Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

4. MAHA RISHI GILA

Engkaulah Maha Rishi Gila,
Akulah Seri Rangga,
Engkau panchong tidak bertanya,
Aku bunoh tiada pereksa,
Akulah hulubalang Sangkala dalam Dika,
Sekelian yang menjadi aku dapat binasakan,
Engkau penguasa Dika,
Maha Rishi Gila kami sekelian wangsa Dika rukun menyembah.

Kau lah asal manikam,
Si-gerebang rambut,
Si-japang japai si-renek gigi,
Seri Bota dan Seri Depang,

Adapun hasrat kami sekelian wangsa kalangan Langsuyar berkampung di jeram di ceruk Sangkala memohon seru tetuan Maha Rishi Gila melalui warkah mentera seru sembah ini agar mendengar akan keluh kesah kami mengenai leluasanya sekelian makhluk yang baru masuk ke negeri Dika, seakan hidup tetapi mati seakan bergerak tapi tak bernyawa yang kami panggil makhluk ini Limbai yang dudoknya ditanah, muasalnya bukan manikam tetapi mani jurai manusia. Rupa wajahnya tiada sisa, berjurai daging busuk hancur diratah berengga, ternampak tulang belulang segala pada betis dan lengan maka jalannya hincut tidaklah laju tidaklah perlahan.

Arakian Limbai ini mula muasal dari dunia manusia, tetapi menjadi santapan kami wangsa Langsuyar dimalam hari, diragut jantung dibuat ulam, disedut darah dibuat minum, dirobek rangka dibuat jamuan. Namun makin hari Limbai ini makinlah ramai, mula sekampung kemudian sepekan sekarang selaksa bilangan-nya dan mula menjarah negeri Sangkala dahagakan darah dan berbuat kacau dalam Sangkala.

Hatta adapun sepurnama lalu kampung kami di jeram menjadi medan gempur wangsa Limbai dengan wangsa Langsuyar Seri Jeram dan kami pun alahlah dan membawa lari kerabat ke gunung mencari perlindungan. Sudah dihalau selaksa Limbai ini ke relungan balik ke dunia manusia tetapi tidaklah berhasil, kerana relungan dunia mencampak semua Limbai ini balik semula ke Dika.

Hamba juga membawa khabar berita yang wangsa Langsuyar lain di hutan kayu juga alahlah dengan Limbai ini dan larilah sekelian Seri Perekat mencari hutan kayu baru untuk dijadi-kan tempat berkampung.

Adapun Limbai ini makin berani, makin ramai jumlahnya dan segala isi Sangkala tidak lagi ada yang tinggal kerana apa makhluk hidup mengalir berdarah berdegup jantung mati jadi makanannya.

Engkaulah Maha Rishi Gila
Yang chakap binasa semata sekelian
Menjelang malam bayangan mu sirna

Kami sekelian wangsa patuh pada tadbir engkau Maha Rishi Gila,
raja segala raja jembalang,
kepala segala kepala hantu,
daeng segala shaitan,
mohon bantulah kami beradu dengan Limbai,
kami mohon serulah para Wengi dari Tanah Datar,
kami mohon serulah Segala Serigala dari Jeram Hulu,
kami mohon serulah semua Seri Sila yang dudok ditangga,
dan Seri Tinjau yang dudok di alang,
dan Setia Guni yang memegang Bumi tujuh lapis,
dan Kelembai Batu dari Timbalai Sari,
dan segala Kemamang dari Melor dan Pulai,
agar nanti sesama wangsa ini turun bertarung,
biar habis semua Limbai tidak bersisa,
agar amanlah kembali Sangkala dan anak kami tidak lagi durja,
Kerana jika tidak diperangi selaksa Limbai ini,
Maka habislah segala isi Dika jadi padang jarak,
Merebak keluar dari Sangkala,
Matilah kami semua.

Sembah aku Sang Rangga,
Yang bunoh tiada pereksa,
Hulubalang Sangkala didalam Dika,
Sekelian yang menjadi aku dapat binasakan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro