Bab 9
Yasmin Qawlah Azwar
Tubuh merah saga, batin meraung amarah
Pernah tahu rasa hampa yang keterlaluan sehingga engkau hilang segala deria rasa? Kecewa, marah, geram, benci, semuanya kau gaulkan menjadi satu dan kemudian kau perahkan dengan cuka, asid dan limau! Itulah rasa hati aku sekarang.
Kami sampai dan dentuman senjata itu sudah meledak. Berkali-kali. Aku ulang ya, berkali-kali. Bukan sekali.
"Ambil position masing-masing. Jangan buat apa-apa dulu. Tunggu arahan. Perhatikan kalau ada gerakan suspek. Ekori suspek yang mencurigakan." Melalui earpiece, aku dapat mendengar jelas arahan Dato Khan.
"Yasmin dengan team, stay put."
Itu suara Tedung. Oh, aku benci arahan yang begini. Terasa macam bodoh dan jadi patung cendana.
Dari jauh aku dapat lihat dengan jelas, lapan orang lelaki sasa dengan pakaian taktikal, lengkap bersenjata, melompat gesit dari kenderaan hitam yang serba gelap cerminnya.
"Move! Move!" Salah seorang anggota bersenjata yang bertopeng itu menjerit. Semua yang ada di situ gempar.
Huh! Drama! Kau rancang, kau bunuh, kau kawal keadaan. Acah-acah kau pengaman! Manusia bangsat. Aku tak tahu entah berapa guni aku sumpah seranah.
Satu wilayah havoc. Semua jadi tergamam dengan berita Sheikh Aali ditembak berkali-kali di tempat parkir kereta berhadapan sebuah pusat perubatan.
Lewat petang, kami kembali berkumpul di perkampungan rahsia kami. Petang itu kami pulang ke sarang dengan rasa sebal. Aku dapat lihat wajah sugul Tedung. Mata layu Dato Khan menceritakan segala gelora hatinya.
"Kita dibezakan dengan 30 saat. Kita lewat 30 saat." Dato Khan masih lagi dihambat rasa bersalah.
"Kalaulah..." Aku masih lagi rasa sebal dan terkilan. Perkataan kalau berlegar sepanjang waktu di dalam kepala aku. Huh!
"Kita dah usaha. Sudah tertulis, ajalnya begitu. Kita bukan sesiapa untuk menghalang janji Tuhan."
Tedung cuba menenangkan.
"Cuma 30 saat aje! Kita terlepas yang 30 saat tu!" dengus Dato Khan. Aku memandangnya dengan penuh simpati. Aku faham rasa itu. Sebab aku sendiri sedang mengunyah rasa itu dengan penuh hambar jiwa. Di meja Dato Khan, aku lihat sudah ada tiga cawan kertas kopi segera. Petanda dia sedang serabut perut. Kopi menjadi penenang.
"Jangan beralah. Tugas kita makin genting dan berat." Tedung menepuk bahu sahabatnya itu.
Aku memandang sambil memahami tamsilan resah diri kedua-dua ketua aku ini. Lazimnya baik Tedung atau Dato Khan, cepat saja panas baran. Sukar dibaca dan ditelah, angin mereka. Tapi kejadian siang tadi membuktikan mereka masih manusia biasa. Mereka masih punya hati nan halus dan perasaan yang luhur. Masih bernafas dengan kemanusiaan.
Mereka gagal siang tadi tapi mereka masih boleh reda. Aku tak menjangkakan begini. Awal tadi, masing-masing dalam team kami sudah bersedia untuk menerima maki hamun dari bos.
Semua serabut kepala dan semak perut memikirkan saat pembentangan. Saat post-mortem yang dibuat amat menyeksakan. Kadang-kadang aku rasa, diri sendiri, otak sendiri yang dilapah! Kami bakal membuat laporan terperinci kes siang tadi. Saat selepas solat maghrib akan jadi penentuan. Silap hari bulan, ada antara kami yang akan diterajang keluar dari team rahsia ini.
Maka waktu sesingkat ini semua harus bertungkus lumus dengan report masing-masing. Markas rahsia besar ini, seperti biasa, riuh dengan dengungan percakapan, interaksi telefon yang tentunya dari dalam dan luar negara.
Segunungan dokumen di atas meja memberi isyarat, kami ada setimbun kerja yang perlu diselesai. Lewat atau teranjak deadline bererti banyak misi tergendala. Earphone yang melingkar di telinga, cukup membuatkan kami terasa pekak dan tuli pada hal sekeliling kami sendiri. Mata saja sudah berpinar menghadap skrin komputer.
Sedang semua tekun dengan hal masing-masing, tiba-tiba Dato Khan melalui interkom memberi perintah.
"Guys! Tengok ini!"
Laporan Buletin Negara terpampang di skrin besar hadapan kami. Tidak berkelip semua yang memandang. Tedung sendiri berpeluk tubuh menontonnya. Aku yang mendengar terasa loya. Mata yang memandang terasa bagai ditusuk selumbar. Gosh! Kenapa ada manusia begini?
"Saya gesa pihak bertanggungjawab memulakan siasatan terhadap kes pembunuhan aktivis korporat merangkap penasihat kewangan Bank Saudi yang dibunuh mati pada siang hari tadi. Saya mahu siasatan yang segera dan telus. Khabar angin yang bertiup harus dibuktikan. Jangan sampai menjadi fitnah. Ini penting untuk menentukan sama ada pembunuhan itu ada kaitan atau tidak dengan Infinity. Buat keluarga Sheikh Aali, kami mengucapkan takziah. Semoga seluruh ahli keluarga bersabar dengan ujian ini. Saya difahamkan anak lelaki beliau masih dirawat. Kami akan pastikan anaknya itu mendapat pembelaan dan rawatan yang terbaik."
Amat bersahaja DA memberi kenyataan akhbar.
"Perkara ini kita pandang serius. Kejadian berlaku berhampiran dengan laluan orang ramai untuk parkir kereta di hospital. Saya mendapat maklumat yang menunjukkan penjenayah sudah memantau mangsa 500 meter dari tempat kejadian iaitu di bulatan utama sebelum kita menghampiri hospital berkenaan. Ini bagai memberi isyarat yang kita tidak boleh berkompromi dengan keselamatan orang awam. Ini laluan hospital. Kejadian yang berlaku amat dikesali."
"Gila! Mamat ni dia punya tahap keyakinan, dia punya selamba tunjuk muka suci dan tak bersalah tu memang luar biasalah!"
Menyembur juga akhirnya carutan Tedung terhadap DA.
"Kita kena watch out, jangan sampai anak Sheikh Aali pula jadi arwah."
"Ada orang kita yang standby di sana, bos."
"Siapa?"
"Zeus!" balas Dato Khan.
"Minta dia beri laporan setiap dua jam. Semua pergerakan kena kita awasi. Dapatkan blueprint hospital yang tempatkan anak Sheikh Aali."
"Athena, get me the blueprint!" perintah Dato Khan. Gadis yang menjaga bahagian kawalan maklumat itu pantas mengangguk.
Seperti aku jangka, perbincangan kami berlarutan sampai lewat malam. Aku tak tahu unit mana lagi yang dikerah oleh Tedung. Tapi yang pasti, sampai tahap lubang sampah di tingkat teratas hospital itu turut diawasi oleh orang-orang naga merah ini.
"Kita tak mahu lagi ada yang lolos. Jangan datang pada aku kata tukang sapu sampah, tukang kutip sampah yang bawa lari anak arwah Sheikh Aali."
Bunyinya macam lucu tapi aku tahu Tedung semakin melahar api kemarahannya. Untuk misi kali ini, dia tak mahu ada sebarang kesilapan kecil.
"Kita dah hilang nyawa Sheikh Aali, jangan sampai keluarga dia terkorban." Suara itu perlahan tapi menusuk jiwa kami yang mendengar.
Kami semua mengangguk tanda setuju dan faham.
Selesai operasi berkawal di setiap penjuru hospital dan semua laluan hospital. Aku diarah masuk ke bilik Tedung. Rupa-rupanya team Cobra di sini. Si anak-anak ular, Cobra 1, Cobra 2, Cobra 3, Cobra 4 dan Cobra 5 semuanya ada sekali.
"Kita ada misi."
Aku mendongak memandang bos. Dato Khan yang ada di sisi.
"Risikan kita dah bagi maklumat dan data. Menyamai dengan apa yang kita siasat. Benda ni dah dirancang awal. Sheikh Aali jadi mangsa bunuh selepas transaksi ke akaun DA dibuat. Gerbang Helang Corp khabarnya menjadi laluan rahsia bagi wang sebanyak AS$764,040,414 untuk duduk diam-diam dalam akaun DA. Gerbang Helang Corp itu sebetulnya Prince Joni, balaci belaan DA. Bukan orang tak tahu, tindak-tanduk dia sebetulnya atas arahan DA. Entah apa-apa nama syarikat jerung muncul. Semuanya atas kertas. DA keluarkan arahan, Prince Joni tukang laksana. Di hadapan khalayak, DA memang terserlah sebagai lelaki budiman. Tampak sangat penyayang dan memahami. Hidup dan matanya umpama untuk membantu sesama insan. Sebab tu ditubuhkan Infinity, projek mega kebanggaan tujuh keturunan kononnya. Tapi itu cuma untuk tembolok tujuh keturunan DA, Datin Naila, Prince Joni, Datuk Taufan, Datuk Syed Ehsan... Anak-anak yang bebal macam Syed Badrul."
Satu nafas saja ucapan Tedung. Aku tumpang mendidih rasa pada dada.
"Konco-konco ni yang songlap duit kita semua. Atas nama pembangunan. Entah berapa banyak aset kita yang dah tergadai. Entah berapa banyak lagi deal yang bakal menyebabkan kita jadi Pak Pandir, menang sorak kampung tergadai. Kita jadi Lebai Malang, gunakan agama, untuk kelabu mata rakyat. Semua duit yang ada ditarik masuk ke Infinity. Atas nama pelaburan untuk negara. Tapi kemudiannya lesap. Projek ke mana... Kantung kroni yang makin membuncit."
Tedung terus menghala ke arah skrin jernih di hadapan kami. Dia menunjukkan angka-angka yang telah lolos ke akaun DA. Beberapa carta lain muncul. Pergerakan dan aliran wang dari aset kerajaan.
Kebencian aku terasa semakin memuncak perasaan. Apalah jenis manusia DA ini? Ke mana akal engkau wahai DA? Manusia bacul yang sanggup menggadaikan apa saja termasuk maruah, cinta dan kesucian hati hanya kerana nafsu. Serakahnya pada negara, pada harta dan pada wanita memang luar biasa.
Tiba-tiba foto fit seorang lelaki yang berjambang dan satu lagi tanpa berjambang serta botak, muncul di skrin. Terpampang besar.
"Ini dia! Orang kita dah dapat."
"Pembunuh Sheikh Aali?" Spontan mulut aku bertanya.
"Ya. Ini orangnya yang kita tengok mundar-mandir dalam rakaman sebelum kejadian bunuh."
"Oh..." Aku gagal mengawal bibir dari berbunyi.
"Jangan tanya dia di mana. Itu rahsia. Yang penting... Kau, Yasmin, Khan... Sama-sama dengan geng Cobra, ada tugas."
Mata Tedung mencerlang memandang aku.
"Ya, tuan!" Pantas aku menjawab. Bahang semakin dirasai. Aku seperti melihat julangan api merah, marak menyala dari mata Tedung.
"Kita tunggu Zeus. Kena standby. Dari risikan, DA dengan orang-orang dia akan tinggalkan Sorga Nefertiti. Kita tengah pastikan waktu dan tarikhnya. Kita akan menyelinap masuk ke sana."
Mata aku semakin membulat.
"Kita ada misi mencari dokumen penting yang tersimpan di sana. Kita mesti dapatkan fail merah tu. Semua maklumat dan data penting segala hal seleweng duit, salah guna kuasa, kontrak-kontrak yang tak sah, yang ditandatangan di luar negara, ada pada fail merah."
Meremang bulu roma aku mendengarnya. Tengkuk terasa merinding.
"Yasmin, are you ready for this?" Tedung tiba-tiba menyergah. Mungkin dapat melihat wajah aku yang tampak melayang entah ke mana.
"Ya, bos!"
"Ada masalah?"
"Semuanya okey, bos!"
Bos kemudian menekan butang pembesar suara. Skrin besar di hadapan kami berubah menjadi gelap bagai langit dengan gumpalan awan mendung. Lama aku mengamati. Memang bayangan langit nan gelita. Tiba-tiba muncul cahaya merah nan berbalam-balam memenuhi skrin sebelum ada lintasan cerah pancaran kilat yang amat menyilaukan.
Bunyi berdesing dan berdesit saling bertingkah nyaring. Berdengking sungguh dan amat menyakitkan gegendang. Dan kami yang ada di kamar rahsia ini terus terpaku menanti sesuatu. Aku tahu ada perkara besar yang mahu dikongsi Tedung dengan kami.
Setiap saat terasa bergerak perlahan. Bunyi aneh dan bergaung itu terus menyergah kami. Talian juga bagai terputus-putus. Bagai ada sesuatu yang amat rahsia menanti kami. Aku dan team Cobra saling berpandangan. Pancaran kilat dan kilau menyambar mata. Kami terus terpanar dan gamam sambil terus menanti. Ada sesuatu di sebalik skrin. Ada susuk yang berbayang di hadapan kami.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro