Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 4 : Nota Misteri dan Catatan Amaran

Kehilangan Azman dan Hamid telah merungsingkan Rizal sebagai ketua kumpulan Program Bakti Siswa itu. Kebimbangan juga turut dirasai di kalangan pelajar yang sama-sama terkesan dengan kehilangan dua orang rakan mereka. Adakah mereka akan menjadi mangsa yang seterusnya? Kini, rata-rata pelajar yang berada di Kampung Lembah Geruh kelihatan lebih berhati-hati.

Aktiviti yang melibatkan program luar semakin dikurangkan atas faktor keselamatan. Program Bakti Siswa yang sepatutnya penuh dengan keceriaan kini berubah menjadi igauan ngeri. Rizal sebagai ketua kumpulan cuba menenangkan keadaan, tetapi dia sendiri dapat merasakan bahawa situasi ini adalah lebih besar daripada apa yang mampu dia kawal.

Malam itu, ketika semua pelajar berada dirumah angkat masing-masing, Aina yang ketika itu sedang nyenyak tidur tiba-tiba tersedar. Dia terdengar bunyi seperti ketukan halus pada bahagian jendela biliknya. Tetapi, apabila dia memalingkan muka ke arah jendela, hanya kegelapan malam yang kelihatan.

Namun, sebelum Aina sempat merebahkan jasadnya ke atas katil, sebuah kertas lusuh yang dilipat kecil telah dilemparkan ke bahagian bawah pintu bilik. Apabila dia membuka pintu, tidak kelihatan sesiapa pun yang berada di hadapan pintu biliknya. Aina lantas menutup pintu bilik dan dengan tangan yang menggigil, dia mengambil cebisan kertas yang dilipat kecil itu.

"Dia melihat kamu. Jangan keluar selepas waktu maghrib."

Aina segera mengejutkan Farah yang sedang nyenyak tidur di bahagian katil sebelahnya.

"Farah, bangun! Tengok ni" bisiknya dengan nada cemas.

Farah terbangun sambil menenyeh matanya yang cengkung. Beberapa saat kemudian, matanya kelihatan hampir tersembul keluar ketika membacakan cebisan kertas lusuh yang diambil di tangan Aina. Wajah Farah yang masih trauma akibat kejadian tempoh hari kelihatan pucat lesi.

"Siapa yang tulis ni? Kau ada nampak sesiapa ke?" tanya Farah kepada Aina.

Aina hanya mengelengkan kepalanya. Perasaan takut kedua-dua mereka kian memuncak apabila tiba-tiba bunyi ketukan kuat bergema dari arah pintu depan rumah. Kedua-duanya saling berpelukan sambil memejam mata tanpa sesiapapun berani untuk membuka pintu depan terbabit. Namun, setelah beberapa saat, bunyi ketukan itu terhenti. Aina dan Farah mengambil keputusan untuk merapatkan katil masing-masing supaya mereka berdua dapat menjaga antara satu sama lain. Malam itu, kedua-dua gadis itu tidak dapat tidur nyenyak, takut-takut salah seorang antara mereka tiba-tiba menghilangkan diri.

Pada keesokkan paginya, Rizal mengumpulkan kesemua pelajar di kawasan balai raya untuk memberikan sedikit taklimat mengenai situasi yang sedang mereka hadapi ketika ini.

"Kita tak boleh terus-terusan begini. Dua orang sudah menghilangkan diri, dan sekarang kita semua sudah mula mendapat isyarat-isyarat aneh."

"Kita perlu lakukan sesuatu. Saya sudah tidak tahu hendak menceritakan bagaimana semua ini terjadi kepada pihak keluarga Azman dan Hamid, pihak pengurusan anak negeri serta pihak pengurusan universiti.' kata Rizal dengan nada yang tegas.

Tiba-tiba, Aina memberanikan diri dengan mengangkat tangan serta maju kehadapan untuk menyerahkan sekeping nota kecil dan lusuh kepada Rizal. Rizal membacakan isi kandungan nota itu dengan lantang, lalu telah membuatkan semua pelajar yang ada di kawasan balai raya semakin takut. Cebisan nota lusuh itu Rizal serahkan kepada Pak Leman selaku ketua kampung Lembah Geruh. Pak Leman pula mengesahkan bahawa tulisan di atas cebisan nota lusuh ini bukanlah tulisan tangan manusia biasa kerana mempunyai elemen tulisan rencong yang sudah jarang dipraktikkan zaman kini.

"Cebisan nota ini adalah sebagai amaran kepada kalian. Penjaga kampung ini sedang berkomunikasi kepada kalian untuk tidak melakukan apa-apa perkara yang melanggar pantang larang kampung,"

"Jika tidak, akan ada lagi beberapa orang daripada kalian yang bakal hilang tanpa jejak." ujar Pak Leman dengan intonasi yang sedikit kecewa dan sedikit muram.

Rizal cuba meminta kebenaran daripada Pak Leman selaku ketua Kampung Lembah Geruh untuk dia dan beberapa orang pelajar untuk menyiasat dengan lebih lanjut tentang patung kayu yang menjadi punca kejadian malang yang bertimpa-timpa ini. Namun, Pak Leman dengan nada yang cukup tegas menolak permintaan Rizal itu.

"Segalanya sudah terlambat. Sudah tidak ada apa lagi yang kamu boleh lakukan untuk menyiasat perkara itu."

"Terlajak perahu, boleh diundur. Terlajak perilaku, buruk padahnya."

"Patung kayu itu sebenarnya bukanlah masalahnya lagi, tetapi kamu, kamu dan kamu!"

"Kamu semua sudah terlibat, dan hanya masa yang akan menentukan nasib kalian semua!" cukup tegas kata-kata Pak Leman sambil melunjurkan jari telunjuknya kepada para pelajar yang ada.

Kata-kata Pak Leman itu telah membuatkan para pelajar merasa tidak keruan. Beberapa orang pelajar terutamanya pelajar wanita mula menangis, sementara yang lainnya telah mendesak Rizal untuk mereka pulang lebih awal daripada yang tertera di dalam jadual asal.

"Niat kalian yang tidak mahu bertanggungjawab serta ingin melarikan diri daripada kampung ini hanya akan lebih memburukkan lagi keadaan,"

"Yang paling menakutkan adalah, jikalau kalian pulang lebih awal, ahli keluarga kalian juga turut sama akan di heret sekali dengan masalah ini." nasihat Pak Leman lagi sambil berpeluk tubuh. Pandangannya dipalingkan ke arah kawasan pinggir hutan.

Pada malam berikutnya, lebih banyak kejadian aneh yang berlaku. Rizal, yang tidur secara sendirian di rumah angkatnya, telah mendengar bunyi tapak kaki di luar biliknya. Bunyi itu seperti seseorang sedang memijak daun-daun kering, bunyi ranting sehingga patah dan juga bunyi geseran kasut dengan tanah. Ketika dia membuka pintu, tidak ada sesiapa mahupun penampakan yang boleh dilihat dengan mata kasar. Namun, dia mendapati satu lagi nota lusuh yang terselit di celah pintu yang tertulis:

"Kau adalah mangsa seterusnya."

Rizal segera memakai selipar lalu berlari ke arah rumah angkat Aina dan Farah untuk memaklumkan hal itu. Di sana, dia juga mendapati sebahagian pelajar-pelajar lain juga turut berkumpul kerana mereka juga mengalami gangguan yang sama. Seorang pelajar bernama Zahir mendakwa bahawa dia seakan-akan dapat melihat satu penampakan bayangan hitam yang tercegat berdiri di bawah rimbunan pohon-pohon bidara di luar rumah angkatnya.

"Bayangan itu tak bergerak, tapi aku rasa dia tengah tengok aku," Zahir menceritakan apa yang dia lihat sebentar tadi dengan wajah yang pucat.

Malam itu, mereka semua memutuskan untuk tidak tidur. Mereka berkumpul di salah sebuah rumah angkat sambil mencatat segala kejadian yang mereka alami itu di dalam sebuah buku nota yang di bawa oleh Rizal.

"Kita perlu rekod secara bertulis segala kejadian yang berlaku kepada kita,"

"Sekurang-kurangnya, orang lain akan tahu apa sebenarnya yang berlaku kepada kita di sini," ujar Rizal sambil menyerahkan buku nota itu.

Buku nota ini menjadi saksi kepada penceritaan penuh menyeramkan yang terpaksa mereka lalui sebelum-sebelum ini serta hari-hari yang akan mendatang kelak. Mereka menulis berkenaan bayangan hitam, bunyi-bunyian di tengah malam, suara-suara aneh serta kemunculan nota-nota lusuh misteri yang muncul di sekitar rumah angkat masing-masing.

Di halaman terakhir buku nota itu, Rizal menulis:

"Jikalau ada insan/sesiapa yang menemui buku nota ini serta membaca catatan-catatan kami disini, kemungkinan kami sudah tidak ada lagi. Tetapi, kami ingin mengingatkan agar usah ulangi kesilapan kami. Anda di nasihatkan untuk tidak menjejakkan kaki ke Kampung Lembah Geruh."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro