Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 3

Ziyad El Zamri

Angin bukan rahsia, hembusannya terasa

Keangkuhan bos besar aku bagai tergugat hanya kerana satu panggilan telefon.

"Apa? Report Bank Saudi? Macam mana boleh bocor?" Ruang kebal yang rahsia di Sorga Nefertiti ini seperti menumbuhkan kegelapan. Sekilas dapat kulihat gerak tubuh DA. Bagai ada yang menikam ketenangannya.

Suara DA bergema di ruang kerja rahsianya yang terletak di aras bawah tanah rumah agamnya.

Aku yang sedang meneliti beberapa fail jadi terganggu. Kerut wajah DA amat tegang. Dia yang sedang duduk tersandar pada king throne chairnya, pantas berdiri, berpaling pada skrin belakang. Skrin jernih itu dari luar tampak seperti tingkap biasa.

Tetapi dari kamar rahsia ini, ia tampak jernih, lut sinar tetapi apabila disentuh, segala data yang dikehendaki DA semua mengerdip jelas. Tertera bagai skrin komputer nan canggih.

"Buat apa yang patut. Kita kena halang. Ingat biar pecah di perut, jangan pecah di mulut. Dia sedar atau tidak, arahan ini daripada siapa? Dia tak tahu siapa DA ke? Kalau dia tak kenal, kita bagi kasi jelas!"

Aku seperti dapat menganggak isu apa yang buat DA naik angin. Ini mesti isu Bank Saudi.

DA menggamit aku. Dia menunjuk ke arah kabinet yang menyimpan fail merahnya. Kabinet itu bukan boleh dibuka menggunakan kunci. Ada nombor kod khas untuk membukanya. Hanya aku, DA dan Datin Naila yang tahu kod rahsia itu.

DA memberi isyarat pantas. Dia masih dengan panggilan tadi. Perbincangan tampak semakin genting.

Aku yang mengikut perintah, pantas menghulurkan tiga fail merah dari dalam kabinet besi itu. Matanya mencerlang menyelak setiap helaian laporan pada fail merah itu. Aku terus ke tepi. Aku tahu kalau isu Infinity, tugasan aku ada hadnya. Ada batas sempadan.

"Data dengan maklumat bila yang bocor?" DA masih lagi menyelak kasar setiap halaman fail merah. Aku memandang dengan perasaan yang berkecamuk. Aku tahu kalau tak ada hal mendesak, DA takkan selongkar fail merah ini.

"Siapa punya kerja ni? Macam mana tiba-tiba baru tahu? Mesti ada tali barut? Cari barua tu sampai dapat!"

Butang Loudspeaker ditekan, gagang telefon dihempaskan. DA bercakap sambil tersandar. Wajahnya merusuh. Aku menyambung kerja aku. Tapi keadaan yang ribut itu membuat aku gagal untuk fokus.

Nada DA semakin memetir. Perbualan orang di sebelah sana memang jelas aku dengar. Itu suara Datuk Taufan. Orang kepercayaan DA yang memang sengaja diletakkan sebagai ahli lembaga pengarah di Bank Saudi, menjadi mata, telinga dan segala deria DA.

Aku sendiri ada ketikanya diminta DA, menyampaikan beberapa surat atau fail sulit kepada Datuk Taufan. Kalau berjumpa Datuk Taufan, memang urusan kami sekitar trek joging aku di Bukit Gasing. Selalunya kami tak bersembang pun. Berselisih, angkat kening, hulurkan fail dan kami bawa haluan sendiri.

"Macam dapat agak bastard mana yang buat laporan polis ni."

"Laporan?" Kepala aku sendiri tertoleh. Telinga tumpang dengar. Ada yang dah terbocor? Aku seperti tidak percaya.

"Yup. Fasal duit masuk dalam personal akaun. Fasal sekian-sekian jumlah yang kita bawa keluar."

"Tahu siapa?" Nada DA macam biasa sejuk. Macam beku. Tapi aku percaya ada api yang menjulang di dada.

Aku yang mendengar semakin berselirat urat kepala.

"Puncanya kes Syed Badrul."

"Syed Badrul?"

Aku sendiri terbayang lelaki hidung belang itu.

"Syed Badrul, anak kawan kita tu?" Mendatar suara DA.

Siapa tak kenal, anak menteri kabinet yang juga merupakan salah seorang daripada ahli lembaga pengarah Mentari City Berhad.

"Don Juan tu buat apa?"

"Puncanya semua dari benda paling bodoh girlfriend dia buat."

"Isunya?" DA menagih Datuk Taufan berterus terang.

"This spoiled brat hadiahkan skandal dia satu mansion. Beli pula dekat Melbourne. Nak jadikan cerita, girlfriend pula bimbo. Pergi buat house warming party. Angkut segala kawan. Ajak press siap overnight dekat sana."

"Prince Joni tahu?" Aku melihat DA sudah memikirkan sesuatu. Lengannya menongkat dagu. Seperti memikir jauh. Aku lihat cuping telinga DA sudah meruap merah.

"Kami dah maklumkan. Perempuan simpanan Syed Badrul yang nama Raisya ni dah pergi jaja cerita. Mansion tu harga dalam USD45 juta."

"Gila! Damn stupid! Bloody idiot. Kenapa bodoh sangat Si Badrul ni? Why he is so Bedul and Bendul? Yang dia nak ikut cara Prince Joni kenapa? Inilah masalahnya. Orang bergundik, awak nak bergundik. Tapi tak cerdik. Gundik orang lain level Hollywood. Yang dia ni pilih budak kampung.com." DA sudah mula mencarut-carut. Dia menggeleng-geleng.

"The owners are asking between A$45 million and A$50 million - US$36.43 million and US$40.48 million. A price that could beat out a state record set last year from the same neighbourhood. Kalau dah jadi macam ni, press dah tahu, media sosial dah heboh, harus orang dekat sini korek sampai lubang cacing."

"Bullshit!"

"Betina tulah punya punca semua ni!"

"Dah leak betul ke story ni?"

"Nanti saya send gambar artikel tu. Ada dalam Herald Sun. Gila apa kalau dah heboh kat situ. Morning newspaper orang Melbourne tu."

Aku memandang DA. Matanya semakin membuntang.

"Jadi macam mana, bos?"

"Kita tenang-tenang aje dulu."

"Habis tu, bos?"

"Biar aku fikir dulu."

Perbualan mereka terhenti di situ. Wajah DA seketika aku lihat beku dan seperti menarik nafas dalam-dalam. Aku percaya, jauh di dasar hati lelaki itu, ada ribut bakal menerjah.

"Kau rasa macam mana?" Tiba-tiba DA berpaling pada aku.

"Gerak hati bos macam mana? Selalu itu yang terbaik."

"Kalau dah isu ni Syed Badrul punya hal, biar orang-orang dia jugalah yang selesaikan."

Aku berkerut memandang DA. Memang wajah itu mendatar tanpa emosi tapi ada waktu cara dia berfikir, tak terjangkau dek akal aku.

"Orang-orang dia? Maksudnya?"

"Kalau dah dia yang buat onar, kita serahkan pada Datuk Syed Ehsan selesaikan." Perlahan tapi tegas nada DA.

Aku sudah terbayang susuk tubuh Datuk Syed Ehsan. Lelaki itu separuh botak, berjambang dan memang bengis dalam kalangan rakan-rakan. Kalau ada sidang media, memang boleh sunyi sepi jadinya. Salah tanya, mahu diherdiknya wakil media.

"Datuk Syed Ehsan aje boleh uruskan isu anak dia ni. Sekali dia masuk campur, semua boleh jadi bisu." Ada nada sinis di hujung ayat DA. Lelaki ini bagai boleh membaca apa yang berlegar di kepala aku. Licik dan liar Si Syed Badrul, biar bapanya saja yang selesaikan.

"Uruskan aku jumpa Datuk Syed Ehsan malam ni." DA memberi arahan.

Tiba-tiba lampu merah isyarat ada orang di pintu luar berkedip. DA menjeling ke arah skrinnya sebelum Datin Naila yang sudah siap dengan selendang tersangkut di bahu muncul di pintu.

"Kata nak ke resort. Tak siap lagi? Semua dah tunggu dekat luar." Datin Naila memandang DA sebelum mengerling ke jam tangannya.

Anak mata aku melayang dan hinggap ke pergelangan tangan Datin Naila. Pergh! Berpeluh aku memandang gelang tangan bertatah permata berlian kuning jernih. Malah, cincinnya juga amat menggiurkan. Tak silapku, itulah cincin hadiah hari lahir yang diberi oleh pelakon Richard Burton kepada Elizabeth Taylor sebagai tanda cinta. Bukan calang-calang orang dapat merasa pakai cincin pelakon Hollywood.

"Ada apa-apa lagi, bos?"

Aku bertanya DA.

"Nope."

"Saya keluar dulu."

"Errr... Nanti, Ziyad. Tolong, ambil kotak warna hijau dalam peti nombor lima."

Aku yang memegang amanah, segera ke ruang simpanan peti besi yang bersusun di kamar khas. Aras bawah tanah ini memang banyak ruang-ruang terpisah yang agak mengelirukan. Hanya mereka yang biasa saja dapat meneka apa ada di sebalik dinding atau di balik kaca mahupun cermin yang berkilau.

Aku membuka peti besi itu dengan cermat. Nombor kod aku masukkan dengan hati-hati. Semuanya memang aku sudah hafal di kepala.

Kotak hijau baldu sebesar saiz kertas A4 aku bawa keluar dan letak di meja DA.

"Untuk you, Naila." Raut wajah DA tetap tanpa garis emosi. Tapi aku dapat melihat Datin Naila bercahaya air mukanya.

"Daripada siapa ni?" Teruja sungguh Datin Naila.

Aku sendiri sudah tak mampu kira, entah berapa banyak agaknya kotak hadiah yang diterima. Dah tak ada ruang di rumah agam ini untuk simpan barang hadiah saja. Itupun arahan sudah diberi. Dua rumah lain di Bukit Pelangi menjadi ruang khas simpanan barang Datin Naila.

"Prince Joni."

Kotak baldu itu sudah dibuka. Seperti aku jangka, barangnya gelang Chopard edisi terhad. Itu yang dibisikkan DA kepada Prince Joni sewaktu dia dalam rangka lawatan ke Afrika Selatan bulan lepas.

"Gosh! Macam tak percaya I dapat benda ni. Thank you, darling. Love you!"

Aku buat-buat tak pandang. Terima kasih kepada suami, tapi yang diciumnya gelang itu.

"Bila sampai ni, darling?"

"Bila ya, Ziyad?" Aku yang terleka memandang gelang yang sudah mendakap pergelangan tangan Datin Naila, terkejut seketika.

"Tiga hari lepas."

"Oh..."

"Semua orang sayangkan Datin!" Aku membalas sambil tersenyum.

"Terima kasih, Ziyad. Thank you, darling. I'am the luckiest woman in the world." Datin Naila masih tak habis membelek gelang di tangan sendiri. Nota yang tersisip untuknya daripada Prince Joni haram tak dibacanya.

"Terus pakai. Kalau press ambil gambar pun, let it be. Biar orang tahu."

Mesej aku berbunyi.

"Bos, team di resort ramai yang dah sampai." Aku mengingatkan.

DA mengangguk. Aku kemudian meninggalkan DA dan Datin Naila.

Ada dua lapis pintu berkaca yang harus aku lalui sebelum betul-betul keluar dari pejabat DA. Lapisan ketiga pintu besi yang agam seperti bilik kebal.

Tidak sampai setengah jam, aku menerima mesej daripada DA, minta aku bergerak dahulu.

"Ada urgent matters. Aku lambat 30 minit."

Macam biasa, aku yang mengikut arahan, tanpa banyak soal, entourage DA berpecah dua. Ada yang mengikut aku dan separuh lagi bakal mengiringi DA.

Seperti aku jangka, ramai tetamu sudah menanti. Kawalan keselamatan dan polis trafik berada di setiap check point. Tentunya semua hampa melihat konvoi kami apabila mengetahui DA belum sampai-sampai lagi.

Aku memberi isyarat kepada penganjur forum. Biar tetamu dihiburkan dengan artis jemputan dahulu untuk menghilangkan keresahan.

"Bravo, Ziyad! DA tu kenapa? Harga jam juta-juta kut... Itupun tak boleh nak tepat waktu, ya!"

Berdesing telinga aku tetapi suara yang menyinggah itu membuat aku tak mampu untuk marah.

Aku berpaling. Wajah bujur itu sebetulnya manis dan asyik dipandang tetapi kalau bercakap memang berbisa. Renungan mata bundar itu pun memang sinikal.

"Berapa lama lagi nak tunggu ni? Buat malu tanah air kita ni aje pada delegasi luar. Janji Melayu macam ni la! Tipikal sungguh!"

Aku menggaru kepala yang tak gatal. Kalau dengan orang lain, mahu semua gerun dengan aku. Hello, ini Ziyad El Zamri. Siapa yang tak kenal, kan? Tapi setegas-tegas aku, dengan gadis yang lampai ini, aku selalunya kalah!

"Kau nak makan? Jom, aku belanja."

"Terima kasih. Aku bawa bekal air dengan pulut panggang. Taraaa..."

Dia membuka zip beg galasnya. Huh! Sungguh, memang ada botol air mineral dan dua ketul pulut panggang.

"Macaroon sini sedap tau. Marilah aku belanja. Sempat lagi ni. DA sampai lewat."

"Huh, aku ni tekak Melayu. Tak reti benda-benda Perancis ni... Takut termakan duit rakyat pun satu hal juga."

Dush! Terasa aku kena tinju di muka.

"Kau buat apa sini?"

"Kau ingat orang macam DA aje boleh cakap fasal ekonomi? Rakyat marhaen macam aku tak boleh?"

"Kau wakilkan bos kau ya?"

"Aku wakil rakyat jelata." Yasmin mengenyit mata. Bibir yang cantik ulasnya itu senyum mengejek tapi aku memandang penuh dengan helaan nafas.

Tak berapa lama kemudian, aku dapat isyarat dari pegawai protokol, kenderaan DA dalam perjalanan masuk menghala lobi.

"Aku nak ikut kau boleh? Nak jumpa DA?" Yasmin tiba-tiba membuat aku tergamam. Jarang aku melayan kalau ada yang mengumpan aku untuk akses DA.

"Hurm, kau tunggu sini dulu."

Dia senyum-senyum nakal sambil mengunyah pulut panggang. Gayanya yang bersahaja amat mendebarkan. Aku tahu dia sendiri bukan perempuan sembarangan.

"Stay put. Aku cari kau nanti!"

"Pastikan aku dapat jumpa dia personal. Jumpa bertentang mata."

Aku berkerut. Aku memandang jam.

"Tak boleh ke? Sombongnya? Aku bukan nak bom pun bos kau tu!"

"Insya-Allah! Tunggu aku. Aku datang nanti."

Aku terus berlalu. Bergegas ke hadapan lobi. Dalam masa 10 saat, kereta hitam Toyota Century Royal muncul. Wakil media dari dalam dan luar negara, menyerbu untuk ambil gambar dan merakamkan detik penting itu.

Untuk lima minit, langkah DA terhenti di hadapan keretanya.

Wakil media meminta dia bergambar sambil memberi lambaian. Aku tahu, bukan DA yang menjadi highlight. Tapi kenderaan hitam sepanjang 20 kaki dengan ketinggiannya lebih 6.5 kaki itu yang membuat semua mata silau memandang.

Kenderaan kalis peluru dan bom granit ini memang luar biasa. Kalau ada peluru jarak dekat hatta bazooka sekali pun, DA insya-Allah terselamat.

Selesai bergambar, DA melangkah keluar dari kereta dengan penuh karisma. Langkah teratur melalui karpet merah. Aku mendapat isyarat dari earpiece aku. Iring Datin Naila.

Pantas langkah aku menyambut Datin Naila yang agak terkebelakang dari DA.

"Datin, saya pegangkan beg."

Dia tidak menolak. Beg tote yang ditempah khas dengan taburan berlian warna merah jambu dan kancing berlogokan Nefertiti, wajah isteri firaun dari Mesir itu dihulurkan tanpa memandang aku.

Datin Naila menarik sedikit selendangnya. Melindungi bahagian dahi. Mata aku yang sentiasa siap siaga tak mampu menolak rasa aneh. Kenapa dengan dahi tu? Macam ada lekuk. Macam ada luka yang agak dalam. Tapi terlindung dengan bedak yang tebal.

Mata wanita itu juga sedikit bengkak. Macam ada sisa air mata.

Aku berkerut sendiri. Huh, dasar perempuan tak pernah rasa susah! Dah dapat gelang Chopard edisi terhad kot... Menangis juga! Entah apa lagi rengek dan mahunya! Aku seperti dapat membaca raut wajah Datin Naila.

Selesai urusan dan tatkala DA selesai taklimat, aku mencari-cari kelibat Yasmin. Masa senggang untuk DA menikmati kopi Americano ada dalam lima belas minit. Cukup aku rasa untuk menyampaikan hajat Yasmin.

Aku jengah di kawasan teres, dia tiada. Aku tinjau di ruang banquet, pun tak nampak dia.

Cuba ke dewan forum... Huh, semua delegasi sudah ada. Ke mana dia? Mana si gadis lampai yang selalu mengikat bandana scarf itu?

"Tuan Ziyad, ada nota untuk tuan." Sedang mata aku cuba mencari kelibatnya, lengan aku dicuit oleh pengurus hotel yang bertugas untuk majlis ini.

Aku buka kertas putih berlipat dari sampul surat berlogo hotel.

Aku tunggu kau. Lama. Janji dinodai lagi ke? Jangan jadi khalifah yang pandai menabur janji - Yasmin Qawlah Azwar.

Spontan aku terbayang senyum senget Yasmin dengan kening terangkat sebelahnya. Wajahnya kalau mengejek aku. Huh! Kau yang kurang sabar, Yasmin! Dan sepanjang hari itu aku terasa hambar. Jangan tanya kenapa. Aku sendiri tiada jawapan. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro