Bab 5
Ziyad El Zamri
Kau membisik cerita, aku menyimpan ketakutan
Rasanya sejak dua hari lepas aku tak cukup tidur. Terasa hidup seperti zombie. Jadual kedatangan delegasi dari Kuwait ini betul-betul buat aku haywire.
Perancangan mengejut yang ramai tak jangka. Jarang-jarang DA mahu menerima tetamu dengan notis yang mendadak. Aku syak ada sesuatu yang besar berlaku. Tapi sebagai orang 'yang memegang amanah' aku tahu sempadan aku. Tak perlu aku sibuk-sibuk untuk ambil tahu.
Tapi keadaan menjadi lebih memenatkan apabila makan malam untuk rombongan seramai 30 anggota itu berlangsung di kediaman DA, Sorga Nefertiti. Aku rasa dari tukang kebun, tukang masak, tukang cuci dan segala tukang yang jadi huru-hara apabila mendapat notis singkat ini. Masing-masing menerima kerahan tenaga sebagai persiapan menyambut tetamu istimewa DA dan Datin Naila.
"Ini pertemuan tertutup. Uruskan wakil media. Mereka tak perlu tahu lokasi kita buat rundingan ni. Alihkan perhatian mereka. Kalau perlu, uar-uarkan berita, konon kita buat di hotel. Di mana delegasi ini menginap, pun perlu kita rahsiakan. Jangan ada sekeping gambar wakil delegasi terlepas ke media."
Keras, tegas dan jelas peringatan berbaur amaran DA kepada kami, para pegawainya yang bertugas. Tetap seperti biasa kami tak bertanya mengapa dan kenapa. Biarpun hakikatnya kerja-kerja beginilah yang memenatkan. Apatah lagi mahu menyediakan jawapan daripada pihak media yang mungkin akan mengasak kami dengan seribu pertanyaan.
Yang pasti aku nampak orang kepercayaan DA, Datuk Syed Ehsan ada. Dan khabar angin bertiup kencang, rupa-rupanya Prince Joni ada turut serta dalam pertemuan dengan delegasi ini. Kawalan yang ketat, dan semuanya bersifat rahsia membuatkan kisah itu hanya berlegar seputar gosip di lobi-lobi hotel dalam kalangan ahli politik.
Sepanjang tempoh aku sibuk dengan segala urusan ini, hati aku berdoa dan berharap... Adalah hendaknya kelibat Yasmin.
Selalunya kalau ada angin kencang bertiup perihal isu besar begini, pasti akan ada bayang Yasmin. Entah, perempuan berwajah lembut tetapi berhati keras itu bagai memberi warna pelangi dalam rutin aku. Cebik angkuh dan renungan sinis tak sedikit pun buat aku terasa hati. Aku terhibur dengan kehadiran Yasmin. Vokalnya yang lantang itu bagai memecah rasa beku dan bosan aku sebetulnya.
Di mana engkau, Yasmin?!
Dalam terkejar-kejar jadual yang melelahkan itu, bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi untuk urusan DA, aku berharap dapat terserempak dengan Yasmin. Tapi aku hampa!
Sewaktu aku membantu pegawai-pegawai yang lain di lobi kediaman DA, aku mendapat isyarat dan arahan dari DA sendiri.
"Tak perlu masuk meeting. Kau uruskan Datin. Ada hal sikit tu."
Aku terpinga-pinga.
Kemudian, bersama dua pembantu wanita Datin Naila, Kak Cham dengan Nojie, aku menuju ke arah sayap kiri kediaman yang agam ini.
"Tuan Ziyad, sila masuk. Datin nak jumpa." Kak Sally, pembantu Datin Naila menyapa aku di hadapan pintu kamar. Dia mengiringi aku. Pembantu yang berdua tadi menunggu aku di luar kamar.
Aku angguk dan terus melangkah ke kamar mewah itu. Terasa seperti sedang bercuti di Perancis pula. Rekaan French Chateau abad ke-18 dan sedikit sentuhan English Manor menguasai ruang kamar Datin Naila.
"Assalamualaikum, Datin."
Datin Naila membelakangi aku. Dia duduk menghadap meja soleknya.
"Duduk situ." Tanpa berpaling, dia memberi arahan. Suaranya seperti biasa angkuh dengan lagak 'mem' besar.
Aku angguk dan duduk menghadapnya.
"Teh lemon aku mana, Sally!" Nadanya merengus. Aku sekadar mampu memandang Sally. Perempuan itu kelam-kabut mencapai dulang yang berisi secangkir teh bersama sepiring kek dan skon dari seorang lagi pembantu rumah yang berdiri tegak dan tercegat di hujung kamar yang luas itu. Dan tiba-tiba Datin Naila bertempik mengejutkan semua orang.
"Hei, kau!!!"
Semua tertoleh ke arah muncung Datin Naila.
"Ya! Kau yang berdiri tu!"
Pembantu rumah yang tolong membawa dulang air tadi terketar-ketar dan mengangguk.
"Ya, kau! Bukan kau ni budak jaga aras satu ke?" Mata Datin Naila terjegil. Suasana jadi hening.
"Ya, Datin. Saya tukang bersih aras satu." Macam payah sungguh aku dengar suaranya
"Apa kau buat sini? Kau tahu dekat aras lima ni, Cham, Sally, Nojie aje yang boleh naik? Turun kau sekarang juga!"
"Errr... Minta maaf, Datin. Saya tolong Sally bawakan dulang air. Orang di dapur semua sibuk."
"Menjawab kau, ya! Kau semua dengar sini... Semua yang ada dekat sini..." Mata Datin Naila amat menggerunkan. Memandang satu demi satu wajah pembantu rumah yang ada di situ dan dia kembali memberi peringatan. "Jangan pandai-pandai langgar sempadan. Kalau dah kerja di aras satu, duduk diam-diam di aras satu. Kalau jaga dapur tu, duduk hadap aje periuk tu. Jangan nak menggatal melilau sana sini! Faham!!!"
"Faham, Datin." Semua jawab serentak. Aku pura-pura tidak dengar. Aku yakin aku tak termasuk dalam kelompok itu.
"Turun kau sekarang juga! Guna tangga, jangan nak mengada-ada pakai lif!"
Kelam-kabut budak itu meninggalkan kami. Aku rasa dia mungkin pekerja baru yang masih tidak faham undang-undang Datin Naila.
"Mana dia air teh aku ni, Sally!" jerit suara Datin Naila lagi.
"Ni, Datin." Terkocoh-kocoh Sally yang tadinya terkeras badan dijerkah.
"Letaklah sini. Eh, mana benda lain yang aku mintak ni? Mana air batu yang aku pesan tadi?"
"Datin nak tuam lagi ke?" Sally minta kepastian. Siapa yang berani nak pandai-pandai sendiri dengan Datin Naila.
"Habis tu tadi yang aku cakap tu apa? Kau orang ni pekak ke bebal? Arahan tu pun tak reti bahasa."
Aku meneguk liur yang kering. Terasa aku seperti kayu mati di hadapan Datin Naila. Kalau tidak kerana aku makan gaji, dah lama aku tinggalkan. Letih dan serabut tengok perangai membentak perempuan yang sudah separuh abad ini.
"Cepatlah! Mana air batunya! Tuam dekat sini!"
Wanita itu tiba-tiba berang, bengis dan bertempik. Seperti lipas kudung terkena renjatan elektrik, Sally memanggil Kak Cham dan Nojie. Masing-masing pantas mengambil bekas air batu dan dua helai tuala kecil.
Aku tak tahu apa yang sebetulnya berlaku, tapi aku lihat mereka dalam takut-takut mendemah muka Datin Naila. Ketulan air diponjotkan dalam tuala kecil. Sally sendiri menuam di belakang tengkuk Datin Naila. Aku pura-pura tak pandang.
Sesekali Datin Naila berdesit seperti menahan sakit.
Sebelum mulutnya terus menggila. "Bodoh! Perlahanlah sikit."
"Auch! Kau faham tak?! Pedih kau tekan kuat-kuat!"
Kepala Kak Cham ditujalnya. Aku semakin rasa tak sedap hati. Mahu keluar dari bilik itu tapi aku tahu aku kena tunggu arahan.
Datin Naila kemudian menggamit ke arah aku. Penuh sopan, pantas dan tertib aku mendekati dirinya. Jarak dua langkah saja yang memisahkan kami. Aku berdiri menghadapnya.
Aku dapat melihat lebih jelas wajahnya yang agak bengkak.
"Panggil Dr. Ivan Cheah sekarang."
Dua saat aku seperti dihempap batu gua dan batu gunung. Gelap sekejap otak aku.
"Pakar kosmetik dan estetik tu, Datin." Spontan mulut aku menyebut.
"Ya."
Gosh! Aku tak sangka, betul rupanya.
"Sekarang?" Aku jadi bingung sekejap. Gila apa arahan keluar mendadak?
"Ya, sekarang. Beritahu dia, ni arahan DA."
"Baik, Datin."
"Kau tunggu dia sampai, kau bawa dia terus ke sini. Guna laluan masuk dari kolam renang. Parking kereta pun letak aje kawasan tu. Masuk ikut gate C."
Pantas otak aku mendaftar segala arahan. Secepat kilat itu juga aku minta diri. Keluar saja dari kamar itu, aku lega. Entah kenapa, rasa lemas dan rimas aku dalam bilik itu biarpun dekorasinya luar biasa indah.
Aku terus menuju ke bilik pejabat aku di aras satu. Dari kamera CCTV di bilik aku, dapat aku lihat semua tetamu sudah sampai dan disambut oleh DA.
Aku mendepangkan tangan, menggeliat menghilangkan penat. Stres sebetulnya. Aku fikir terkecuali dari menghadap pertemuan sulit DA dengan delegasi dari Kuwait, aku boleh goyang kaki dan rasa lega. Huh, melayan kerenah Datin Naila pula sudahnya! Malam-malam buta minta aku carikan Dr. Ivan. Malapetaka namanya ni!
Tidak sampai 40 minit, Dr. Ivan datang menghadap. Aku yang menyambutnya, dapat lihat wajah lelaki separuh usia itu, amat tidak selesa.
"Saya ada dinner famili. Masalah apa ni... Panggil saya waktu begini dan tergesa-gesa." Lelaki itu sedikit merungut sambil berbisik kepada aku. Mukanya amat tegang.
"Tak pasti. Tapi ini arahan DA."
Aku menjawab jujur dan seperti yang dipesan Datin Naila.
"Ohhh..." Dia menggumam sendiri.
Pemilik Pusat Perubatan Kosmetik dan Estetik Yorskhire itu terus terdiam sebelum menyoal lagi. "Saya harus jumpa siapa sebetulnya?" Wajahnya jelas keliru.
"Datin Naila." Aku menjawab ringkas.
"At this hour?"
Aku mengangguk dan langkah aku kian deras. Aku terus membawanya ke aras atas. Mata aku liar mengamati keliling. Telefon di tangan aku scroll. Ada kamera CCTV yang dihubungkan pada kamera aku.
Aku tak mahu ada tetamu DA di aras bawah yang nampak kelibat doktor pakar ini. Tak fasal-fasal akan timbul cerita havoc yang lain pula nanti!
Sally menanti kami di luar kamar Datin Naila.
"Datin tunggu di dalam." Dia mengiringi aku dan Dr. Ivan sebelum berlalu pergi.
"Helo, Dr. Ivan! Selamat malam!" Girang suara Datin Naila menyambut tetamu yang dinanti. Wanita itu terus meluru dan menyambut tetamu yang dinanti. Kemesraan dua sahabat lama ini terserlah.
"Selamat malam, Datin! Apa khabar?" Ramah Dr. Ivan bertanya khabar. Hilang wajah kelat tadi apabila bertentang mata dengan Datin Naila.
Sedang mereka berbual, Datin Naila menoleh ke arah aku.
"Tolong ambil sampul biru atas meja di pejabat saya."
"Sampul biru, Datin?"
"Ya. Sampul tu ada cop dan logo Nefertiti."
Aku yang sentiasa menurut perintah, segera ke pejabat Datin Naila. Tak susah pun mencarinya. Memang ada sampul yang disebut itu. Sampul biru itu bercapkan logo Nefertiti dengan warna hitam keemasan. Aku tak tahu mengapa banyak-banyak logo, lakaran wajah isteri firaun yang bernama Nefertiti itu menjadi pilihan Datin Naila.
Aku kembali ke aras lima. Masuk ke kamar itu, tiba-tiba tangan Datin Naila memberi isyarat. "Nanti dulu. Tunggu situ."
Aku akur dan menanti sementara mereka berbincang sesama sendiri.
Awalnya aku tak berapa nak peduli dengan butir perbualan. Tetapi tatkala aku berdiam sambil meneliti mesej-mesej dan e-mel di telefon aku, fikiran aku jadi benar-benar kacau.
"Saya minta maaf. Perkara ini mustahil. Saya tak berani ambil risiko."
"Buat saja seperti yang diarah. You doctor, I pesakit. Risikonya pada I." Suara Datin Naila mulai tegang.
"Saya faham. Tapi saya ada etika kerja. Ini membabitkan nama baik Datin, nama baik saya juga."
"Okey, sekarang ni I nak tahu, you setuju atau tak?"
"Saya setuju, tapi kita buat di tempat saya."
"I tak suka bermusuh dengan orang yang I suka, Dr. Ivan. Tapi sekali I dah benci, you akan menyesal seumur hidup. Sekali lagi I tanya, you nak buat atau tak?"
Aku memandang dua manusia di hadapan aku ini dengan dada yang tak keruan.
Wajah Dr. Ivan amat mendatar.
"Boleh... Tapi..."
"Tak ada tapi-tapinya, Dr. Ivan. You take it or you leave it. Kalau you pilih leave it, pesanan terakhir I, tinggalkan negara kita selepas itu."
Tegak cuping telinga aku mendengarnya. Nada itu bersahaja tapi cukup menikam.
Aku lihat dengan jelas wajah Dr. Ivan terpinga-pinga.
"Apa maksud Datin?"
"Arahannya mudah. Buat rawatan untuk I. Di sini. I tak demand pun untuk ke Los Angeles. I tak minta pun rawatan di Royal Center Rehab di London... Hanya di sini. Susah sangat ke?"
Mendongak dagu Datin Naila. Matanya mengecil tirus memandang Dr. Ivan. Aku yang menjadi saksi, buat-buat meneliti telefon mengelak mata kami berlaga.
"Ya. Faham, Datin."
"Bagus kalau faham." Nada Datin Naila amat sinis.
"Cuma di sini tak ada peralatan." Lelaki itu sedang berusaha memberitahu logiknya.
"Kita boleh sediakan."
"Ini kediaman. Ini bukan hospital, Datin. Tolong faham."
Ada riak amarah pada Datin Naila. Wanita itu mulai menghempas dan menuju ke meja, mencapai teh panasnya.
"Kediaman atau hospital, sama saja. You hanya perlu satu bilik khas, lengkap peralatan dan mesin. Jururawat? You boleh sediakan, bukan?" Datin Naila mulai mengherdik.
"Gosh! This is crazy."
"I tak gila, doc. Cuma jangan buat sampai saya naik gila." Nada suara Datin Naila cukup membuat wajah Dr. Ivan tampak pucat.
"Your wish is my command, Datin."
Aku pula yang menelan liur. Kesat rasanya. Dari jarak lima meter ini aku nampak jelas dada Datin Naila berombak. Amuk bakal meletus maknanya.
"Okay... Okay... Saya setuju. Tapi sekali lagi, saya nak beritahu. Takkan sama kalau kita di sini dengan di hospital." Dr. Ivan masih lagi cuba berunding.
"Aku tak peduli! Arahan aku, ikut aje! Jangan banyak tanya! Faham?!"
Jerkahan Datin Naila itu terus membuat lelaki itu pantas mengangguk.
"Peringatan lain, jangan sampai berita ni tersebar di media. Between you and me and these four walls. Jangan cuba ambil risiko. Kalau ingkar, you punya lesen, I suruh DA tarik. Tutup you punya center, keluar dari negara ini. Sekali I benci, bayang tujuh keturunan anak-anak you, I tak mahu tengok. Faham?"
Terangguk-angguk Dr. Ivan.
Aku turut tersentak tapi pura-pura tak ambil peduli.
Malam itu penuh berpetualang aku rasakan. Aku dan Dr. Ivan meninggalkan kamar mewah Datin Naila setengah jam selepas lelaki itu dalam keadaan paksa rela, bersetuju dengan permintaan Datin Naila. Aku mengiringi Dr Ivan sehingga ke kereta. Wajahnya sugul, matanya layu dan langkahnya longlai. Aku dapat rasakan, angin malam itu seperti menyerkup garang tubuh lelaki itu. Semoga Dr. Ivan tidak terganggu lenanya disihir renungan sinis Datin Naila sebelum berpamitan tadi.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro