Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

11 || Envious

Mata Arabella terpejam rapat apabila merasakan nafas hangat Baekhyun di sekitar wajahnya. Badannya yang menempel dengan badan lelaki itu hanya memperburukkan lagi keadaan, sehingga Arabella tidak dapat berfikir dengan waras. Aura mengerikan daripada Baekhyun, yang sudah lama tidak dirasakannya, kali ini begitu kuat, menyelubunginya. Seketika dia terlihat lirikan penuh kilat di mata gelap Baekhyun, menenggelamkan dirinya ke dalamnya.

Arabella sungguh takut.

"L-lepaskan saya..." Gumam Arabella dengan lemah, ketika itu fikirannya berkabut. Dia tidak pernah menghadapi situasi seperti itu, mahupun sedekat itu dengan lelaki.

Baekhyun melirikkan matanya ke arah Arabella dengan senyuman sinis. Dia tidak melakukan apapun kepada gadis itu, selain merapatkan badan mereka berdua, tetapi gadis itu bahkan sudah dilanda ketakutan yang amat, melihatkan matanya yang terpejam-pejam beberapa kali dengan cemas.

Seronok dengan ketakutan Arabella itu, sengaja Baekhyun menyentuh belakang badan Arabella, lalu melarikan jarinya membentuk garisan panjang dari bahunya hingga ke atas pinggangnya, dan itu menyebabkan badan gadis itu bergementaran hebat. Tangan gadis itu terselit di antara badan mereka, lalu dengan sedaya upaya dia mencuba memisahkan jarak mereka. Namun aneh, Arabella rasanya seperti telah mencuba yang terbaiknya untuk menolak tetapi tangannya begitu lemah, bahkan tidak memberikan kesan apapun di badan Baekhyun.

"Di mana kau tatap? Aku di sini, Arabella." Bisik Baekhyun tepat di telinga gadis itu ketika menyedari bahawa Arabella tidak mampu untuk hanya mengangkat kepalanyapun memandang Baekhyun.

"L-lepaskan saya..." Arabella mengulangi permintaan yang sama, kali ini dengan nada suaranya yang jauh lebih rendah sehingga ianya seakan-akan berbunyi seperti bisikan.

Tangan Baekhyun terulur memegang rahang gadis itu, lalu mendongakkannya berhadapan dengan wajahnya. Namun kerutan muncul di dahinya ketika dia menyedari betapa pucatnya wajah Arabella. Bibir gadis itu hampir sama dengan ton warna kulit wajahnya sementara di sekitar dahinya muncul peluh sejuk.

Segera Baekhyun melonggarkan pegangannya tadi, lalu kedua-dua bahu gadis itu digenggamnya dengan kemas. Hatinya sedikit tidak enak melihat Arabella dalam keadaan seperti itu. Dia seperti pernah melihat Arabella seperti ini, ketika gadis itu mengalami panic attack di Odesse dulu. Apakah itu bermakna...?

"Arabella? Are you alright?" Badan gadis itu sedikit digoncangkannya namun tiada jawapan yang diterimanya, melainkan bukaan kecil mulut gadis itu yang meminta-minta udara.

"Arabella, can you hear me?" Baekhyun mencuba lagi, dan percubaannya gagal sekali lagi kerana gadis itu seperti sudah tenggelam ke dalam ketakutannya. Matanya menerawang dan terbuka lebar daripada yang kebiasaannya. Seluruh badan gadis itu menggigil, dan tidak lama kemudian ada beberapa titis air mata jatuh daripada kelopak matanya.

Baekhyun tergamam. Apa yang telah dilakukannya? Memang dia berniat mahu menakut-nakutkan gadis itu tetapi tidaklah sampai ke tahap ini. Dia cuma mahu memberikan amaran halus kepada Arabella tetapi dia lupa bahawa Arabella mudah mengalami panic attack.

Dengan kadar segera dia mengangkat badan gadis itu lalu dibawanya ke katil untuk dibaringkan. Tangannya menepuk-nepuk halus pipi Arabella, memanggil namanya berulang kali tetapi deria pendengaran gadis itu sepertinya sudah ditutup. Matanya terbuka nyalang dengan air mata yang tidak henti-henti bercucuran. Bukan itu sahaja, Arabella juga sepertinya menghadapi kesukaran untuk bernafas.

"Bernafas, Arabella. Bernafas dengan tenang." Ucap Baekhyun lembut meskipun gadis itu tidak dapat mendengarnya.

Baekhyun buntu. Dia tidak tahu bagaimana caranya menangani perkara seperti ini, apalagi dalam keadaan kecemasan seperti itu. Jadi pada akhirnya dia hanya menjerit-jerit memanggil nama Mrs. Hana berulang kali.

Tidak mengambil masa yang lama untuk Mrs. Hana menerjah masuk ke dalam bilik itu, seperti dia sememangnya sudah menjaga di luar bilik dari awal lagi. Melihat keadaan Arabella yang seperti itu, dirinya pantas menyelongkar laci meja sisi bilik itu dan mencari sesuatu di dalamnya. Sebaik sahaja menemuinya, dia langsung naik ke atas katil lalu sedikit mengusir majikannya itu.

"Saya mohon ketepi, Tuan."

Baekhyun tidak mempunyai pilihan lain, melainkan mengikuti permintaan yang berbaur usiran halus itu. Dirinya menjauhkan diri daripada katil dan hanya memandang mereka berdua di atas katil dengan kaku dari kejauhan. Matanya memerhatikan Mrs. Hana yang menyuapkan dua butir ubat penenang ke dalam mulut Arabella selepas mengangkat sedikit belakang badan gadis itu menggunakan tangannya sebagai penyokong.

"Maaf, tapi mohon ambilkan segelas air di kosong di dapur." Ungkap Mrs. Hana dengan tegas. Seketika dia memandang tajam wajah lelaki itu. Baekhyun menyedarinya.

Namun Baekhyun turutkan sahaja permintaan Mrs. Hana itu tanpa banyak soal. Mungkin itu kecemasan, jadi kerana itulah Mrs. Hana tampak agak marah dengannya tadi.

Apabila dia masuk ke dalam bilik tadi semula dengan segelas air di dalam genggamannya, dilihatnya Arabella yang sedang memeluk erat pinggang Mrs. Hana sambil menangis perlahan. Kepalanya dibenamkan di perut wanita berumur itu, membuatkan dia tidak dapat melihat bahawa Baekhyun turut ada di situ.

Mrs. Hana yang sedar akan kehadiran Baekhyun hanya menoleh singkat, sebelum kepalanya terarah ke meja sisi katil itu, meminta supaya gelas itu ditempatkan di sana. Sekali lagi Baekhyun agak terkedu dengan tindakan Mrs. Hana yang seperti sedang mengarahkannya. Dia akur, lalu meletakkan gelas itu dengan berhati-hati.

Matanya mengerling ke arah Mrs. Hana yang sedang menenangkan Arabella. Tangan wanita itu menggosok-gosok belakang badan Arabella perlahan, layaknya seperti seorang ibu, dan mulutnya kadangkala membisikkan sesuatu di telinga Arabella dengan lembut.

Entah mengapa, tetapi Baekhyun benci akan pemandangan di hadapannya itu. Sesuatu seperti itu tidak akan pernah dirasakannya lagi, disebabkan kebahagiaannya yang telah lama diragut sejak dia remaja lagi.

Dan apabila merasakan dirinya tidak diperlukan di situ, Baekhyun langsung beredar keluar dari bilik itu.

*****

Entah sudah jam berapa, tetapi Baekhyun masih lagi tidak terlena di biliknya. Dia hanya berbaring di katil dengan matanya yang terbuka nyalang, memandang kekosongan di atas siling biliknya, sambil fikirannya menerawang sendiri.

Dia teringat kembali kepada peristiwa yang berlaku lebih kurang satu jam yang lepas. Wajah Arabella yang seakan-akan kelemasan muncul di fikirannya dan dia mengeluh. Memangnya itu salahnya? Dia sungguh tidak mengerti mengapa gadis itu bereaksi sebegitu. Padahal sebelum ini dia baik-baik sahaja.

Bunyi ketukan kedengaran daripada pintu biliknya. Langsung Baekhyun bangun dari pembaringannya dan membuka pintu biliknya, mengharapkan untuk melihat Arabella di sana. Namun hanya ada Mrs. Hana di muka pintu, tidak ditemani oleh sesiapapun.

Jelas muncul kerutan di dahi Baekhyun. "Arabella di mana?"

"Di biliknya."

Kerutan di dahinya semakin bertambah mendengarkan ayat Mrs. Hana itu. "Itu bukan biliknya, Mrs. Hana. Biliknya di sini, bersama saya. Bawa dia ke sini juga sekarang."

"Tuan Muda Baekhyun." Suara wanita berumur itu ditekan, memberikan amaran kepada Baekhyun. Dan mujurnya lelaki itu mengerti, dengan segera dia mengatup mulutnya dan mencuba untuk mendengar dengan tenang akan apa yang bakal diperkatakan oleh wanita berumur itu.

"Puan Arabella tak mahu tidur sebilik dengan Tuan malam ini."

"Kenapa? Saya suaminya-"

"Makanya yang saya katakan tadi, untuk malam ini sahaja. Jadi saya minta izin Tuan untuk benarkan dia tidur dengan saya malam ini, kalau diizinkan. Puan Arabella masih takut jadi dia tak mahu tidur keseorangan."

"Kenapa tidak tidur dengan saya saja?"

"Sebab itu tak akan membantu." Jelas Mrs. Hana dengan penuh makna, tahu bahawa Tuannya itu akan memahami maksud tersiratnya. "Puan Arabella terlupa untuk ambil ubatnya hari ini jadi sebab itulah dia mudah diserang panic attack tadi, apalagi kalau ada sebarang ancaman daripada orang lain." Kali ini anak mata wanita itu pula menatapnya penuh makna sebelum dia membungkuk penuh hormat. "Mohon Tuan mengerti."

Baekhyun terdiam, tidak mampu mengatakan apa-apa lagi. Dalam situasi seperti itu, dia seakan-akan menjadi antagonis di saat itu.

Apabila tidak mendapatkan apa-apa balasan daripada Baekhyun, Mrs. Hana menunduk hormat sekali lagi, menganggap bahawa dirinya sudah memperolehi kebenaran daripada tuannya itu. "Kalau begitu saya berangkat dulu. Tidur nyenyak, Tuan."

Baekhyun menatap kepergian Mrs. Hana tanpa suara. Dia sedikit terkedu sebenarnya. Entah mengapa, hatinya terasa kurang enak dan kakinya sepertinya tidak senang duduk. Seakan-akan masih ada sesuatu yang mengganjal di hatinya, menunggu untuk dilepaskan keluar. Sehingga akhirnya, kakinya melangkah beberapa langkah keluar daripada biliknya lalu dia memanggil Mrs. Hana semula.

"Mrs. Hana!"

Badan wanita berumur itu sedikit berpusing ke belakang, menghadap Baekhyun dengan wajah datarnya. "Ya, saya?"

"A-Arabella..." Baekhyun sedikit tergagap, agak sukar untuk dirinya bertanyakan soalan itu. Rasanya seperti semua egonya jatuh begitu sahaja. "A-apa Arabella takut dengan saya?"

Sebelah alis Mrs. Hana ternaik ke atas, tidak pernah dia diajukan soalan sebegitu oleh Tuannya sebelum ini. Tidak mampu memberikan jawapan yang sebenar-benarnya kepada Baekhyun, dia hanya menjawab, "Kalau yang dimaksudkan Tuan adalah keadaan Puan Arabella, saya boleh jamin yang dia baik-baik sahaja. Tuan tak perlu risau.".

Risau?

Baekhyun?

Lelaki itu mengangguk mengerti meskipun tidak mendapatkan jawapan yang mahu didengarinya. "Baiklah."

*****

Pagi itu Baekhyun bangun seperti biasa, melakukan rutinnya yang juga seperti biasa, bersendirian. Ketika kakinya melangkah ke ruang makan, dia juga turut bersendirian. Tiada Arabella, meskipun Mrs. Hana. Hanya ada sepinggan sarapan yang sudah disediakan oleh tukang masak lain di atas meja, ditemani dengan secawan espresso di sebelahnya.

Tiada pelayan lain di ruang makan itu, kerana biasanya yang akan menemani Baekhyun makan hanyalah Mrs. Hana. Antara semua pembantu rumah di kediaman ini, Mrs. Hanalah yang paling lama bekerja untuknya. Bahkan wanita berumur itu pernah bekerja untuk ibu bapa Baekhyun sebelum ini. Jadi meskipun dia tidak begitu rapat dengan Mrs. Hana, dia tidak dapat menafikan bahawa Mrs. Hana agak mengenalinya lebih daripada orang lain, yang mengangkat wanita berumur itu menjadi pembantu rumah peribadinya.

Dan kali ini, setelah Baekhyun menugaskan wanita itu untuk menjaga Arabella, wanita berumur itu sepertinya semakin jauh daripadanya. Sedikit sebanyak Baekhyun terasa jauh di sudut hatinya. Entah itu cemburu atau apa, Baekhyun tidak mahu mengakuinya. Barangkali kerana dia sudah lama tidak merasakan kasih sayang daripada orang tua, dirinya menjadi mengada-ngada seperti itu.

Dengan tenang dia menjamah sarapannya bersendirian. Terbayang pula wajah Arabella yang sengaja memancing kemarahannya semalam, dengan cara makannya yang gelojoh. Dengan geram Baekhyun menggenggam sudu dan garpunya dengan lebih erat, lalu mengunyah tanpa menikmati sarapannya itu.

Sukar untuk dirinya akui, tetapi Baekhyun sebenarnya sungguh cemburu dengan Arabella. Hidup gadis itu sepertinya begitu mudah. Tidak cukup dengan menjadi penyebab kebahagiaan keluarganya dirampas semasa Baekhyun masih muda, sekarang gadis itu mencuba melakukannya lagi dengan orang lain pula. Semua perkara kelihatan begitu mudah baginya, sementara Baekhyun bersusah payah hanya untuk mendapatkam secebis kasih sayang daripada orang lain.

Baekhyun mendengus, tidak suka akan perasaannya ketika itu. Dia tidak suka merasa menyedihkan seperti itu. Dia tidak percaya yang dia baru sahaja mengakui bahawa dia cemburu dengan Arabella. Itu sangat kekanak-kanakan.

*****

Arabella menghabiskan seharian harinya di bilik, tidak beranipun untuk keluar. Malam itu sepatutnya dia tidur di bilik Baekhyun semula, tetapi dia masih berasa takut. Takut sekiranya lelaki itu membencinya disebabkan apa yang telah berlaku kepadanya semalam. Memang salah dirinya kerana terlupa untuk menelan ubatnya hari itu, jadi dia malu untuk berhadapan dengan Baekhyun disebabkan kejadian memalukan itu. Pasti di fikiran lelaki itu, Arabella hanya bereaksi berlebihan semalam, terdesak mahukan perhatian.

Malam itu, Arabella tidak dapat tidur. Matanya terbuka nyalang, memandang kegelapan di sekelilingnya. Sedikit sebanyak dia agak gerun kerana dia hanya bersendirian ketika itu. Tidak lama kemudian, indera pendengarannya menangkap dentuman bunyi alunan piano yang sayup-sayup datangnya daripada tingkat bawah.

Kakinya terus melangkah keluar daripada bilik itu, menuju ke arah punca bunyi itu dengan perlahan-lahan. Dia tahu bahawa ada satu ruangan besar di rumah ini yang menempatkan grand piano, jadi dia pasti bahawa bunyi itu tidak lain tidak bukan datangnya daripada ruangan itu.

Sampai sahaja di sana, Arabella tidak terus masuk ke dalam ruangan itu. Sebaliknya dia hanya mengintai seseorang yang sedang melarikan jari-jemarinya di atas key piano dengan cekap dan tepat, menghasilkan alunan musik yang kedengaran sendu dan pada masa yang sama, agak mengerikan. Barangkali kerana waktu ketika itu sudah lewat malam, dan cahaya di ruangan itu juga minimalis, Arabella jadinya sedikit ngeri.

Atau mungkin, kerana Baekhyun sendiri yang memainkan lagu itu.

Itu kali pertamanya dia melihat lelaki itu bermain piano, dan sejujurnya dia agak kagum dengan kecekapannya. Arabella pernah menghadiri kelas piano semasa dia masih kecil, tetapi dia hanya mampu memainkan beberapa buah lagu ringkas sahaja yang tidak memerlukan teknik khusus. Kalau paling lancar sekalipun, dia hanya tahu memainkan lagu yang direkanya sendiri beberapa tahun yang dulu. Entah dia masih dapat mengingatinya ataupun tidak.

Tetapi melihatkan Baekhyun yang dengan begitu tenang memainkan lagu yang sukar dan memerlukan teknik yang tertentu, dirinya begitu terpegun. Tidak semua orang boleh bermain seperti itu, selancar itu. Lelaki itu bahkan tidak melakukan apa-apa kesilapan semasa bermain, sekalipun tidak. Tahapnya itu bukan dikatakan sama dengan pemain-pemain piano yang handal.

Apabila alunan piano itu sudah berakhir, suasana langsung berubah hening mencengkam buat beberapa ketika. Bulu roma Arabella malah merinding menyedari betapa sunyinya malam itu tanpa iringan bunyi alunan piano. Sehinggalah dia mendengar suara lelaki itu bergema di seluruh ruangan.

"Siapa di sana?" Suaranya mendatar, terselit nada ketidaksenangan di sana.

Arabella tergamam, dia tidak menyangka bahawa Baekhyun menyedari kehadiran orang lain di ruangan itu. Mahu menyembunyikan diri sepertinya sudah terlambat jadi Arabella dengan tidak rela keluar daripada tempat persembunyiannya tadi, di belakang rak gergasi yang menempatkan beberapa buah buku lama.

Dia menggenggam kolar lengan bajunya sendiri, menundukkan kepalanya ke bawah kerana tidak berani untuk bertatapan terus dengan Baekhyun. Dirinya terasa diperhatikan lama. Keadaan sunyi beberapa ketika sehinggalah Baekhyun mengungkapkan namanya.

"Arabella."

Arabella mengangkat sedikit kepalanya untuk melihat lelaki itu yang masih tidak berganjak dari tempat duduknya tadi.

"Kenapa kau masih tak tidur?" Soal Baekhyun apabila gadis itu tidak mengatakan apa-apa.

"S-saya tak dapat tidur."

"Apa bunyi piano ini mengganggu tidur kau?"

"B-bukan. Saya cuma... Tak dapat tidur."

Ada beberapa jeda sebelum lelaki itu bergumam perlahan, cukup perlahan, tetapi mujur masih dapat ditangkap oleh telinga Arabella.

"Kemarilah."

Arabella ragu-ragu pada mulanya, tetapi dia bergerak sahaja menghampiri Baekhyun sehingga dia berada betul-betul di sebelah lelaki itu, berhadapan dengan grand piano.

"Duduk." Arah Baekhyun lagi. Arabella menuruti arahannya dan duduk bersebelahan dengan Baekhyun di tempat duduk itu. Tanpa disangkanya, lelaki itu tiba-tiba menarik tangannya lalu menempatkannya di atas key piano. Dengan suara yang hampir tidak kedengaran lelaki itu berbisik kepadanya. "Mainkan sesuatu."

Mata Arabella berkedip beberapa kali, keliru akan permintaan Baekhyun itu. Dengan teragak-agak dia menjawab dengan suara rendah. "Saya tak tahu..."

"Mainkan sesuatu." Baekhyun mengulangi ayatnya, kali ini nadanya berubah seperti arahan. Arabella tidak mempunyai pilihan, dia memainkan apa sahaja lagu yang ada di fikirannya tidak kira salah ataupun tidak.

Seingatnya, dia tidak pernah sekalipun memberitahu Baekhyun bahawa dia tahu bermain piano, walaupun dia tidak boleh dikatakan pandai. Tetapi lelaki itu seakan-akan sudah tahu, dia bahkan meminta Arabella bermain juga meskipun Arabella telah berbohong bahawa dia tidak tahu tadi.

"Kenapa kau selalu lakukan kesalahan yang sama sejak dulu?" Baekhyun merungut, lalu jari-jemarinya segera ditempatkan di atas jari-jemari Arabella untuk membetulkan tune piano itu. Arabella agak tersentak, apalagi kerana Baekhyun secara tidak langsung merapatkan badannya ke badan Arabella, menghapuskan jarak kecil antara mereka berdua.

Lalu buat berapa lama, mereka bersama-sama memainkan lagu yang sama, lagu yang sering dimainkan oleh Arabella ketika dia kecil dahulu. Pada mulanya Arabella merasa kekok diiringi Baekhyun, tetapi lama-kelamaan dia berasa selesa begitu, seolah-olah itu bukan kali pertama mereka pernah memainkan piano bersama. Jari-jemari mereka kedua-duanya menjadi lincah, seperti mereka sedang berlawan, cumanya perlawanan itu demi mendapatkan hasil yang sama, menghasilkan keharmonian yang merdu dialunkan bersama.

Lalu apabila lagu itu berakhir, jari-jemari Arabella menjadi kaku semula. Dia hanya terkedu, tidak percaya akan apa yang baru sahaja dilakukannya tadi. Ada satu perasaan aneh yang mengganjal di hatinya, meminta-minta untuk dilepaskan. Dia baru menyedari bahawa lagu yang dimainkan mereka tadi... Merupakan lagu yang pernah direkanya dulu semasa dia masih kecil.

Dan seingatnya, dia tidak pernah memainkan lagu itu untuk sesiapapun sebelum ini, termasuklah ibunya.

Kepala menoleh ke arah Baekhyun di sebelahnya, yang memang sedang menatapnya semenjak mereka berhenti bermain tadi. Arabella baru menyedari bahawa jarak antara wajah mereka berdua juga amat dekat, sehingga hidungnya hampir sahaja bersentuhan dengan hidung Baekhyun apabila dia menoleh ke arah lelaki itu.

Arabella mengamati wajah Baekhyun buat beberapa ketika sebelum bertanya dengan dahinya yang berkerut. "Siapa awak sebenarnya, Byun Baekhyun?"

Baekhyun tidak menjawab, sebaliknya hanya menaikkan sebelah keningnya ke atas. "Ada apa dengan soalan itu?"

Arabella mengetapkan bibirnya.yang hampir bergetaran. "Apa kita... Pernah bertemu sebelum ni?"

"Sebelum ini... Sebelum yang mana?" Tanya Baekhyun, masih tidak menjawab soalannya. Lelaki itu seakan-akan mahu bermain-main dengan perasaannya ketika itu. Buat sekilas Arabella dapat melihat senyuman sinis di bibir lelaki itu sebelum ianya pudar serta merta.

"Pertemuan kita di Odesse dulu, itu bukan pertemuan pertama kita, kan?" Meskipun soalannya dibalas dengan soalan sejak dari tadi, mengelak untuk menjawab soalannya, Arabella tetap tidak berputus asa untuk mendapatkan jawapan yang dimahukannya. Matanya memandang lelaki itu dengan penuh harapan, harapan bahawa Baekhyun boleh jujur dengannya.

Melihat riak wajah Arabella yang di antara keliru dan berharap, Baekhyun hanya terkekeh sinis. Wajahnya semakin mendekat dengan Arabella sambil matanya menerokai keindahan sepasang mata gadis itu.

"Kenapa kau terlalu penasaran? Bukan kau rasa yang aku ini menakutkan, huh? Kenapa kau perlu tanya soalan yang boleh menjeratkan kau ke dalam masalah sebegini? Kau tak takut?" Baekhyun separuh berbisik, ada senyuman penuh makna di bibirnya sambil matanya memerhatikan reaksi Arabella.

Badan gadis itu mengeras, tetapi dia juga tidak cuba menjauh dari Baekhyun, tidak seperti semalam. Dia sepertinya cuba untuk memberanikan dirinya. Tatapannya teralih ke arah lain kerana dia tidak mahu melihat Baekhyun yang sedang mencuba untuk menakut-nakutkannya. Namun wajah Arabella tiba-tiba berkerut, lalu sebelah tangannya bergerak ke hidungnya, seolah-olah dia baru sahaja terbau sesuatu. "Bau apa ini?"

Bau itu tidaklah busuk atau hanyir, sebaliknya aneh dan agak kuat, suatu bau yang asing bagi Arabella. Matanya bergerak memandang sekeliling ruangan, dan barulah dia menyedari kelibat sebotol wain di atas piano berserta dengan gelas kaca panjang di sebelahnya. Pasti Baekhyun baru sahaja minum tadi, jadi kerana itulah dia bersikap agak aneh.

"Baekhyun, awak... Awak minum-umph!"

Tanpa sempat Arabella mengajukan soalannya, Baekhyun tiba-tiba menarik wajahnya mendekat dengan wajahnya lalu menempelkan bibir mereka berdua bersama. Arabella yang terkejut hanya mampu memejamkan matanya erat. Dia tidak dapat melarikan diri kerana Baekhyun sudah mengunci pergerakkannya dengan ketat, tangannya melingkari sekeliling badannya dan menarik Arabella ke arahnya dengan posesif.

Entah itu ciuman atau apa, Arabella tidak pasti. Kerana Baekhyun langsung tidak melakukan apa-apa pergerakan di bibirnya selain daripada menyatukan bibir mereka berdua dengan kuat. Namun, itu sudah cukup untuk membangkitkan sesuatu di dalam diri Arabella. Dia pernah merasakan sesuatu seperti ini juga semalam, ketika Baekhyun merangkulnya erat semalam di bilik. Dan sekali lagi rasa itu datang, dan rasa itu tidak menyenangkannya. Sebaliknya, hanya menyebabkan dia menjadi tidak tenang dan berdebar-debar.

Perasaan apa ini?

Tiba-tiba dia merasakan sentuhan jari-jemari Baekhyun di wajahnya. Lelaki itu mengusap-usap pipinya dengan lembut, sambil bibirnya tidak lepas daripada bersentuhan dengan bibir Arabella. Perbuatan itu hanya menyebabkan Arabella menjadi semakin tidak tenang, seperti ada sesuatu yang perlu dilakukannya. Dia menjadi gelisah diperlakukan sebegitu rupa tanpa mampu melakukan apa-apa sebagai timbal baliknya.

Lalu tidak lama kemudian, Baekhyun memisahkan bibir mereka berdua dengan lambat-lambat, dan menatap wajah Arabella dari dekat. Matanya tidak terbuka sepenuhnya, tetapi Arabella dapat merasakan anak mata lelaki itu menelusuri keseluruhan wajahnya.

Sukar untuk Arabella akui, tetapi apabila sentuhan bibir lelaki itu sudah tidak terasa di bibirnya, dia sebenarnya agak hampa.


Selepas ciuman itu, Arabella seakan-akan sudah lupa tentang apa yang telah terjadi sebelum ini. Dia tidak dapat berfikir dengan lancar, dan hanya menatap Baekhyun dengan matanya yang terbuka lebar. Mulutnya terkumat-kamit ingin menyatakan sesuatu yang dia sendiri tidak pasti apa.

"K-kenapa Baekhyun... Kenapa a-awak..." Arabella membetulkan suaranya. "Untuk apa tadi itu?"

"Cuma."

"Ha?" Semakin keliru Arabella dibuatnya.

"Kenapa, kau akan pengsan lagi?" Tanyanya, lebih kepada menyindir.

Riak wajah Arabella berubah sedikit cemberut. "S-saya makan ubat saya hari ini..."

"Mujurlah. Lain kali pastikan kau berhenti tanyakan soalan seperti tadi lagi. Aku mungkin akan menyebabkan kau betul-betul pengsan nanti."

"Apa awak akan buat?"

"Lebih daripada tadi. Kecualilah kalau kau sukakannya."

"S-saya tak... Suka." Arabella menolehkan kepalanya ke tepi, tidak mahu bertatapan mata dengan lelaki itu. Berani-beraninya dia mengatakan sesuatu yang sevulgar itu di hadapan gadis sepertinya tanpa segan silu. Suaranya merendah. "Jangan lakukan itu lagi."

Arabella menggigit bibirnya perlahan, merasakan denyutan kecil di sana. Apa sesuatu seperti tadi itu boleh dianggap sebagai ciuman pertama? Tetapi mengapa harus Baekhyun?

Tidak tahan lagi berlama-lamaan di situ, Arabella mengambil keputusan untuk kembali ke bilik. Namun sebaik sahaja dia mahu berdiri, tiba-tiba dia merasakan sesuatu yang berat mendarat di bahunya. Dan apabila dia menoleh ke arah Baekhyun semula, alangkah terkejutnya dirinya apabila mendapati bahawa Baekhyun telah membenamkan wajahnya di bahu Arabella.

"B-Baekhyun?" Seru Arabella dengan tidak yakin, dia tidak tahu sama ada lelaki itu sudah tertidur ataupun sekadar merehatkan kepalanya sahaja di bahunya. Sudahlah bahunya tidak selebar mana untuk dijadikan tempat berehat.

Baekhyun tidak menjawab, sebaliknya hanya kekal dalam posisi tadi. Badan Arabella menjadi kaku. Kalau benar lelaki itu sudah tertidur, dia sudah pastinya tidak mampu untuk mengangkat badannya masuk ke bilik. Tetapi kalau digerakkan pula, dia berasa bersalah. Dia buntu, jadi pada akhirnya dia hanya membiarkan Baekhyun merehatkan kepalanya di sana. Lagipun, Baekhyun bukannya melakukan apa-apa yang melampaui batas sehingga dia perlu menolak lelaki itu.

Namun tetap, sebagai seorang gadis yang tidak biasa berdekatan dengan mana-manapun lelaki, Arabella sudah pastinya malu. Apalagi mengingatkan apa yang dilakukan Baekhyun tadi kepadanya. Boleh jadi lelaki itu melakukan itu di luar kawalannya memandangkan dia mabuk, tetapi melihat daripada cara Baekhyun berbicara tadi, dia kedengaran baik-baik sahaja.

Sedang Arabella larut dalam pemikirannya, tiba-tiba dia mendengar gumaman Baekhyun yang begitu hampir dengan telinganya.

Begitu halus, dan juga begitu lembut.

Tetapi dia dapat mendengarnya dengan jelas.

"Aku rindukan kau, Arabella."

.

.

.

.

.

Preorder untuk Lunatic's Infatuation masih dibuka! Untuk sesiapa yang berminat, boleh hubungi saya melalui whatsapp (01139205213) atau ig (@tyratella) 💕

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro