Bab 8
"Kucing lagi!" Terdengar ngiauan, Ruby yang sedang menghadap cermin menghampiri tingkap bilik air. Dengan telunjuk dan ibu jari, dikuaknya sedikit bilah bidai kayu yang menjadi tabir.
"Comel juga meow ni." Ruby tersenyum melihat kucing yang sedang menghidu-hidu tanaman hiasan di terrace garden.
Leka mengintai, Ruby cuai.
"Aduh!" Ruby menyeringai apabila jari kelengkengnya tersepit di antara bilah bidai.
Kesakitan, tali Venetian blinds itu dijangkau untuk mengubah bukaan bilah. Namun kesilapan teknikal menyebabkan bidai itu tergulung naik.
Di seberang terrace garden satu aras ke bawah di sayap bangunan yang bertentangan, Syed Hilal yang mengambil angin segar melalui tingkap yang direnggangkan selepas bercukur, terpaku.
Dia!
Ruby juga tergamam.
Dua jiwa bergelora. Aura bertembung.
Ruby yang hanya dibaluti bath robe dengan kepala berbungkuskan tuala akhirnya lari dari tingkap.
Syed Hilal terus terpacak memerhatikan tingkap bilik air Ruby.
Sarapan dinikmati seperti hari sebelumnya di buffet restaurant hotel. Sehingga selesai makan, tiada siapa menyentuh perihal peristiwa di tepi tingkap.
Aktiviti hari itu kemudian dimulakan dengan bersiar-siar di kawasan Taksim di Perairan Tanjung Emas yang sebelah lagi.
Ting! Ting! Ting!
Semasa mereka baru meninggalkan kedai wangian D&P Perfumum di Istiklal Street, kedengaran loceng amaran daripada heritage tram, trem klasik satu gerabak yang beroperasi di situ. Terdapat beberapa rangkaian trem yang beroperasi di Istanbul, moden dan heritage termasuk funicular (trem bukit). Selain itu terdapat Metro, rangkaian kereta api atas dan bawah tanah serta komuter.
"Betul awak nak join PSSTLDM?"
Syed Hilal mengangkat kening kepada Ruby.
Ruby mengangguk dengan penuh semangat.
"Okey, kita tengok seberani mana awak. Jom lompat ke atas trem."
"Tapi trem tu bergerak." Bulat mata Ruby.
"Perlahan aje." Syed Hilal merenung dengan mata yang dikecilkan.
"Baik!" Melihat ekspresi wajah Syed Hilal, Ruby menyahut cabaran.
Trem pun tremlah. Kalau disuruh bergayut di luar gerabak Marmaray suburban train yang merentas terowong bawah Selat Bosphorus dari Istanbul Eropah ke Istanbul Asia atau melompat ke Feribot dari atas Jambatan Galata, lagi haru!
"Cepat!"
Syed Hilal membawa Ruby menghampiri landasan. Seperti Jalan Divan di kawasan Fatih, Istiklal Street juga berkembar dengan landasan trem.
"Berdiri di kanan saya. Capai palang besi di pintu trem semasa melompat." Syed Hilal memberi arahan sebaik sahaja mereka mengambil posisi di tepi landasan.
Ruby mengangguk dengan hati yang berdebak-debuk.
"Ready?"
Ruby menelan air liur.
"Satu..."
Pandangan dipusatkan ke arah pintu dan palang trem.
"Dua..."
Ruby menahan nafas.
"Ti..."
"Ah!"
Ruby hampir melompat apabila lengan jaketnya ditarik. Melayang tubuhnya apabila pinggangnya disauk oleh Syed Hilal.
"Awak fikir saya betul-betul suruh buat? Awak bukan stunt woman. Kita pun tak ada token atau Istanbulkart." Syed Hilal memandang dengan rasa tidak percaya.
Hatinya berpalu kencang. Sesalnya tidak terhingga. Bagaimana jika dia terlewat sesaat daripada menghalang? Pasti dia menyesal seumur hidup jika Ruby ditimpa kemalangan.
Ruby terpaku sekejap memandang mata Syed Hilal.
"I hate you!" Ditumbuknya dada lelaki itu.
Pada tika itu, pegawai TUDM itu dilihat oleh Ruby bak seteru.
"Saya nak masuk ke kedai buku."
"Buku lagi? Itu hari awak dah ke kedai buku di Jalan Divan. Tak nak beli benda lain yang tak berkaitan dengan buku? Perempuan lain shopping di bazar sampai tak terangkut barang. Tapi awak, keluar dari situ berlenggang." Syed Hilal gelak seharkat.
"Kan saya dah cakap, saya pokai disebabkan buku dan berjalan. Saya beli buku macam sesetengah perempuan beli tudung, beg tangan dan kasut. Saya kumpul penanda buku macam perempuan lain kumpul aksesori."
"Baguslah untuk bakal suami."
"Tak juga. Ada buku beratus harganya."
"Tak salah melabur untuk ilmu. Kalau isteri bijak, suami beruntung."
"Tak semua orang fikir macam tu."
"Tapi takkan awak tak sukakan barang kemas?"
"Bukan tak suka tapi tahu kemampuan diri. Kalau ada tapi tak reti jaga pun tak guna." Ruby tunduk memandang kakinya.
Aksi Ruby itu disedari oleh Syed Hilal.
Selepas kedai buku, perjalanan mereka yang seterusnya mendaki kawasan yang bercerun.
"Awak nak beli gambus ke?" soal Ruby. Kedai-kedai peralatan muzik sepanjang lorong yang dilalui mengingatkannya kepada kedai gitar Abdul Lahub dalam filem Tiga Abdul.
Pertanyaannya tidak dijawab.
"Apa kata awak pandang ke kanan."
Selepas beberapa langkah baru Syed Hilal berhenti dan memberi isyarat mata.
"Macam pernah nampak."
Sebaik sahaja melihat ke arah yang ditunjuk, Ruby ternganga. Struktur yang tersergam itu kelihatan seperti pensel gergasi kontot baginya.
"Itulah Galata Tower yang awak lukis kelmarin. Menara Galata. Seluruh kawasan ni digelar kawasan Galata," cerita Syed Hilal.
"Pernah dengar nama kelab bola sepak Turki, Galatasaray?"
Ruby mengangguk. Melompat jantungnya. Dia sendiri hampir melompat kerana teruja. Sambil berlari mata tangga yang menganjur ke kawasan dataran berhampiran menara itu didakinya.
Dari puncak Menara Galata, pandangan Ruby turun ke sebuah kawasan taman kecil.
"Hilal, kucing tunggang skuter!"
Ruby menuding ke arah skuter yang terparkir di situ.
Mereka sama-sama tertawa melihat kucing yang selamba bertenggek di tempat duduk skuter.
Aksi si comel dirakam oleh Ruby dari jarak yang selamat. Sementara menunggu Ruby merakam imej menara dari beberapa sudut, Syed Hilal berbual dengan warga-warga emas yang bersantai di situ.
Menara Galata ditinggalkan dengan melalui laluan yang agak curam yang mengarah ke Jambatan Galata. Sepanjang perjalanan, Ruby ceria. Langkah mereka beriringkan gesekan biola, petikan gambus dan paluan gendang dari kedai-kedai peralatan muzik.
"Fresh fruit juice, miss, sir? We have orange juice, pomegranate juice," sapa penjual di rangkaian kedai lintasan bawah tanah. Ruby dan Syed Hilal menggunakan lintasan itu untuk ke Jambatan Galata bagi mengelakkan kesesakan trafik di kawasan Karaköy berhampiran dengan jambatan.
"Besarnya!"
Ruby terpaku menghadap buah-buah delima sebesar bola besbol yang disusun dalam bentuk piramid.
"Nar suyu - jus delima. Portagal suyu - jus oren." Label-label yang tertera dibaca.
Huh, yang ini seorang lagi! Syed Hilal pula mengerling ke arah penjual jus yang asyik merenung Ruby.
"Pomegranate juice for me. Hilal, awak nak?" Ruby berpaling ke arah Syed Hilal.
Syed Hilal menggeleng.
"Oppps! Saya terlupa awak anti buah-buahan." Ruby menekup mulut dengan dua batang jari.
"Tapi jus oren ada."
Syed Hilal tetap menggeleng.
"Isy, awak ni tak sembelit ke?"
Soalan bersahaja Ruby buat Syed Hilal tertawa.
"Di Malaysia saya minum jus lemon dengan madu dan air suam. Di sini saya minum ayran," beritahu Syed Hilal.
"Apa tu? Susu?"
Syed Hilal tidak menjawab tetapi memesan dua ayran.
"Rasalah." Satu daripadanya disua kepada Ruby.
"Tuak ke ni?" Ruby keberatan untuk menyambut.
Hampir tersembur ayran dari mulut Syed Hilal.
"Ruby, orang Turki tak minum tuak. Tengoklah rupa ayran, langsung tak macam arak."
Ruby menyedut straw perlahan-lahan.
"Hmmm, macam minuman yogurt perisa original," komennya sambil memerhatikan penjual jus membelah buah delima dengan pisau panjang bermata runcing. Merah pekat warna jus yang diekstrak dengan mesin pemerah jenis manual. Untuk mendapatkan segelas kecil jus sahaja dua biji buah delima bersaiz besar diperlukan.
"Memang pun," sahut Syed Hilal.
"Kaç lira (Berapa lira)?" Isyarat diberi kepada penjual jus supaya mengira harga minuman.
Ruby mengerling. Kedengaran semula jadi apabila Syed Hilal berbahasa Turki. Sudahlah rupanya tidak jauh berbeza daripada kaum lelaki negara itu. Malah, jika Syed Hilal memperkenalkan diri sebagai juruterbang Turkish Air Force semasa di dalam pesawat dahulu dia pasti percaya.
"Kenapa senyum?" soal Syed Hilal.
"Saja, suka-suka." Ruby mengemam bibir.
Jangan pula juruterbang itu menyangka dia gila. Hidupnya penuh pancaroba. Jika bukan dia sendiri, siapa sudi membahagiakannya?
"Hati-hati, jus delima boleh mencomotkan." Syed Hilal memberi amaran.
"Lipstik yang kaya dengan bahan kimia pun orang tonyoh pada bibir. Apa sangatlah warna semula jadi buah." Ruby mengajuk muncung itik.
Tergeleng Syed Hilal. Pandangannya terlajak ke arah bibir Ruby. Bahagian itu sedia merah tanpa palitan gincu, bak delima merekah.
"That guy kan kalau di Malaysia, dah jadi model atau artis. Di sini jual jus aje." Pandangan Ruby pula ke arah penjual jus.
"Terpikat?" Syed Hilal menjeling ke arah penjual jus.
"Pemerhatian aje. Awak ni, Hilal, nasib baik saya bukan anak awak. Kalau tak, mesti saya dipingit."
"Bidadari syurga pun dipingit."
"I am not one of them."
"Jadi bidadari suami."
"Boyfriend pun tak ada," jebik Ruby.
"By the way, apa epal merah dalam bahasa Turki?"
"Kirmizi elma. Kenapa?"
"Saya nak beli beberapa biji." Ruby menjeling ke arah longgokan buah.
"Di lobi hotel ada epal percuma. Ambil aje dari sana."
Ruby mengeluh. Tadi dia mahu mencuba kupang segar yang diperah dengan lemon yang dijual di jalanan tetapi dihalang juga oleh Syed Hilal. Nanti sakit perut, katanya.
Tak adventurous langsung!
"Tak jadilah beli epal. Saya nak beli buah delima." Ruby mengubah fikiran.
Dia ni tergoda dengan penjual jus ke? Tak boleh jadi!
Syed Hilal menjangkau lengan jaket Ruby. Penjual jus perlu dijauhi.
Ditarik oleh Syed Hilal yang berkaki panjang, Ruby terpaksa berlari.
"Hilal, kenapa ni? Saya nak beli delima untuk awak," adu Ruby yang tercungap-cungap mendaki tangga ke permukaan.
Untuk aku? Hilang cemburu, Syed Hilal terpaku.
Mereka berhadapan di tengah-tengah tangga. Pengguna-pengguna lain terpaksa mengubah haluan bagi mengelakkan mereka.
"Jom, turun balik." Ruby berpaling.
Terpaksa Syed Hilal mengekori.
10 minit kemudian, mereka kembali mendaki tangga yang sama. Kali ini bersama beberapa biji buah delima.
"Mulai hari ni sampai hari kita balik, saya akan penuhkan hari-hari awak dengan delima. Nanti saya kopek. Dah siap, saya pass kepada awak di lobi," atur Ruby. Syed Hilal yang diam sejak tadi dijeling.
Syed Hilal terhenti daripada melangkah, menyebabkan Ruby turut berbuat demikian. Plastik di tangan Ruby direnung.
"Kenapa pucat?"
Ruby pelik melihat perubahan roman wajah Syed Hilal.
"Kalau awak lapar, kita beli sesuatu yang lebih berat." Ruby terjengket-jengket sambil memanjangkan lehernya. Hanya beberapa mata tangga lagi untuk tiba di permukaan.
"Hah! Kedai tu jual balık ekmek." Ruby menuding ke arah deretan restoran di bawah Jambatan Galata.
"Balık ekmek tu apam balik Turki, ya? Jom, boy soldier!"
Ruby Haya...
Syed Hilal masih termangu-mangu semasa Ruby meninggalkannya.
Ah, malunya!
Rupa-rupanya, balık maksudnya ikan. Ekmek pula roti. Jadi balık ekmek ialah ikan panggang yang dimakan dengan roti, macam sandwic ikan.
Dan Masya-Allah, ia filet mackerel segar.
Ingat, Ruby! Balık ekmek bukan apam balik.
Tak apa, nanti aku belajar bahasa Turki, azam Ruby dalam hati.
"Tengok apa?" Perasan dirinya diperhati, Ruby menyoal.
"Tudung awak. Semuanya kena ada kaitan dengan navy?"
Syed Hilal mengerunyut kertas pembalut. Dia telah habis makan. Ruby pula masih ada separuh roti dan ikan di tangan.
Ruby menjongketkan bahu. Warna tudungnya pada hari itu navy blue.
Seorang lelaki berkopiah lalu. Lelaki itu mencampak secebis daging kebab yang dinikmatinya kepada seekor anjing jalanan. Habis makan, anjing tersebut mengekori lelaki itu semula dengan ekor bergoyang. Lantas lelaki itu mencampak beberapa ketul daging lagi sebagai habuan.
Subhanallah! Seorang Muslim berkongsi rezeki Tuhan dengan haiwan yang dikategorikan sebagai najis mughallazah dalam hukum fiqah. Di tempat lain tindakan itu mungkin dipandang serong bahkan mengundang fitnah.
"Lain kali cuba Turkish blue." Syed Hilal mengelap bibirnya dengan tisu.
Ruby menoleh.
"Sorry. Selain navy blue, saya cuma suka warna perak, sky blue dan turqoise."
Terburai ketawa Syed Hilal.
"Ruby, turqoise atau biru firus itulah Turkish blue. Turqoise perkataan Perancis kuno yang bermaksud Turkish, nama yang diberi kepada batu firus yang banyak ditemui di Turki selain Parsi. Saya ingat arkitek tahu benda-benda ni. Budak-budak archi... Kan melawat tempat-tempat yang ada interesting geography." Ruby diperli.
"Really? Serius, saya tak tahu." Ruby tertawa.
"Awak pula suka warna apa, Hilal?"
"Royal blue dan merah delima."
"Well, suits you. Merah lambang berani. Dan Gagah Berani, moto Angkatan Tentera Malaysia. Tapi jus delima, awak tak suka. Delima kan merah." Syed Hilal dijeling.
Menggeleng Syed Hilal. Ada sahaja argument Ruby.
Tapi... Delima itu ruby. Ruby pula aku.
Ruby meneguk air liur. Hakikat itu merenjat kalbu.
"Awak ke mana? Saya terlepa aje awak hilang. Lain kali saya pakaikan awak gelang GPS atau tracking device," soal Syed Hilal. Kelam-kabut dia mencari Ruby tadi.
"Melampaulah awak. Saya ke tandas, basuh tangan." Ruby menuding ke arah tandas awam yang terletak di bawah hujung jambatan.
"Tak selamat pergi seorang."
"Itu pun nak ikut?"
"I can stand guard outside."
Ruby menepuk dahi. Selamba wajah Syed Hilal yang sedang memandang ke arah feri yang menghampiri jeti. Perairan Tanjung Emas memang sentiasa sibuk.
Tebing dihampiri. Obor-obor bak pepayung jeli lut sinar, terenang-renang di dalam air nan biru. Sesetengah akur dengan arus, sesetengah menongkah. Di udara, burung camar berterbangan memerhatikan ikan.
Ruby mengalih pandangannya ke arah jambatan apabila terdengar bunyi trem. Di tepi jambatan, kaki-kaki pancing asyik dengan joran. Di bawah jambatan pula, sebuah Feribot sedang melintas.
Tut-tut-tut, tut-tut!
Tut-tut-tut, tut-tut!
Bunyi radar kapal? Syed Hilal menoleh.
Ruby menjeling. Telefon bimbit yang telah dimatikan penggeranya itu dikembalikan ke dalam poket seluar.
Berminat betul Ruby dengan TLDM. Syed Hilal tersenyum nipis. Pandangannya dikembalikan ke arah jeti.
Sekali-sekala berada di negara orang dan dengan amaun wang yang dibelanjakan, rugi jika berperap di dalam bilik. Jadi pada awal petang itu selepas bersolat, mereka bertemu semula di lobi. Namun, hujan pula turun.
"Hujan buat saya rasa tenang."
Di luar pintu utama, Ruby menengadah ke langit nan kusam.
"Tapi cuaca lebih sejuk, tak sesuai teruskan perjalanan." Syed Hilal menjangkakan hujan berterusan melebihi sejam berdasarkan keadaan langit.
"Kita boleh beli payung. Jaket saya pun ada lining. Yours too, I think." Ruby memandang jaket Syed Hilal.
Terangkat kening Syed Hilal. Bersemangat betul Ruby.
Hotel ditinggalkan. Di kios menjual barangan pelbagai di seberang Jalan Divan, cuma tinggal sekaki payung. Apa yang ada dibeli.
"Biar saya pegang. Saya tinggi."
Payung lut sinar di tangan Ruby diambil oleh Syed Hilal lalu dikembangkan.
Menyedari kekurangan diri, Ruby tidak membangkang.
Dengan keadaan jalan yang basah, perjalanan lebih perlahan. Selepas seketika baru Ruby perasan hanya dia yang diteduhi payung.
"Saya tak suka dilayan macam ma'am besar."
Payung dirampas. Jurang di antara mereka mengecil apabila Ruby mendekatkan payung itu kepada Syed Hilal.
Reaksi terkejut Syed Hilal menyedarkan Ruby. Dijarakkan kembali dirinya tetapi kedudukan payung dikekalkan.
"Payung ni kecil. Silap gaya, kita sama-sama kuyup."
Syed Hilal menolak payung ke arah Ruby.
"Sama ada payung ni datangkan manfaat secara saksama atau sebaliknya."
Ruby menolak kembali payung itu ke arah Syed Hilal.
"Ruby, takkanlah kita nak main sorong tarik macam ni." Syed Hilal menolak lagi.
"Saya berhenti bila awak berhenti." Ruby juga menolak.
"Awak ni boleh tahan degilnya."
"Awak pun apa kurangnya."
Terhenti jua langkah mereka. Pandangan bersabung.
"Fine."
Sebelum dirinya kecundang dengan si golden eye, Ruby berpaling.
"Salam. An umbrella for you, ma'am."
Payung lut sinar disua kepada wanita tempatan yang lalu di sebelah mereka. Kebetulan wanita itu tidak berpayung.
Pada mulanya wanita itu menolak tetapi setelah dipujuk dengan senyuman dan isyarat, dia menerima.
"Teşekkur ederim (Terima kasih)."
Kedua-dua belah pipi Ruby dihadiahkan kucupan.
Syed Hilal terkebil-kebil. Apabila Ruby menoleh dan mengangkat kening kepadanya, dia cuma mampu menggeleng dan tersenyum.
Tidak jauh mereka berjalan, hanya sampai ke Arasta Bazaar yang terletak di belakang Masjid Biru. Di situ para peniaganya tidak begitu mendesak seperti di Grand Bazaar dan Spice Bazaar.
Basah dan kesejukan, mereka akhirnya pulang tetapi singgah di sebuah restoran berhampiran hotel.
Dua cawan Türk kahvesi atau kopi Turki dipesan bagi memanaskan badan. Börek, sejenis hidangan pastri berupa pai yang berintikan sayuran dan keju Feta pula menjadi alas perut sementara menunggu waktu makan malam.
Banyak berjalan, banyak tenaga dihabiskan.
Diresapi air hujan, seluar jean lebih berat. Tidak selesa, Ruby minta diri untuk ke bilik air. Malang tidak berbau, dia terserempak dengan Dato Bakar.
"Eh, you, kita memang berjodoh!" Lelaki yang baru keluar dari tandas itu cuba menyauk tangan Ruby.
Mujur Ruby sempat mengelak.
"Maaf, Dato. Tumpang lalu."
"Seorang aje? Jom, I temankan. Percuma untuk beberapa malam," ujar Dato Bakar dengan nada romantis. Laluan Ruby dihadang.
"Dato cakap apa?"
"Such acts cannot be explained by words." Mata Dato Bakar galak mengimbas tubuh Ruby.
Ruby menggeleng, jijik. Senyuman Dato Bakar meremangkan bulu roma.
Pada masa itulah Dato Bakar mengambil kesempatan. Dijangkaunya lengan Ruby.
"Lepaslah!"
"Dah lama I tunggu saat ni. Tunang you tak ada. Kita boleh buat apa saja." Dato Bakar memeluk Ruby.
"I am here!" Bak halilintar suara maskulin yang mencelah.
Serentak, Ruby dan Dato Bakar menoleh.
"Kacau daun!"
Dato Bakar meraup kepala yang sudah sepertiga terang.
Cubaan Ruby untuk mendapatkan Syed Hilal gagal. Semakin kuat dia meronta, semakin kuat pelukan Dato Bakar.
"Saya tak bermaksud nak kurang ajar tapi saya minta Dato lepaskan tunang saya!"
Terpacak dua meter dari mereka, Syed Hilal kelihatan begitu bengis.
"Relakslah. Pinjamkan kepada I sekejap. Nanti I tunjukkan bagaimana kekasih patut dilayan. "
"Don't you dare, Dato!" Syed Hilal mara.
Dengan sekali tolakan, tubuh Dato Bakar terbanting ke dinding. Ruby ditarik.
"Hei, budak mentah! Kau tu belum cukup makan garam!" hambur Dato Bakar. Jatuh air mukanya di hadapan Ruby.
"Dato yang bersikap kurang sopan. Dato kacau orang yang salah!"
"Dia belum jadi bini kaulah! Dah kahwin pun boleh bercerai, inikan baru bertunang. Jangan terkejut kalau suatu hari nanti kau jumpa dia di dalam bilik aku. Lagipun ini salah dia!" Dato Bakar membetulkan kemeja dan blazernya.
"Apa tunang saya buat?"
Semakin kejap genggaman buku lima Syed Hilal. Rangkulan pada tubuh Ruby juga semakin kemas. Dididik supaya menghormati orang tua, dia menahan kemarahan.
"Kau buta? Dia seksi menggoda. Kalau tak nak aku dekat, selubungkan macam bini Taliban. Setakat berhijab dan berniqab, tak gerenti boleh selamat!"
"Yang buat perempuan tak selamat ialah lelaki hidung belang macam Dato. Malulah sikit, Dato. Sepatutnya orang berusia dan berkedudukan macam Dato lebih beretika." Syed Hilal terus memantau lawannya.
"Eleh! Entah-entah kau dah tebuk dia. Sebab itu ke sini bersama. Eh, macam mana rasanya? Is she any good? Alang-alang dah dicecap dan jadi barang terpakai, kongsilah dengan aku." Sinis senyuman Dato Bakar.
"Kurang ajar!" Ruby dilepaskan.
Dalam sekelip mata, sebelah tangan Syed Hilal sudah berada di pangkal leher Dato Bakar.
"Don't mess with me and hands off Ruby!" tengking Syed Hilal seraya mengetap gigi.
Terbelahak Dato Bakar. Terkapai-kapai tangannya.
Ruby terbeliak, tidak bergerak. Buat seketika dia hanya melihat, tetapi apabila muka Dato Bakar yang asalnya kemerah-merahan bertukar menjadi pucat, dia mulai risau.
"Hilal, sudahlah."
Bahu Syed Hilal disentuh dari belakang.
Syed Hilal terus merenung Dato Bakar dengan mata yang mencelang.
"Hilal, lepaskan dia."
Tangan Syed Hilal pula dipaut.
Juruterbang itu menambah tekanan pada leher Dato Bakar pula.
"Enough, soldier!"
Khuatir tindakan Syed Hilal mendatang kecederaan, Ruby tiada pilihan. Diselitkan tubuhnya di antara dua lelaki itu. Syed Hilal ditolak sekuat tenaga. Pegawai tentera itu mesti dijauhkan dari si tua bangka.
Namun, sedikit pun tubuh Syed Hilal tidak berganjak. Sebaliknya, Ruby yang tersepit.
"Dia... Sayang... Kan a... Ku."
Walaupun hampir kehilangan suara, Dato Bakar terus membakar amarah Syed Hilal.
"Jangan pedulikan dia. Kekuatan sebenar tak terletak pada fizikal tapi pada kemampuan menahan marah." Ruby mengapit pipi Syed Hilal yang kelihatan seperti singa lapar.
Syed Hilal mengalih pandangan ke arah Ruby tetapi masih tidak melepaskan Dato Bakar.
"Please..." Ruby menggeleng.
Kemunculan beberapa orang staf restoran menyelamatkan keadaan.
"This old man is a pervert and a molester!"
Akhirnya Syed Hilal melepaskan cengkaman.
Angin yang menyusup ke kawasan terrace garden menyebabkan Ruby berpeluk tubuh. Pandangan dihala ke arah kubah Hagia Sophia. Dia yang duduk di bangku kayu taman kemudian tertenjet-tenjet apabila seekor kucing datang dan menggesel kakinya.
Itu kucing yang diintainya pagi tadi.
Syed Hilal berdiri tegak di tepi kolam mandi, juga memandang ke arah kubah Hagia Sophia. Juruterbang itu tidak bercakap sejak mereka meninggalkan restoran. Tadi pun bil dijelaskan tanpa menunggu makanan. Laju Ruby dibawa beredar.
"Urrrgh!"
Tangan Syed Hilal naik kasar ke batang leher. Tengkuk yang tegang diurut kejap.
Ruby memerhati dengan ekor mata. Pemuda yang manis itu telah berubah 180 darjah sikapnya.
Melihat wajah bengis Syed Hilal, hatinya ngilu. Mujur Dato Bakar tidak menuduh Syed Hilal melancar serangan. Jika tidak, mungkin kini juruterbang itu berada dalam tahanan.
"Maaf. Disebabkan saya awak bergaduh." Ruby diburu rasa bersalah.
Syed Hilal mendengus.
"Dato Bakar was getting on my nerves! Saya benci cara dia pandang awak. Cara dia renung awak macam nak melucutkan pakaian awak! Ingatkan dah alami andropause, rupa-rupanya lebih merenyam daripada orang muda. Tengok dia usik awak, cakap lucah tentang awak, saya tak boleh tahan!"
Ruby tergamam.
"Boleh tak awak tapis ayat awak?" Dalam gugup, tangan besar Syed Hilal dikerling. Buku lima kanan pemuda itu kelihatan merah.
Kasihan... Bisik hati Ruby. Namun dia yakin, kesakitan Dato Bakar berganda.
"Awak rasa, Dato Bakar tak apa-apa? Saya takut dia cedera." Ruby berterus terang tentang kerisauannya.
"Orang tua tu hampir mencabul awak tapi awak masih ada hati nak ambil tahu tentang dia? Awak sukakan dia?" Syed Hilal menjeling tajam.
"Hilal, kalau ya pun kita tak sependapat, jangan macam ni. Saya bukan girlfriend atau tunang awak." Ruby menentang pandangan Syed Hilal.
Ya Allah, Ya Tuhan, dia ni sebenarnya panas baran?
Semakin deras nafas Ruby.
Syed Hilal mendengus lagi. Sungguh, dia tidak berpuas hati. Ada rasa sakit yang mendatangi.
"Saya bukannya pertahankan Dato Bakar tapi nak lindungi awak daripada kemarahan yang tak terkawal. Are we clear?" Ruby memandang wajah juruterbang itu.
"Tentera kena keras hati. Tiada belas kasihan. Tiada ketakutan. Bukan untuk diri sendiri," desis Syed Hilal.
"Tapi dalam keadaan tertentu boleh berdiplomasi. Ada budi bicara."
"Memang tentera bertindak dengan strategi. Dalam perang ada masa tunjukkan keberanian, ada masa tunggu dan berwaspada. Ada masa diam untuk pemerhatian dan kajian, ada masa berundur untuk susun strategi semula. It is called, warcraft. The art of war. Tapi, bukan untuk situasi tadi!" balas Syed Hilal.
"Tak guna bercakap dengan orang berhati batu." Ruby berpaling untuk beredar.
Baru dia memuji semalam. Hari ini, Syed Hilal sudah menunjuk belang.
Syed Hilal meluru.
"Hands off!"
Ternaik suara Ruby apabila lengan jaketnya dicapai. Tangannya ditarik.
"Nak ke mana?"
Semakin erat pegangan Syed Hilal.
"Ke tempat yang anginnya lebih baik." Ruby memandang ke arah lain. Tidak kuasa dia melayan orang yang berangin.
"Macam tu aje, suddenly leave? Kalau saya leka, sedar-sedar awak dah tak ada. Hilang macam angin." Syed Hilal cuba menatap wajah Ruby.
"Untuk apa duduk dengan orang yang marah tak tentu pasal?"
"Marah saya bersebab." Pandangan Syed Hilal masih garang.
"Explain your cause. Otherwise stop behaving like I am one of your possessions." Sekali lagi Ruby menyentap tangannya.
Syed Hilal terkesima. Memang dia tidak berhak ke atas Ruby. Tetapi bagaimana dapat dijelaskan?
"Saya risaukan awak."
Suara Syed Hilal mengendur sejajar dengan pandangannya yang berubah menjadi redup.
Dua pandangan bertaut.
When someone cares too much, it is probably love. Benarkah demikian?
"Dalam kepala saya cuma terlintas satu perkara. That old pervert nak mencabul awak." Nada Syed Hilal semakin rendah. Demi kemaafan, ego dan malu diketepikan.
"Military guys memang macam ni? Very commanding. Suka mengarah. Suka mendesak. Cepat naik angin selepas jump into conclusion," hambur Ruby.
"Saya macam tu?"
Pandangan redup Syed Hilal bertukar menjadi sayu.
Menurut walidnya, dia anak yang paling lembut sikapnya, paling menurut kata dan paling tenang juga. Ruby, melabel sebaliknya.
"Tak apalah. Kami anggota tentera memang selalu dipandang serong. Buat baik pun dihina," apabila Ruby diam, Syed Hilal meluah rasa terkilan. Tidaklah dia dan rakan seperjuangan kesahkan hal itu tetapi dengan Ruby, tiba-tiba dia jadi sensitif.
"Awak salah faham."
"Tak perlu nafikan."
"Awak yang cepat terasa."
Syed Hilal tersentak.
"Be honest. Awak rasa saya macam tu?"
"Entahlah, sebelum ni awak lain... Tapi sekejap tadi awak lain. Awak tu tadi, tiba-tiba aje keraskan suara. Tiba-tiba marah saya. Kita bukannya kenal sangat, tak serapat mana. Saya tak tahu awak sebenarnya macam mana. Saya terkejut." Di luar kawalan, Ruby tersendu.
Syed Hilal melurut kepala. Memang silapnya. Dia hanya mahu melindungi tetapi sekarang Ruby sudah terasa hati.
"You are a big, tough guy, Hilal. But I like your gentle manner better." Bergetar bibir Ruby.
"Saya tak buat lagi. Saya marahkan Dato Bakar tapi tempiasnya terkena pada awak," akui Syed Hilal.
Tetapi dapatkah dia berdiam diri jika Ruby diganggu lagi? Bolehkah dia bertenang jika keselamatan yang dirisikokan? Apa pun terjadi, dia perlu pastikan insiden itu tidak berulang.
"Saya nak berehat. Saya rasa pening," tutur Ruby dengan mata terpejam.
Ada benarnya kata Syed Hilal. Tetapi mengapa dia bereaksi berlebih-lebihan? Mengapa dia jadi lembik? Kenapa ambil hati?
Ya Allah, kenapa dengan aku ni? Minda Ruby menyoal hati.
"Saya hantar."
Syed Hilal menjauh setapak. Posturnya tegak.
"Actually, Dato Bakar memang melampau. I was on pins and needles, risau dan takut nak mati," akui Ruby semasa menunggu lif. Sebelum perpisahan, kekeruhan mesti dijernihkan.
"I should be on guard at all time. Awak pun mesti berjaga-jaga. Always be on your toes." Nada Syed Hilal kembali tegas.
Ting!
Cepat pula lif tiba. Pintunya terbuka.
"Takkanlah awak nak berkawal depan bilik saya," pertikai Ruby sambil melangkah ke dalam kebuk lif.
"If I must!" Syed Hilal terus tercegat di luar.
Ruby yang telah berpaling menelan air liur. Pandangan Syed Hilal setajam helang. Dia mendiamkan diri apabila pemuda itu mengambil tempat di sisinya.
Lif masih tidak bergerak selepas pintu tertutup. Kehairanan, kedua-duanya mengerling.
Selepas beberapa saat, baru disedari butang aras tidak ditekan. Daripada tegang, suasana bertukar jadi lebih relaks. Kedua-duanya gelak kecil.
Baru beberapa saat lif bergerak, berlaku gegaran. Sekali gus, lampu terpadam.
Gempakah?
Rasa panik mengatasi segalanya.
Ruby segera berpaut pada sesuatu. Istanbul beberapa kali dilanda bencana itu.
Apabila keadaan pulih, Ruby tergamam. Dia sedang berpelukan dengan seseorang.
"Maaf. Saya takut awak terjatuh."
Syed Hilal mengalih tangannya dari pinggang Ruby. Secangkir rasa berdosa tersimbah ke dalam dada. Pandangannya melilau ke lantai.
"Saya pun."
Ruby tunduk. Belum rasa terkejut diganggu Dato' Bakar hilang, malu besar pula datang.
Kedua-duanya menjauh, beraksi seperti tidak terkesan. Hakikatnya, minda gagal dijinakkan.
Sukma bertaut. Jantung berdegup-degap. Dadanya berpalu-paluan.
Tuhan, ampunkan aku. Jangan sampai niat untuk membantu menjadi penyebab kepada keruntuhan imannya dan imanku. Dibelenggu rasa berdosa, Syed Hilal memanjatkan doa.
Syed Hilal terpaku memandang pintu. Akal menyuruhnya beredar tetapi kakinya terus terpasak di situ.
"Young man, did you accidentally leave your key inside?"
Berlapis dahi pasangan warga emas bilik sebelah.
"No, but thank you for your concern." Syed Hilal tersipu-sipu.
Sejak bilalah mereka memerhatikannya. Ruby pula, dengarkah suaranya?
Syed Hilal masih di luar?
Ruby yang tersandar pada pintu sebelah dalam terlepas telefon bimbit di tangan.
Itu bunyi apa? Is it her?
Semakin rawan hati Syed Hilal. Tubuhnya disandarkan pada pintu. Dia perlu memastikan sesuatu.
"Ruby..." Muka dipalingkan ke sisi.
"Hmmm?"
"Berehatlah." Syed Hilal terpejam.
"Awak juga." Suara halus itu menitip pesanan selepas seketika.
Syed Hilal tersenyum. Semakin dekat mukanya dengan pintu. Hampir sahaja bibirnya menyentuh permukaan kayu itu. Bertambah hebat pula gelora di dalam dada.
"Sir, do you need any help?" Satu suara lain menegur.
Syed Hilal celik semula. Seorang staf hotel tercegat di hadapannya.
"Hayır, teşekkur ederim (Tak, terima kasih). I have just sent a friend to her room." Syed Hilal menggeleng.
"Her?"
Ada kenakalan dalam mata staf hotel. Nombor bilik dikerling.
"Then I should give you some privacy, sir." Lelaki itu tunduk, meminta diri.
Ya Rabb, kenapa dengan aku? Menghantar gadis bukan mahram sehingga ke depan pintu bilik kemudian tak balik-balik. Syed Hilal makin resah.
"Actually I am leaving," tegas Syed Hilal, lebih kepada diri sendiri. Langkah diatur serentak dengan staf hotel.
Ruby yang belum berganjak, memasang telinga. Kedengaran derap dua pasang kasut menjauh .
Tidak semena-mena, hatinya merusuh.
Tuhan, kenapa? Dia tidak memahaminya.
"Astaghfirullah..." Syed Hilal terduduk.
Berkali-kali dia meraup muka dan kepala. Jam diimbas. Baru separuh malam. Mujur fajar menyinsing lewat pada musim sejuk, jadi tidaklah dia kelam-kabut untuk menyucikan diri.
"Kenapa dia?"
Nadi Syed Hilal berdenyut pantas. Dadanya berdebar hebat. Lelah belum kebah malah peluh merenik seolah-olah dia benar-benar melalui pengalaman itu.
Syed Hilal mengengsot ke birai katil. Di situ dia bermenung. Wajah miang Dato Bakar muncul. Teringat dia bagaimana Ruby memeluk dan menghalangnya daripada terus membelasah lelaki itu.
"Patutkah aku jauhkan diri? Aku minta dia percayakan aku, tapi mampukah aku percayakan diri sendiri?" Mengetahui kehendak naluri, Syed Hilal gusar memikirkan janji yang diberi.
Berpuasa dapat membantu mengawal diri tetapi Ruby mungkin menyangka itu helahnya untuk mengelak daripada melunaskan janji.
Ya Allah... Rambut yang dibasahi peluh disuak. Mukanya diraup lagi.
Ingatan Syed Hilal beralih kepada gadis berpakaian serba putih yang mendatanginya dalam mimpi berulang kali. Sebelum ini tidak dikesahkannya bayangan itu. Namun mimpi yang baru dialami benar-benar buat dia gelisah.
Apabila dia memejamkan mata, wajah umi dan walidnya mengisi ruangan minda. Semakinlah dia gundah-gulana.
"Ya Basir... Terangkanlah apa yang samar," rayu Syed Hilal kepada Yang Maha Melihat.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro