Bab 6
Ziyad El Zamri
Nafsu menceracak, langit kalbu kian retak
Awan mendung yang selama ini membungkus langit Sorga Nefertiti seperti dikuis angin. Lain benar nada DA pagi ini. Aku seperti dapat mengagak apa yang menyebabkan DA gembira. Tentunya rengekan Datin Naila sudah dipenuhi oleh Dr. Ivan.
Berdekah-dekah gelak DA sewaktu berbual dengan Dr. Ivan di ruang makan utama. Doktor pakar itu diundang untuk bersarapan bersama-sama kroni DA yang lain termasuk Datuk Syed Ehsan. Lelaki itu seperti biasa sentiasa hadir dengan membawa segerombolan pengawal peribadi. Aku mengandaikan rahsia Datin Naila bertemu Dr. Ivan sudah menjadi rahsia terbuka dalam kalangan rakan rapat DA.
Pagi ini Datuk Taufan antara insan penting dalam hidup DA yang menyertai kami. Jarang sungguh Datuk Taufan muncul. Kalau ada Datuk Taufan, aku tahu itu maknanya ada isu besar. Ada isu tergempar. Tentu saja masalah Bank Saudi dan Infinity yang mengganggu DA bakal dibincangkan.
Datuk Taufan, lelaki yang wajahnya selalu tampak tenang tetapi jiwanya penuh gelora itu, jarang sebetulnya mahu muncul kalau tidak ada isu penting. Selalu suaranya saja yang aku dengar melalui perbualan bersama DA di bilik kebal.
"Betul ke ada bilik surgeri di sini?" Bisik-bisik Datuk Syed Ehsan, disambut dengan senyum senget DA.
"Terkejut? Kagum? Tak ada yang mustahil. Kita bagi arahan aje," balas DA tanpa segan silu. Terangguk-angguk Datuk Syed Ehsan dan mulutnya membulat. "Wow! Impresif!"
"Kita yang buat. Kita yang keluarkan arahan," ujar DA sambil meminta aku bersedia dengan dokumen dan laporan penuh fail merahnya.
"Meeting di bilik mana, bos?" Aku minta kepastian.
"Di aras ini aje," sambut DA sambil matanya melirik pada beberapa lelaki yang mengiringi Datuk Syed Ehsan. Aku akur dan faham. Kalau ada insan yang DA tak begitu selesa, dia tidak sesekali mempelawa mereka ke bilik kebalnya di aras bawah tanah.
Aku pantas ke kamar kerja DA di aras yang sama. Mengambil fail merah yang dikehendakinya itu. Aku rasa fail itu baru semalam sampai di tangannya dari Prince Joni yang singgah sekejap ke negara ini. Lelaki itu hanya hidupnya terbang dari satu benua ke satu benua. DA sajalah dahan nan rimbun, dahan kegemaran Prince Joni untuk berpaut.
Aku sendiri kemudiannya menyusun segala keperluan DA di satu bilik besar, yang terletak di sayap kiri rumah agam ini.
DA pagi itu rancak bersembang dari satu isu ke satu isu.
Dan seperti dijangka, isu Bank Saudi menjawab topik hangat.
"You tunggu dulu. I ada urusan kejap dengan Dr. Ivan. Lepas ni kita selesaikan mesyuarat tergempar kita."
Pesan DA pada Datuk Taufan, Datuk Syed Ehsan dan pegawai yang lain. DA memberi isyarat mata, meminta aku mengiringi Dr. Ivan.
Aku tahu tujuannya tak lain, untuk memastikan Dr. Ivan tidak membawa sebarang telefon pintar untuk mengambil gambar bersama Datin Naila.
"Mohon tinggalkan telefon dan dompet di sini ya, doktor." Aku pantas memberi arahan dengan nada yang paling sopan dan tertib.
"Oh..." Wajah lelaki itu berkerut. Mungkin tersinggung. Mungkin juga terkejut.
"Jangan bimbang. Ini untuk keselamatan." Aku membalas rasa tidak selesa Dr. Ivan dengan senyuman.
Telefon pintar dan dompet Dr Ivan, aku sambut dan serahkan kepada pembantu rumah di aras itu. Mata Dr. Ivan terkelip-kelip kebingungan.
"Kami simpan di bilik hujung sana. Dalam peti khas. Nanti kita turun semula ke aras ni, saya serahkan."
"Okay." Nada suara Dr. Ivan mendatar namun keramahan DA yang menyertai kami ke aras lima bagai menghilangkan keresahan Dr. Ivan. Sempat DA menghulurkan satu kotak kecil bereben pada Dr. Ivan.
"Ambillah. Hadiah tanda penghargaan kami."
Jam berjenama mewah dari Switzerland, Breitling itu aku kira membuatkan rawan Dr. Ivan terubat.
"Well done! Well done. Kami berterima kasih dengan you." Tangan DA melingkar ke bahu Dr. Ivan sambil menepuk-nepuknya.
"Saya yang patut berterima kasih, DA. Terima kasih untuk kepercayaan. Saya cuba beri khidmat yang terbaik. Bimbang sebab masa persediaan suntuk dan peralatan tak cukup sebetulnya..." Belum pun sempat kata-kata itu disempurnakan, DA pantas memancung. "Ini hal kecil. Kita mesti bagi kepercayaan pada pakar kita. Kalau kita tak bantu, tak bagi peluang, siapa lagi, bukan?"
Terangguk-angguk Dr. Ivan.
"Kita boleh bekerjasama lebih akrab. I akan bantu you. Selagi you taat dengan I, semuanya akan mudah."
"Cuma I bimbang ada report buruk akan datang. Macam DA tahu, apa yang I buat ni salah dengan etika."
"Siapa berani lawan DA? Beritahu I!"
Nada DA yang melangit itu sedikit mencabar. Dr. Ivan terdiam dan kemudian tersenyum. Entah lega atau entah tak percaya. Atau mungkin itu untuk mengaburi rasa jengkel di dada. Aku faham sangat manusia-manusia yang berjumpa DA. Semuanya muka berlapis-lapis dan bersegi-segi talamnya. Semuanya mahu selamatkan tengkuk sendiri dan mahu kenyangkan tembolok.
"Jangan risau sangat, Dr. Ivan. Kita sahabat sekarang. Kita partner. I akan bantu you." Mata sepet Dr. Ivan merenung wajah DA seperti mohon kepastian.
"Bantu macam mana?"
"Kita akan bangunkan projek baru khas untuk you. Mungkin gunakan nama you, syarikat you sebagai proksi. Nantilah. Kita boleh bincang kemudian."
"Oh, saya tak pernah termimpi begini, DA."
"Kita yang buat undang-undang. Kita yang uruskan semua benda. Perkara boleh diatur."
"Maksud DA, ini projek yang berkaitan dengan perubatan? Bidang saya, bukan?"
"Oh... Come on, doc. Bila you berurusan dengan DA, semua benda tak ada yang mustahil.
Bila dah mati aje, baru kita kata tanah kubur tu aje yang jadi batu penghalang. Selagi hidup ni, segala benda kita boleh capai! Kena usaha sikit aje. Kena yakin. Tak ada siapa pun boleh halang. Kita kena mimpi besar, berangan-angan besar, bercita-cita besar. Macam kami di Nefertiti. Faham?"
Aku hanya tumpang dengar perbualan mereka. Kami sudah sampai pun di depan kamar Datin Naila dan DA memberi signal kepada aku untuk tunggu di luar sahaja.
Pintu kamar itu tidak ditutup. Aku menunggu di ruang luar kamar tetapi masih mendengar gelak bahagia Datin Naila dan ketawa bangga DA.
"Menang atau kalah, lepas pemilihan baru ni, kita tetap akan membeli-belah. Kita bawa semua orang kita. Bawa keluarga sekali. Kita takluk dan jelajah semua pusat beli-belah mega dunia! Huh, aku ni alergi dengan benda-benda yang dah tak ada dalam trend fesyen. Tengok orang yang tak reti nak berfesyen pun mata aku dah berbulu. Rasa tak sabar nak tunggu saat tu!" Nada Datin Naila begitu girang. Aku mendengar dengan jelas.
"Tak mengapa, Datin. Kita buat perlahan-lahan. Lama lagi tu untuk pilihan raya. Banyak masa lagi." Suara Dr. Ivan aku rasa ada ketar yang tersembunyi. Memang masaklah Dr. Ivan kalau sudah terikat dengan Datin Naila.
Entah apa lagi yang disembangkan, aku sudah tak peduli. Masa setengah jam itu aku membelek telefon. Tangan aku gatal saja mahu mengirim mesej buat Yasmin. Sekadar tanya khabar... Tak salah aku rasa!
Tapi seperti yang aku jangka, tunggulah seminit, sejam hatta sehari atau mungkin seminggu... Jangan harap gadis itu membalasnya.
Huh! Kalau aku lelaki musang berjanggut, rasanya memang aku godam terus telefon Yasmin. Kalau ikut kepala gila, boleh aje aku godek sampai hilang semua data yang ada dalam telefon Yasmin. Tapi aku tahu, itu maknanya perang antara aku dan Yasmin! Ya, perempuan yang seorang ini pun aku rasa bukan calang-calang.
Biarlah! Biar aku mengharung gelombang takdir.
Bagaimana pun aku sedar, impian sendiri-sendiri saja tak cukup untuk menyatukan mimpi-mimpi yang berbeza, apalagi menumbuhkan cinta.
Aku menelan ludah, mengerling ke arah jam berbentuk kepala wanita, dengan rambutnya bersadur rose gold dan taburan batu Swarovski pada wajahnya. Itu bayangan Nefertiti kegilaan Datin Naila. Jam yang ditempah khas dari Wattens, Austria itu sudah menunjukkan perbincangan sulit ini berlangsung hampir dua jam.
Bilik ini sebenarnya terasa cukup dingin. Tapi entah mengapa segala perbincangan dan perdebatan membuatkan aku rasa kepala aku jadi berasap. Biarpun bukan bidang tugas aku untuk berbincang bersama-sama, tapi segala benda yang dimuntahkan dalam sesi kali ini cukup untuk membuat aku sendiri terkahak hijau. Muka DA sendiri sukar aku telah. Kami mendengar dengan teliti pembentangan dari Datuk Taufan.
"Wakil dari Bank Saudi menuduh Prince Joni dengan sekutunya membangunkan rangkaian rahsia lagi rumit, syarikat-syarikat yang tak wujud, yang hanya muncul di atas kertas untuk seleweng duit dari Infinity." Datuk Taufan dengan suara yang parau, menoleh ke arah DA tatkala dia menyebut perkataan seleweng. Semua yang ada dalam ruang ini berubah wajah.
"Setakat mana pertuduhan ni? Apa bukti kukuh yang dia orang ada? Kita yang kawal keadaan. Benda ni tak patut timbul." Datuk Syed Ehsan dengan muka yang merah padam mempertikaikannya.
"Kita dengar dulu." DA meningkah.
"Nak kena ajar aje. Kalau perlu, kita bagi senyap terus. Ni semua pengacau. Macam lalat, macam langau. Kalau tak dihapuskan, makin membiak. Makin menjadi-jadi, mengemut-ngemut nanti," sahut Datuk Syed Ehsan.
"Semua ni takkan kena selongkar, kalau tak ada isu dari Syed Badrul," pangkah Datuk Taufan dan selamba sungguh menghulurkan keratan akhbar dari Melbourne yang sudah bikin ribut pada DA baru-baru.
Kisah anaknya Syed Badrul, yang berperangai Don Juan dan pertikaian pembelian hartanah di sana menjadi isu dalam akhbar itu. Aku pandang Datuk Syed Ehsan terkebil-kebil kejap.
"Kita ni nak makan besar ke, nak kenduri tujuh hari tujuh malam ke, pandai-pandailah simpan. Ni dapat girlfriend bimbo, bikin kacau semua orang!" Seperti peluru kata-kata Datuk Taufan membasuh Datuk Syed Ehsan. DA seperti selalu tenang-tenang aje. Tapi aku yakin semua itu sudah diberi taklimat terlebih dahulu dan DA merestui setiap biji butir kata-kata Datuk Taufan.
"Sekarang ni, ikut laporan, DA disebut belanjakan sebahagian besar dana untuk kemewahan sendiri." Datuk Taufan menjelaskan sambil tangannya menunjukkan fakta-fakta dan carta di slide.
"Kita sailang siapa yang banyak hal ni," pangkah Datuk Syed Ehsan angkuh sambil meraba-raba kepalanya yang licin itu. Tiga orang bodyguardnya sama-sama terangguk-angguk.
"Setiap tindakan ada kesan dan akibat. Biar berhalus, jangan sampai tempat kita berpijak retak, dahan kita berpaut, patah." DA sudah mula berkias ibarat.
Datuk Syed Ehsan mengepal tangan sebelum keadaan menjadi lebih hangat.
"Kalau isu ini tak terkawal, semuanya akan jadi malapetaka. Jadi bencana besar kepada kita. Ya, ancaman untuk kita semua. Jangan sampai Singapura, Switzerland dan Amerika sendiri buka siasatan. Jangan sampai ada isu diheboh serata dunia, kita zalim kepada orang sendiri. Benda ni yang kita perlu halang." Datuk Taufan dengan mata mencerlang memandang ke arah semua. Mengenali Datuk Taufan, aku tahu dia tak peduli pangkat DA. Apa dia peduli sekalipun satu dunia mengangkat DA sebagai Mangkubumi. Memang di belakang DA, banyak Datuk Taufan yang menjadi think tank DA.
"Sekarang ni apapun kita nak buat kena berhati-hati. Orang dah mula syak macam-macam." Ungkapan itu diucap lambat-lambat oleh DA sambil menghela nafas. Entah kenapa semua mata yang melirik ke arah DA, singgah ke arah Datuk Syed Ehsan.
"Come on... Kenapa ni?"
"Kita ni umpama tengah berperang. Keliling kita ada yang memerhati. Ada yang mengintip. Ada yang mula pasang bom jangka, ada yang guna jerangkap samar. Jadi mata hati penting sangat. Sangat penting." Sinis dan terjongket senyum Datuk Taufan dan kemudian dia menyambung lagi. "Bergerak malam, buka segala pancaindera, bergerak siang jangan terlalu yakin. Jangan gopoh kalau tempatnya terang lagi bersuluh. Pesan pada semua. Pesan pada semua yang ada sekeliling kita. Jangan buat kesilapan bodoh. Jangan jadi dungu."
Raut wajah lelaki itu bersahaja. Tapi aku dapat kesan Datuk Syed Ehsan seperti terkesima. DA hanya mengangguk-angguk tanda setuju.
"Kita dah tak banyak masa. Banyak benda kena rombak."
"Tapi setiap orang, kita dah letak di tempat yang betul. Kedudukan, jawatan dan keperluan mereka dah kita atur. Kita dah susun benda ni bertahun-tahun. Setiap yang terlibat, ada tugas masing-masing." Datuk Syed Ehsan membantah. Mukanya tampak tegang. Dua tangan seperti menopang dagu. Jari telunjuk kanan seperti mengusap cincin perak bertatah batu nilam di jari manis tangan kirinya.
"Akhbar arus perdana Norway dah buat laporan. Norwegian Finans Holding ASA sudah mula mempertikaikan ketelusan penglibatan Bank Saudi dalam usaha melabur beberapa projek di sana. Beberapa projek mega itu dilaporkan belum mendapat kata putus daripada pihak lembaga pengarah serta kepimpinan negara berkenaan. Ia dikhabarkan sekadar perbincangan di meja makan malam bersama wakil DA iaitu lelaki yang paling dipercayai, Prince Joni. Malah, dikhabarkan wang jutaan Norwegian krone didapati mulai mengalir masuk ke akaun Prince Joni sebelum didakwa dipindahkan ke akaun DA."
Datuk Taufan dengan wajah yang ketat, terus menghalakan mata kami ke arah skrin besar di tengah-tengah bilik ini. Menggunakan alat kawalan jauh, segala salinan keratan akhbar itu ditunjukkan satu demi satu.
Semua menjadi tersenyap, beku dan sunyi. Semua umat di bilik ini bagai ditelan bumi aku rasa.
"Damn shit! Bloody idiot!" Mendengus-dengus aku mendengar suara Datuk Syed Ehsan.
"Wartawan gampang mana entah... Dah kecoh tulis jumlah besar wang yang mencurah ke dalam akaun DA mencetuskan amaran mengenai pengubahan wang haram di Bank Saudi yang menyebabkan bank ini terpaksa membayar denda selepas Bank Negara masuk campur. Ni dah timbul isu melanggar undang-undang anti pengubahan wang haram dan peraturan transaksi kewangan memerangi keganasan."
Berapi-api Datuk Taufan menerangkan. Semua semakin bisu aku rasa dalam bilik ini. Sejuk pendingin hawa tak memberi makna langsung. Aku rasa kalau diimbas tubuh masing-masing, mahu dapat dilihat darah yang menggelegak dan asap-asap yang menggelupur panas jiwa raga keluar dari rongga badan.
"Beginilah... Kita buat yang terbaik. Kita yang kuasai undang-undang. Kita jangan bikin kecoh. Biar dunia luar kecoh. Kita kena tenang-tenang aje. Kalau kita tak bersalah, apa kita nak takut. Betul, bukan?"
Berderai gelak takbur Datuk Syed Ehsan dan konco-konconya. DA memang selalu begitu. Orang tengah panas mendidih, dia memang bijak memberi air sejuk.
Cuma aku lihat wajah Datuk Taufan saja yang masih terkunci senyumannya.
"Orang dalam bank tu boleh kita runding, tapi duit dalam akaun bos tu macam mana? Nak urus macam mana?" Datuk Syed Ehsan seperti memikirkan sesuatu sebelum berbisik sesuatu pada bodyguard yang mengapit kiri dan kanannya.
"Oh, itu hal kecik aje. Kita ada banyak method. Kita boleh selesaikan. Tak begitu, Datuk Taufan?" Senyum senget DA itu penuh makna.
Datuk Taufan pantas mengangkat muka. "Jangan guna call sign aku Storm kalau benda macam ni aku tak boleh selesai," lafaznya dengan nada penuh jengkel dan angkuh. Terangguk-angguk DA mendengarnya.
"Inilah orang aku! Ni baru namanya anak jantan! Pantang kita beralah sebelum bertarung."
Sekali lagi terbersit gelak besar DA, Datuk Syed Ehsan dan yang lain. Hanya Datuk Taufan yang kekal kedekut senyuman.
Masalah awal yang kononnya bakal membawa petaka kepada Nefertiti, seperti sudah ada jalan penyelesaiannya. Aku sebenarnya kabur dan tak jelas. Apa game mereka ini? Tapi ya, lebih baik berdiam daripada berbunyi. Langit yang berguruh, belum tentu hujan. Dan hari yang panas ada waktu tetap dijerkah petir.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro