Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 12

Ruby tercengang memandang sekeliling. Dia berada di sebuah rumah nan asing. Aminya membawa dia terus ke situ usai urusan bagasi selepas mereka mendarat di sebuah lapangan terbang.

Tidak jauh dari Ruby, dua orang dewasa sedang berhadapan. Suasana tegang, tidak ubah seperti semasa dia berkunjung ke sebuah rumah panjang.

"Kenapa angkut dia ke sini?" Wanita yang berdiri menghadap Sheikh Umar menyinga.

"Ruby bukan orang lain, Mah. Anak buah kita. Darah daging abang. Selaku bapa saudara dan wali asnab, abang bertanggungjawab ke atasnya," bela Sheikh Umar.

"Wali atau tidak, dia anak pungut! Anak kotor! Untuk budak macam dia, ini makanannya!" Normah mengangkat tangan.

"Jangan!" Ruby menjerit.

"Astaghfirullah."

Syed Hilal terjaga.

"Ruby, kenapa?" Ruby yang menggelisah diurut dadanya. Mata isterinya itu terpejam rapat.

Apabila Syed Hilal mengusap kepala Ruby, tangannya basah dengan peluh.

Syed Hilal membaca beberapa potong ayat suci lalu menghembusnya ke ubun-ubun Ruby.

"Ya Allah, saya mengigau."

Ruby terjaga dalam keadaan mencungap. Lengan sasa Syed Hilal dipaut.

"Baring dekat saya." Syed Hilal memalingkan tubuh Ruby ke arahnya. Jam loceng elektronik hotel dikerling.

"Tak apa, saya nak ke tandas. Jumper saya, mana?"

Ruby tercari-cari pakaian luarnya itu.

"Saya gantung di dalam almari semasa ke tandas tadi."

"Macam mana saya nak keluar dari selimut? Baju saya tipis." Ruby memeluk tubuh.

Buat kali pertama pada hari itu, pua kumbu yang biasa menemaninya disimpan di dalam almari.

"Pakai ni."

Syed Hilal menanggalkan Byford innerwear putih berlengan pendek yang membalut tubuh atasnya.

Ruby sekaku patung cendana semasa pakaian itu disarungkan kepadanya. Khayal seketika dia dengan adunan bau tubuh Syed Hilal dan bau wangian Fahrenheit By Dior yang melekat pada innerwear.

Selepas menghadiahkan Ruby kucupan, Syed Hilal berbaring semula. Selimut ditarik ke paras dada. Ruby diperhati dengan tangan di belakang kepala.

"Awak okey?" Syed Hilal disoal.

Terselit rasa bersalah dalam hati Ruby. Dengan dua lapis pakaian, tubuhnya terasa lebih hangat meskipun dua orang Ruby Haya boleh muat di dalam sehelai innerwear Syed Hilal.

"Duvet ada. Demi isteri, suami berkorban apa saja." Syed Hilal mengenyit mata.

Besar sangatlah pengorbanan dia. Ruby menjeling. Timbul niat untuk menduga.

Dilitupkan tubuhnya dengan duvet sebelum mengengsot ke tepi katil. Apabila dia bangun, selimut tebal itu diheret.

"Ruby, janganlah macam ni." Syed Hilal memeluk tubuh.

Kedinginan menyengat kulit yang terdedah. Pemanas hawa telah dimatikan semasa dia ke tandas beberapa jam yang lepas.

"Tadi kata sanggup berkorban."

Dengan wajah selamba Ruby menghampiri tingkap. Night curtain diselak.

"Ya, tapi janganlah kedekut. Beri saya duvet." Syed Hilal mengejar. Tangannya terus menutup bahagian atas tubuh.

Ruby mengenjat apabila didakap. Ternaik bahunya apabila telinganya pula digigit.

Aslanku... Singaku... Jangan baham diriku, rayunya dalam kalbu.

Mudah bagi Syed Hilal untuk merampas kembali duvet tetapi bukan resminya berkasar dengan spesies yang dijadikan Tuhan dengan penuh kelembutan.

"Macam mana nak berkongsi kalau saya terkunci?"

Ruby mengintai dengan ekor mata. Sudah tentu dia rasa bersalah. Dengan posisi mereka, ketaran tubuh Syed Hilal dirasa.

"Sorry."

Syed Hilal merungkaikan pelukan.

Biarpun membuka balutan selimut, Ruby masih memegang erat fabrik itu.

"Ruby, saya tak senakal awak, tak larikan duvet."

Syed Hilal yang perasan akan hal itu tersenyum.

"Janji?"

"Hmmm."

Jelingan curiga Ruby dibalas dengan kucupan pada mata.

Ruby mengalah akhirnya.

"Perkahwinan bukan saja tentang penerimaan tapi tentang perkongsian dan saling melengkapkan. Berkongsi suka dan duka. Berkongsi kelebihan dan kekurangan. Berkongsi duvet dan kehangatan." Syed Hilal mengemaskan balutan duvet pada tubuh mereka sekali gus mengeratkan pelukan.

Ruby terbatuk kecil. Disebabkan sehelai duvet, dia ditarbiahkan.

Di luar, kubah dan menara Hagia Sophia kelihatan keemasan.

"Cantik, kan?"

Ruby merenung ke luar tingkap.

"Subhanallah, Istanbul memang cantik. Napoleon Bonarparte pernah berkata, jika bumi sebuah negara, Istanbul patut menjadi ibu negaranya." Syed Hilal turut memandang ke arah yang sama.

"Tapi, isteri saya lebih cantik. Head to toe. Inside out." Syed Hilal tunduk.

"Setakat kenal beberapa hari, tak cukup kenal hati nurani. Membodek demi duvetlah ni." Ruby menyandarkan kepalanya pada dada Syed Hilal.

Syed Hilal tersenyum. Keharuman rambut Ruby dihirup dalam.

"Dah nak masuk waktu subuh, saya rasa. Awak mandi dulu, selepas tu saya. Nanti kita solat sama-sama."

Ruby terpejam kala ubun-ubunnya disinggahi bibir Syed Hilal. Lama.

Tepat jangkaan lelaki itu. Tidak lama kemudian kedengaran laungan azan dari Masjid Biru, bersahut-sahutan dengan masjid lain.

Mendapati Ruby kembali berbalut dengan duvet, Syed Hilal menggeleng. Selepas bersolat subuh, dia ke bilik air untuk bercukur dan bersalin pakaian. Tidak disangkanya Ruby menyambung tidur.

Katil didekati. Melihat wajah mulus yang lena, rasa kantuk yang bersisa lenyap bak kabus dibaham suria.

"Assalamualaikum."

Tiada jawapan.

Syed Hilal rebah. Kepalanya mendarat di atas bantal yang sama. Rambut Ruby dicium-cium.

"Janganlah kacau..."

Ruby menggeliat kecil. Kelopak matanya terasa amat berat. Luar biasa lesunya.

"Jawab dulu salam."

"Mmm... Waalaikumussalam. Awal sangat awak bangun," rengek Ruby tanpa membuka mata.

"Early to bed, early to rise, makes a man healthy and wise. Tortilla wrap gergasi ni sarapan saya? Kebetulan saya perlu pulihkan tenaga," usik Syed Hilal.

Breakfast dia?

Serta-merta kelopak mata Ruby terbuka. Bantal yang dipeluk dibanting ke tubuh nan sasa.

Dengan mudah bantal itu bertukar tangan.

Ruby mencapai sebiji lagi bantal.

Kejadian yang sama berulang. Dalam masa tidak sampai setengah minit, semua bantal dan kusyen telah dirampas oleh Syed Hilal.

Bertangan kosong, bahu Syed Hilal pula ditampar. Namun sebelum tiba di sasaran, tangan Ruby ditangkap.

"Nak ke mana hari ini?"

Ruby terpejam apabila telapak tangannya dikucup.

Syed Hilal mengintai dari celah jari Ruby. Kemudian kepala Ruby dipanggung dan dirapatkan ke dadanya.

"Mmph-mmph-mmph." Kedengaran suara menggumam.

"Apa?"

"Prince Island," ulang Ruby sebaik sahaja Syed Hilal menjarakkan diri.

Syed Hilal tersenyum. Nasib baik tidak lemas isteri comelnya itu tadi.

"As you wish, sweetie." Ruby didakap kembali.

Sekali jatuh ke riba, terus jatuh cinta. I shall handle this precious Ruby with utmost care.

Azam ditanam, janji disulam oleh Syed Hilal.

Prince Island terdiri daripada rangkaian sembilan buah pulau. Dua daripadanya langsung tidak dihuni kerana hanya terdiri daripada batu-batan. Destinasi mereka adalah pulau yang pernah dijadikan penjara pesalah dan orang buangan seperti Pulau Alcatraz di San Francisco, Amerika Syarikat dan Pulau If di Marseille, Perancis.

Syed Hilal dan Ruby tiba di jeti pulau terbesar Prince Island selepas lebih sejam perjalanan dengan feri penumpang. Ketibaan mereka disambut oleh banyak kucing termasuk burung camar dan burung-burung laut yang lain.

Beberapa kali Ruby mencicit lari kerana dihambat kucing yang menagih makanan menyebabkan Syed Hilal tidak kering gusi ketawa.

"Ruby, Prince Island ni macam Pulau Aoshima di Jepun, penuh dengan kucing."

"Kenapa tak cakap awal-awal?"

"Awak tak tanya." Syed Hilal menyeringai.

Semasa bersiar-siar berhampiran jeti, mereka singgah di kedai bunga dan barangan cenderahati.

"For my lovely lady."

Ruby sedang leka membelek fridge magnet semasa Syed Hilal meletak mahkota bunga di atas kepalanya.

Subhanallah. Divine beauty. Syed Hilal ralit memandang.

"Hilal, malulah, macam ratu Greek purba." Ruby menanggalkannya.

"Nak malu apa? Allah turunkan keberkatan bila suami isteri berkasih-sayang. Eloklah tergoda dengan isteri sendiri daripada dengan perempuan lain." Syed Hilal menuntun tangan Ruby ke kepala semula, mengembalikan mahkota bunga ke kedudukannya.

Ruby merenung juruterbang tinggi itu sekejap.

"Okey, awak pun pakai." Sesuatu dicari untuk Syed Hilal. Beria-ia dia memilih.

"Aha! Leaf crown ni sesuai dengan awak! Syed Hilal Aslan Caesar, kan?"

Akhirnya ditemui padanan buat lelaki itu.

Syed Hilal mengundur.

"Haip, jangan lari!"

Ruby meraih lengan Syed Hilal. Tertenjet-tenjet dia menempatkan mahkota pilihan.

"Hands off!" Tangan lelaki itu dijentik semasa cuba menanggalkan mahkota daun.

"Macam King Tranduil dalam filem The Hobbitlah pula." Ruby kemudian tersengih mengamati penampilan baru Syed Hilal.

Stres pegawai tentera itu.

"Jangan rakam." Syed Hilal melindungi mukanya.

Semakin dirayu, semakin galak Ruby mengacah dengan kamera.

Akhirnya kerenah Ruby diturutkan. Demi isteri, suami berkorban.

"Ten lira!"

Dalam riang tawa pasangan yang sedang hangat bercinta, terselit suara nyaring penjual mahkota.

Bersiar-siar mengelilingi pulau dengan kereta kuda antara aktiviti yang termasuk dalam pakej lawatan.

"Bau apa yang semacam ni?" Semasa menginjak ke atas kereta kuda, Ruby menggenyeh hidung.

"Barang dalam tu."

Syed Hilal memuncung ke arah karung yang tergantung di belakang kuda. Sebuah kereta kuda ditarik oleh dua ekor kuda.

"Eeew!" Ruby terbeliak. Tahi kuda rupa-rupanya.

"Kalau tak dibuat macam tu, bertabur atas jalan raya." Syed Hilal ketawa.

"Ho-ho-ho!"

Pemandu kereta kuda melibas cambuk.

Perjalanan bermula di lorong-lorong kecil di pekan pulau. Seperti biasa, Ruby dengan kameranya. Buah-buahan Mediterranean segar berwarna terang di para luar kedai, ikan hidup hasil pancingan yang terlompat-lompat di dalam besen dan pelbagai jeruk di dalam balang kaca antara yang dirakam.

Mereka kemudian merentasi kawasan rumah percutian musim panas yang lengang. Sepanjang perjalanan, mereka bertembung dengan beberapa buah kereta kuda lain termasuk penunggang basikal. Ada tiga cara untuk mengelilingi pulau itu iaitu dengan kereta kuda, basikal dan berjalan kaki.

"Fotoğraflamak (Ambil gambar)!"

Pemandu kereta kuda menghentikan kereta kuda di bahu jalan di sebuah kawasan redup yang dinaungi pepohon kayu di puncak bukit.

"Kita ada lima minit." Syed Hilal meloncat turun.

"Mana cukup."

"Pemandu kereta kuda nak rebut giliran. Macam pemandu teksi juga. Tak apa, kalau ada masa kita sewa basikal." Syed Hilal berpaling.

Melihat Ruby masih berkira-kira untuk turun, Syed Hilal menggeleng.

"Kalau beginilah anggota PASKAU semasa nak abseiling dari helikopter, berlubang badan ditembusi peluru musuh." Dengan satu langkah besar dan sekali jangkau, Ruby dicempung oleh Syed Hilal.

Terkejut, Ruby memaut tengkuk Syed Hilal dengan agak kuat. Dapat dirasanya kemantapan otot tengkuk dan bahu lelaki itu.

Jangan sesekali melawan Syed Hilal Aslan secara fizikal. Itu pengajaran yang diperoleh oleh Ruby.

Bercakap tentang pasukan elit tentera udara mengingatkan Syed Hilal kepada sesuatu.

"Masya-Allah, saya terlupa. Sehari selepas kita tiba di Malaysia, ada majlis makan malam beradat dengan komander pangkalan udara. Saya kena maklumkan yang saya datang dengan pasangan." Bahu Ruby disentuh.

Kembali ke Malaysia bermakna kembali ke alam realiti. Banyak yang menanti.

"Pasangan apa?"

"Ruby, awak kan isteri saya. Mestilah pergi bersama."

"Alamak, macam tu ke? Saya tak ada proper attire." Ruby risau.

Majlis makan malam beradat kedengaran gah dan hebat.

"Tak apa, nanti kita singgah di KL sebelum ke Gong Kedak. Kita cari baju awak." Syed Hilal mengelus bahu Ruby.

"Ehem!"

Pemandu kereta kuda yang sudah bertenggek di tempat duduknya memberi isyarat.

"Alamak, pak cik tu dah sound!"

Syed Hilal dan Ruby menyeringai. Kelam-kabut mereka merakam gambar kenangan. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro