Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

Istanbul, kota dua benua yang unik, kosmopolitan, pada masa yang sama eksotik. Bahagian utaranya terletak di benua Eropah manakala bahagian selatan di benua Asia.

Kota yang pernah dikenali dengan nama Constantinople itu dipisahkan kepada dua bahagian oleh Selat Bosphorus. Di hujung selat yang membiru itu adalah Laut Hitam yang bertemu dengan Bulgaria, Romania, Ukraine, Rusia dan Georgia. Di satu hujung yang lain, Laut Marmara, yang bersambung dengan Laut Aegean pada sebelah barat dan seterusnya Lautan Mediterranean.

Berbanding Istanbul sebelah Eropah, Istanbul sebelah Asia lebih kepada kawasan penempatan. Kos sara hidupnya yang lebih murah menjadikannya pilihan golongan pelajar.

Istanbul Eropah pula terbahagi kepada dua bahagian oleh kawasan Perairan Tanjung Emas atau Golden Horn yang berbentuk seperti tanduk. Di kirinya kawasan Fatih atau Istanbul Lama yang bersejarah dan terkenal sebagai lokasi pelancongan. Manakala kawasan Taksim di sebelah kanan menjadi tumpuan aktiviti komersial dan kewangan.

"Awak rasa saya patut ke mana dulu?"

Ruby menyerahkan beberapa brosur yang dibawa dari bilik kepada Syed Hilal apabila mereka bertemu di lobi.

"Yang terdekat, Masjid Biru dan Hagia Sophia. Hagia Sophia tu muzium. Dulu pernah diguna sebagai gereja dan masjid," beritahu Syed Hilal.

"I know that. Semasa era pemerintahan Rom dan Byzantine, Hagia Sophia diguna sebagai gereja. Sultan Muhammad Al-Fatih yang menakluk Istanbul yang jadikannya masjid. Nama Constantinople pula diubah kepada Islambol." Ruby menjeling.

"Bukan saya merendahkan pengetahuan am awak, tapi sesetengah orang tak tahu. Bila mereka tengok ada lukisan yang tak Islamik di dalam Hagia Sophia, mereka mencerca." Syed Hilal menjelaskan rasionalnya.

"Insya-Allah saya tak macam tu. Pokok pangkalnya hati. Lagipun saya nak tengok seni bina."

"Seni binanya cantik dan unik. Air tangan orang Rom," akui Syed Hilal.

"Awak nak temankan saya?"

"Kan saya kata saya takkan biarkan awak sendirian!"

Tersentak Ruby dengan jawapan tegas Syed Hilal. Bahkan air muka Syed Hilal berubah kepada serius.

Syed Hilal sendiri tergamam dengan reaksinya.

"Kita ke Masjid Biru sebelum Hagia Sophia. Selepas tu kita ke Muzium Topkapı. Selain barangan tinggalan Empayar Turki Uthmaniyah, di sana tersimpan barangan Nabi Muhammad s.a.w. termasuk janggut dan jubah baginda. Jubah puteri baginda, Saidatina Fatimah r.a, pun ada. Mekah dan Madinah kan di bawah empayar Islam Uthmaniyah dulu," atur Syed Hilal.

"Ada banyak lagi muzium di Istanbul ni. In fact, the city itself is a living museum."

"Wah, selain pilot awak boleh jadi pemandu pelancong!" usik Ruby, melawan hati nan gundah.

"If you say so, miss."

Masih diselubungi rasa bersalah, Syed Hilal mengukir senyuman terindah.

Jalan kecil di hadapan Hotel Sura Hagia Sophia bercantum dengan Jalan Divan atau Divan Yolu, jalan besar yang menganjur ke kawasan Taman Sultanahmet yang terletak di antara Masjid Biru dan Hagia Sophia. Sebaik sahaja melintasi jalan yang berkembar dengan laluan trem itu, Ruby terpandang beberapa ekor kucing. Biarpun tertarik dengan saiz dan kegebuan haiwan itu, apabila dihampiri, dia panik.

"Awak felinophobia?"

Syed Hilal tercuit hati dengan aksi Ruby yang menyorok di belakangnya sampai menarik-narik jaketnya.

Ruby mengangguk. Memang dia anti dengan kucing. Ternampak okey, tetapi jangan datang dekat. Merenungnya pun usah.

I love her way. Naif sangat. Syed Hilal ketawa.

"Tengok, ekor mereka tegak dan curl sikit. Maksudnya mereka suka dan nak berkawan dengan awak." Kucing yang menggesel kakinya itu didukung. Kepala dan tengkuk haiwan itu dicium-cium.

"Kawan jarak jauh, bolehlah."

Ruby mengundur seraya memandang dengan rasa geli.

Biar betul Syed Hilal ni! Gomol kucing macam gomol buah hati.

Sepanjang merentasi kawasan itu, beberapa kali Syed Hilal dijadikan perisai manusia oleh Ruby.

"Hilal!"

Dipanggil semasa fikiran melayang menyebabkan jantung Syed Hilal berdegup lebih kencang.

"Ada sesuatu pada jaket awak." Ruby bertenjet.

Phoof!

Ruby menghembus pada dada jaket Syed Hilal. Kembung pipinya.

Syed Hilal terjeda.

Ruby pula terpejam sekejap apabila objek itu melayang ke arahnya. Mujur ringan sahaja.

"Okey, dah tak ada."

Ruby tunduk memandang bulu pelepah kecil yang mendarat di atas jalan.

"Cantik."

Syed Hilal juga tunduk. Satu sisi hatinya tenang. Di satu sisi lagi, ada gelora dalaman.

"Murah aje, saya beli di Universal Traveller."

Ruby membelek jaketnya.

Syed Hilal tergeleng.

"Awak cakap pasal kucing? Ya, kucing-kucing di sini cantik. Gebu."

Ruby memandang ke arah kucing pula.

Ya Allah, Ruby... Awaklah yang cantik. Syed Hilal menahan gelora rasa.

"Seni seviyorum..." Terlepas ungkapan itu dalam nada bisikan.

"Apa tu? Terima kasih? Sama-sama. Tak berat pun bulu pelepah tadi." Ruby berkerut.

Ada pengumuman dalam bahasa Turki selain bahasa Melayu dan bahasa Inggeris di dalam pesawat. Mungkin itu kalimahnya, dia tidak berapa ingat.

Syed Hilal tersipu-sipu.

"Ulang." Ruby mengangkat kening.

"Ulang apa?" Syed Hilal menahan nafas.

"Apa yang awak ucap tadi." Ibu jari dan telunjuk Ruby bermain di dagu.

"Seni seviyorum."

Syed Hilal meneguk air liur. Subhanallah. Masya-Allah. Astaghfirullah... Bercampur-baur perasaannya.

"Seni seviyorum, Hilal!" balas Ruby.

Tadi dia memasang telinga dan memerhatikan pergerakan bibir Syed Hilal. Kalau mahu mempelajari bahasa, begitulah caranya.

"Kenapa?"

Syed Hilal merendahkan pandangan. Terasa semakin likat air liur yang diteguk.

"Sebab ajar saya Turkish phrase yang pertama," beritahu Ruby.

Terpejam mata Syed Hilal. Apabila dia celik semula, pandangannya dihalakan ke arah Masjid Biru.

Di antara kubah dan menara masjid itu, matahari musim sejuk hemisfera utara bersinar bak ambar, umpama bara rasa di dalam dadanya.

"Seni bina masjid-masjid lama Istanbul unik kerana ia bak kompleks ibadat. Selain dewan solat, ada banyak ruang lain untuk unit pentadbiran, kelas agama dan sebagainya," cerita Syed Hilal semasa memasuki pekarangan taman Masjid Biru atau nama sebenarnya, Masjid Sultan Ahmet.

"No wonder," sahut Ruby yang sedang merakam gambar seekor kucing memanjat pangkal pokok pain.

"Saya ingat nak solat sunat tahiyatul masjid tapi laluan masuk ke ruang solat berbeza. Nanti saya hantar awak ke barisan pelawat dulu. Bila awak dah habis tour dalam masjid, terus ke pintu keluar. Saya tunggu di sana," ujar Syed Hilal.

"Eh, saya nak solat juga! Saya ada bawa telekung."

Ruby menepuk beg sandangnya.

"Kalau macam tu saya tunjukkan awak pintu masuk tempat berwuduk perempuan." Syed Hilal tersenyum.

Lebih sejam masa mereka dihabiskan di Masjid Biru.

"Nak rasa dondurma, aiskrim Turki?" soal Syed Hilal semasa mereka melewati kawasan lapang di antara Taman Sultanahmet dan Hagia Sophia.

"Biasanya orang perempuan suka aiskrim tapi tak nak makan sebab takut gemuk. Adik saya macam tu." Dia tersenyum melihat gelagat Ruby yang tidak habis-habis dengan kamera.

"Makan aiskrim semasa winter, itu idea gila. But somehow I love that crazy idea." Ruby mengenyit mata.

"Saya belanja."

Syed Hilal memberi isyarat supaya Ruby mengikutnya.

"Hoşgeldiniz (Selamat datang)!" ucap penjual dondurma apabila mereka menghampiri kiosnya.

"Yang hijau tu apa? Aiskrim green tea?" tanya Ruby. Teh hijau telah sebati dengan dirinya.

"Pistachio kut," ujar Syed Hilal.

"Fıstıkli dondurma (aiskrim pistachio)?" tanya Syed Hilal kepada lelaki di belakang kaunter. Bekas aiskrim berkenaan dituding. Kecuali yang satu itu, bekas yang lain berlabel.

"Evet (Ya)." Penjual dondurma mengangguk. Label yang terjatuh dibetulkan.

"Betul, aiskrim pistachio. Awak nak?" Syed Hilal berpaling ke arah Ruby.

Ruby mengangguk.

"Askar pun makan aiskrim?" soal Ruby apabila mendapati Syed Hilal turut memesan dondurma.

"Hilang macho ke kalau askar makan aiskrim?" Syed Hilal berkerut.

"Taklah..." Ruby tergelak.

"Awak tak suka pistachio?" soalnya lagi. Syed Hilal memesan perisa coklat.

Syed Hilal menggeleng.

"Semasa kecil saya pernah tersedak kulitnya. Kulit luarnya pun keras."

"Cerewetlah awak. Pasti anak manja," jebik Ruby.

"Semolina?" Penjual dondurma menuding ke arah sebuah bekas. Wap nipis terbebas dari mulut bekas yang renggang sedikit penutupnya.

"Hayır (Tak)." Syed Hilal menggeleng lagi.

Tidak lama kemudian, fıstıkli dondurma yang telah siap disua kepada Ruby. Tetapi belum sempat Ruby menyambut, kon aiskrim itu dilambung-lambung.

"Dia ni nak menjual ke tidak?" Ruby memuncung.

"Jangan ambil hati. Normal bagi penjual dondurma mengacah pembeli." Syed Hilal tergelak.

Selepas hampir seminit baru Ruby berjaya mendapatkan dondurma.

"Seni seviyorum!" ucapnya, ceria.

Bulat mata lelaki Turki itu. Malah pelanggan tempatan yang berada di situ berbisik sesama mereka.

Syed Hilal menekup muka. Matanya sahaja yang kelihatan di celah jari-jemarinya yang besar.

"Sorry, miss. What did you say?" tanya penjual dondurma.

"Seni seviyorum," ulang Ruby tanpa prasangka.

"Did I pronounce it wrongly?" soalnya apabila lelaki itu berbalas senyuman dengan pelanggan lain.

"No." Tangan berbulu roma lebat di belakang kaunter itu bergoyang.

"You said it just right." Si mata biru itu mengenyit kepada Ruby.

Ruby menegakkan ibu jari.

"But miss, did you really mean it?" soal penjual dondurma.

"I mean, the thing you said just now when you said it."

Tidak sedap hati, Ruby mengerling ke arah Syed Hilal. Pemuda itu tunduk.

"Sure, it comes from my heart," akui Ruby biarpun ragu-ragu. Sekali lagi dia berpaling ke arah Syed Hilal. Kini bahu juruterbang itu kelihatan terenjut-enjut.

Penjual dondurma terjeda.

"Seni seviyorum means thank you, right?"

Ruby mengangkat kening kepada lelaki Turki itu.

Apa yang pelik sangat? Dalam pada itu bibir Ruby mencakup puncak aiskrim. Lazat! Rasanya merangsang reseptor deria dengan kenikmatan yang tidak terhingga.

"Who taught you that?"

Terburai ketawa penjual dondurma.

"He did."

Ruby melentikkan ibu jarinya ke arah Syed Hilal.

Lelaki Turki itu terdiam. Pandangannya tertala ke arah Syed Hilal sebelum ketawanya berhamburan semula.

"What is wrong?"

Rasa pelik yang bersarang dalam hati Ruby menebal.

"You better ask your friend."

Penjual dondurma terus ketawa.

Ruby berpaling ke arah Syed Hilal. Perkara yang bukan-bukan menerjah benaknya apabila juruterbang itu mengangkat kedua-dua belah tangannya.

"Awak, seni seviyorum sebenarnya perkataan mencarut?" Ruby membeliakkan mata.

"Demi Allah, tak."

"Habis?"

Syed Hilal menunjukkan isyarat menzip mulut.

"Mejar Syed Hilal!" Sebelah tangan Ruby mencekak pinggang.

Syed Hilal mengemam bibir pula.

Penjual dondurma berasa tidak sampai hati. Boleh timbul malapetaka kalau Ruby mengungkap ayat itu kepada semua lelaki Turki.

"Miss, seni seviyorum means I love you." Rahsia dipecahkan.

"What?" Semakin butang mata Ruby.

"Hilal!" Sambil berpaling ke arah Syed Hilal, tangan yang memegang aiskrim diangkat.

Eh! Kenapa tak ada apa-apa?

Kon wafer yang tiba-tiba kosong dipandang dengan rasa hairan. Niat untuk menonyoh dondurma pada muka pemuda yang sedang tersengih itu terbantut.

Syed Hilal memberi isyarat kepada Ruby supaya menoleh ke belakang.

Perlahan-lahan Ruby berpaling.

"Ops!" Ruby menekup mulut.

Penjual dondurma sedang berpeluk tubuh dengan mata mencerlung ke arahnya. Di atas penutup kepala lelaki itu, tertenggek setongkol dondurma berwarna hijau.

"Guilty as charged." Terangkat lagi kedua-dua belah tangan Syed Hilal. Selepas meninggalkan kios dondurma, mereka duduk di struktur konkrit di bawah sebuah pokok menghadap Taman Sultanahmet.

"Nak make peace dengan saya? Jangan harap." Tangan Ruby bersilang.

"Berapa banyak dondurma diperlukan untuk tebus kesalahan?"

"Infiniti. Orang lelaki memang tak sensitif. Awak rosakkan reputasi saya. Pasti penjual dondurma tu fikir saya miang."

"Saya kena buat apa baru awak maafkan?"

Ruby menjeling. Kemudian...

"Makan ni!"

Tidak menjangka Ruby akan menonyoh aiskrim ke mukanya, Syed Hilal terkedu.

Ambil kau! Ruby menalakan pandangannya ke arah lain.

Tiba-tiba...

Aaa... Chum!

Ruby menoleh. Beberapa helai tisu dikeluarkan dan disua kepada Syed Hilal. Rasa bersalah bersulam dengan rasa sakit hati.

"Saya takkan lupa muka penjual dondurma tu tadi."

Syed Hilal ketawa sambil mengelap mukanya.

"Itu semua angkara awak." Ruby memuncung tetapi kemudian tertawa juga.

Ya Rabbi, he is totally cute. Big but cute. Mata Ruby tidak lekang daripada memandang Syed Hilal.

"Kenapa?" Syed Hilal terkebil-kebil.

"Come here." Ruby menguitkan jari telunjuknya.

Kebingungan, Syed Hilal menurut kata.

Sehelai lagi tisu dikeluarkan. Kesan aiskrim yang terpalit pada hidung mancung Syed Hilal dilap.

Aaa... Chum! Tindakan Ruby menyebabkan Syed Hilal terbersin sekali lagi. Mulut dan hidung ditekup tetapi pergerakan refleks menyebabkan dia terhangguk ke hadapan.

Dua dahi berhantukan.

"Ouch! Kerasnya kepala askar! Awak biasa menanduk peluru meriam?"

Ruby menjauhi sambil menggosok dahi.

"Sakit?"

Kelam-kabut dan diselubungi rasa bersalah, Syed Hilal menggosok dan meniup bahagian yang kelihatan merah.

"Awak..." Reaksi balas Ruby menyedarkan Syed Hilal.

Situasi jadi janggal. Masing-masing menjarakkan diri. Mereka terbabas laku lagi. Tidak boleh dibiar terus begini.

"Well, well, well... It is good to be in flirtatious mood!"

Komen pelancong yang melintas menambah getar dalam hati.

Am I? Astaghfirullah... Syed Hilal tunduk. Wajah umi dan walidnya menjelma.

Ruby pula lumpuh seketika lisan dan fikirannya.

"Nanti saya belikan awak aiskrim lain. Dua aiskrim dah terkorban." Menyedari semua itu berpunca daripada dirinya, Syed Hilal cuba memulihkan keadaan. Ralat hatinya untuk Ruby.

"Tapi saya tak nak ke kios tadi." Ruby mensyaratkan.

Rugi jika tidak diterima tawaran. Lupakan Häagen-Dazs. Lupakan Baskin-Robbins. Lupakan aiskrim di Assisi yang dikata homemade ice cream terlazat di Itali. Dondurma unik dan dijamin halal.

"Ruby, don't take things too seriously. Okey, selepas Hagia Sophia, kita ke kios dondurma depan Hotel Pierre Loti. Dekat aje, di Jalan Divan juga," pujuk Syed Hilal.

"Saya ingat awak ambil serius tentang semua perkara." Ruby menjeling.

Hai! Syed Hilal hafal peta Istanbul? Berdetik hatinya.

"Memang saya serius dalam kerja. Tapi bila off duty, saya break loose. Kalau tak saya rasa macam universal soldier," balas lelaki itu.

"Hilal, awak perajurit, bukan killing machine," bantah Ruby. Spontan, suaranya jadi lunak.

Syed Hilal mengerling.

"Tapi ada orang awam anggap tentera alat pihak tertentu. Berlatih pada waktu malam pun dicerca. Mereka enak tidur. Kami bersengkang mata mengawal segenap sudut negara. Dari tengah laut, ruang udara, pesisir pantai sampai ke gunung untuk kekang musuh daripada menceroboh. Tapi pantang tersilap, kepincangan kami dijaja. Bagi silap yang sama yang dilakukan oleh orang awam, blame yang kami terima berlipat ganda. Bila dikongsi apa ditempuh, dikata tak ikhlas pula. Walhal kami sanggup membunuh dan dibunuh demi negara, cedera dan terkorban demi pertiwi tercinta. Saya ni misalnya, makan TUDM, minum TUDM, tidur pun TUDM," ujar Syed Hilal, menguji.

"Taklah. Bunyi jet pejuang macam melodi sakti. Lebih-lebih lagi bunyi radar kapal perang."

"Itu bagi awak." Syed Hilal sengaja membidas walhal hatinya melonjak.

"Ala... Mungkin yang kompelin tu ingat serangan hendap dan perang cuma berlaku pada waktu siang. Sebab tu mereka melenting bila tentera berlatih malam-malam. Jangan pedulikan cakap-cakap negatif golongan minoriti. Mereka akan faham suatu hari nanti. Ramai yang pandang tinggi kepada pasukan keselamatan. Lagipun..."

Ruby mengecilkan matanya.

"Killing machine tak makan aiskrim!"

Dia menyeringai pula.

"Salah ke askar makan aiskrim? Kami kena kunyah peluru dan mortar?"

Respons Syed Hilal langsung tidak dijangka oleh Ruby.

Sensitifnya dia! Gigi Ruby berlaga. Mungkin Syed Hilal tidak biasa dihina. Dia pula, sejak kecil kata-kata kesat telah jadi santapan telinga.

Membayangkan Syed Hilal memamah bahan-bahan letupan itu siap dengan bunyi derup-derap buat Ruby tertawa.

"Kenapa?" Syed Hilal pelik.

"Awak, makan peluru!" Ruby menekup mulut.

Tersembur ketawa Syed Hilal apabila memikir semula kata-kata sendiri. Melihat reaksi Ruby, dia yakin, gadis itu tidak marah lagi.

"Güzel!"

Syed Hilal memejamkan mata, khuatir siumannya hilang dalam keindahan di hadapannya.

Empat tarikan utama pelancong di kawasan Fatih iaitu Masjid Biru, Hagia Sophia, Taman Sultanahmet dan Muzium Topkapı akhirnya selesai dikunjung. Selain banyak merakam gambar, Ruby juga banyak bertanya.

Memandangkan Ruby membawa telekung, tidak perlu mereka kembali ke hotel awal. Masjid banyak. Di mana-mana boleh singgah untuk bersolat.

"Nak makan?" soal Syed Hilal semasa mereka meninggalkan Muzium Topkapı yang asalnya sebuah istana.

Ruby mengangguk. Akhbar Today's Zaman versi bahasa Inggeris yang disambar dari para kedai cenderahati muzium itu tadi dikelek.

"Berat atau ringan?"

"Tak kesah."

"Awak tak rasa jet lag?"

"Ada juga." Ruby menguap. Waktu tempatan sudah jam dua petang. Itu bermakna di Malaysia sudah pukul lapan malam. Dia pula tidak lelap tidur dalam penerbangan.

"Kita jalan ke arah Eminönü. Di sana ada banyak kedai makan. Selepas makan, boleh solat jamak di masjid berdekatan. Spice Bazaar pun dah dekat. Selepas Spice Bazaar, kita ke Grand Bazaar kemudian terus balik ke hotel."

Ruby yang pening lalat kerana tidak dapat membayangkan tempatnya terkebil-kebil.

"Ruby, okey tak? Kalau tak larat, besok-besok kita ke bazar."

"Okey..." Ruby tersengih.

Dalam hati, dia mengomel. Sah, Syed Hilal hafal peta Istanbul!

"Iskender kebap for two." Pelayan dimaklumkan. Dalam bahasa Turki, kebab dipanggil kebap.

"Makanan Turki gabungan makanan Asia dan Eropah terutama Balkan dan Greek. Kebab aje ada berpuluh jenis," cerita Syed Hilal.

Untuk minuman, dia memesan Turkish tea sementara Ruby memilih jus delima segar. Künefe pula dipesan untuk pencuci mulut.

"Arif juga awak tentang makanan. Kalau tak jadi pilot atau pemandu pelancong, awak patut jadi cook," usik Ruby.

"Makanan Turki, Arab dan Melayu Johor aje. Itu pun tak semua." Syed Hilal tersenyum.

Sementara menunggu pesanan sampai, mereka berbual. Sekali-sekala, Ruby mengerling ke arah kucing yang tidur di meja makan berdekatan. Calico itu tersandar pada palang kerusi. Mujur badannya yang besar menghalangnya daripada terbolos.

"Gemuk kucing tuan kedai. Tapi tak nampak pula Turkish Angora yang berbulu putih dengan warna mata berbeza tu," komen Ruby.

"Turkish Angora tu rare breed macam awak. Di sini pun harganya mahal."

Syed Hilal turut memandang ke arah kucing yang nyenyak itu.

Aku disamakan dengan kucing? Ruby memuncung.

"Güzel." Terpacul lagi perkataan itu daripada mulut Syed Hilal.

"Apa?" Hampir bercantum dahi Ruby. Untuk seketika, dia termangu. Seperti pernah didengarnya perkataan itu.

Pelayan yang sedang menghidang minuman tersenyum simpul.

Syed Hilal tidak menyahut. Pandangannya ditalakan ke arah gelas kaca berbentuk bunga tulip berisi teh yang masih berasap.

"Something fishy is going on. Itu perkataan Turki, kan? Kenakan saya lagi?" Telunjuk Ruby melentik. Dua kali lelaki itu menyebut perkataan itu.

"It is something good." Syed Hilal menggeleng.

"Harap-harap." Ruby menjeling.

Syed Hilal membawa gelas tulip ke bibir. Teh yang hampir mati wap dicecap perlahan. Dari sebalik kaca lut sinar, Ruby diperhati.

Subhanallah.

Imej yang tersaji walaupun terbias, tetap cantik, tetap menarik.

"Awak buat apa?" Syed Hilal mendapatkan Ruby yang sedang melutut. Dia telah terlajak ke hadapan apabila menyedari ketiadaan Ruby. Hatinya dijolok rasa khuatir.

"Sketching," jawab Ruby, sepatah.

Perancangan untuk ke Spice Bazaar dan Grand Bazaar ditunda oleh Syed Hilal ke hari lain apabila Ruby bertanyakan tentang Perairan Tanjung Emas a.k.a. Golden Horn. Di situlah kini mereka berada.

"Untuk apa?"

Syed Hilal membongkok, meninjau apa yang dilakar. Kelihatan bayangan Jambatan Galata, beberapa buah feri dan kawasan Galata serta menaranya.

"Awak tak tahu? Setiap arkitek pelukis juga. Artist, kata orang putih. Other than sketching, we photograph everything and anything. Semuanya sumber inspirasi."

Ruby menengadah sekejap, memandang juruterbang itu.

"Patutlah." Terangkat kening Syed Hilal.

"Di dalam Masjid Biru dan Hagia Sophia aje saya rasa beratus gambar awak rakam."

"Memang kerja saya mengelek kamera sejak zaman student. Maklumlah, kena ambil gambar site untuk analysis, surrounding area study dan macam-macam visual study." Ruby tergelak.

"Saya pernah ke lapan buah negara Eropah Barat dan Mediterranean. Di universiti dulu ada study tour untuk pelajar jurusan seni bina. Kami ke tempat-tempat bersejarah yang terkenal dengan seni dan yang ada interesting geography," sambung Ruby sambil melakar.

"Itu lebih daripada setengah dozen."

"Jauh berjalan luas pengalaman."

Ruby tersenyum tanpa mengalih tumpuan daripada lakaran.

"Tapi ke Turki baru kali ini?"

"Unfortunately. Ada lawatan ke sini dulu tapi saya tak dapat join. Wrong timing. Sekarang saya nak fahami architectural culture Istanbul dan transformasi yang berlaku dari era Rom, Byzantine, Uthmaniyah sampailah ke era republikan sebanyak yang dapat."

"Awak belajar di mana dulu?"

"University of Bath, UK. Other girls berhabis duit untuk alat solek, aksesori dan pakaian. Saya pokai sebab buku dan berjalan. But I worked hard and saved for it. Buat kerja sambilan semasa study, of course, dengan work permit. Kalau tak kerajaan British deport saya balik ke Malaysia. Lagipun sesetengah trip, universiti yang taja. Saya cuma kena layakkan diri untuk menerimanya." Semakin laju Ruby melakar, semakin rancak dia berceloteh.

"Awak buat apa?"

"Excel in some things. Active in others."

"Crystal clear." Syed Hilal mengangguk. Ruby lain daripada yang lain.

"Bukan sebab mengurat lecturer?" usiknya.

"Mana ada!"

Terpeleot mata pensel Ruby. Mujur tidak patah.

"Sorry." Syed Hilal ketawa kecil.

"Apa awak nak sketch atau rakam, saya tak kesah. Tapi jangan berhenti tanpa beritahu saya. Susah kalau awak hilang."

"Saya boleh balik sendiri. Arkitek ada pretty good sense of direction. Saya pun tak kesah sesat di Istanbul. Semua jalan lead to incredible wonders." Ruby kembali menghadap sketch book miliknya.

Ruby Haya... You yourself are an incredible wonder, desah Syed Hilal. Keyakinan Ruby tidak padan dengan fizikalnya.

"So, semua gambar yang awak rakam di Istanbul nanti awak akan upload ke Facebook dan Instagram?" soal Syed Hilal.

Ruby menelengkan kepalanya ke arah Syed Hilal.

"I don't have Facebook or Instagram."

"Awak tak ada Facebook dan Instagram?" ulang Syed Hilal.

"Nope." Ruby menggeleng perlahan.

"No Facebook, no Twitter, no Instagram, no problem."

Syed Hilal melopong.

"Kenapa, pelik sangat ke?"

"Tak..."

"Habis, kenapa macam terkejut?" Ruby merenung Syed Hilal.

"Sebab saya pun tak ada Facebook, Instagram dan segala benda alah yang 'sewaktu' dengannya tu."

"Hmmm?" Ruby membeliakkan mata.

"Mmm." Syed Hilal mengangkat kening.

Mereka berpandangan sejenak. Kemudian kedua-duanya ketawa.

Kebetulan lagi.

"Saya ingat saya aje yang tak ikut peredaran semasa media sosial. Tak sangka overseas student pun ada yang macam tu," Syed Hilal tersenyum seraya mengerling ke arah Ruby.

Ruby mengangkat bahu.

"Tapi takkanlah fighter pilot a.k.a. ladiesman macam awak tak bersosial." Deklarasi Syed Hilal dipertikai.

"Takkanlah overseas student macam awak tak sosial orangnya," balas Syed Hilal.

Mereka saling merenung.

"Errr, well..."

Empat bahu terangkat. Dan masing-masing tertawa lagi.

"We are not freaks, right?" soal Ruby.

"No, we are not. Cuma limited edition." Syed Hilal mengenyit mata.

"Hmmm, l.e.s. Maknanya boleh jual mahallah." Ruby tergelak.

"Kalau buat novel, boleh buat untung besar," beritahunya kepada lelaki itu.

Tergeleng Syed Hilal.

"Kenapa saya masih belum nampak lelaki bertarbus? Lagi senang tengok orang bertarbus dalam filem P. Ramlee," omel Ruby semasa mereka menyusuri kawasan tebing.

"Di Malaysia pun susah nak tengok orang pakai tengkolok. Lebih senang tengok dalam filem," balas Syed Hilal. Ruby dikerling.

Apabila Ruby menjeling, dilarikan pandangannya ke arah lain.

Berada dengan Ruby mengekstradisi Syed Hilal daripada dunia kerjaya yang dipenuhi disiplin dan keseriusan. Kali pertama melihat Ruby di Kem KD Sri Medini, sangkanya Ruby seperti gadis-gadis cantik yang lain. Kalau tidak sombong pun, control ayu. Rupa-rupanya Ruby berbeza.

Dalam sopan, Ruby bersahaja. Tetapi di sebalik sikapnya yang ceria, ada nilai tertentu yang dipegangnya.

"Sebenarnya..."

Syed Hilal menghela nafas.

"Banyak perubahan berlaku di Turki bila Mustafa Kamal Ataturk ambil-alih pemerintahan. Beliau dijadilkan alat barat untuk menjauhkan umat Islam daripada ajaran Quran. Islam dikaitkan dengan kemunduran. Aktiviti dan amalan keagamaan diharamkan. Begitu juga dengan pengajian agama, penerbitan buku agama dan pelaksanaan hukum faraid. Bahkan solat jemaah di masjid dilarang dan azan ditukar ke dalam bahasa Turki."

"Teruknya."

"Bukan itu aje. Lelaki dan wanita digalakkan bercampur dalam majlis sosial. Arak dihidang secara terbuka. Ulama yang berpihak kepada barat dimanipulasi bagi mengubah pandangan masyarakat ke arah sekularisme," sesal Syed Hilal.

"Pakaian tradisi pula digantikan dengan pakaian Eropah. Tarbus awak misalnya, digantikan dengan topi barat."

Ruby mengangguk. Wajahnya sedikit muram.

"Eh, sejak bila tarbus Turki jadi tarbus saya? Awak ni..." Ruby mencekak pinggang.

Syed Hilal tersenyum. Perasan juga Ruby.

"Alhamdulillah. Perdana Menteri Turki sekarang berusaha keras untuk kembalikan Turki kepada syariat Islam walaupun ditentang hebat oleh golongan yang masih mengagungkan sekularisme Ataturk dan barat. Tak senang, tapi sedikit demi sedikit Turki kembali Islamik." Syed Hilal merenung jauh ke langit.

"Awak sayangkan negara ni, ya?"

Ruby pula merenung Syed Hilal. Bukan permukaan air di Perairan Tanjung Emas sahaja bertukar keemasan disebabkan cahaya mentari senja. Sepasang mata hazel lelaki itu juga.

Golden eyes at Golden Horn, desis hati Ruby.

"Moyang saya orang sini. Macam mana pun saya ada kaitan dengan negara ni." Masih menghadap matahari, Syed Hilal memejamkan mata.

"Kalau nak lepaskan kempunan tengok orang bertarbus, kita ke Konya. Tarbus dipakai oleh penari-penari tarian sufi di sana." Ruby dikerling sebaik sahaja dia celik semula.

"Tapi Konya jauh."

Ruby melarikan pandangan dari sepasang mata yang memukau itu.

"Ya, di kawasan Anatolia tengah di sebelah Turki Asia. Konya pangkalan udara utama semasa Perang Pembebasan Turki di mana Mustafa Kamal Ataturk mengetuai pemberontakan ke atas Kesultanan Uthmaniyah." Syed Hilal kembali merenung langit.

"Kalau macam tu, lain kali." Ruby menjeling.

Tahu sahaja Syed Hilal akan hal berkaitan tentera udara.

"Pening saya tengok tulisan Turki. Hurufnya pelik-pelik. Ada C dan S yang 'berjanggut', ada G 'bertopi', ada O dan U bertitik dua di atas. Ada pula, dua jenis huruf I, yang bertitik dan yang tak bertitik." Ruby menggaru kepala semasa menghadap peta laluan trem.

Tergelak Syed Hilal.

"Dulu Turki guna abjad Arab. Mustafa Kamal Ataturk yang tukar kepada abjad sekarang."

"Patutlah ada tulisan Arab pada masjid dan bangunan lama."

"Ya. Sekarang ada dua abjad lebih dalam abjad Turki berbanding rumi. Walaupun rupa sama, ada yang sebutannya berbeza. C dalam abjad Turki, bunyinya macam J dalam rumi. Cami bunyinya macam 'jami'. Sebaliknya Ç yang awak panggil C berjanggut yang bunyinya macam C rumi. Ada juga huruf yang tak berbunyi di kedudukan tertentu tapi memanjangkan bunyi huruf sebelumnya."

Hah? Semakinlah Ruby berkerut.

"Awak macam mahir. Awak cakap Turki ke di rumah?"

"Taklah, kami cakap Melayu. Umi saya pure Melayu. Tapi walid fasih berbahasa Arab. Adik-adik pun cenderung kepada lughatul Quran tu. Cuma kata walid, elok kalau ada yang boleh bertutur dalam bahasa moyang sebelah sini. Jadi saya sahut cabaran dan belajar sendiri."

"Wah!"

"Tak ada yang layak dikagumi pun. Dalam keluarga kami, adat dan cara hidup Melayu, Turki dan Arab bercampur. Tak ada yang spesifik, sekadar yang relevan, disenangi dan mudah diaplikasi," jelas Syed Hilal.

"Menarik."

Meleret senyuman Ruby. Syed Hilal dilirik.

"Untuk kurangkan pening awak, saya akan beri sesuatu."

"Koyok Cina?" Ruby membesarkan matanya.

Syed Hilal menggeleng.

"Besok saya akan berada di depan pintu bilik awak tepat pada jam 0700. Kita pergi bersarapan," pesan Syed Hilal. Mereka bersepakat untuk tidak makan malam kerana masih kenyang dengan kudapan yang dinikmati sepanjang berjalan. Masing-masing mahu beristirahat awal kerana keletihan.

Syed Hilal berpaling sebaik sahaja Ruby membuka pintu bilik.

"Hilal, tunggu. Awak tak ada rancangan sendiri?" tahan Ruby.

"Maksud awak?"

Syed Hilal menoleh kemudian mengundur setapak.

"Awak dah biasa dengan Istanbul tapi terpaksa mengulang lawat banyak tempat disebabkan saya." Ruby yang serba salah meramas tangan.

"Memang saya nak ke sesetengah tempat tu pun. Ada benda saya nak cari. Cuma kalau boleh saya nak ke Masjid Al-Fatih. Di sana terletak makam Sultan Muhammad Al-Fatih. Saya menziarah makam baginda setiap kali ke sini."

"Okey. Besok, bawa saya ke sana."

Ruby lega selepas meluah isi hati.

Ruby meneliti nota yang diberi oleh Syed Hilal berkaitan huruf Turki. Tadi setibanya mereka di lobi, pemuda itu memohon untuk menggunakan sketch booknya. Rupa-rupanya itu ubat pening yang dimaksudkan.

"Semakin pening adalah," keluh Ruby.

Selepas beberapa minit, nota itu diketepikan. Ruby rebah. Tangannya dilekap pada dahi.

"Tapi cantik tulisan dia. Aku ingat tulisan askar hodoh belaka." Nota itu dicapai semula. Tulisan Syed Hilal diamati.

"Apa agaknya maksud güzel?"

Teringat kepada perkataan yang beberapa kali diungkap oleh Syed Hilal, telefon bimbit miliknya yang sedang dicas di atas meja diambil.

"Helo, Google search!" Ruby tersenyum.

Sebelum mencari erti güzel, dia melakukan carian bagi küçük hanım. Hatinya kuat mengatakan suara Syed Hilal yang didengar semasa menunggu giliran untuk menggunakan tandas di dalam pesawat biarpun lelaki itu menafikan.

Küçük hanım means little lady.

Itu pengertian yang terpapar.

"Little lady? Dia kata aku kecil? Dia tu yang terlebih membesar!"

Ruby mengetap gigi.

"Entah apa pula maksud güzel."

Laju Ruby menaip dalam ruangan carian.

Güzel means pretty.

Besar mata Ruby.

Tiba-tiba jantungnya berdetak dengan lebih laju. Tiba-tiba dia berasa sangat malu. Serta-merta juga, pipinya terasa panas.

Bagaikan juruterbang itu sedang merenungnya, Ruby tunduk dan menekup muka. Entah mengapa dia semakin hilang keberanian untuk menentang pandangan mata hazel itu.

Sebenarnya dia memang malu dengan Syed Hilal tetapi sengaja dia buat-buat selamba. Malah itu taktiknya sejak remaja agar dilihat lebih berkeyakinan oleh orang sekeliling sekali gus membuat yang berniat untuk mengambil kesempatan berfikir banyak kali. Sebatang kara, dia mahu dilihat berkeyakinan tinggi. Setakat ini taktik itu menjadi kecuali ke atas ibu saudara dan sepupunya selain Dato Bakar, si tua gatal.

"Güzel!"

Tidak semena-mena, suara Syed Hilal kedengaran bertalun pada pendengarannya.

Selepas terpanar seketika, Ruby rebah di atas tilam. Apabila bayangan sepasang mata juruterbang itu pula menyelinap ke dalam pandangannya, ditekup mukanya dengan bantal. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro