Prolog II
Yasmin Qawlah Azwar
Abah lelaki pertama aku
Lelaki ini leluhur aku. Sayangnya, wanita yang dicintai, yang dipilih menjadi belahan jiwanya, tak pernah memiliki hati sebening pagi. Suatu ketika, abah mungkin menakluki tubuh mama, tapi abah tak pernah memiliki sukmanya. Maka lahirlah aku, anak yang hilang separuh jiwa. Aku, anak yang kontang kasih mama tatkala mama berselingkuh. Mama mencari kekayaan dunia, sedang abah kekal kaya jiwa.
Aku direbut mama tapi menjelang usia separuh matang ini, aku jadi tak betah.
Wahai hati, tabahlah engkau. Jujurlah aku pada abah! Aku menjadi pilu memandang abah bersandar di katil sambil kakinya berlunjur.
"Abah jangan marah kalau Yasmin tak mahu duduk dengan mama."
"Tiap saat, tiap detik, nama Yasmin, semangat Yasmin, roh Yasmin, dalam solat, doa dan zikir abah."
Aku teguk liur yang kering.
"Jaga diri Yasmin."
Abah memeluk aku. Terasa tubuhnya susut sejak sekian lama kami tak bertemu. Ada gelombang kecil nafas yang naik turun. Lengannya semakin kuat mendakap tatkala air mata aku membuat bahu abah basah.
"Jangan nangis, Yasmin. Kita doa sama-sama. Satu hari, semua ni berakhir dengan baik. Pandang abah..."
Abah membuat aku semakin teresak. Pilu, sebak dan hampa berbaur dalam jiwa.
"Pandang muka abah, Yasmin."
Mata aku semakin kabur dengan air mata, aku paksa diri merenung abah.
"Yasmin kena yakin. Allah S.W.T yang tentukan semuanya nanti. Kalau kita terpisah sekarang, bukan sebab musibah orang. Tapi memang takdir Tuhan yang tentukan. Sama-sama doa, satu hari... Sampai masanya, kita akan bersatu semula. Abah ada Yasmin. Yasmin ada abah. Percaya tu."
Aku terasa diri berpusar dalam kenangan masa silam. Sewaktu aku masih bersama-sama abah. Bersama-sama mama.
"Kita tak boleh kembali pada masa lalu tapi kita boleh berdoa untuk masa depan kita."
Abah! Itu saja yang aku mampu ucapkan. Wajahnya tetap jernih dan tenang tatkala terpaksa mengharungi segala keperitan. Abah dan aku terpisah kerana cinta hati abah berselingkuh. Ya, mama berpaling cinta. Tapi abah tak pernah memburuk-burukkan mama. Aku renung mata redup abah. Semoga aku seperti abah, kuat dan tabah. Semoga aku mempunyai mata hati abah yang memandang segenap kehidupan ini sebagai perkara yang baik-baik saja. Abah tak pernah bersangka buruk.
"Pergilah, Yasmin. Takut nanti ada yang tahu Yasmin ke sini."
"Abah macam mana?"
"Abah boleh urus diri abah sendiri. Pergilah. Ingat pesan abah. Cari Raid Arjuna. Jangan sampai orang lain tahu. Kad akses tu dua orang aje yang ada. Yasmin dengan Gambit."
Aku terkelu mendengar pesan abah. Aku ambil kad hijau dalam bekas kad berwarna perak berkerawang.
Aku buka depan abah. Kad hijau itu aku sentuh. Tekstur mewahnya memesrai jari aku. Tulisannya bertinta emas.
"Pergi sekarang, Yasmin. Ingat pesan abah. Ingat laluan-laluan yang abah ceritakan tadi. Dengan izin Allah, Raid aje yang boleh beri perlindungan pada Yasmin. Abah dah fikirkan hal ni sejak dulu. Apapun jadi, habiskan pengajian tu. Raid akan uruskan semua."
"Abah bayar Raid untuk semua ni?"
"Tak." Tegas suara abah. Aku terus terdiam.
"Raid tak pandang duit sikit pun. Raid ikhlas bantu kita."
"Sebab?" Aku tak dapat mengawal mulut. Hidup aku semenjak abah dan mama berpisah, penuh prasangka.
Aku tak berapa yakin dengan jawapan abah. Amat sukar untuk aku mempercayai orang luar.
"Kata Raid, ini jihad untuk bangsanya."
Aku sekali lagi terasa rengkung aku kesat. Tak banyak yang aku tahu tentang Raid. Tapi sebelum aku lolos dari penjara mama, sejak akhir-akhir ini aku sering mendapat pesanan rahsia daripada abah. Mak Munah yang bisikkan pada aku kalau ada khabar daripada abah.
Aku bukan minah bunga. Di balkoni aku penuh dengan pokok kaktus sebetulnya. Saja tanam kaktus penuh ruang. Jadi tak adalah yang sibuk-sibuk nak mengintai aku di bilik. Tiba-tiba aje Mak Munah akan hulurkan aku dua pasu pokok kekwa putih. Sumpah aku pandang jengkel. Dah kenapa bagi aku sampai dua pasu?
"Berseri sikit kalau ada pokok bunga. Ni tanam kaktus aje... Kucing nak tumpang mengawan dekat sini pun takut. Kalau tersangkut kaki, mahu koyak kena duri kaktus."
Aku yang selalunya lurus bendul, berkerut memandang Mak Munah. Apa hal pemurah sangat Mak Munah nak belikan aku pokok bunga?
Tapi sebelum aku bertanya, tiba-tiba Mak Munah berbisik. "Nanti Yasmin keluarkan pokok tu dari pasu. Koyakkan beg poli hitam tu, ya."
Errr... Apa hal ni? Tak sempat aku bertanya Mak Munah sudah ghaib dari pandangan. Aku mulakan operasi selongkar pasu lewat dinihari. Berderau darah aku apabila jumpa kad dengan tulisan tangan abah. Siap bersampul plastik. Semua pesanan abah mulai saat itu singgah secara rahsia ke tangan aku melalui pokok bunga.
Kalau ada masalah, cari Raid. Kalau ditakdirkan umur abah tak panjang, cari Raid. Raid Arjuna.
Itu pesanan abah yang terakhir. Pesanan membuat aku tekad membawa diri. Biarlah aku dituduh jadi anak derhaka asalkan Tuhan dan abah tahu apa sebenarnya yang berlaku. Aku tekad. Aku menyusup keluar bertemu abah. Now or never.
Kebetulan mama dan current husband dia sedang outstation. Aku tahu nasib aku tak tentu lagi. Tapi tak mengapa kalau aku kehilangan semua. Setidak-tidaknya aku masih ada Allah s.w.t. Tambah sayu hati aku apabila mendapat tahu Mak Munah tak fasal-fasal sudah dipecat.
Terbayang wajah lembut Mak Munah yang menjadi pembantu mama. Dia yang selalu menenangkan aku. Teringat-ingat lembut bujukan Mak Munah, kalau aku marah-marah.
"Sabarlah, Yasmin. Dugaan kita tak sama. Mak Munah ni orang susah. Hidup ni setakat cukup makan, cukup pakai aje. Mak Munah kena kerja kuat sampai ke tua. Yasmin cukup segala-gala. Tapi ini dugaan Yasmin. Allah bagi lebih duit ringgit, Allah uji Yasmin dengan kasih sayang."
Terasa berpasir mata aku setiap kali aku menghadam kata-kata Mak Munah.
Tapi aku tak pernah terfikir perjalanan yang harus aku harungi ini penuh kerikil berliku.
Langit malam semakin tua. Aku tekad jumpa abah. Aku tahu mungkin ada yang mengekori. Atau ada yang menunggu di mana-mana simpang dan bakal mencekup aku. Tapi aku tak peduli.
Jumpa abah sendiri dalam keadaan curi-curi. Terhendap-hendap aku mahu ke rumah abah. Malang sungguh rasa hidup apabila diri terasa tidak sempurna. Aku menangis tak henti dalam dakapan abah. Rindu sangat-sangat pada abah. Rindu keluarga yang lengkap macam orang lain.
"Abah tak makan langsung ke?" Aku jengah periuk nasi kecil. Nasi sudah sejuk. Aku angkat tudung saji. Lauk ikan singgang dengan sambal belacan tampak tak terusik.
"Lauk pagi tadi. Abah rasa dedar badan. Tekak pahit."
"Nak makan bubur? Ni ada telur masin, ada kangkung, ada bilis, lobak asin pun ada... Sedap makan bubur panas. Sambal kering pun ada sikit dalam botol tu." Aku selongkar peti sejuk abah dan terus pantas masakkan abah bubur nasi.
Sempat aku makan bubur nasi bersama-sama abah. Sambil berbual tak sedar abah makan dua kali tambah. Terlupa sekejap segala masalah yang bikin serabut perut. Tapi apabila abah mula memandang jam, aku jadi sayu. Aku faham maksud abah. Aku tak ada banyak masa. Nescafe panas yang aku hidangkan pun terasa sejuk dingin di tekak aku.
"Pergilah, Yasmin. Serah diri pada Allah, yakin pada Allah, Allah lindungi Yasmin. Abah bubuh nama Yasmin ada Qawlah sebab abah mahu anak abah berani. Abah mahu semangat srikandi Islam, Qawlah Azwar, menyerap dalam diri Yasmin. Pergilah... Raid ada tu tunggu Yasmin." Aku mendakap abah sebelum pergi. Sebak menusuk ke kalbu hati. Abah mencium aku berkali-kali di ubun-ubun kepala.
"Abah minta maaf, sayang. Kalau tak sebab abah bercerai dengan mama, semua ni takkan jadi. Hidup kita sama-sama susah sebab ni."
Berderai air mata aku mendengar lafaz kata abah. Siapalah kami untuk menolak takdir? Tapi itu bukan bererti aku reda dengan segala kemungkaran di depan mata.
Terjinjit-jinjit aku keluar dari pagar rumah abah. Kenderaan Grab mengambil aku pada pukul dua pagi. Abah dah pesan siap-siap. Berhenti di jalan Forest Canopy Park. Kemudian dari situ, aku bergerak sendiri.
"Cik nak ke mana tadi?"
Huh! Driver Grab ni dah kenapa? Berapa kali aku nak sebut!
"Forest Canopy Park."
Lelaki separuh umur itu dapat kulihat riaknya. Seperti tidak yakin.
"Dah pagi ni. Mana ada sesiapa kawasan tu. Lagipun situ bertutup."
"Saya tunggu bapa saya di situ. Bapa saya jemput saya di situ."
Banyak sangat soal, jadinya aku berbohong. Kemudian dia terus memandu dan kami senyap. Lorong-lorong dan laluan di wilayah ini banyak yang berselimut sunyi. Bermimpi rembulan jingga barangkali. Mungkin juga lelah berjaga mengejar survival hidup siang hari.
Saat hendak menelefon abah, aku kaget. Panggilan aku terputus-putus sebelum terus hilang bunyi. Kecurigaan aku semakin menjadi-jadi.
Telefon aku yang tadi termati tiba-tiba berdering. Sumpah aku tersentak. Malam-malam buta begini, sendirian di tempat asing, degup curiga mula menikam.
"Kau nak ke mana?"
Shit!
Itu suara pembantu mama, Yeop.
"Kau jawab, Yasmin. Kalau tak mahu kepala abah kau bersepai."
Aku menggeletar. Dalam gigitan angin peluh luruh dari segenap liang roma aku. Jantan bangsat ni memang tak guna! Memang anjing mama aku!
Aku bercangkung dan kemudian pantas membuka isi perut telefon aku. Kad sim aku cabut. Aku buang dalam longkang. Kemudian aku terus berlari bagai dikejar hantu nan halimunan.
Aku hanya menjadikan bangunan-bangunan tinggi sebagai landmark. Memang kota raya ini kelihatan bergemerlapan waktu begini. Cahaya neon berserakan membangkit pesona kota, tapi entah mengapa suara Yeop berdesir-desir di telinga aku. Aku terasa hati ini bagai dicakar-cakar mendengar suara itu.
Cari bangunan yang merimbun menghijau sekelilingnya. Pesan abah, itulah satu-satunya bangunan tinggi yang dipagari jajaran pokok di tengah-tengah hutan konkrit. Aku ikut belah kiri. Dari kiri, kira langkah 70 meter, belok ke belakang. Kira dan pada tiang besar ke-17, masuk ke laluan tu. Ikut tangga kecil yang tersorok. Kemudian masuk pintu yang dirimbuni pohon melilit haruman kesidang yang berjambak-jambak bunganya. Tunjukkan kad hijau. Penyambut tetamu akan panggilkan orang yang bernama Gambit atau Noah. Dia di emper, dunia ciptaannya sendiri.
Kepala aku ligat mengingatkan pesan abah. Banyak sangat angka tujuh yang harus kuhafal.
Aku tak tahu mengapa, dalam tercungap-cungap mencari cahaya, meredah titik pekat malam, aku ternampak-nampak kelibat dua lelaki mengekori aku. Tiga kali terjelepok jatuh dan dua kali aku terpaksa menyorok di balik tong hijau sampah. Sempat aku termuntah air masam.
"Mana betina tu?"
"Tadi ada..."
"Phuiii... Macam belut dia lolos!"
"Nak cari ke macam mana ni?"
"Esoklah... Kita tahu dia nak ke mana. Tak jauh dia pergi."
"Kalau dia kabur?"
"Dia kutip kepala bapak dia!"
Allahu! Aku berceratuk memeluk diri menahan ketar. Allah! Allah! Allah! Aku pejam mata. Angin dingin, bawakan doa aku untuk abah ke langit tertinggi!
"Macam mana dia hilang ni! Signal kita terus tak nampak!"
"Dia baraikan telefon kut!"
"Betina ni tak pandai umur baru setahun jagung! Tunggu kita baraikan dia. Kita baraikan bapak dia!"
Bergaung suara itu melantun-lantun dalam gelap.
Aku puas menahan detak jantung! Aku ketap bibir rapat-rapat.
Aku terasa-rasa ada benda merayap-rayap di celah lengan dan kaki aku. Entah lipas entah tikus. Busuk sampah melantung baunya.
Bunyi derap kasut semakin menjauh.
Syukur! Aku bertindak ikut gerak hati!
Suara itu semakin sayup dan lama-lama hilang. Aku sempat memejamkan mata. Bukan lelap tapi memikirkan seribu onak yang menanti. Cari Raid! Cari Raid.
Selepas yakin tiada sesiapa yang mengekori, aku terpontang-panting berlari dengan kiraan langkah, tiang dan tangga yang abah dah pesan. Aku tak tahu saat itu entah takut, entah terlalu berani. Aku menangis dalam lencun peluh.
Allah! Kenapa payahnya hidup aku?
Sampai di anjung hotel, aku terpegun lima saat. Hilang lelah aku menyerap segala kehijauan sekeliling hotel ini. Air terjun di kiri dan kanan hotel itu seperti memujuk hati yang hangat, meniup kedinginan dalam jiwa.
Aku menuju ke bahagian penyambut tetamu. Aku hulurkan kad hijau keramat itu. Perempuan itu menyambutnya dengan senyum manis dan aku sendiri bergelut untuk bertenang.
"Sebentar ya... Tunggu Tuan Gambit datang."
Aku tawakal. Siapa Gambit pun aku tak tahu. Aku tak mampu menyorokkan wajah pucat tatkala Gambit pertama kali aku temui.
"Mari. Yasmin, ikut aku." Dalam takut-takut, aku akur juga.
Kepala aku terasa berpusing-pusing.
Tekak terasa kering. Penat. Letih.
Aku melangkah lesu. Mengekori Gambit yang memasuki ruang kaunter penyambut tetamu. Subhanallah, di sebalik dinding yang terbentang nama dan logo hotel, ada pintu rahsia. Pintu lif sebetulnya. Sebelum itu Gambit menekapkan ibu jarinya pada satu kotak mesin pengimbas. Barulah pintu terbuka.
Aku semakin kagum berbaur bingung.
"Jom cepat!" tegur Gambit apabila melihat aku dengan muka tercangak-cangak. Kaki melangkah kagum dan kemudian aku terasa berdesup, berdengung dan bagai ada libasan angin menaiki lif itu sebelum ia terbuka ke satu ruang yang sangat luar biasa dekornya.
Harum segar dedaun hijau dan wangi melur, cempaka dan kenanga mengapungkan aroma di segenap ruang. Hotel ini memang umpama rimba di kayangan. Hijau dan wangi di mana-mana.
Tatkala lif terbuka, aku tak mampu bertahan. Aku sudah terasa gelap mata. Ya, aku terjelepok tanpa sedar siapa yang mencempung aku.
"Assalamualaikum, Yasmin."
Entah berapa lama aku pitam, aku tak sedar. Tapi apabila terjaga dengan kepala yang masih mencengkam sakitnya, aku terpanar melihat lelaki di hadapan aku.
"Waalaikumussalam... Raid Arjuna?"
Aku gagahkan diri membalas salam. Jantung berdebar usah dikata.
Dia tersenyum dan mengangguk. Aku cuba bangun dan berdiri dari perbaringan di sofa. Astaghfirullah, aku terjatuh sekali lagi. Ya, kali ini memang aku rebah di lengan Raid. Malunya aku!
"Kau ni, nak buat lasak! Tapi lembik. Rehat dulu."
Dia kemudian mengarahkan lelaki yang dipanggil Gambit memberi aku air glukos.
"Gambit, nanti tunjukkan bilik mandi. Kau minta orang di lobi sediakan baju untuk dia. Bau hamis sampah budak Yasmin ni." Aku termalu mendengar arahan Raid.
Ya Allah, siapa dia ni? Duduk di emper yang lebih tepat sebenarnya di puncak teratas bangunan itu. Penuh rahsia. Kabur dengan misteri. Siapa Raid?
Dalam aku berangan, dia mendekati aku. "Aku tak mudah percaya orang. Tapi sekali kau beri kesetiaan, aku akan gantikan kesetiaan kau dengan seluruh hidup aku."
Lembut menikam kata-katanya.
Aku diam mengangguk. Saat selepas itu menjadi sejarah aku dengan Raid. Ya, takdir menemukan kami. Takdir juga menjadikan aku umpama bunga orkid hutan yang lasak diasuh Raid.
Betullah kata abah! Raid tak pernah mengungkit jauh sekali meminta balasan segala kebaikannya. Ya, ini jihad dia kepada bangsa.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro