Bab 4
Yasmin Qawlah Azwar
Dia, Raid Arjuna tempat aku berpulang, kala prahara menerjang
Lelaki ini memang selalu tenggelam timbul. Kalau menghilang, jangan ditanya dia bertapa di mana. Sebaris ayat dalam WhatsApp pun tak dikirimnya. Kalau teringat, kadang-kadang aku tanya khabar. "Mana kau? Sihat?"
Dan dibalasnya dengan emoticon. Gambar thumbs up atau bunga atau kadangkala menyakitkan hati, dia kirim emoticon sengih yang terjelir lidah. Tahu-tahu nanti, tanpa angin, tanpa ribut, dia akan ajak aku bersembang entah jam dua tiga pagi. Bertanya itu itu, bercerita macam tujuh tahun tak berjumpa. Dan hari ini dia ajak aku minum petang. Maka berjumpalah aku dengan sahabat lama ini di restoran miliknya, FineFettle selepas jam enam petang. Macam biasa, di situ, kami ada port khas kami. Di sudut paling hujung, yang agak terceruk.
"Kau ke mana?"
"Sibuk!"
"Sombong! Nampak online selalu dekat WhatsApp. Sikit tak tegur."
"Kau tak ada urus niaga dengan aku, buat apa aku sapa kau?" Raid menyeringai sebelum pasang balik muka datar dia tu.
"Yalah, orang tu jutawan kambing. Kita ni siapalah, kan?"
"Kau tu manusia, tahu jaga diri, tak payah aku peduli. Kambing-kambing aku perlu perhatian khusus, aku kena beri kasih sayang lebih... Biar gemuk dan sihat."
"Kau ternak kambing sampai ke Hong Kong ke?" Aku menebak. Raid Arjuna sudah tergelak besar. Lelaki inilah yang menjadi sahabat tatkala aku tersungkur menjadi pelarian dari keluarga sendiri sewaktu berusia 18 tahun.
"Mana ada. Aku pergi jumpa RoboCop!" Senyum jail Raid dah mula muncul.
"Come on, Raid. Lari topik pula ya!" Sajalah aku nak mengorek. Bukan aku tak tahu, apa tujuan Raid lama menghilang di Hong Kong.
"Betul. Aku ke Hong Kong jumpa RoboCop. Hei, kau tahulah siapa dia."
Aku terpinga-pinga cuba mengingat siapa kawan Raid yang ala-ala badan sado macam RoboCop. "Setahu aku, Noah aje yang badan besar gadang macam RoboCop. Tapi dia kan selalu dengan kau? Eh? Cup! Maksud kau, kau masih jumpa orang tua tu lagi?"
"Yalah, dia kan mentor aku. Lagipun dia dah tak sihat dan kuat lagi macam dulu."
"Laaa... Cakap kau pergi jumpa mentor. Macamlah aku tak kenal mentor kau tu. Kalau dia, bukanlah RoboCop... Tapi Grand Master Oogway dalam Kung Fu Panda tu."
Raid tergelak lepas. Sah! Dia pun terbayang watak kura-kura purba Galapagos bertongkat tu.
"Bersembang dengan kau ni, boleh miring aku dibuatnya. Dahlah. Aku nak pergi terjun ni."
"Haih, baru aku kutuk tok guru, kau stress sampai nak terjun?"
"Aku berlatih payung terjun."
Semakin terlongo aku mendengarnya.
"Jangan buat muka ternganga macam tu... Hodohlah!"
"Terjun?" Aku merenung dirinya dan dengan wajah nakal, dia mengenyit mata.
"Hah, kenapa? Tak percaya?"
"Gatal! Kau kalau hilang dari radar ni tak boleh ya, kalau tak buat benda pelik-pelik?" Pantas mulut aku mengomel.
"Sibuk apa sekarang?"
"Macam-macam benda nak kena fikir. Orang lain kaya berbilion-bilion, orang lain yang pecah kepala nak kena siasat. Orang lain berparti, minum wain sebotol harga ratus ribu, tandas pun kepala paipnya bersalut emas, orang lain yang sengsara tak tidur malam, nak leraikan masalah." Entah mengapa spontan saja aku mengadu. Memang kalau dengan Raid aku tak berahsia.
"Masalah Prince Joni ke?"
Aku mendongak memandang Raid.
"Cekap pun kau!"
"Satu dunia sekarang ni memandang dia."
"Isu Infinity, kes Bank Saudi... Dia orang ni kaya melampau, tapi kenapa ada bebalnya juga ya! Syed Badrul tu... Cari girlfriend pun bimbo. Tu perempuan sorang lagi, sumpah aku tak faham. Dia langsung tak peduli ya, apa rakyat kritik."
"Siapa?"
"Benci aku nak sebut nama!"
"Siapa?" Huh, rasa mahu luku aje kepala Raid. Tiba-tiba tunjuk muka bebal depan aku.
"Siapa lagi kalau bukan Datin Naila? Benci aku nak sebut nama dia. Nama pun dah mirip-mirip permaisuri firaun zaman Mesir, Nefertiti."
Aku tak mampu menyorok perasaan jengkel, benci, meluat... Oh! Dada aku memang berombak kalau menyebut nama itu!
"Apa bukti kita nak menuduh macam tu..."
"Hei, satu dunia dah mula pandang kita, satu dunia bercakap fasal dia. Kita aje di sini yang pejam mata, buat-buat pekak dan tuli. Kenapa takut sangat! Dia tu la ibu segala kejahatan. Aku tak faham DA jadi suami bacul."
"Yasmin!"
"Betul kan apa aku sebut ni?"
"Kau perempuan... Kau tak patut buat tuduhan macam tu."
"Eh, sejak bila kau jadi pembela puak sana ni?" Aku semakin menyinga. Aku terasa pipi aku kebas, telinga aku panas dan kepala aku mengembang.
"Yasmin... Kawal diri. Kita kalau nak berjuang pun, bukan dengan amarah. Bukan dengan dendam."
Aku menelan liur. Menarik nafas dalam-dalam. Cuba menghumbankan rasa marah dan api di dada ke dasar jiwa.
"Sorry, bro... Entah. Aku emo kalau fikirkan semua ni. Hei, dia bukan setakat buat kita semua huru-hara. Kes dia ni yang buat hidup aku rasa tak serupa orang dah. Kau tahu, Dato Khan kalau telefon aku, suruh aku menghadap dia... Bukan kira pukul dua pagi ke, lima pagi ke... Ikut suka aje mintak laporan. Semak perut aku, serabut kepala aku, handle kes ni. Aku selalu terfikir, dia orang ni buat jahat tak pernah fikir orang lain ke?"
"Sebab tu Tuhan jadikan neraka dan syurga." Lembut saja kata-kata Raid. Aku tahu dia tak sedikit pun tersinggung sewaktu aku menaikkan suara tadi.
Aku tak mampu menyambung kisah luka dalam hati. Tak mahu untuk banjir air mata di hadapan Raid. Terus aku melencong membuka cerita lain.
"Apa hal kau kata tadi kau sibuk terjun? Belajar terjun?"
"Untuk ikhtiar hidup. Kena siap siaga. Pengalaman baru. Hidup pun tak jemu. Kau macam mana? Selain rutin kerja, buat apa? Abah kau sihat?"
"Abah aku sihat. Aku ni macam kau tengok. Hidup aku kan bosan."
"Banyak mission, banyak waktu di field work pun bosan?"
Oh, kali ini Raid buat aku terpancung. Berkerut dahi aku memandang Raid.
"Come on... Semua orang boleh agak, kau ada crush dengan Ziyad!"
"Kau salah terjah kut. Kau tahu tak, aku betul-betul benci dia. Banyak benda yang aku nak selongkar dari dia..."
"Kenapa kau cakap macam tu?"
"Entah. Aku tak boleh bersangka baik dengan dia. DA dengan kroninya, termasuk dia... Ah, semua sama aje!"
"Kita tak ada bukti kalau nak tuduh macam tu. Macam menembak angin. Mata pula tertutup, kau tembak membabi buta."
"Tapi kau sendiri ada jadi saksi, kan? Masa abah aku kemalangan, kenapa tiba-tiba dia ada? Apa dia buat dekat situ? Macam mana dia tahu? Kemudian masa tu juga kebun abah aku terbakar? Apa semua tu? Entahlah... Hati aku kuat rasa, dia antara mastermind semua ni. Kau nak kata semua tu kebetulan?" Aku tak peduli kalau mulut aku macam murai tercabut ekor. Tapi memang hati aku penuh syak wasangka pada lelaki tu.
"Kau tak mahu tanya, kenapa aku pun boleh tergerak hati nak bawa kau ke situ? Kau tak mahu tahu macam mana aku boleh tahu?"
Soalan Raid amat menduga aku. Tak fasal-fasal rasa marah pula.
"Kau tu, apa yang kau tak tahu? Semua benda kau tahu. Semua benda macam dalam radar kau! Yang kau nak sebelahkan dia kenapa?" Suara aku sedikit radang.
"Bukan. Kita jangan terjun dalam gaung kalau kita tak bersedia. Kita kalau bergerak dalam gelap, terjun dalam gelap, tetap boleh... Asalkan kita bersedia."
Tercebik aku mendengar teguran Raid.
"Memanglah kita kena bersedia, tapi dalam masa yang sama kita juga ada akal, ada gerak hati... Ada waktu gerak hati kita tu betul."
"Gerak hati aku rasa, kau sebetulnya sukakan Ziyad, bukan?"
"Hei, aku dah lama tak bagi orang flying kick okey... Dia yang selalu ada tempat aku pergi." Pantas aku memintas kata-kata Raid. Sumpah menyirap darah aku.
"Bukan kau yang perhatikan dia?"
"Kalau aku buat macam tu pun, aku ikut arahan Dato Khan. Dragon Fire punya perintah. Aku ni cuma memegang amanah. No mission too difficult. No sacrifice too great. Duty first!" Cepat aku berhujah.
"Okey. Aku percaya cakap kau. Tapi aku ada mata helang, aku ada mata serigala. Aku ada mata hati, Yasmin."
Ouch! Kali ini rasa membuak geram aku pada Raid. Bencinya. Kenapa dia masih nak menangkan Ziyad?
"Belajar kawal kemarahan, Yasmin. Kau dengan aku dah lalui saat paling perit dalam hidup. Kau pernah jadi pelarian dari darah daging sendiri. Aku pun hilang keluarga. Tapi kau patut bersyukur, kau ada abah lagi. Kau masih ada karamah doa abah kau."
Nafas aku terasa tersangkut di dada. Aku benci untuk menangis. Aku tahan dan telan rasa sebak ini.
"Orang tak rasa apa yang aku rasa, Raid. Bila abah dengan mama bercerai, azab hidup aku. Mama buat abah jadi sehelai sepinggang. Hidup macam merempat. Pisahkan aku dengan abah. Entah. Aku rasa selain daripada jasa melahirkan aku, aku tak nampak di mana kebaikan dan mulianya bekas bini abah aku tu."
Kejam? Biarlah kalau Raid nak kata aku kejam. Nak tuduh hati aku kaudu. Memang itu hakikat sejarah silam aku.
"Allah uji sebab Allah sayang kau. Allah angkat darjat engkau, Allah uji kesabaran kau. Dah tertulis, kerjaya kau macam ni. Buat dengan ikhlas. Di pundak kita ni tergalas amanah. Aku selalu fikir dan pujuk hati. Setiap tindakan aku mungkin menyakitkan satu kelompok kecil tapi ada jutaan rakyat yang menangis, teraniaya dan hidup sengsara, yang siang malam berdoa pada Tuhan, hentikan segala kezaliman ni. Memikirkan doa yang ramai itu, aku jadi kuat. Orang tak kenal aku, tak mengapa... Tapi aku percaya, aku kuat kerana itu."
Aku diam memandang langit biru di luar sana. Awan cantik merenda langit amat meneduhkan jiwa. Aku terus dengan keangkuhan. Tak mahu menangis walau setitik kalau bercakap hal mama dan abah.
"Kau ditinggalkan dengan segala kemewahan. Kau tak rasa macam mana hidup tersepit bila orang tua kau bercerai."
Aku rasa cerita duka aku itu sudah cukup nestapa, tapi Raid pantas memotong. "Kau pernah rasa beban perasaan tak, macam mana bila kau tahu ayah kau mati dibunuh sebab nak selamatkan kau? Kau pernah tak siang malam tidur meracau sebab terbayang-bayang cerita ayah kau mati sampai ulat dan langau mayat datang hinggap dengan keadaan kau di sisi dia? Kau pernah rasa tu semua? Tak, bukan? Kalau aku boleh bangkit, kau pun boleh."
Aku terpanar mendengar kata-kata itu. Ya, memang aku tahu kisah yang satu itu. Raid ditemui tinggal nyawa-nyawa ikan dan mayat bapanya dengan tangan melingkari tubuh Raid, bagai memberi isyarat. Tuan Gilbert, bapa kepada Raid Arjuna itu memang mempertaruhkan nyawa melindungi anaknya sehingga nafas terakhir.
Terasa satu pukulan yang amat hebat pada hati aku yang kadangkala rapuh dan cengeng.
"Kau juga yang kata, mungkin perceraian itu jalan terbaik untuk keluarga kau. Jadi jangan kesal seumur hidup. Jangan jadikan itu alasan untuk kau nak meroyan tak tentu hala."
Tercebik aku apabila mendengar kata-kata Raid.
"Terpulang kalau kau nak tercebik sampai bibir labuh ke lutut. Aku cakap benda yang betul, kan?"
Aku menghela nafas. Kalau bercerita hal perasaan dan kisah silam, aku jadi sebal.
"Entahlah!" Aku menjawab sepatah.
"Move on, Yasmin. Kisah lama kita, takdir hidup kita, jadikan kita sekarang ni. Duit boleh dicari, pengalaman tu tak ada galang ganti."
"Yalah... Yalah... Ya, Tuan Raid Arjuna." Aku pantas menjawab sambil menjelir lidah sebelum menyambung. "Duit boleh dicari ya... Boleh pinjamkan aku empat juta ringgit tak? Nak buat modal berniagalah, tuan. Business aku sakit sekarang."
"Membongaklah kau!"
Kami sama-sama tergelak besar.
"Nak duit aku, jadi pencacai aku. Jadi macai. Mahu?"
Berderai lagi tawa kami. Dalam sinis ada jenaka dan dalam lucu ada tamsilan pada kata-kata Raid Arjuna. Dia memang umpama malaikat pelindung untuk aku sejak aku mencari dia melalui pesanan abah. Mudah-mudahan saja, Allah s.w.t melindungi lelaki ini.
Hidup aku ini ada ketika bagai satu catatan perjalanan yang panjang, penuh ribut dan taufan. Hanya abah kekuatan aku. Berkat restu abah, aku mengenali Raid Arjuna. Lelaki inilah yang menggalas tanggungjawab yang abah berikan kepadanya. Aku dilentur dan dilindungi. Aku dilentur agar menjadi perempuan yang penuh kecintaan kepada bangsa sendiri. Aku diasuh agar berasa jijik pada kezaliman dan penganiayaan terhadap rakyat. Paling menghibakan aku, Raid Arjuna sanggup berkorban nyawa untuk memastikan aku selamat dan tidak dirampas dari abah.
Syukur Tuhan, biar ada ribut taufan dalam hidup, aku masih berasa nikmat bahagia yang sederhana.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro