu Nazri diramas perlahan. Matanya sudah menghantar isyarat yang dia tak selesa Nazri baik sangat dengan Aira. Perempuan itu, tak pandai menghargai. Aira hanya seorang pelakon handalan.

Nazri sentuh tangan Zafiq. Berbicara lagi.

"Ya, abang tahu dia lapar. Kau pergilah masuk. Pasal perempuan tu, biar abang uruskan." Zafiq dongak ke langit. Titisan hujan mula jatuh menyentuh pipinya.

Tapi, Nazri masih tarik tangannya. Telunjuk Nazri lurus ke arah pondok.

Zafiq angguk. Dia senyum. Meredakan resahnya.

"Ambilkan payung..."

Senyuman Nazri lebar. Laju dia berlari ke dalam rumah dan seketika kemudian, keluar dengan beras, telur dan ikan. Juga sekaki payung. Zafiq tidak dapat tidak, hanya mampu menggosok kepala Nazri. Dia sayangkan Nazri yang masih setia di sisinya walau apa pun terjadi.

"Pergi masuk. Kejap lagi abang balik," arahnya.

Nazri akur. Dia terus menapak laju menuju ke belakang.

Jangan jatuh sakit, Aira! Jangan! Kakinya kian laju melangkah. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro