Bab 2
Ruby tersentak. Terputus bicaranya kepada Pencipta. Sekejap, dia kehilangan punca.
Terganggu oleh bunyi deringan, doa dan pengaduan dipendekkan. Dicapainya alat komunikasi yang terletak di tepi katil.
Nombor siapa? Pemanggil tiada dalam senarai orang hubungan. Dibiarkannya deringan itu terhenti sendiri.
Namun, deringan itu datang lagi.
Sekali. Dua kali. Tiga kali.
"Hoi, babu, jawab telefon tu! Memekakkan telinga! Aku nak membuta pun tak senang. Besok aku kerja. Kau lainlah, menganggur!" Pintu bilik Ruby digendang dari luar.
Sara.
Ruby menggeleng. Sepupunya itu tidak pernah merendahkan nada apabila bercakap dengannya.
Barangkali ada kecemasan. Ruby menjeling ke arah telefon bimbitnya. Mungkin yang menghubunginya kenalan kepada kenalan.
"Assalamualaikum." Salam diberi sebaik sahaja panggilan disambut.
"Cik Ruby?" Kedengaran suara seorang lelaki.
Ruby berkerut. Suara itu memang asing.
"Cik yang bernama Ruby Haya binti Sheikh Fahd Husam?" tanya individu itu.
"Ya, saya. Boleh saya tahu ini siapa?" soal Ruby.
"Saya Hilal."
"Saya tak kenal sesiapa dengan nama tu. Awak salah nombor." Tegak nada Ruby.
"Cik, tolong jangan hang up. Saya Mejar Syed Hilal dari Pangkalan Udara Gong Kedak." Ruby hampir mematikan talian apabila lelaki itu memperkenalkan dirinya dengan lebih lanjut.
"Gong Kedak?" Sekali lagi Ruby berkerut.
"Bukankah pangkalan tu di..."
"Besut," sambung Syed Hilal.
"Cik ada berkunjung ke Kem KD Sri Medini bertanyakan tentang Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia, PSSTLDM?"
"Betul." Ruby mengiakan. Tangan kirinya meraba belakang kepala, menjangkau simpulan tali telekung.
Jadi, ia berkenaan permohonannya untuk menyertai pasukan simpanan. Cepat respons mereka.
Tapi kenapa pegawai yang menghubunginya dari pangkalan udara? Kuota PSSTLDM dah penuh ke jadi dia dihalakan ke PSSTUDM pula? Kolonel Aslam ada memaklumkan bahawa penempatan bergantung kepada keperluan dan kekosongan.
Kenapa pula dia dihubungi pada lewat malam? Tentera tak boleh tunggu siang? Dia belum jadi sebahagian daripada keluarga military. Lainlah dengan anggota keselamatan, mereka boleh dikerah bila-bila sahaja diperlukan.
"Cik Ruby Haya..." Nama Ruby diseru.
"Ya, tuan. Saya mendengar."
Khayal, Ruby tidak perasan dia masih di talian. Telefon bimbitnya ditekap rapat pada telinga. Perhatian diberi, teruja untuk mengetahui berita selanjutnya.
"Boleh kita berjumpa?"
"Di Gong Kedak?" soal Ruby. Jauhnya! Jarinya bermain dengan tali pengikat telekung yang telah dirungkai.
"Di JB, cik."
Untuk apa? Rasa curiga menyusupi dada.
"Maaf, saya tak dapat. Bahaya seorang gadis menemui orang yang tak dikenali terutamanya lelaki." Jawapan Ruby lurus.
"Tapi saya kenal cik. Maksud saya, pernah nampak." Syed Hilal mengetap bibir.
"Bila? Di mana?"
Tangan Ruby turun ke sejadah. Bebulu halus pada permukaan sejadah dilurut.
"Di Kem KD Sri Medini." Syed Hilal menahan nafas.
"Itu tak menggugurkan hakikat yang saya tak kenal tuan. Tuan tetap orang asing bagi saya. A complete stranger." Ruby cuba mengingat tetapi cuma wajah Kolonel Aslam dan Pegawai Waran 2 Osman yang terbayang.
"Saya ada sesuatu yang mungkin milik cik." Syed Hilal tidak berputus asa.
"Kita tak pernah berjumpa, macam mana tuan boleh ada barang saya?" dengus Ruby.
Ya Allah, susahnya. Syed Hilal memejamkan mata.
"Bila keputusan permohonan saya akan diketahui?" Enggan terikat dengan isu yang mungkin tidak akan berkesudahan, Ruby mengubah topik perbualan.
"Cik betul-betul nak join PSSTLDM?"
"Ya. Saya berharap sangat diterima masuk." Seserius soalan Syed Hilal, begitu juga jawapan Ruby.
"Kalau macam tu, biar saya ceritakan sikit tentang kerjaya dalam tentera," tawar Syed Hilal.
"Baik," sahut Ruby.
Dengan sekali kibar, telekung ditanggalkan. Tidak disedari, itulah permulaan kepada sebuah persahabatan.
Ruby tersenyum. Berbaloi dia dijerit oleh Sara. Tetapi nasib baik sepupunya itu yang bersuara. Kalau Normah, lebih meranalah telinganya.
Sara dan Normah, pernahkah mereka melihatnya sebagai ahli keluarga? Seingat Ruby, dia sentiasa yang terakhir dalam setiap hal. Dalam soal makan, dia diberi bahagian yang tidak dikehendaki, adakala lebihan. Jangan berani mengambil lauk banyak sedikit. Dia dipukul dan lauk itu dikeluarkan semula dari pinggannya.
"Kamu ni tak sedar diri!" Berhari-hari dia dimarahi.
Tidak pernah dia memiliki barangan mainan seperti kanak-kanak lain. Sekali-sekala dapat merasa apabila dipinjamkan oleh Sara. Itu pun entah angin simpati apa yang bertiup ke dalam hati sepupunya itu.
Dalam bab kerja pula dialah babu mereka. Daripada membasuh kasut sekolah Sara sehingga kepada kerja-kerja rumah yang tertanggung oleh kudrat kanak-kanak dan remaja. Sara langsung tidak membantu. Normah pula mengarah bak ratu.
Pernah, telapak tangannya melecet. Sheikh Umar yang mendapat tahu menyapu ubat pada kesan luka serta bertanyakan sebabnya. Hal itu membawa kepada pertengkaran antara Sheikh Umar dan Normah. Akibatnya, berhari-hari makan dan minum bapa saudaranya itu terabai. Situasi itu berlanjutan agak lama menyebabkan dia rasa begitu bersalah. Semenjak kejadian itu, setiap kali ditanya oleh Sheikh Umar, dikhabarkannya bahawa semua baik belaka.
Untuk menabung juga sukar. Wang sakunya hanya separuh daripada yang diterima oleh Sara. Dengan sikap berdikit dapat juga dia menyimpan untuk membeli buku rujukan. Namun apabila diketahui oleh Normah, wang itu dirampas.
Cukup umurnya, dia menerima wang daripada Amanah Raya Berhad daripada harta peninggalan arwah ibu bapanya yang dia sendiri tidak tahu ada.
"Kayalah kau sekarang!" Pada masa itu, dia disindir pula.
Pendek kata, layanan Normah dan Sara buat dia terasa seperti melukut di tepi gantang. Selain minat, rasa terpinggir itulah yang mendorong dia memajukan permohonan bagi menyertai pasukan simpanan sementara menunggu keputusan temu duga kerja.
Bagi Ruby, lebih jarang dia berada di rumah, lebih baik untuk mereka dan dirinya.
"Tuan ni pilot ke?"
Itu soalan Ruby semasa kali kedua pegawai TUDM itu menghubunginya. Entah mengapa dia berasa selesa dengan lelaki itu. Mungkin mempunyai kenalan daripada bahagian keselamatan buat dia lebih yakin permohonannya dipertimbangkan.
"Ya, cik, daripada skuadron penerbangan ke-11," sahut Syed Hilal.
"Ceritalah sikit tentang kerjaya tuan. Apa saja. Tentang latihan, misi, kerja harian," kecek Ruby.
"Boleh, kita buat video call."
"Yang itu tak boleh. Saya kan tak kenal tuan." Ruby membelek diri yang berbaju tidur nipis. Mana mungkin dia memaklumkan penampilannya tidak bersesuaian.
"Bukankah dah kenal?"
"Cuma suara, bukan orangnya. Lagipun saya tak pernah buat video call dengan sesiapa."
"Kalau macam tu saya tak dapatlah cerita."
Syed Hilal hampa. Hasrat untuk menatap sepasang mata hijau sekali lagi tidak kesampaian juga.
"Kalau itu keputusan tuan, kita tamatkan perbualan," putus Ruby.
"Okey, tak buat video call pun tak apa." Kelam-kabut Syed Hilal. Digugurkan permintaannya.
"Saya hang up dulu." Ruby tersenyum menikmati kemenangan.
"Eh, kan saya dah setuju!" Syed Hilal tersentak.
"Sepuluh minit aje atau kurang. Saya nak ambil buah dari dapur. Nanti kita sambung sembang."
Syed Hilal tersandar sebaik sahaja Ruby memutuskan talian. Jika dilihat kepada cara dan takrif kenal bagi Ruby, lamalah masa yang diperlukan untuk memperoleh kelayakan bagi sebuah pertemuan.
Setahun? Dua tahun? Lima tahun?
Panjang keluhan Syed Hilal.
Syed Hilal mencongak. Tinggal empat minit masa menunggu. Jadi apabila telefon bimbitnya berdering, laju tangannya mencapai.
"Assalamualaikum, bro! What's up? Aku called tadi tapi nombor kau engaged. SMS aku pun kau tak jawab. Kau bergayut dengan siapa?"
Jalal yang menelefon.
"Aku sibuk."
Syed Hilal menjeling ke arah jam.
"Aku nak tanya sama ada..."
"Lal, aku busy," pintas Syed Hilal.
"Sebab aku dah SMS tapi kau tak balaslah aku telefon ni."
"SMS lagi."
"Kau sibuk buat apa tengah-tengah malam?"
"SMS aje, Lal."
Tut...
Belum sempat Jalal melontar pertanyaan, talian telah diputuskan. Berkerut dahi Jalal.
"Anak Arab tu, kenapa? Kelam-kabut semacam. Senang-senang aje dia hang up. Tak boleh jadi!" Dengan dua langkah besar, Jalal telah berada di hadapan almari.
"Siap kau, Syed!" Sambil menyarung kemeja T, Jalal melangkah ke arah pintu.
Sementara itu di biliknya, Syed Hilal merenung telefon bimbit.
"Sorry, Lal. Aku tak nak terlambat call dia. Kami baru kenal. Kalau dia merajuk, macam mana?" Wajah Ruby memenuhi pandangan Syed Hilal.
Dum! Dum! Dum!
Terbeliak Syed Hilal apabila pintu biliknya digendang.
"Syed, aku ni!" Kedengaran suara Jalal.
Syed Hilal bingkas bangun. Nombor telefon Ruby baru didail. Pada masa itu pula Jalal bertandang.
Pintu yang terbuka memaparkan wajah serius juruterbang bersusuk tubuh besar tinggi itu. Telunjuknya tegak di hadapan bibir.
Jalal menganga.
"Assalamualaikum. Dah dapat fruit ration, cik?"
Cik? Syed bergayut dengan perempuan? Patutlah perangainya macam orang tak siuman! Suara lunak Syed Hilal menyebabkan Jalal geli-geleman.
Mendapati mata Syed Hilal mencerlung tajam, Jalal mengangkat tangan sebagai isyarat pengunduran. Mulutnya ditekup, mengekang ketawa daripada terbebas.
"Buatlah apa yang kau patut buat, Syed. Lain kali aku kacau."
Jalal ketawa terbahak-bahak dalam perjalanan pulang ke biliknya.
Siapalah mata air Syed? Setiap kali outing, mereka bersama. Tidak pernah Gong Kedak's most eligible bachelor itu bermain mata ataupun bercerita tentang kaum Hawa.
"Pandai Syed simpan rahsia!"
Jalal menggeleng.
Mungkin dia patut digelar penglipur lara. Hampir dua puluh minit dia mengisahkan perjalanannya dalam mengejar cita-cita. Namun hatinya berbunga. Ruby memberi perhatian bahkan sekali-sekala mengajukan soalan. Semakinlah dia bersemangat untuk berkongsikan pengalaman.
"Banyak jenis pesawat diguna semasa latihan asas penerbangan. Banyak juga pahit manis sepanjang latihan. Body touching perkara biasa. Bukan dicabul tapi bantai dan pukul. Dicap dengan kasut instructor pun ada. Pengalaman setiap juruterbang berbeza tapi pegangan kami sama. Either we lead, follow, or get the hell out of there," cerita Syed Hilal.
Ruby mengetap gigi.
Kasarnya!
"Dah lulus latihan penerbangan, baru dapat flight wing. Latihan combat wajib walaupun kami sentiasa di angkasa raya. Bengkak dan lebam akibat tumbukan, bibir pecah dan berdarah disebabkan tamparan, pinggang kebiru-biruan akibat cubitan, semua tu asam garam kehidupan. Belum masuk air mata yang tergenang akibat cacian dan makian serta telinga yang sesak dengan carutan. But pain is temporary. Pride is forever. Kesakitan dan penderitaan jadi dorongan untuk peningkatan," sambung Syed Hilal.
Kali ini Ruby yang tersandar di kepala katil tersenyum tawar.
Tuan tak tahu, pukul tampar makanan saya dulu. Dicekik sampai terbelahak pun pernah hanya kerana cubit lebih sikit ikan goreng. Nak bermewah, jauh sekali. Pakaian sekolah sepasang aje. Seminggu pakai baju dan tudung yang sama. Baju raya sampai senteng, tiga tahun baru berganti, sahut Ruby dalam hati.
Semasa anak lain dibelai ibu bapa, dia diganyang oleh ibu saudara. Kepada Sheikh Umar, Normah menayang pembahagian yang sama rata. Di belakang lelaki itu, semua kecuali satu bertukar menjadi milik anak emasnya.
"Latihannya pun dah bahaya, apa lagi kerjayanya."
Namun itu komen Ruby kepada Syed Hilal.
Sebiji lagi anggur disuap ke dalam mulut. Berbicara dengan juruterbang itu dapat mengurangkan stres dibambu oleh Normah dan Sara.
"Disiplin, keberanian, komitmen dan kerja berpasukan letak saya di tempat sekarang. Semua kerjaya ada risiko tersendiri, cik. Cuma bagi military air force pilot, risikonya lebih tinggi. Berbanding juruterbang pesawat komersial, kami lebih terdedah kepada kemalangan." Tenang suara Syed Hilal.
"Sebab pergi berperang?"
Tekaan naif Ruby mengundang ketawa pegawai tentera itu.
"Bukan itu saja. Dalam penerbangan komersial, kebanyakan keputusan penerbangan ditentukan oleh flight instrument system atau sistem auto-pilot. Tapi dalam tentera udara, lebih banyak keputusan di tangan juruterbang. Kawasan operasi pun berbeza. Penerbangan ketenteraan bukan setakat dari point A ke point B tapi lebih daripada itu. Kawasan operasi kami berisiko tinggi. Laluan kami bukan laluan rutin. Kedudukan musuh tak menentu."
"Oh..."
"Selain itu, kami terbang secara berkumpulan mengikut formasi pada aras rendah. Kebanyakan aerial acrobatics perlukan High-G manouvre. Semuanya tentang timing. Pertimbangan mesti tepat in every split second moves. Setiap keputusan either save or kill lifes. Semua tu perlukan kecekapan tinggi terutama semasa melalui ruang angkasa yang berkonflik."
"Dengar pun dah rasa susah."
Ruby teringat kepada pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh dengan misil semasa melalui ruang udara zon konflik bersenjata di timur Ukraine pada tahun 2014.
"Mengendalikan pesawat tentera berbeza daripada mengendalikan pesawat awam, cik. Juruterbang tentera adalah juruterbang perang. Kami kena ada ketahanan mental dan fizikal. Malah dalam kalangan pegawai ATM, juruterbang dikategorikan sebagai pegawai yang paling sihat. Kami kena capai taraf kesihatan tertinggi, A1G1Z1. Banyak ujian kesihatan dan ketahanan dilalui. Malah juruterbang jet pejuang macam saya wajib jalani ujian High-G Force, sejenis ujian graviti."
"A1G1Z1 tu, apa?" Ruby menganga.
Diminta bercerita sedikit, berjela penjelasan yang diberi kepadanya.
"Itu medical classification codes. A untuk Air (udara), G untuk Ground (darat) dan Z untuk Zone (zon), merangkumi regional dan fasiliti. Lebih rendah angkanya lebih bagus. A1 bermaksud kami fit untuk full flying duties. G1 bermaksud kami fit untuk full ground duties. Dan Z1, bermakna kami fit untuk bertugas di mana-mana tempat di dunia tak kira iklim dan cuaca."
"Oh, that kind of fitness!"
Ruby cuba membayangkan susuk tubuh lelaki itu.
"Aktiviti juruterbang TUDM pun tertakluk kepada undang-undang awam dan undang-undang tentera bahkan undang-undang antarabangsa. Tak semua orang tahan dikongkong macam kami," sambung Syed Hilal.
"Susah juga."
Ruby mengurut leher. Anggur yang ditelan terasa tersangkut.
"Memang macam tu. We train till we drop. The more we sweat in training, the less we bleed in war. Apa pun risikonya, saya puas. I am living my dream. Sumpah perwira dah dilaksana. Saya dah cap 10 jari. There is no regret and no turning back. Malah saya bersyukur kerana Tuhan makbulkan cita-cita saya sejak kecil."
Aduhai...
Ruby mengurut dada pula. Bersemangat sungguh wira di seberang talian sana.
"Ladiesman. Itu gelaran untuk juruterbang jet pejuang macam tuan, kan? Juruterbang komersial diminati ramai tapi fighter pilot, kegilaan."
"Saya tak perlukan perhatian wanita sedunia. Seorang dah cukup, yang saya cinta." Merah muka Syed Hilal. Mujur mereka tidak berhadapan.
"Anyway, juruterbang pesawat komersial pun ada kelebihan."
Ruby tertawa. Lelaki itu merendah diri orangnya. Daripada nada Syed Hilal, dia juga tahu lelaki itu malu.
"Janjikan saya sesuatu. Jaga diri tuan sewaktu di langit biru," bisik Ruby.
Syed Hilal terkedu.
"Kenapa cik minta macam tu?"
Alamak! Kenapa, ya? Ruby pula tergamam.
Mungkin... Kerana dia telah melalui banyak kehilangan.
Mungkinlah.
"Saya boleh berjanji kalau cik tarik balik permohonan cik untuk sertai PSSTLDM," bisik Syed Hilal.
"Kenapa saya kena buat macam tu?" Ruby tidak menyangka akan dikenakan syarat.
"Kenapa cik nak libatkan diri dalam battlefield?"
"Kekuatan dan kedaulatan negara pun terletak di bahu orang awam. Negara perlukan sumbangan tenaga daripada semua pihak tak kira darjat atau latar belakang," hujah Ruby.
"Tak semestinya sampai tumpahkan darah dan keringat. Tak perlu berulit dengan bullets and tanks atau bombs and missiles untuk buktikan."
"Tuan, boleh?"
"Saya lelaki."
"Ramai wanita sertai tentera."
"Jadi tak perlu lagi turut serta."
Mereka berbalas hujah dan bidasan.
"Cik, saya tak bermaksud untuk bersikap biadab." Syed Hilal merendahkan nadanya.
"Tapi disiplin tentera ketat. Latihannya keras, like hell. Bukan saja bermandi peluh tapi sampai huff and puff. Sampal berbonjol otot, timbul urat. Cik kena meet demanding tasks with no favouritism."
"Baguslah."
"Dijemur sampai berkilat, ditengking herdik, disergah jurulatih, cik sanggup?" Syed Hilal menggertak.
"Saya nak sertai pasukan simpanan, bukan nak jadi G.I. Jane atau join grup Gerak Khas. Kalau orang lain boleh, kenapa saya tidak? Saya mungkin tak ada kekuatan fizikal tapi bersemangat kental."
"Tak usah... Saya tak nak cik menyesal." Larangan bertukar menjadi rayuan.
"Tuan rasa saya tak mampu? Okey, kalau tak boleh join PSSTLDM, saya nak join PSSTUDM." Ruby mulai geram.
"Itu lagi tak boleh," larang Syed Hilal.
"Tuan ni sexist!" kecam Ruby.
Itukah motif sebenar lelaki itu menghubunginya, menghalang niat murninya?
Beruntunglah penuntut-penuntut universiti tempatan. Mereka berpeluang menganggotai pasukan simpanan sejak di institusi pengajian. Jika dia di tempat mereka, pasti dia sudah bergelar leftenan muda.
Saya yang tak nak menyesal, desah Syed Hilal dalam hati.
Awak head turner, Ruby. Awak akan curi tumpuan rekrut lain dan jurulatih. Bila fokus mereka terganggu, tumpuan awak juga terganggu. Awak akan jadi sasaran mengurat bagi yang terpikat, sasaran fitnah bagi yang berhasad.
"Cik, tolonglah jangan," suara Syed Hilal lagi.
Ruby diam.
"Kita masih tak boleh berjumpa? Selepas ni saya mungkin tak dapat hubungi cik buat sementara waktu. Saya nak ke suatu tempat yang agak jauh."
"Nope. Kalau macam tu, selamat berangkat." Ruby tidak berfikir dua kali untuk menjawab. Selain berpegang teguh kepada prinsipnya, dia bengang.
Terhembus keluhan Syed Hilal melepasi talian. Sikap tidak peduli Ruby menggores hatinya. Perbualan berakhir tidak lama kemudian. Kedua-duanya menyimpan rasa terkilan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro