1 || Are You Alright?
Hari yang memenatkan.
Setelah menjalani hampir suku hari ini, barulah Arabella menyedari bahawa percubaan dirinya untuk melarikan diri ke negara asalnya itu hanyalah sia-sia. Dia fikir, setelah melarikan diri, dia dapat melepaskan diri daripada cengkaman bapa kandungnya itu. Namun semua itu salah, SALAH SAMA SEKALI.
"Cik Ahreum, tolong pandang ke arah kamera." Ujar salah seorang wartawan di situ memperingatinya. Dengan senyuman yang nyatanya palsu, dia berusaha tersenyum kepada kamera sambil menggosok ubun-ubun kepala bayi di dalam dukungan wanita di sebelahnya.
Sekarang dirinya berada di rumah penjagaan anak-anak kurang upaya di Odesse, Ukraine. Mengapa dia berada di sini? Oh, dia cuba melarikan diri, memandangkan bapa kandungnya sudah hilang akal kerana berencana mahu menjodohkan dirinya dengan lelaki yang langsung tidak dikenalinya. Bukan itu sahaja masalahnya, lelaki itu juga berada di paras umur yang jauh lebih tinggi daripadanya.
"Apa? 31 tahun?!"
Mujur kali itu Arabella masih tidak mengunyah makanannya. Baru sahaja tadi dia terpaksa menghadapi seksaan untuk menelan makanannya akibat daripada perkhabaran merapu yang meluncur laju dari mulut bapa kandungnya. Dia hanya berkata mahu mengahwinkan Arabella, namun kesannya jelas berakibat besar kepada Arabella yang sedang mengunyah makanannya.
Dan sekarang, perkhabaran itu menjadi lebih merapu apabila bapa kandungnya itu menyatakan angka umur bakal lelaki yang berkemungkinan besar akan menjadi suaminya itu.
"Tapi abang, Bella masih muda. Dia baru sahaja tujuh belas tahun dan-" Ibu tirinya yang sedari tadi hanya mendiamkan diri mencelah namun dipotong oleh bapanya. Hal itu aneh bagi Arabella, kerana setahunya ibu tirinya itu merupakan seorang yang tenang. Malah dia juga biasanya tidak akan mencampuri urusan Arabella dek kerana hubungan kekeluargaan antara dirinya dan Arabella tidak kukuh. Atau lebih tepatnya, Arabella sendiri yang menolak untuk menganggapnya sebagai ibu tirinya. Baginya tiada sesiapapun wanita dapat menandingi ibunya, apatah lagi menggantikan tempat ibunya.
Namun melihatkan ibu tirinya yang mula bersuara membantah keputusan bapanya itu, dia dapat merasakan bahawa kata-kata bapanya tadi benar-benar merapu sehinggakan wanita setenang itu berani untuk mencelah.
"Apa masalahnya dengan umur dia? Memang umur itu paling sesuai bagi seorang perempuan untuk dirikan rumah tangga! Bella dah sepatutnya bersedia untuk-"
"Bella masih muda. Dia masih tak matang dan banyak lagi yang perlu dipelajarinya sebelum dia bersuami. Tunggulah sampai dia tamat sekolah tinggi dulu. Lagipun abang tak nak kan kalau suaminya lapor macam-macam tentang Bella nanti? Bella ni dahlah ceroboh orangnya."
Mata Arabella sedikit menyipit mendengarkan ayat yang digunakan oleh ibu tirinya itu untuk mempertahankannya. Tak matang? Ceroboh? Dan apa katanya tadi, suaminya akan melaporkan tentang dirinya kepada bapanya?
Dia bukanlah seteruk mana!
Tetapi tetap, dia tidak mahu berkahwin dengan lelaki tua itu!
"Jangan risau tentang itu, saya dah cakap sendiri tentang itu dengannya. Dan dia sendiri yang sebenarnya berniat untuk memperisterikan Bella."
APA?!
Dasar lelaki tua gila yang tidak tahu malu! Memang dirinya itu siapa sehingga bapanya sendiri bersetuju untuk mengorbankan Arabella ke dalam cengkamannya?
"Bella... Bella tak nak." Ucap Arabella dengan takut di sela percakapan bapa bersama ibu tirinya. Meskipun dirinya yang paling membantah keputusan bapanya itu, tetapi dirinya memang seorang yang agak pendiam dan pemalu. Kerana dia sering memprotes dalam hatinya berbanding meluahkannya secara lisan. Dan Arabella juga diajar dari kecil supaya tidak bersikap kurang ajar kepada orang dewasa. Cuma untuk hal ini, dia tidak boleh menerimanya lagi. Jadi dia harus membuka mulut kecilnya itu untuk membantah.
"Nak atau tak nak, Bella kena setuju juga dengan keputusan appa. Appa dah fikir masak-masak, dan inilah keputusan yang paling terbaik untuk Bella." Tegas bapanya tidak terbantahkan.
Bella menggigit bawah bibirnya geram. Ingin sahaja... Ingin sahaja dia menjerit dan meluahkan rasa kesalnya terhadap bapanya itu. Tetapi menjadi selemah-lemah dirinya, dia hanya mampu menundukkan wajahnya memandang tangan yang menggenggam fabrik di ribanya ketika itu. Sementara telinganya terpaksa mendengarkan apa yang cuba disampaikan oleh bapanya itu.
"Appa tahu Bella tak suka, tapi percayalah appa lakukan semua ini bersebab. Bukannya appa tak tahu apa yag Bella lakukan seharian di luar pengetahuan appa."
Memangnya apa yang dilakukannya?
"Bella terlalu sosial, berkawan dengan orang sembarangan, langsung tak tahu jaga diri."
Mata Arabella melotot marah sebaik sahaja mendengarkan tuduhan tidak berasas bapanya itu. Sungguh, dia bukan seperti yang digambarkan oleh bapanya itu!
"Mana ada!" Suara Arabella sedikit meninggi. Bukan niatnya mahu menjadi biadab, dia cuma tidak bersetuju dengan ayat yang barusan keluar daripada mulut bapanya itu. "Bella tak sosial, kawan Bella semuanya baik dan Bella tahu jaga diri Bella!"
"Bella berkawan dengan golongan yang suka bermain-main, sampai Bella terpengaruh. Sebab mereka jugalah Bella selalu dapat kedudukan yang rendah dalam peperiksaan. Memangnya Bella buat apa di sekolah? Lemparkan diri kepada lelaki? "
"Tak!" Mahu sahaja Bella menjelaskan bahawa dia dan kawan-kawannya sering pergi ke atap sekolah untuk bersembang dan berehat, tetapi dia sedar bahawa itu tidak akan membantu. "Bella tak pernah dekat dengan lelaki manapun kecuali kawan-kawan Bella!"
"Jadi lelaki yang selalu ada dengan Bella itu apa? Appa tengok Bella selalu ada dengan dia-"
"Appa intip Bella?" Arabella mula mensyaki sesuatu tentang perbicaraan ini. Kerana bapaya itu seolah-olah tahu tentang semua yang berlaku pada dirinya di sekolah padahal dirinya tidak pernah menceritakan apa-apa.
Dan mengenai lelaki yang dikatakan bapanya tadi, rasanya yang dimaksudkannya itu ialah Hweechan. Memang benar tentang kenyataannya bahawa dia rapat dengan lelaki itu. Tetapi itu kerana Hweechan merupakan salah seorang kawannya rapatnya, dan Arabella malah tidak pernah memandangnya sebagai seorang lelaki yang sesungguhnya oleh kerana sikapnya yang lembut seperti perempuan.
"Intip atau tak, itu bukan urusan Bella."
"Tapi appa masuk campur urusan Bella..." Suaranya merendah kerana rasa bersalah yang mengganjal di hatinya. Sungguh, dia tidak mahu melawan kata-kata bapanya tetapi bukannya dia mempunyai pilihan.
"Bella, jangan melawan."
Sekali lagi Arabella menundukkan wajahnya. Dia mahu menangis, tetapi dalam masa yang sama dia tidak mahu kelihatan lemah di mata bapanya. Matanya mengerling ibu tirinya yang sudah tidak berkata apa-apa untuk mempertahankannya, seakan-akan sudah pasrah. Bibirnya diketap sambil dia menguatkan hatinya untuk berada di situ.
"Beberapa minggu lagi, bakal suami Bella akan datang untuk jenguk Bella. Apa nak, Bella jaga tingkah laku bila bersama dengan dia. Jaga nama baik appa sebagai seorang presiden dan jangan pernah luah apa-apa tentang ketidaksetujuan Bella tentang perkahwinan ini."
Iya, bapanya seorang ahli politik. Seseorang yang amat mementingkan negara ini dan nama baiknya. Malang sekali kerana anaknya itu tidak termasuk dalam senarai kepentingannya.
Entah dari mana Arabella mengumpulkan keberanian itu, tetapi dia terus berdiri dari kerusinya sambil mengepal tangannya di sisi badannya. Kepalanya masih lagi tertunduk ke bawah semasa dia sekali lagi meluahkan penolakannya terhadap perkara itu.
"Buatlah apa yang appa nak, tapi Bella akan larikan diri."
Dan Arabella betul-betul serius dengan kata-katanya hari itu. Kerana itulah dia berada di sini sekarang, di tempat kelahirannya iaitu Odessa, Ukraine, juga merangkap tempat di mana ibu kandungnya tinggal. Mahu tidak mahu, dia harus juga lari ke sini memandangkan dia tidak begitu tahu di mana lokasi yang terbaik untuk dirinya melarikan diri. Di sini, dia dapat tinggal di rumah ibu kandungnya, apalagi sudah lama dirinya tidak melawat ibunya.
Cuma yang menjadi masalah ketika ini ialah, dia tidak sedar bahawa bapanya telah mengupah beberapa orang untuk mengikutinya. Dan tiba-tiba bapanya yang selaku orang penting dalam politik itu mengadakan program kemanusiaan untuk insan kurang upaya di sini, sehingga beberapa wartawan dari Korea datang lalu secara kebetulan, mereka menemuinya. Mahu tidak mahu Arabella terpaksa menggantikan posisi bapanya itu dan terlibat dalam program itu. Bukannya dia tidak tahu, bahawa semua ini merupakan ulah bapanya bagi mengelakkan dirinya berselindung dan sentiasa ada di cengkamannya.
Arabella mengeluh perlahan, malang betul dirinya. Seperti sia-sia sahaja usahanya datang ke sini untuk melarikan diri. Dirinya bahkan telah menggunakan duit tabungannya untuk membiayai tiket penerbangan.
Tidak mengapa, walau apapun yang terjadi, dia tahu ibunya pasti akan menolongnya untuk membangkang keputusan bekas suaminya itu.
Sedang Arabella mencuba sedaya upayanya untuk membersihkan halaman luar tempat penjagaan orang kurang upaya itu sambil dirinya dirakam oleh beberapa kamera yang ada di sekelilingnya, tiba-tiba dia merasakan tocang rambutnya ditarik oleh seseorang daripada belakang dengan kuat sehingga menyebabkan penyapu di tangannya terlepas. Dia mengerang seketika sambil mengaduh kesakitan. Matanya terpejam menahankan rasa sakit di kepalanya.
"Sa-sakitlah!" Arabella tanpa sedar telah meninggikan suaranya akibat terlalu sakit. Tangannya tertumpu pada rambutnya. Kulit kepalanya terasa seperti akan terkoyak di situ bila-bila masa sahaja.
Semua wartawan di situ menjadi serba salah, berniat mahu membantu tetapi mereka juga buntu. Ada juga yang masih merakam, menganggap kejadian itu sebagai sesuatu yang menarik untuk dirakam.
"Ahahahahaha..." Suara seseorang lelaki yang agak parau kedengaran sedang ketawa di indera pendengaran Arabella. Tidak mengambil masa yang lama untuk Arabella menyedari bahawa pemilik kepada suara itulah yang sedang menarik rambutnya.
"Lepaslah!" Arabella kehilangan kesabarannya apabila lelaki itu masih lagi menarik rambutnya dengan seronok, langsung tidak mempedulikan rayuannya.
Beberapa orang di situ datang menghampirinya berniat mahu membantunya, namun pergerakan mereka tiba-tiba sahaja terhenti apabila seorang lelaki lain pula yang datang mendekatinya.
"Byun Seyong, berhenti." Katanya dengan tenang, tetapi terselit ketegasan di sebalik suaranya itu.
Lalu pergerakan di rambut Arabella berkurangan, meskipun rambutnya masih lagi dicengkam tangan lelaki di belakangnya itu.
Arabella sedikit membuka matanya, mahu melihat keadaan di situ. Namun tiba-tiba rasa sakit itu kembali lagi apabila tangan di belakangnya itu kembali menarik rambutnya.
"Ahhh..."
"Byun Seyong!" Kali ini suara lelaki tadi sedikit meninggi, lantang mengarahkan orang yang sedang menarik rambut Arabella itu sehingga pegangan di rambut Arabella itu benar-benar dilepaskan. Badan Arabella sedikit tertolak ke depan sehingga dia hampir terjatuh. Mujur ada lengan kekar yang menahan sisi bahunya.
Arabella mengangkat wajahnya untuk melihat wajah lelaki itu, lalu dia melihat wajah manis seorang lelaki tampan yang sedang tersenyum tulus kepadanya.
"Cik Ahreum tak apa-apa?"
Namun diselubungi rasa malunya ketika itu, Arabella langsung tidak tergoda dengan wajah tampan lelaki itu. Dia malah berasa marah kerana telah dipermalukan seperti tadi. Pasti dirinya kelihatan begitu selekeh dengan rambutnya yang berantakan akibat ditarik tadi. Tangannya menolak lengan lelaki itu lalu dia mengetap bibirnya geram sebelum menolehkan kepalanya untuk memandang orang yang telah menarik rambutnya tadi.
Alangkah terkejutnya apabila dia mendapati bahawa yang telah menarik rambutnya tadi adalah seorang lelaki dewasa yang jauh lebih tinggi daripadanya. Lelaki itu sekarang berada agak berjarak dengannya, sedang menundukkan kepalanya sambil kedua tangannya di paras dadanya, sedang menguis-nguis pakaian yang tersarung di badannya. Badannya sedikit membungkuk dan wajahnya suram seperti takut dengan Arabella.
Arabella membetulkan pakaiannya sambil kakinya mara ke arah lelaki itu dengan marah. Dia bersumpah, dia akan menampar wajah lelaki itu kerana telah memalukannya seperti tad-
Namun belum dia menampar wajah lelaki itu, satu lagi tangan lain telah menahan tangannya daripada berbuat begitu. Dan orang itu ialah lelaki yang telah membantunya tadi.
"Lepaskan saya!"
Arabella menatapnya benci lalu menarik kasar tangannya agar dilepaskan daripada pegangan lelaki itu. Dan dia berjaya tanpa perlu berusaha lebih kerana lelaki itu terlebih dahulu melepaskan tangannya dengan rela.
Bukannya marah, lelaki itu malah tersenyum manis seperti tadi kepadanya. "Saya minta maaf, Cik Ahreum. Tetapi dia seorang penghidap autisme. Tak baik kalau Cik Ahreum terus tampar dia begitu sahaja. Dia akan menjadi takut."
"Peduli apa saya, siapa suruh dia tarik rambut saya tadi?! Kalau dia terencat, sepatutnya janganlah bagi dia keluar bilik mengganggu orang! Geli tahu tak?!"
"Nah, kan dia dah berhenti? Jadi sebaiknya Cik Ahreum berhenti juga." Sebelah keningnya terangkat menatap Arabella dengan senyuman yang masih tersisa di wajahnya. Arabella mengalihkan tatapannya, tidak sudi memandang wajah lelaki itu.
Nafas lelaki itu dihela perlahan sebelum dia menyambung kata-katanya dengan penuh sopan. "Dan saya selaku adiknya mahu minta maaf atas sebarang kesulitan tadi. Abang saya hanya cuba untuk berkawan dengan Cik Arabella, cuma mungkin dia tak tahu caranya."
A-abang?
Ketika itu juga rasa bersalah menyelubunginya, mengingatkan bahawa dia telah lancang menyebut abang lelaki ini sebagai terencat dan menggelikan. Arabella mengerling kiri dan kanan melalui ekor matanya dengan malu sebelum kakinya menapak geram menjauhi tempat itu.
Dia sebenarnya berasa bersalah, cuma dia tidak mahu menunjukkannya.
*****
Sepatutnya Arabella pulang pada jam 5 petang, tetapi seawal 3 petang dia sudah bersedia untuk pulang. Dia sudah tidak berfikir panjang lagi, kejadian tadi sudah cukup memalukan dirinya.
Beg tangannya digalas sebelum dia melangkah keluar daripada pusat penjagaan itu. Persetan sekiranya mereka mahu bercakap buruk tentangnya, dia tidak mahu ambil kesah lagi. Yang Arabella tahu, dia mahu pulang ke rumahnya dan menangis semahu-mahunya di riba ibunya.
Rumahnya tidak begitu jauh dari tempat, jadi dia hanya berjalan kaki untuk pulang. Apalagi daerah rumah ibu kandungnya itu, Arcadia, adalah bandar pelabuhan tepi pantai yang dipenuhi dengan bar dan kelab malam. Jadi tidak hairanlah sekiranya kereta tidak sering kelihatan di sana. Orang di kawasan ini lebih selesa berjalan kaki ataupun berbasikal jika dibandingkan dengan memandu kereta.
Namun ada sesuatu yang mengganggu Arabella ketika dia sedang berjalan. Dia berasa seolah-olah... Diperhatikan dan diikuti.
Mujur keadaan sekarang masih lagi cerah, jadi segera dia menghapuskan segala asumsi-asumsi buruk itu daripada fikirannya. Kalau benar memang ada yang memerhatikannya mahupun mengikutinya, apa yang perlu dilakukannya hanyalah menjerit meminta tolong. Malah terdapat ramai orang juga di sini, jadi ikut logik jika dia berfikiran sebagai penjenayah, tidak mungkinlah dia mahu melakukan jenayah dalam keadaan yang terlalu berisiko seperti ini, bukan?
Ah, apa yang sedang difikirkannya...
Merasa betul-betul terganggu, kakinya berhenti melangkah lalu kepalanya ditolehkan ke belakang untuk memastikan bahawa tiada sesiapapun di belakangnya. Namun dugaannya itu salah, memang ada seseorang di sana.
Dan dia adalah lelaki yang telah membantunya tadi.
Wajah Arabella bersemu merah tatkala mengingati kejadian memalukan itu tadi. Sudahlah dia meninggikan suaranya, dia juga sempat merendahkan lelaki kurang upaya yang merupakan abang kepada lelaki ini tadi. Arabella asalnya tidaklah sebiadab itu cuma apa boleh buat, keadaan tidak memihak kepadanya.
Baru sahaja mata mereka akan bertentangan, Arabella langsung menolehkan kepalanya ke hadapan semula. Dia tidak sanggup memandang lelaki itu selepas mengutuk abangnya yang kurang upaya itu tadi. Sejujurnya dia berasa amat bersalah, cuma egonya mengatasi rasa bersalahnya sehingga dia lebih memilih untuk berdiam diri, dan meneruskan langkahnya.
Lagipun, lelaki itu bukannya mengikutinya, bukan? Kebetulan sahaja mereka lalu di kawasan yang sama.
Namun semakin lama dirinya berjalan, semakin bertambah kecurigaannya. Kerana lelaki itu masih lagi berjalan di belakangnya walaupun langkahnya jauh lebih perlahan daripada lelaki itu. Boleh sahaja lelaki itu berjalan laju melintasinya tetapi tidak, dia seakan-akan sengaja tidak mahu dilihat oleh Arabella dan lebih memilih untuk mengintip Arabella daripada belakang.
Jadi sekali lagi Arabella menghentikan langkahnya, lalu melakukan perkara yang sama seperti tadi iaitu menolehkan kepalanya ke belakang. Kali ini dengan kerutan di wajahnya.
Dan seperti yang dijangka, lelaki itu turut menghentikan langkahnya dan mahu tidak mahu bertatapan mata dengan Arabella. Arabella menjangkakan lelaki itu akan menjadi gelisah, setidaknya berasa malu kerana perbuatannya telah terbongkar tetapi tidak. Lelaki itu malah melangkah mundur beberapa langkah, sebelum tersenyum ramah kepadanya.
"Oh, hai Cik Ahreum. Kita bertemu lagi."
Tidak membalas senyumannya, Arabella hanya mencerlungnya tajam. "Encik ikut saya?"
"Kenapa pula saya perlu ikut Cik Ahreum?"
"Itulah, saya pun tak tahu." Jawab Arabella separuh menyindir.
Lelaki itu menghela nafasnya lembut lalu tersenyum sekali lagi. "Cik Ahreum jangan risau, saya ini bukan seperti yang Cik Ahreum fikirkan. Mungkin kebetulan kita lalu jalan yang sama."
"Kebetulan?"
"Iya, kebetulan."
Baiklah.
Malas mahu memanjangkan isu itu, Arabella kembali meneruskan langkahnya meski dia tidak mempercayai sepenuhnya alasan yang diberikan lelaki tadi. Kerana dirinya sudah begitu hampir dengan rumahnya, jadi tidak mungkinlah ini masih lagi kebetulan. Kecualilah jika lelaki itu juga mahu ke rumahnya. Atau memang benar lelaki itu sedang mengikutinya.
Tetapi untuk apa? Dia malah tidak mengenali lelaki itu. Jangan-jangan lelaki ini merupakan seorang psikopat yang berminat dengan gadis teruna polos seperti dirinya. Ah, benar! Dia pernah mendengar kisah seperti ini sebelum ini melalui bacaannya di internet! Wah, ini benar-benar menakutka-
"Cik Ahreum, jaga-jaga!"
Jeritan lelaki itu mematikan lamunannya dan secara tidak langsung, mengembalikan dirinya ke alam nyata. Kepalanya ditolehkan ke belakang untuk memandang lelaki itu yang baru sahaja menjerit kepadanya, dan matanya membulat apabila mendapati lelaki itu sedang berlari ke arahnya dengan riak cemas di wajahnya. Namun mata lelaki itu tidak tertumpu ke arahnya, sebaliknya di belakang Arabella.
Arabella yang masih lagi bingung hanya berdiri tegak di tempat tadi, langsung tidak berganjak sehinggalah dia mendengar bunyi enjin motosikal yang semakin lama semakin kuat di indera pendengarannya, yang menandakan bahawa kenderaan itu sedang menghala ke arahnya.
Dirinya menjadi cemas dan panik sebaik sahaja melihat pemandu motosikal itu yang sedikitpun tidak teragak-agak ketika menunggang motosikalnya dengan laju, seolah-olah memang niatnya mahu melanggar Arabella. Sebahagian kepalanya ditutup dengan helmet yang menyembunyikan sebahagian wajah lelaki itu. Semua itu menyebabkan kaki Arabella langsung longlai dan ketika itu jugalah dia tidak mampu berlari menjauhi motosikal itu. Matanya terpejam erat sementara bahunya sedikit terhinjut ke atas menantikan apa yang bakal berlaku kepadanya.
Setelah beberapa saat, Arabella tidak merasakan dirinya dilanggar atau ditabrak oleh sesiapa, melainkan dirinya terjatuh ke atas tubuh seseorang yang lebih besar daripadanya. Dirinya juga merasakan telah ditarik sebelum itu dengan kuat daripada belakang.
Perlukan beberapa minit untuk Arabella kembali tenang sepenuhnya, sebelum tirai matanya kembali terbuka perlahan-lahan dan memerhatikan keadaan di sekitarnya. Dia dipeluk oleh seseorang yang sudah boleh dijangka siapa orangnya. Dengan nafas yang masih lagi tidak stabil dirinya mengangkat kepalanya, sehingga matanya bertemu dengan sepasang lagi mata yang sedang memancarkan sinar keprihatinan yang nyata.
Dan tidak lama kemudian, kerana Arabella agak mengambil masa untuk mengadaptasi dengan keadaan ketika itu, lelaki itu tersenyum manis seperti kebiasaannya menandakan bahawa dia lega, dan mungkin, agak terhibur melihat wajah Arabella yang seolah-olah sudah terpaku dengannya.
"Cik Ahreum tak apa-apa?"
.
.
.
.
.
Pendek bak hang HAHAHA sorry aku betul2 rasa kekok menulis balik. Dulu aku boleh tulis 1k dalam setengah jam tapi sekarang ambil masa lebih sejam 😂😂😂 nampak sangat dah lama tak menulis. In Shaa Allah lepasni aku cuba tulis panjang lagi since permulaan dia agak mendatar dan aku tahu ada orang yang menguap sambil baca tadi. Bertabahlah, tenuk sedang mencuba.
Dan aku tak tahu kenapa yang salah faham tapi yang promosi tu bukan buku tapi ebook. Gila hang nak jual dua buku rm10 hahaha bankrupt aku weh 😂😂😂 aku takleh nak pos gambar buku tu bebanyak so tengok jelah gambar kat ig aku @tyratella
Okay itu sahaja assalamualaikum 💕
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro