Bab 7
Yasmin Qawlah Azwar
Debarnya jiwa, melerai isyarat rahsia
Malam yang semakin larut, pasti seisi penghuni alam semua sudah hanyut dengan mimpi tapi aku masih menggodek komputer. Penat, sakit belikat dan rasa pedih mata tak usah cakap. Ya, stres. Tapi macam biasa, untuk pujuk hati, aku akan sebut #ilovemyjob depan Dato Khan. Tak pedulilah kalau orang kata nak membodek. Itu ayat sedapkan hati sendiri bila rasa nak gegar skrin komputer, rasa nak humban keyboard. Software tulisan jawi ini memang selalu buat aku serabut.
Untuk Op Nefertiti, memang kami guna software tulisan jawi. Bunyi aneh, tapi bila big bos Tedung sudah berbunyi, team kami diam dan akur.
"Ramai yang buta jawi sekarang. Kita pun bukan pakai alif sampai ya. Kita terbalik-terbalikkan kod. Kita punya urutan tu random. Kena orang mahir matematik, mahir fizik untuk faham kod kita. Kalau tak buat macam ni, macam mana kita nak hantar maklumat, macam mana kita nak kelirukan musuh, nak buat kacau sistem perisian, buat havoc pada radar orang sana."
Itu bebel Tedung kalau ada yang sudah mula sangkut dagu pada telapak tangan depan komputer. Macam biasa, aku anak buah yang taat dan punya misi tersendiri untuk Op Nefertiti ini diam dan mengangguk macam burung belatuk.
Kalau anda terdengar bunyi aneh-aneh dalam bahasa asing atau mencarut-carut melalui peralatan elektronik anda... Ketahuilah bahawa aku, yeayyy... Software tulisan jawi aku sedang bekerja keras lagi tangkas dan licik, menggodam orang di sana.
Sebetulnya sudah seminggu aku terkurung dalam bangunan ini. Siapa pun tak akan menyangka, di tengah-tengah hutan rimba yang disimpan dalam kota ini, akan ada tempat kami membuat latihan, risikan dan persediaan rapi untuk operasi baru kami.
Sosok bangunan ini jauh sekali dari mencakar langit, ia menuruni lima aras di bawah tanah. Kalau tiada kekuatan mental, memang aku mengaku, boleh jadi gila tidak melihat langit. Entah bila malam bergilir dengan siang, entah ada matahari, entah ada bulan tergantung di puncak bumi, kami tetap dengan rutin kami.
Selalunya aku dengan Dato Khan, kalau tiada di lapangan, kami berkurung di HQ. Tapi kali ini arahan bos besar, Datuk Nur Lukman Si Tedung, kami harus berkampung di sini.
"Op Nefertiti perlu kita lebih berawas. Jangan sampai pihak sana tahu kalian dari team MyJebat. Sekali terbocor, punah semua." Itu yang berkali-kali Tedung tegaskan pada kami. Sewaktu di meja makan tadi, aku cuma menguruskan kerja aku. Entah apa yang dibual dengan Dato Khan.
"Melangkah dalam senyap, berlari tanpa desah angin. Kita tak boleh tersilap. Kumpulkan segala bahan bukti. Nefertiti memang bayangan zaman firaun yang zalim." Tedung selalu memberi kata-kata semangat. Lelaki itu sebenarnya sentiasa tenang biar sosok wajahnya bengis.
Dia sememangnya terlahir sebagai lelaki separuh usia yang sejati, meskipun gurauannya kadang berlebihan dan tidak pada tempatnya. Siapa yang kenal Tedung tentu arif, dia tangkas membelokkan kata-katanya. Darah dalam tubuhnya likat dengan semangat juang dan patriotik. Kalau diajak berbual, lawan bicaranya sendiri akan terkesima dan terpesona. Akulah antara orang yang akan terlopong mendengar pengalamannya.
Entah kenapa, aku rasa aneh perasaan ini apabila mendepani Op Nefertiti. Aku menyertai National Security Intelligence Service - yang disebut orang sebagai MyJebat ini, bukannya baru. Sudah lima operasi aku bersama-sama mereka.
Tapi untuk yang ini, aku tahu, ujian yang bakal aku redah luar biasa. Entah aku akan rebah, entah aku tersungkur, tersembam sebelum bangkit, atau aku tewas tidak mampu bangkit, semuanya aku serah pada Allah s.w.t. Hanya Tuhan yang mampu memberi tenaga sakti untuk kami membanteras perkara nan batil.
Di luar unit aku, melalui kaca jernih lut sinar di bahagian aku tetapi berkabut di luar, aku dapat melihat kelibat sederetan pemuda yang menghadap skrin komputer. Masing-masing sibuk menyaring data hasil risikan.
Tiba-tiba sahaja siren kami bergema nyaring. Tedung pantas menjawab satu panggilan dari dunia luar yang maha penting.
"Tedung sini." Dia terlebih dahulu menyapa.
Semua antara kami menjadi terkejut dan tergamam. Pasti ada sesuatu yang genting. Petanda aku sendiri harus siap siaga.
"Ya, Zeus." Tercengang aku mendengar Tedung menyebut nama itu. Pergh! Raja Para Dewa, Penguasa Gunung Olympus, Dewa Langit dan Guruh! Aku terkenangkan mitos Yunani Purba!
"Apa? Bila?" Aku rasa Zeus ini mesti orang suruhan Tedung yang juga undercover. Tapi suara Tedung mendatar, tidak girang.
Selalunya lelaki ini akan bercanda dan mencarut-carut gatal.
"Kau pasti?" Matanya membuntang. Nafasnya berkecamuk selari dengan asakan pertanyaannya.
"Bila kau dapat maklumat? Sumber dari mana?"
Wajah lelaki itu tegang. Dato Khan sama cemas menunggu butir perbualan.
"Ya, ya... Sejak jam tiga pagi tadi, kita dapat pintas semua maklumat. Tapi waktunya kita tak pasti." Helaan nafas terdengar lelah sambil Tedung menyempurnakan katanya.
Selesai bercakap, Tedung pantas menerjah ke komputer Dato Khan. Cakapnya perlahan, tapi aku tahu perkaranya serius.
Aku masih kabur. Tak dapat menangkap apa yang bakal terjadi.
Aku memanjangkan leher, memandang ke arah skrin Dato Khan. Ada kiraan waktu yang dibuat. Aku tengok Tedung gelisah sebelum tiba-tiba dia bertempik.
"Damn!!!"
Semua kepala memutar memandang ke arah Tedung.
"Pelan dukungan kita berubah! Ada gerakan tak terlihat. Ada maneuver raksasa perlu kita kesan gerakannya." Kami semua tergamam. Oh, setelah setengah mati untuk misi ini, ada perubahan saat akhir.
"Pergerakan maneuver raksasa?" Aku menelan liur. Semakin kesat rasanya.
Kami semua meninggalkan station kerja kami dan berkumpul pada Tedung yang sedang berpeluh dan bercekak pinggang di sisi Dato Khan. Bos nombor dua aku itu sedang tekun menghadap skrin komputer. Ada sesuatu kod yang mahu dipecahkan. Aku memandang skrin. Abjad ganjil dan nombor-nombor bergerak laju dengan coding-coding yang aku lihat seperti cacing meluncur di skrin.
"Come on... You can do this, Khan!" Tedung terus bercekak pinggang. Gayanya seperti memberi tukang tepuk sorak tepi gelanggang pula. Dato Khan terus tegak di komputer dan kami yang memandang dapat menyaksikan titis peluh dingin yang mungkin juga stres, mengalir di dahinya.
"Ini... Yang ini... Macam dari Hong Kong. Tengok!"
Semua kami memandang ke arah jari Dato Khan. Beberapa kod rahsia itu diterangkan. Kami terangguk-angguk mendengarnya.
"Yang bawah ini... Yang terbaru. Ada sesuatu. Kita dapat pintas tapi... Apa ya... Apa maksud nombor-nombor ini?" Aku dalam diam kagum memandang. Kepakaran Dato Khan dan Tedung sangat luar biasa. Genius! Itu aje yang boleh aku ungkapkan. Gaya mereka ini buat aku teringat dokumentari-dokumentari mengenai kod-kod rahsia sewaktu zaman perang dahulu kala. Gayanya macam perisik menggodam Soviet, mengerjakan Jerman dan memintas Amerika. Aku menghela nafas. Kagum!
"Mesti ada kena-mengena dengan Prince Joni!"
Segera saja Tedung membuat teori dan kami spontan mengangguk. Ya, siapa tak kenal mamat yang seorang itu. Penuh onar mengaut segala kekayaan negara di sebalik nama DA. Terus aku terbayangkan Prince Joni. Dasar petualang negara, perutnya amat sesuai dengan ungkapan gendang-gendut tali kecapi, kenyang perut suka hati! Ya, dia saja yang suka hati, ria jiwa... Rakyat melarat dan kian merempat.
"Ya, dia yang banyak mengatur segala yang terjadi di belakang tabir. Dan dia terbang bebas ke sana ke mari," sahut Dato Khan dan aku sendiri tak dapat mengawal mulut.
"Dasar bad boy! Sudahlah gendut, ada pula perempuan buta bodoh bimbo yang nak beromen dengan dia. Siang malam berparti! Wild party pula tu!" Aku spontan memberi komen.
Kami yang lain hampir saja mahu kembali ke kerusi sendiri sebelum tiba-tiba terhenti dengan jeritan Dato Khan.
"Bingo!!! Ini dia... Ini dia!" Jari telunjuk menghala ke arah nombor di skrin yang tertera. Dia mencatat dan bermain-main dengan kod itu. Tedung memandang serius sambil mengira sesuatu kemudian memandang jam.
"Jam pukul 10.45 pagi, ini ditulis 11.11 pagi. Ini koordinatnya... Latitud dan longitud yang ini." Tedung menarik kerusi, mencapai pen dan mengira sesuatu.
"Apa, ya? Apa ini? Cuba buka peta," arah Tedung. Pantas skrin memaparkan peta yang disuruh. Sekejap-sekejap dia memandang jam. Sudah berganjak ke 10.50 pagi.
"Mana kau? Mana kau?" Pen di jari diketuk-ketuk pada meja.
Kami memandang lokasi yang terpapar dengan tanda merah berkedip-kedip garang di skrin.
"Gosh! Bos!" Dato Khan terbeliak mata. Dia bertukar pandang dengan Tedung.
"Segera ke sana!" Suara Tedung kedengaran kian cemas.
"Sekarang?" Serentak suara kami.
"Ya, sekarang. Siapa yang undercover, position macam biasa." Dato Khan membalas sambil kami semua bersiap dan mencapai keperluan diri dari laci masing-masing.
"Hati-hati semua. Mereka ada di mana-mana." Melalui earpiece, Tedung menitip pesan. Kami sudah melompat ke kenderaan masing-masing.
Apa sebenarnya terjadi? Aku tak dapat mencari sebarang bayangan apa yang menanti kami di hadapan. Tapi semua memecut mengekori kenderaan Tedung dan Dato Khan meninggalkan sarang rimba kami ini.
Kenderaan kami memintas-mintas jalan raya yang sesak. Kami berpecah sewaktu menghampiri lokasi yang diberikan oleh Tedung. Aku berada di selekoh jalan. Tedung dan Dato Khan paling hadapan. Belum sempat kami berkomunikasi, tiba-tiba dari dalam kereta, aku dapat mendengar keributan. Di hujung jalan sebelah sana. Jalan matinya berbentuk lengkungan U, dijajari bangunan kedai. Dan tiba-tiba berdentum bunyi tembakan bertalu-talu.
"Shitt!!!"
"Kita lambat 30 saat!"
Meledak suara carutan Dato Khan di earpiece kami.
Auch! Gegendang telinga aku yang tersentak diterjah.
Aku memandang dengan dada yang sesak. Aku merendahkan sedikit kedudukan aku di seat kereta. Aku buka cermin kereta seinci dan intai dari jauh. Ya, aku rasa aku dapat mengandaikan apa yang terjadi. Ya, Tuhan... Selamatkan hamba-hamba-Mu yang teraniaya dan tak berdosa. Lindungilah setiap inci langkah, gerakan dan perbuatan kami. Kau pimpinlah kami dengan ilham dan petunjuk-Mu.
Aku tahu, kalau kali ini kami tertewas, mungkin kami akan lebih sulit selepas ini. Aduhai!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro