Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 15

Mereka tiba di Johor Bahru pada sebelah petang. Selepas mempertimbangkan semua aspek, Syed Hilal mengambil keputusan untuk menempatkan Ruby di hotel. Pulai Spring Resort menjadi pilihan. Dia mahu menghadap walid dan uminya secara bersendirian. Jika semua berjalan dengan lancar, baru Ruby diperkenalkan.

"Nervous?" soal Syed Hilal semasa Ruby menghantarnya ke muka pintu.

"Why should I be? Sayakan isteri tentera. Mestilah kental jiwa raga."

"Good. I love your spirit."

Rambut Ruby yang berjuntai di dahi dikuak ke belakang oleh Syed Hilal.

"Awak balik tak malam ni?"

Ruby menyua bungkusan berisi keropok lekor losong dan lokum. Barang-barang kering yang tahan lebih lama sudah ada di dalam kenderaan.

"Mestilah. Susah nak tinggalkan awak. Sejak kita terserempak di Kem KD Sri Medini saya tak dapat lupakan. Selepas awak terduduk di atas riba saya, lagilah saya gila bayang." Syed Hilal mencuit dagu Ruby.

Percubaan Ruby untuk menekup mulut Syed Hilal gagal. Seperti biasa, pergelangan tangannya ditangkap. Malah dia yang malu apabila Syed Hilal mengucup telapak tangannya.

Bersabarlah, sayang, bisik Syed Hilal dalam hati. Biarpun Ruby menafi, dia tahu Ruby risau.

Sepanjang tiga minggu, bermacam-macam dilakukannya untuk menceriakan dan meredakan gemuruh Ruby. Hakikatnya, hatinya sendiri rawan.

"Ini melanggar etika dan tatasusila! Nak kahwin, bukan main hentam. Tak ada simulator macam belajar bawa kapal terbang!" Saadiah melenting apabila mengetahui perubahan status putera sulungnya. Bulat matanya, seperti mahu ditelannya Syed Hilal.

"Yah... Etika apa? Tatasusila apa?"

Syed Akram yang tersandar di kerusi urut OSIM U-Divine memanjangkan leher.

Reaksi Syed Akram tidak dipeduli. Sebaliknya Syed Hilal terus menjadi sasaran.

"Kenapa memandai-mandai? Kenapa tak menyempat-nyempat? Kita ada adat resam lebih-lebih lagi jemaah kita. Bukan macam orang barat, main redah aje! Moden, moden juga tapi adat mesti dijaga. Yang lama dikelek, yang baru didukung."

"Adat kan tak wajib, umi. Yang wajib, nikah," ujar Syed Hilal, lembut.

"Yang terburu-buru bernikah tu dah gatal sangat?"

"Umi... Hilal dah layak untuk berkahwin. Daripada segi ekonomi, mental dan fizikal, Hilal mampu. Berkeinginan, dah tentu. Itukan faktor kukuh untuk berumah tangga." Lunak suara Syed Hilal.

"Berkeinginan? Amboi!"

Saadiah menjeling. Berbara dadanya.

Syed Akram yang menatap akhbar tersenyum. Sebagai lelaki dia amat memahami maksud Syed Hilal.

Syed Hilal melutut. Dua lutut yang menampung berat tambahan selama sembilan bulan dia berada dalam kandungan dikucup. Kemudian direbahkan kepalanya di hujung riba Saadiah.

"Umi, ampunkan Hilal. Hilal mohon ihsan umi. Restuilah pernikahan Hilal dan Ruby."

Tangan Saadiah dicapai dan dicium. Itulah tangan yang membelai, merawat dan menyucikannya daripada najis dan kotoran tatkala yang lain jijik untuk melakukan.

Kemudian dengan dagunya bersanggakan lutut Saadiah, Syed Hilal mendongak, memandang wajah ratu hatinya.

Saadiah terus serius.

"Yah, Hilal tu dah besar panjang, tak perlu dikepit di celah ketiak. Daripada berlaku benda tak senonoh, lebih baik dihalalkan. Lagipun dia anak jantan," bela Syed Akram tanpa mengalih pandangan dari muka akhbar. Helaian baru akhbar diselak.

"Jantan sangatlah." Saadiah berpaling.

"Masalahnya bang, kita tak kenal budak perempuan tu. Tak tahu latar belakang dia."

"Sekarang juga Hilal boleh bawa Ruby ke sini dan kenalkan dengan umi," sahut Syed Hilal, bersemangat.

"Belum lagi!"

Lurus tangan Saadiah menujah angin. Hampir sahaja terkena pada muka Syed Hilal. Entah jurus apa dibuka.

Hal itu mengejutkan juruterbang itu. Syed Akram yang turut tersentak memberi isyarat agar Syed Hilal tidak membantah. Lebih baik menari mengikut tempo sang ratu. Mudah-mudahan apabila kehendak Saadiah diturut, hatinya lembut.

"Baiklah, Hilal tunggu sampai umi bersedia. Tapi umi janganlah marah lagi, nanti cepat tua," pujuk Syed Hilal.

Saadiah mendengus. Tetapi apabila Syed Hilal mempamerkan wajah manja, sedikit demi sedikit kepanasan hatinya lenyap.

"Nanti umi fikirkan."

Syed Hilal dan Syed Akram berbalas jelingan.

"Umi..." panggil Syed Hilal.

"Apa lagi?" Tinggi semula nada wanita bersanggul tegak itu.

"Terima kasih." Syed Hilal mengukir senyuman.

"Hilal... Hilal. Kelam-kabut jadinya." Syed Akram menggeleng.

Dengan tangan bertaut, Syed Hilal mencondongkan tubuhnya ke arah Syed Akram.

"Walid, Hilal minta maaf kalau Hilal screwed up everything. Mungkin kedengaran tak masuk akal, tapi tak dapat tidak Hilal mesti bernikah."

"Apa alasan Hilal?"

Syed Hilal mengeluh.

"Mungkin pada pandangan orang lain, Hilal terburu-buru. Tapi Hilal kenal diri Hilal. Hilal tahu bila Hilal dapat kawal diri dan bila Hilal hampir hilang kawalan. Hilal nak elakkan kejadian yang tak diingini. Banyak perkara berlaku sepanjang kami di Istanbul. Cukuplah Hilal cakap yang Hilal nak kami terhindar daripada dosa. Hilal nak lindungi dia dengan cara yang diredai-Nya."

"Lindungi? Jadi bodyguard?"

"So-so." Syed Hilal memberi isyarat tangan.

"Tapi memandangkan sekarang dah halal, Hilal jalankanlah tanggungjawab sebagai suami. Two in one." Syed Hilal tersipu.

"Apa yang two in one?"

Syed Hijaz muncul entah dari mana.

"Budak kecil tak boleh menyampuk." Syed Hilal menjeling.

Tanpa menghiraukan telatah dua beradik itu, Syed Akram menyambung soal siasat.

"Hilal jumpa dia dalam flight?"

"Kali pertama bersua muka, ya. Tapi sebelum tu kami pernah berhubung melalui telefon."

"Jumpa siapa? Ejen CIA? MI6? Mossad?" Syed Hijaz terpinga-pinga.

Syed Akram juga buat muka pelik.

Syed Hilal tergelak kecil.

"Hilal terserempak dengan dia di Kem KD Sri Medini pada hari Hilal balik dengan Jalal. Hilal yang perasankan dia. Dia tidak. Selepas tu Hilal contact dia, nak pulangkan barang dia. Hilal ajak dia keluar tapi dia menolak."

"Oh, dulu Hilal kena reject?" Terlepas ketawa Syed Akram.

"Walid ni gelak pula." Syed Hilal menjebik.

"Tapi mungkin Tuhan memang nak temukan kami. Kami sepesawat semasa ke Turki. Hilal tukar seats, duduk sebelah dia. Ada lelaki tua gatal kacau dia."

"Ini mesti pasal perempuan." Syed Hijaz bersila rapat di sebelah Syed Akram.

"Itu aksi Romeo. Surely after that you became her hero." Syed Akram mengangkat kening.

"Bukan sambil menyelam sambil minum air? Bila dah duduk sebelah, senang nak approach," rumus Syed Hijaz tanpa mengetahui siapa yang diperkata.

"Di mana Hilal belajar taktik tu?" Soalan yang seterusnya datang daripada Syed Akram.

"It must be in the genes," seloroh Syed Hilal.

Pecah ketawa Syed Akram.

"Tapi tadi Hilal kata nak menghindar dosa? Kenapa cakap macam tu?" Fokus dikembalikan kepada Syed Hilal.

Syed Hilal mengemam bibir.

"Answer me, hero. Hilal dah nak jadi bapa orang. Act like a man. Speak like a man. Tengok Jaz ni, bocor aje mulut dia." Syed Akram mengerling ke arah Syed Hijaz.

"Hilal tak biasalah cakap tentang benda macam ni." Syed Hilal tunduk.

"Kembang jarak, kembang jagung. Berani buat, berani tanggung. Speak up," desak Syed Akram.

"Hilal takut terlanjur."

Syed Hilal memakukan pandangannya ke lantai.

"Dengan perempuan lain Hilal tak pernah rasa apa-apa, tapi dia..." Syed Hilal memejamkan mata.

Bulat mata Syed Hijaz. Tinggi rupa-rupanya rating isu yang dibincangkan.

Syed Akram sebaliknya tenang. Cuma matanya yang berhiaskan alis yang lurus dan lebat itu terkelip-kelip.

"Nak pula dia terima lamaran Hilal?" Topik sebelum itu tidak dipanjangkan. Maklumat lain dicungkil.

"Abang Hilal nak kahwin?" Syed Hijaz melopong.

"Alhamdulillah, semuanya dengan izin Allah. Kata orang putih, luck is where preparation meets opportunity." Syed Hilal tersenyum tanpa mengangkat muka. Soalan adiknya diabaikan.

Syed Akram mengangguk. Segaris senyuman tipis tergaris pada wajahnya yang matang.

Syed Hilal pula tersenyum senang. Walidnya seperti seorang kawan.

"Walid tak kesah Hilal bernikah bahkan walid lagi suka. Bertambah seorang lagi ahli keluarga kita. Masalahnya, umi Hilal. Hilal pun tahu kalau tak diikut kehendaknya, memanjang bisingnya. Silap gaya dengan walid pun dia memuncung." Bebola mata Syed Akram terarah ke tangga.

Kedengaran bunyi kelentang-kelentung dari arah dapur. Saadiah sedang bersilat di bawah sana.

"Abang Hilal dah bernikah?" Tinggi suara Syed Hijaz.

"Shhh!"

Telunjuk Syed Hilal dan Syed Akram terpacak di hadapan bibir masing-masing.

Syed Hilal faham. Sebagai wanita Melayu Johor sejati yang dibesarkan dalam keluarga pegawai tinggi Askar Timbalan Setia Negeri Johor, banyak adab dan tatasusila sudah sebati dengan Saadiah. Mujur walidnya seorang yang tidak banyak cerita, mudah diajak berbincang dan berfikiran terbuka.

"Walid selalu cakap jihad terbesar bagi seorang Muslim adalah melawan nafsu sendiri. Pernikahan Hilal sebahagian daripada tu." Syed Hilal resah.

"Beginilah." Terlepas keluhan kecil daripada mulut Syed Akram.

"Kata Nabi pun, taati ibumu lebih daripada ayahmu. Beri masa untuk umi Hilal cool down. Walid akan pujuk dia. Hilal balik dulu. Tak elok tinggalkan isteri sendirian kalau tak ada keperluan. Apa-apa perkembangan, walid maklumkan."

"Siapa nama menantu walid?" Syed Akram menepuk bahu Syed Hilal.

"Ruby Haya," bisik Syed Hilal seraya mengerling ke arah Syed Hijaz.

Ternyata adiknya itu memasang telinga. Tidak cukup dengan mata yang dibesarkan, kepalanya ditelengkan.

"Eleh, nanti Jaz tahu juga."

Syed Hijaz menjebik apabila gagal menangkap nama yang dibidik.

Syed Hilal juga menjebik. Sambil bangun, telinga Syed Hijaz dijentik.

"Jumpa umi sebelum balik," pesan Syed Akram semasa Syed Hilal bersalam dengannya.

"Baiklah, walid. Jazakallahu Khairan."

Syed Hilal mengucup tangan, pipi, kemudian memeluk lelaki itu. Kalau Saadiah ibarat ratunya, Syed Akram pula rajanya. Dia amat menyanjung dan menyayangi walidnya.

"Wa Ilayka."

Syed Akram membalas dengan memegang kepala dan mencium kedua-dua belah pipi Syed Hilal.

"Macam mana?" tanya Ruby sebaik sahaja membuka pintu. Tangan Syed Hilal diraih dan dikucup.

"Okey, tapi kita kena tunggu. Mereka nak buat persiapan sambut menantu." Syed Hilal tersenyum.

Tidak salah apa dikata cuma persiapan yang dimaksudkan melibatkan penerimaan uminya.

"Alhamdulillah." Ruby menarik nafas lega.

"Awak nak minum?" tanyanya selepas bertanyakan khabar orang tua Syed Hilal.

"Tak apa, maghrib pun dah nak masuk. Selepas solat kita ke JPO. Saya nak bawa awak makan di Kafe George And Dragon."

"Dragon lagi!"

Terbeliak Ruby.

"Nasi Mandy tu, Yah tak bekalkan Hilal?" soal Syed Akram semasa dia dan Saadiah berada di dalam kamar.

"Buat apa? Kan Hilal dah jamah," balas Saadiah.

"Tak baik macam tu. Yang di sana kan menantu," pujuk Syed Akram. Ada tanda tidak puas hati dalam nada isterinya. Dia cam sangat.

"Yah dah niat nak sedekah kepada Carrine sebelah. Orang gaji dia kan ramai." Saadiah mengelak daripada memandang Syed Akram.

Syed Akram menghela nafas panjang kemudian melepaskannya perlahan-lahan.

"Yah, berilah Hilal peluang. Dalam institusi undang-undang dan kehakiman, penjenayah besar pun diberi peluang untuk bela diri," pujuk Syed Akram.

"Entah siapa yang Hilal heret masuk ke dalam keluarga ni," dengus Saadiah.

"Jangan macam ni. Bersangka baiklah supaya hati lapang dan tenang. Fikirkan yang baik-baik, lafazkan yang baik, minta yang baik-baik. Semoga semuanya nanti baik," nasihat Syed Akram.

"Tapi Hilal kahwin dengan orang luar jemaah kita."

"Abang ni kahwin dengan Yah?"

"Abang lain."

"Isy, lain macam mana? Sama aje anatominya."

"Abang ni ke situ pula." Gurauan Syed Akram diambil serius oleh Saadiah.

"Jangan fikir susah. Budak-budak tu dah suka, kita permudahkan aje. Dah halal pun."

"Suka ya, abang?"

"Mestilah, dapat menantu. Maknanya tak lama lagi kita akan dapat cucu."

Syed Akram mulai membayangkan sepasang kaki kecil berlari-lari di dalam rumah itu.

"Yah takkan tenang selagi belum tahu macam mana budak perempuan tu," dengus Saadiah.

"Jadi, tunggu apa lagi? Lagi cepat jumpa, lebih cepat terurai persoalan tu," cucuk Syed Akram.

Saadiah terdiam.

Melihat Ruby menikmati makanan dengan penuh selera buat Syed Hilal terharu. Kalau diikutkan hatinya yang gusar, dia tidak lalu makan. Tetapi, dipaksa dirinya menelan.

Dia risaukan Saadiah. Sudikah uminya itu merestui mereka?

Apa yang berlaku pada lewat malam itu sepatutnya menyebabkan dia keletihan dan tidur mati. Namun selepas sejam Syed Hilal masih terkebil-kebil memerhatikan Ruby. Kemudian perlahan-lahan dia meninggalkan katil dan beransur ke bilik air.

Setengah jam kemudian, Syed Hilal telah bersedia dalam pakaian sembahyang. Dalam keheningan malam, solat-solat sunat didirikan. Dalam sujudnya, dia berdoa panjang.

Satu pesanan teks diterima pada lewat subuh.

Assalamualaikum, soldier.

Mission accomplished.

Bawa tawanan mejar makan tengah hari dengan pegawai-pegawai atasan hari ini. Bawa beg sekali. Bermalam di Wisma Ratu Saadiah.

Arahan daripada,

Superwalid.

Alhamdulillah. Hampir sahaja Syed Hilal tertawa.

"Walid, terima kasih banyak," bisiknya. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro