Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Prolog I

Datin Naila

Kau menyimpan rahsia, aku mengepung ketakutan

Aku nak jumpa. Rindu! Di Pavilion Peak. Kau sebut diri kau Nefertiti. Kata mahu jumpa Mangkubumi. Kau akan dihantar ke bilik aku. Aku ada tiga hari saja di sini mulai hari ini. Jangan telefon!

Gerimis petang mengguyur saat aku menerima mesej itu. Sesaat guruh menjerit, kemudian reda. Tak lama kemudian, langit kembali bertempik. Seperti sama mengejek aku. Hati aku berbolak-balik. Pergi atau tidak? Jumpa atau lupakan saja?

Antara akal nan waras, aku kalah pada rindu. Aku tak peduli apa yang bakal merintang di hadapan. Ya, aku putuskan untuk bertemu dia, Mangkubumi. Yang sejak dahulu lagi sentiasa menjadi yang pertama dalam hati aku.

"Aku minta maaf, Naila." Itu dulu yang terbit dari bibirnya saat kami bertemu.

"Kau tak bersalah. Ini cita-cita kau. Aku sentiasa ada untuk kau."

"Aku rindu pada kau. Sungguh! Aku rindu." Dia mendekati aku. Tanpa sedikit aku membantah.

Langkahnya menghampiri aku dan terus merangkul pinggang. Aku biarkan saja perlakuannya. Kami sama-sama rindu.

"Kau tak menyesal nanti kalau cerita kita merosakkan nama kau? Kau bakal Mangkubumi. Bukan ke lebih baik kita diam dahulu? Aku tak mahu peluang kau rosak disebabkan aku."

Sebenarnya aku menguji dia. Aku mahu melihat sejauh mana cinta dia pada aku.

"Naila, kalau aku terpaksa lucutkan segala jawatan ini... Demi kau, aku sanggup!"

Aku terkesima. Aku menatap matanya dalam-dalam. Aku terasa diri terawang-awangan.

"Aku perlukan wanita yang sempurna untuk aku. Wanita sempurna itu lambang kehebatan lelaki. Siang dia mampu mendampingi rakan-rakan aku. Mampu berhujah, mempertahankan aku. Tapi malamnya, aku bayangkan wanita yang serba tangkas, penuh visi itu mampu memberi aku syurga. Dan, kaulah wanita itu, Naila!"

Aku gementar dalam girang.

"Kau ambil risiko, Adnan!"

"Aku bersumpah, Naila. Aku sanggup hilang bintang-bintang kebesaran di dada aku ini hanya untuk kau."

Aku kemudian tenggelam dalam asyiknya kasih sayang. Aku terasa mahu menangis tapi lelaki itu pantas memujuk aku.

"Kau tak percaya aku?"

Aku tertunduk. Bukan tak percaya tapi ada ketika perasaan ini bergelora.

"Tutup mata engkau. Hulurkan tangan."

Aku mendongak kehairanan.

"Cepat. Tutup mata tu."

Aku pejamkan mata dan terasa tangan kiri aku diraihnya.

Aku dapat rasakan, ada gelang tangan yang dipakaikan padaku.

"Buka mata."

Gosh! Aku terpaku merenung gelang bertatah berlian yang sedang melingkar pada pergelangan tangan.

"Aku tempah khas. Sepatutnya yang asal kepala panther. Aku minta buatkan ilusi Nefertiti. Lambang kuasa, lambang kemewahan... Dan aku ukir sesuatu di situ."

Pantas aku membelek.

Adnan – Naila – Love – Master – Slave – Eternity

"Terima kasih, sayang! Kau pemilik cinta aku. Selama-lamanya, cinta aku ini milik kau."

"Untuk tu, aku minta kau bersabar. Boleh, bukan? Sampai berapa lama, aku tak pasti. Tapi aku percaya, kau boleh menunggu! Aku janji, kalau cinta kita bersatu, aku tunaikan apa saja yang kau mahu."

Belum sempat aku menjawab, dia mengucup dahi aku.

Aku terdiam. Kalaulah dia tahu, hidup dan mati aku hanya mengejar cinta daripadanya. Dalam masa yang sama, aku tak mahu terlalu mendesak. Aku percaya, wanita yang hebat sanggup beralah demi memastikan lelaki yang dipujanya berjaya di puncak dunia.

"Tak mengapa kalau kita terpisah sementara. Kau hanya perlu percayakan aku. Cinta kita bukan sia-sia."

Wajahnya dengan wajah aku hanya berjarak sejangkauan tangan. Dia mengucup lembut dahi aku.

"Aku tetap akan mengambil engkau sebagai isteri, biar apapun terjadi."

"Dan kau?"

"Kita yang menentukan takdir kita sendiri."

"Maksud kau?" Aku tiba-tiba jadi dungu tapi hati meronta ingin memeluk dirinya.

"Kau beri aku masa untuk selesaikan semuanya. Aku urus hal aku, kau urus hal kau. Kita akan bersama bila tiba saatnya. Apapun keadaannya, kalau kita berjauhan, itu kerana aku harus menjaga formality aku. Aku harus menjaga protokol aku. Tapi percayalah, ke mana pun aku berada, kau saja yang menyimpan ghairah aku."

Aku meneguk liur dalam-dalam.

Adnan mendekati aku. Lelaki yang dilingkungi haruman sitrus pudina itu membuatkan aku semakin berdebar-debar. Susuknya begitu sasa di mata aku, gesture tubuhnya sentiasa membuat aku berasa selamat dalam pelukannya. Dan tentu sekali aku selalu merindui bau tubuhnya.

Dia di hadapan aku dan menyentuh pipi aku.

"Kau boleh bertahan, bukan? Rahsiakan dahulu identiti kau."

"Apa saja untuk kau, aku sanggup, Adnan. Tipu kalau aku kata aku tak terseksa. Tapi untuk cinta, aku sanggup apa saja."

Tangan kasarnya menyusuri pipi aku, mengusap dahi aku sebelum dia menarik aku ke dadanya. Desah nafasnya menyentuh ubun-ubun aku.

"Terima kasih, Naila! Terima kasih, sayang." Dia mengucup aku berkali-kali.

Aku terus diam tanpa reaksi tapi akulah wanita paling bahagia.

"Kita tak boleh jumpa selalu. Aku tak bebas macam dulu. Aku tak boleh menyelinap sesuka hati aku bertemu dengan kau."

Aku angguk walau terasa mahu menangis semahunya.

"Kalau cinta ini menuntut masa yang panjang, kau sanggup?" Oh, dia selalu menguji aku. Tentu saja aku mengangguk. Entah berapa lama aku dalam pelukannya, aku tak sedar. Yang jelas aku tenang dan bahagia apabila membiarkan diri menumpang hangat tubuhnya.

Tiba-tiba telefon satelitnya berbunyi. Aku bangkit dari ranjang dengan selimut yang masih di tubuh. Aku fikir mahu mematikan panggilan tatkala Adnan sedang lena. Tapi aku silap. Dia pantas dan siaga tatkala mendengar panggilan itu. Aku perhatikan saja dia di sebelah.

Jari telunjuknya memberi isyarat diam pada bibir sementara dia menekan butang Loudspeaker.

"Bos, Puan Halida datang... Dia dalam perjalanan." Pegawai ajutan dengan nada cemas memberi amaran. Aku tergamam. Luruh jantung aku memandang Adnan. Kalaulah boleh, aku mahu menjawab bagi pihak Adnan. Aku mahu menghalang dia pergi.

"Dia tak ke vila?"

"Tak jadi, bos. Katanya mahu terus ke sini."

"Huh! Berapa lama lagi sampai?"

"Lagi sejam, bos!"

"Okey, tunggu arahan. Kejap lagi naik ke sini. Carikan bilik lain dan pindahkan Naila."

"Baik, bos!"

Aku memandang wajah Adnan dengan seribu rasa kecewa.

"I love you, sayang. Aku tak peduli berapa rumit keadaan ini, aku tetap mahukan kau!" Dia memeluk aku dan mengucup aku, buat bekal untuk kami berpisah.

Aku menangis dan terus menangis apabila diminta mengemas pakaian. Marah, kecewa, semuanya berbaur menjadi satu tatkala aku menghumbankan semua lingerie dan haruman aku ke dalam bagasi kecil aku. Seperti yang diminta, ajutan Adnan muncul di depan pintu.

"Silakan, puan. Ikut saya."

Aku terpaksa akur. Air mata berderai. Tangan sasanya mengangkat kemas beg pakaian aku. Perasaan aku pilu memandangnya. Adnan sendiri pura-pura berubah watak. Menjadi serius dan tegas.

"Saya pergi, bos." Adnan hanya mengangguk tanpa sebarang kata. Aku mencuri pandangnya dengan ekor mata. Bertambah hancur rasa hati apabila dia membiar aku pergi tanpa sebarang kata. Tatkala aku melangkah keluar, aku hanya mendengar suara dia menelefon Nik Halida.

"Dah nak sampai, sayang? Oh, kenapa tak beritahu? Okey, I tunggu you."

Aku terasa mahu menjerit. Aku terasa mahu bertempik. Dulu aku selalu anggap, cinta itu indah dan mengasyikkan seperti saat hujan yang lebat.

Saat aku sendirian mahu turun ke lounge untuk melayan jiwa nan kacau, langkah aku terhenti, mata aku terus tertangkap kelibat-kelibat di hujung lif sebelah sana.

Hujan terus menderas di luar. Di pekarangan hotel, beberapa buah kereta bercermin gelap berderetan berhenti. Pegawai-pegawai peribadi pengiring yang berkemeja hitam, berkaca mata hitam kelihatan sibuk menunggu.

Gerak hati aku tepat. Aku tak mampu mengangkat muka tatkala ternampak susuk tubuh lelaki yang aku cintai itu. Adnan yang segak berkot berjalan pantas menuju ke kereta. Dan aku nampak, di kereta pula ada lambaian menggamitnya.

Oh, wanita itu! Pesaing aku! Adnan pantas menuju ke arahnya tanpa menyedari aku di satu sudut ini. Aku rentung di sini biar hujan menggila di luar.

Adnan memeluk dan mengucup dahi Nik Halida. Aku terus mengalih pandangan. Tak mahu aku lihat yang lain-lain. Tahu-tahu deretan kereta bercermin gelap bersama segerombolan pegawai pengiring yang menaiki big bike sudah berdesup pergi.

Dingin dan deras. Aku terbayang saat kami berpelukan waktu hujan turun di kota kembang Bandung satu ketika dahulu. Aku lupa, selebat-lebat hujan, seketika saja musimnya. Akan reda apabila langit cerah. Tapi hati aku memujuk. Sabar. Aku kena kerja keras untuk cinta aku. Aku kena tabah demi memberi peluang buat Adnan mencapai cita-citanya.

Dia rahsia aku. Lelaki itu dan cintanya, rahsia aku. Rahsia yang tersembunyi indah dalam syurga kasih terlarang ini.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro