Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

Prolog

Cintamu hancurkan zahirku,

Rela dicampak ke penjaramu,

Dari diperlakukan begini...

Kasihku tolong lihatkanlah,

Tunjuk dia jalan kepada-Mu,

Yang tersesat tiada bertuju...

(Warkah Untukku – Ara AF)

Prolog 1 

DIA menongkat dagu. Merenung dalam sepasang mata kuyu itu. Senyuman lebar terukir. Mata dan kening itu... Hai... Tak berupa dia langsung.

"Umi..."

"Ya, sayang..."

"Kenapa umi letak nama abang dengan nama ni?" Jari comel itu lurus pada muka depan sebuah buku cerita bergambar. Kisah para anbia. Tertulis nama sendiri.

Dia gelak kecil.

"Kenapa, ya?" Matanya dijulingkan ke atas seketika sebelum dia kembali memandang mata anak teruna yang dah nak masuk lima tahun umurnya.

"Nama abang adalah nama orang yang paling umi dan ayah rindu. Yang umi dan ayah begitu sayang. Orang yang begitu baik pada umi. Yang sangat ikhlas. Sebab itu, ayah dan umi letak nama dia pada abang. Biar nanti bila ayah dan umi rasa rindu pada dia, umi dan ayah dapat leraikan rindu tu bila pandang muka abang," jawabnya sambil tersenyum tipis.

Pipi mulus itu disapa dan diusap sopan. Sesekali, dia betulkan duduk. Kandungannya yang dah cukup bulan sedikit sebanyak buatkan duduk dia tak selesa. Kali ini, dua!

"Kalau abang nak tahu nama siapa, boleh tak umi cerita?" Mata itu nampak begitu berharap.

"Cerita ni cerita sedih. Cerita perjalanan seorang wanita. Dipertemukan dengan seorang lelaki kerana kehendak takdir yang menjadi titik hijrah lelaki dan wanita itu..."

"Umi dengan ayah?" Tawa kecil si anak lepas. Seronok dapat meneka.

Mata umi mengerdip sekali. Baru nak mulakan cerita, pintu bilik ditolak. Dia toleh. Wajah tampan itu mendekat. Melabuhkan duduk rapat padanya. Kepalanya ditarik dan dahinya dikucup lama.

"Untuk dia belajar erti reda yang sebenar-benarnya. Bukan hanya di mulut semata-mata." Giliran ayah pula menambah. Bahu isteri sesekali diusap mesra. Sejak tadi dia hanya mencuri dengar di balik pintu. Pelik. Biasanya, waktu ini dah kedengaran kisah nabi dan rasul menjadi bedtime stories. Malam ni, lain pula ceritanya.

"Ayah ceritakanlah..." pinta anak separuh merayu.

"Ayah tak nak ceritakan. Biar umi cerita. Ayah hanya boleh cakap... Penamatnya membahagiakan kerana setiap kesabaran itu sentiasa diganjari. Dan, setiap kesabaran itu adalah milik umi..." Sekali lagi dia pandang mata bundar yang nampak sedikit letih. Kesan pembawaan kembar dalam perut gamaknya.

"Bila akhirnya wanita dan lelaki itu bertemu dalam jodoh yang mereka sendiri tolak pada mulanya. Setelah itu, Allah amanahkan abang, bahagia itu lengkap..." Umi menyambung.

"Kiranya, betullah ini kisah umi dan ayah?"

Kedua-duanya berpaling pada si anak. Mengangguk. Merenung suami di sisi dengan hati yang sentiasa berdegup kencang dan dengan mata bundar yang berkaca-kaca bila mengingatkan peritnya ujian yang mereka sama-sama telah tewaskan. Lantas, bibir dia tersenyum lebar. Kemudian, dilentokkan kepalanya ke bahu sasa itu.

Rasa ini masih sama.

Rasa selamat.

Bab 1 

SEMUANYA serba-serbi tak kena. Itu, ini... Dia yang kena terima segalanya. Padahal, bukan salah dia pun. Betapa dia cuba pertahankan diri, kata-kata dia tak akan dipeduli. Segala hukuman akan jatuh ke bahunya. Sejak dulu. Belakang inilah yang ada kesan jalur rotan. Telapak tangan inilah yang berbirat. Tapi, sekarang tak lagi. Cuma, tiada apa yang berbeza. Telinga dia yang kena tahan maki.

"Kenapa mama tak habis-habis nak hukum Aira, kak?" Air mata bergenang bila soalan itu diajukan pada pembantu rumahnya.

"Airaaa..." Lemah jiwa wanita itu nak jawab soalan Aira. Dia pun tak tahu. Dia baru aje kerja dekat sini lepas mak saudaranya berhenti kerja kerana nak berehat.

Banyak juga cerita yang dia dengar tentang hal penghuni rumah ni. Lebih-lebih lagi tentang nasib Aira. Seperti susah nak percaya, tapi bila dah tengok dengan mata kepala sendiri, menggeleng jugalah.

Cuma, sebagai pembantu rumah... Tiada apa yang boleh dilakukan melainkan mendengar luahan hati Aira dan memintanya sabar.

"Kak Su pun tak tahu nak cakap, Aira. Aira kena terus sabar. Kan sebelum ni, mak kak su selalu pesan dekat Aira... Sabar. Besar hikmah orang sabar ni, dik..." Aira, dah macam adik. Beza umur pun tak jauh mana. Dalam rumah ni, hanya Aira yang anggap dia seperti keluarga.

Ada masa, Aira tak kekok makan semeja dengan dia di dapur. Aira tak berat tulang nak tolong dia siapkan makanan. Malah, Aira sendiri panggil dia kakak. Dia pula jadi segan.

"Aira sabar, kak. Tapi, mama bukan tak nampak apa yang Airin buat. Takkan sebab Airin adik, dia ada segalanya... Semuanya Aira kena tanggung. Sejak dulu, kak. Aira bukan nak memandai tapi kalau dah selalu sangat bela yang silap, benda tu akan terus berulang. Tak akan mengubah apa pun. Itu yang Aira nak mama faham." Ingat lagi, macam mana penampar mama hinggap ke pipi dia setelah sekian lama dia tak makan pelempang mama.

Hanya kerana dia ingatkan mama untuk tegur kesilapan Airin. Dia tak nak mama dan Airin menyesal di kemudian hari. Airin dah dewasa. Dia dan Airin hanya beza satu tahun. Tak jauh beza pun. Tapi, semua benda dia kena hadap. Kena tanggung.

Sampai bila mama nak biarkan Airin bebas dengan sikap sendiri? Ini dengan dia, tak apalah. Dia dah biasa mengalah kerana Airin itu adik. Sementelah dia sedar dirinya siapa. Tapi, kalau satu hari dengan orang luar, nak ke orang luar tu maafkan Airin begitu saja? Sanggup ke mama nak hempap semua salah Airin pada bahu orang lain? Melainkan dia juga yang kena. Mama masih nak butakan mata dan pekakkan telinga ke?

"Aira rasa nak keluar dari rumah ni, Kak Su..."

"Eh..." Wajah Kak Su berkerut. Tak jadi dia nak siang ikan. Mujur tak terkelar tangan dengan pisau bahana terkejut dengan kata-kata Aira. Tak pernah lagi Aira keluarkan kata-kata macam tu.

"Aira tak serius, kan?" Mata Aira dipandang.

Aira sepi. Tiada tindak balas melainkan hati dia mengiakan berkali-kali. Dia bersungguh. Dia tekad. Apa nak jadi, jadilah. Biarlah dia kebulur pun, daripada duduk dalam rumah besar yang tak pernah buat dia bahagia.

"Sebelum fikir benda tu, Aira kena ingat sesuatu. Tuan kan tak berapa sihat sekarang. Melainkan Aira yang sudi jaga makan pakai dia, puan dengan Airin mana sempat..." Kak Su nak kata tak jaga langsung, nanti nampak kejam sangat. Kata tak sempat, sedap sikit dengar.

"Kak Su kan ada..."

"Kak Su orang luar, Aira. Tak sama dengan ahli keluarga sendiri."

Aira senyum. Pahit. Kenyataannya sangat berbeza. Dia capai pisau di tangan Kak Su dan tolong Kak Su menyiang ikan.

"Kak Su masak nasi. Nanti mama balik, bising pula makan tengah hari tak siap lagi. Lagipun, Aira nak keluar pergi pasar kejap. Banyak barang dah habis, kan?" Saja dia tukar tajuk. Malas nak panjangkan lagi niat dia yang memang tak akan tertunai tu.

Gamaknya, hanya bila dah jadi mayat barulah dia boleh keluar dari rumah ni. Pernah dia cakap pada ayah, ayah larang. Cakap dekat mama, mama menyinga. Kata mama, jangan jadi manusia tak kenang budi. Duduk aje rumah ni. Bantu apa yang patut. Tak payah keluar kerja. Makan pakai pun dapat dok dalam rumah ni. Percuma. Tapi, pada dia tak. Dia membanting tulang setiap hari untuk buat pelbagai kerja di dalam rumah ni.

Masalahnya, hati bukan sekali terluka. Rasanya, tak ada tempat nak ditoreh lagi. Semua dah penuh dengan bekas.

"Aira nak Kak Su teman?" Kak Su juga senyum. Memujuk Aira dalam diam.

"Tak apalah. Kak Su tolong kemas rumah aje. Nanti lepas habis beli barang, Aira terus balik..."

"Tapi, Aira nak keluar dengan apa? Kereta Airin rosak. Pagi ni, driver tuan yang hantar dia."

Aira diam seketika. Itulah dia. Mama belikan Airin kereta. Padahal Airin dah ada pendapatan sendiri. Dunia modeling Airin, adalah dunia yang mama banggakan. Nak-nak bila setiap kali Airin dapat bayaran dan bawa keluarga makan di restoran mewah. Masa tu, mama senyum sampai koyak ke telinga. Mulalah mama menjeling dia. Hanya dia buat tak tahu. Isi perut ajelah. Habis tu, nak kerja mama tak bagi. Nak kata apa?

Selesai menyiang ikan, Aira basuh tangan. Kemudian, dia tarik ikatan rambut dan dibiarkan rambut panjang itu lepas bebas. Dia senyum pada Kak Su.

"Aira naik GrabCar ajelah. Senang..." Pantas dia keluarkan telefon bimbit dari poket jean. Sewa GrabCar ajelah. Dah biasa macam tu. Tak susahkan orang. Senarai barang dah ada. Beg dah disilangkan pada tubuh. Aira sarung sneakers dan terus aje keluar rumah bila pemandu GrabCar telefon dia kata dah sampai depan rumah. Fuh, cepat betul!

"Saya duduk belakang, ya?" ujarnya sebaik saja pintu Perodua Axia itu terbuka.

"Baiklah, cik..." Pemandu lelaki itu senyum. Muda lagi. Aira cucuk earphone ke telinga. Dah biasa macam tu. Escapism orang kata. Malas nak sembang. Janji sampai ke tempat yang dituju, sudahlah.

Dia buang pandang keluar tingkap. Sesekali, jari runcing itu tak henti bergendang. Tanpa dia sedar, mata pemandu kian liar merenungnya dari cermin pandang belakang. Kepala Aira bergoyang sesekali mengikut rentak lagu. Dan bila dia sedar, laluan ini menyimpang dari jalan menuju ke tempat yang dia nak pergi. Dia mula pelik. Earphone dibuka.

"Kita ni, tak salah jalan ke?" soal dia.

"Kita ikut jalan lain sikit, cik. Waze tunjuk jalan biasa tu, ada pokok tumbang..."

Eh? Dahi Aira berkerut. Pulak dah. Tak ada dengar berita pun. Tapi, tak apalah. Cuma, dia tak tahu pula jalan ni boleh menuju ke Giant Kelana Jaya.

Sepuluh minit berlalu, dada Aira mula berdetak laju. Dia kerling wajah pemandu. Nampak tenang. Tapi, apa yang ada dalam kepala lelaki itu tiada siapa tahu. Nak-nak sehari dua ni ada pula kes tak elok berkaitan dengan pemandu GrabCar dan Uber. Tak semua, tapi tidak ke kerana nila setitik rosak susu sebelanga?

"Errr..." Aira baru nak bersuara bila dia menjerit kuat. Tubuhnya terdorong ke depan dan dahi dia terhantuk pada tempat duduk depan bila kereta tiba-tiba dilanggar dari belakang.

Aira pandang pemandu yang nampak tak sedarkan diri dengan wajah menyembam ke stereng. Teruk sangat ke? Dia resah.

"Eh, adik. Adik..." Bahu lelaki itu ditepuk kuat. Ya Allah. Pengsan atau dah mati ni? Aira tepuk lagi bahu pemandu tersebut tapi masih tiada jawapan. Dengan wajahnya yang berkerut, dia menoleh ke kiri bila pintu kereta dibuka orang. Seorang lelaki muncul dengan wajah cemas.

"Awak ke yang langgar kereta ni?" Aira sempat lihat lelaki ni keluar dari Mitsubishi Triton warna hitam mati yang ada di belakang Perodua Axia.

"Okey ke?" soal lelaki itu tak menjawab soalan.

Aira angguk. Kemudian dia pandang pemandu tersebut.

"Tapi, adik ni..." Tak sempat Aira bersuara, mata dia juga terkatup. Dan, perkara terakhir dia sedar adalah bila tubuhnya diangkat oleh seseorang.

Aira senyum tipis. Lalok.

Dan, lelaki itu... Tersenyum. Cukup tajam. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro