Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 2

Yasmin Qawlah Azwar

Maaf, bayang dirimu pun aku benci!

Malam ini aku curi-curi menyelinap masuk ke hospital. Aku tahu, aku pasti dimarahi Raid Arjuna kalau tahu aku keluar dari kawalan dan seliaannya. Aku tidur menangkupkan muka di hujung kaki abah.

Ya, malam itu aku tidur di kakinya sehingga subuh. Terlalu sayu perasaan aku malam itu. Aku mencium tangannya. Aku mencium jari-jarinya. Air mata aku menitik kerana merasai kesakitannya. Di ambang pintu wad, dengan udara pekat yang larut dengan bau ubat, mengapung di segenap penjuru kamar yang terpengap ini, aku melihat dia terbaring di hospital. Mukanya tampak bengkak, sembab dan ada kesan darah kering merata-rata pada kulit wajah yang calar-balar. Nyawa aku seakan terlucut ke kaki.

"Abah!" Aku menangis dalam diam sambil melihat dia lena.

Aku tak tahu bagaimana Raid boleh bergegas ke tempat abah kemalangan. Mujur aku mengikut Raid tanpa banyak soal. Memang aku tak sempat bertanya banyak pada Raid, siapa yang bisikkan pada dia, abah bakal ditimpa musibah. Aku tak boleh menghilangkan prasangka yang berlegar dalam jiwa. Aku tahu ada dajal yang menganiaya abah.

Kereta abah remuk. Khabarnya terbalik dan berpusing semula selepas dia menghentam penghadang konkrit jalan raya. Mujur abah tak tercampak keluar. Mujur abah tak terjerumus menembus cermin hadapan. Mujur kaki abah tak terperangkap.

Sungguh! Memandang sendiri keadaan kereta abah yang hancur itu, semua yang melihatnya berulang kali menyebut. "Pak Cik Azwar dilindungi Allah. Ada malaikat yang menyambutnya."

Aku bergenang air mata mendengarnya. Rezeki abah panjang umur sebab aku tahu, abah sebaik-baik lelaki. Dan bertambah sebak rasa apabila ada yang berbisik. "Kalau orang lain dalam kereta yang hancur macam tu, memang dah mati rasanya!"

Semoga Allah pinjamkan abah lebih lama lagi untuk aku. Dalam hidup yang semakin penuh cabaran, aku selalu bermimpi alangkah indahnya jika aku boleh sentiasa berada di sisi abah selalu.

Malam ini sehingga subuh, aku terus memujuk diri. Tenanglah Yasmin, peluk dan tidurlah di kaki abah. Aku usap kaki abah. Sebelum dia terjaga. Pantas aku mendekati abah.

"Yasmin tak penat? Memandu jauh-jauh jumpa abah?"

"Tak, abah."

"Yasmin, hati-hati memandu. Jangan jadi macam abah. Nanti tak ada siapa nak tolong jaga." Aku sebak mendengar kata abah. Mata abah sekejap-sekejap terpejam. Nafasnya sedikit terganggu. Sesekali terbit batuk abah dan aku lembut mengurut dadanya.

"Abah nak air?" Aku bertanya apabila dalam gelap aku dapat lihat bibirnya kering.

Abah geleng.

"Abah penat tu... Tidur, ya."

"Terima kasih ya, Yasmin... Susah-susah datang tunggu abah."

"Tak apa, abah."

"Raid mana? Yasmin datang dengan dia ke?"

"Tak, Yasmin sorang aje."

"Ke dengan Ziyad?"

Astaghfirullah! Berderau darah aku mendengar nama itu yang abah sebut. Hidup seribu tahun pun, aku tak sangka, abah boleh sebut nama dia.

"Ziyad? Abah kenal dia ke?" Aku cuba menguji abah. Entah kenapa hati jadi cemas dan cuak.

"Tak... Tapi abah dengar nama dia disebut masa abah diangkat ke dalam ambulans."

"Oh..." Aku terhilang kata sesaat.

Nama Ziyad El Zamri betul-betul bikin aku resah. Tak fasal-fasal aku jadi tertoleh-toleh. Pandang kiri dan kanan. Bimbang lelaki celaka itu ada kelibatnya mengintai abah. Mana tahu dia ada sekitar sini, bergentayangan dalam gelap mahu mengapa-apakan abah.

"Abah tidur, ya. Abah rehat, ya." Aku pujuk abah.

"Terima kasih ya, Yasmin."

Abah pejam menyambut rehatnya. Dan aku jadi gagal untuk tidur. Aku duduk di atas kerusi plastik yang keras itu dengan hati yang sangat tidak tenang. Udara hospital pekat tersejat dengan bau ubat merata-rata. Dan dalam masa yang sama, bayangan wajah Ziyad El Zamri berlegar sekeliling aku di dalam gelap ini.

Kalau tanya, aku sebetulnya benci dengan lelaki yang bernama Ziyad tu. Sebab? Panjang cerita kalau aku nak sebutkan. Nantilah. Satu demi satu nanti aku kongsikan.

Ya, banyak berpunca daripada syak wasangka aku. Prinsip aku. Rasanya kalau sesiapa tahu apa kerja dan bidang tugas Si Ziyad mesti berguni-guni sumpah seranah untuk lelaki itu.

Macai – Penjilat – Tukang juak – Pengampu – Kaki bodek. Semuanya ini memang aku rasa sesuai untuk Ziyad!

Kisahnya bermula pada petang Sabtu yang tak berapa indah dalam hidup aku. Saturday yang tak begitu saturyeay untuk aku. Mesej Dato Khan bertalu-talu masuk.

You dah siap semua dokumen tu?

Dah.

Lengkap?

Lengkap, bos.

Huh! Bos cerewet memang susah nak percaya anak buah!

Jumpa pukul tiga.

Baik, bos.

Print sekali.

Ya, bos.

Aku terbeliak memandang jam di dinding bilik.

Shit! Ni dah pukul 12 tengah hari. Bencinya! Dasar bos-bos yang bossy ni suka bagi arahan last minute ya! Tak boleh ke beritahu malam tadi ke... Subuh tadi ke!

Kau belikan aku Set Double Cheeseburger. Kopi panas nak juga.

Baik, bos!

Aku yang memegang amanah. Taat sungguh rasanya biar aku yakin pahala tu entah ke mana sebab hati tak berapa nak ikhlas.

Jangan lambat.

Ya, bos.

Aigooo... Aku belum mandi. Mana nak menghadap printer! Stress rasanya. Aku bangkit dan terus menghadap komputer. Jurnal, fail dan catatan aku berserakan di atas meja. Nak ke printer tepi meja pun macam kena meredah hutan belukar, kena selak kertas-kertas yang bertimbun. Benci!

Sambil tunggu mesin cetak comel aku bekerja, aku memandang jam kemudian membelek dahi. Huh, terasa berpasir halus jelapang dahi aku! Stress kerja punya fasal buat muka aku naik jerawat.

Aku susun dokumen yang mahu dibawa menghadap Dato Khan. Tiba-tiba aku terpandang resit dobi yang aku pakukan pada board kerja aku.

Alamak! Baju! Baju dobi aku tak ambil lagi. Hari Sabtu kedai tu tutup pukul lima petang. Kalau lepas jumpa bos besar baru nak kutip baju dobi memang tak sempat. Esok Ahad, dobi tutup. Isnin nak pakai sut keramat tu! Gila kalau tak pakai sut tu masa meeting sama Tedung. Hadoiii! Kau dah kenapa, Yasmin? Semua benda serabut! Semua benda at the wrong time, at the wrong place!

Aku pantas melompat masuk ke bilik mandi. Gosok gigi dan mandi serentak. Skill tangkas, pantas semuanya aku gunakan pada waktu ini. Macam Kung Fu Panda aku gara-gara arahan last minute Dato Khan.

Sepanjang kenal dan bekerja bawah Dato Khan, aku rasa ayat 'baik bos', 'ya bos', entah dah berapa juta kali aku lafazkan.

Aku sauk aje mana baju yang sempat di almari. Tudung pun main sarung aje! Selagi tak kena turun kerja rasmi, aku tak peduli kalau muka aku comot.

Setakat buat tugasan undercover, nak sembah duli pada Dato Khan, aku tak kuasalah nak menghadap cermin tempek bedak bagi muka nampak flawless.

Tapi kalau menghadap Tedung memang aku pastikan semua perfect ten! Baju digosok tajam bucunya, kasut kulit aku tu digosok sampai berkilat. Kira boleh buat cermin nampak gigilah! Tudung aku cantik terletak, tak herot-petot! Itu semua disiplin di mata Tedung.

Macam kaki kijang aku keluar rumah sambil kepit beg fail, angkut beg komputer riba dan capai clutch comel ajaib aku. Semua benda ni nyawa kerja aku. Laju ke kereta, kepala mengemas kini data dan arahan Dato Khan.

Beli burger bos. Huh, perut laki belum ada, perut sendiri pun tak terjaga, alih-alih kena jaga perut bos! Eh, aku nak kena ambil baju dobi dulu! Pantas kereta membelok laluan ke Hijrah Dobi yang tak jauh dari kawasan perumahan aku.

"Hai, adik manis!" Uncle Firdaus Lee, mualaf yang jadi tauke dobi, ramah menegur aku dari jauh.

"Busylah, uncle."

"Patutlah muka kurang dua sudu gula ini hari." Uncle Firdaus berbasa-basi dengan aku.

Di kaunter dobi itu memang bersusun bungkusan-bungkusan baju yang siap ada pelekat nama. Sewaktu aku ke situ, aku perasan ada seorang mamat yang macam aku kenal mukanya, tersenyum memandang aku. Macam biasa, aku stress, aku busy, aku tak ada masa nak balas senyuman orang.

"Tuan Ziyad busy outstation ke? Jarang nampak." Uncle Firdaus kemudian menegur mamat itu. Betullah! Memang dia orangnya. Aku tercebik sendirian. Meluat.

"Sekarang bos besar saya sibuk keluar berkempen. Saya kena ikut."

"Tuan Ziyad orang penting."

Bluerkkk! Tak fasal-fasal aku terasa mahu muntah.

"Saya kerja aje. Makan gaji. Saya ni Ah Chai. Budak suruhan."

Eloklah! Sedar diri! Kau tu menempek aje. Membodek! Tukang jilat bos!

Huh, tak fasal-fasal aku dapat dosa kering sumpah seranah sendiri. Memang Ziyad tu tak ada dosa pun dengan aku... Tapi, errr... Entahlah... Aku benci dia! Aku benci semua yang berkaitan dengan dia!

"Yasmin, hari tu ada baju yang dry clean, bukan? Nanti kejap ya, akak cari di belakang. Baju yang basuh biasa, dalam beg tu." Kak Mah, pembantu Uncle Firdaus masih mencari sut aku di rak belakang.

"Aha, yang itu dry clean."

"Kejap ya, Yasmin. Akak cari baju masuk baris Yasmin ni."

Dalam keadaan jiwa kacau, nak tergelak aku mendengar ayat Kak Mah. Baju rasmi aku tu disebutnya baju masuk baris!

"Wow! Impresif! Baju masuk baris?"

Tiba-tiba berdengung telinga aku mendengar komen lelaki sebelah aku ini. Eh, banyak mulut pula dia! Tapi aku langsung tak menoleh.

Tangan aku dah siap-siap menarik beg bungkusan baju di meja kaunter. Aku masih boleh bersabar dengan Kak Mah tapi mamat sebelah ni buat aku rasa piss off. Huh, macamlah aku tak kenal dia siapa. Banyak bunyi pula!

"Hah, ini pun dia baju sut Yasmin." Kak Mah menghulurkan aku sut yang siap berplastik dan berhanger itu. Aku terus hulur duit pada Kak Mah. Aku mahu cepat keluar dari kedai dobi ini. Tiba-tiba terasa bahang ruang yang selesa ini. Hati pula macam terbakar. Aku tahu ada mata nakal mengekori gerak tubuh aku.

"Alah, baju kokurikulum, Kak Mah. Hah, saya ni macam budak sekolah. Ada baju aktiviti luar bilik darjah."

Aku berdalih sebab tak mahu Kak Mah cakap lebih lanjut atau aku yang terlopong mulut, terlepas cerita.

"Masuk pasukan apa? Puteri Islam ke? Pandu Puteri... Eh, kalau sut putih ni Bulan Sabit Merah ke?"

Hish, ada pula mulut gatal, ya! Aku palingkan badan, terus menghadap lelaki itu. Huh, sebetulnya berderau darah. Jarak muka aku hanya sejengkal dari Ziyad. Tapi aku tetap tak mahu kalah. Aku renung dia tanpa berkerdip. Aku rasa muncung aku waktu itu boleh simpul buat reben!

Tapi tak sampai tiga saat muka diva aku termati. Mata aku terpaku pada wajahnya. Dia senyum tapi lirik matanya, macam memimpin mata aku ke satu arah. Mata aku ikut gerak matanya yang redup itu.

Mata dia senyum memandang tangan aku. Huh! Jantan gatal! Dah terbiasalah tu! Ikut perangai bos dia! Jumpa perempuan sana sini, mulalah nak berskandal. Tapi... Erkkk, apa fasal muka dia macam René Grincourt model kelahiran Perancis tu!

What the heck!

Oh, hilang upaya aku untuk kontrol ayu.

"Pandu Puteri ke, Puteri Islam ke... Bulan sabit merah ke, bulan penuh ke, sabit rumput ke, jangan jaga tepi kain orang boleh tak?"

"Ups... Aku memang pengawal peribadi."

Eheh, mamat ni nak aku cilikan mulut agaknya.

"Jaga bos kau, jaga bini bos kau, cukup. Tepi..."

Aku angkat muka mendongak ke langit, aku tinggalkan dobi itu dengan hati yang panas. Dua tangan aku penuh, kiri memegang baju dry clean, sebelah lagi dengan bungkusan baju berlipat.

"Eh, Yasmin... Ni duit baki."

"Tak apa, Kak Mah... Akak ambil. Saya sedekah. Duit saya berguni-guni ada dalam peti besi saya." Aku menjawab tanpa menoleh.

"Murah rezeki Yasmin!" laung Kak Mah girang. Aku hulur tadi duit kertas seratus. Rasanya ada berbaki RM40. Memang banyak tu. Lepas separuh duit minyak Honda CRX aku dengan baki duit itu. Tapi sebab berbulu punya fasal dengan Ziyad, dan memang niat mahu menyindir, aku sanggup jadi dermawan.

Aku memang kenal lelaki itu. Tahu namanya Ziyad El Zamri. Mahu tak kenal. Siapa aje yang tak kenal dia? Nak jumpa Datuk Adnan kena menghadap dia dulu. Mamat tu memang feeling hulubalang negara agaknya!

Bak kata khabar angin, kalau ada sebarang majlis, Ziyad akan rasa makanan DA dulu. Siapa DA? Datuk Adnanlah! Kiranya kalau ada orang letak racun tikus ke, letak paraquat ke... Atau nak bagi santau angin pada DA dengan bini dia Naila tu... Ziyad ni jalan dulu! Sebelum DA dengan si ratu Naila tu rebah, Ziyad akan muntah darah tujuh baldi dulu, baru berusung ke hospital.

Aku tengok jam. Shit! Lagi empat puluh minit menghampiri pukul tiga petang. Pantas aku memecut ke arah McDonalds. Rasa mahu terbang dan potong barisan aje bila terpandang kereta berderet pada laluan drive-thru.

Aku terus melencong masuk ke laluan biasa dan memarkir kereta.

"Set Double Cheeseburger dua. Satu kopi panas. Errr... Sunday Choc satu, ya."

"Makan sini ke take away?"

"Take away."

Aku terasa semakin berpeluh memandang jam di tangan.

"Errr, miss... Lagi satu set tunggu kejap, ya."

"Lama?"

Huh! Aku semakin gelisah. Rasa mahu terjah ke dapurnya tolong buatkan burger.

Memang nampak huru-hara dapur mereka tatkala itu.

"Dua minit."

"Oh, okey."

Mahu tak mahu, aku beranjak ke tepi. Tapi disebabkan ramai pelanggan yang sedang beratur di belakang aku, dulang aku pun tak ada ruang untuk ke tepi. Sudahnya aku angkat dulang yang ada bungkusan pertama bersama aiskrim Sunday. Mujur ada meja kosong di hujung sana. Aku letakkan dulang itu dan kembali menunggu di tepi kaunter.

Selepas tiga minit 15 saat aku menunggu, adik yang mengambil oder menghulurkan aku bungkusan kedua.

"Sorry ya, miss."

Aku angguk, bangun untuk capai bungkusan dan terus menonong ke meja aku kembali.

Dan tiba-tiba... Gosh!

Mahu terpelanting biji mata aku memandang ke arah meja yang ada dulang aku tadi.

Bangang!

Kurang ajar punya lelaki. Selamba badak dia makan aiskrim aku!

"Hei, kau ni apa masalah, ya? Apa masalah kau, Ziyad?" Aku tak peduli kalau ada yang kata aku kurang ajar. Tapi mamat ni dah main kasar. Aku tengah serabut nak kejar masa, boleh pula dia tak peduli halal ke haram, mentekedarah aiskrim aku.

"Hei, kau ni sama macam bos kau DA tu, ya? Memang sejenis spesies suka makan benda haram, ya?"

Pergi mati kalau ada orang keliling yang nak tengok drama sinetron ni! Aku dah berdiri tegak di depan Ziyad. Mamat kurang ajar ini boleh pula terus mengunyah macam aku tunggul di depan dia.

"Helo! Assalamualaikum! Kau dah kenapa?"

Ziyad aku tengok seperti tersedak. Aku hilang sabar. Dia tersedak. Ah, aku peduli apa... Kalau dia mati tercekik depan aku pun, tak ada aku kesah pun! Dasar perangai goblok! Dasar penyapu buruk! Semua hak orang kau sapu!

Aku mendidih tapi dia tenang setenangnya. Dia tolak ke tepi aiskrim. Dia capai pula burger aku tu... Haish, menggelegak darah ke puncak kepala.

Aku terus duduk di depannya. Dia baru mahu menggigit burger itu, aku terus rampas.

"Hei, Yasmin!"

Suara Ziyad terhenti apabila dia terdiam memandang aku betul-betul merampas burger itu. Aku memang geram. Aku nganga besar dan aku kunyah sepenuh mulut aku. Hodoh? Buruk muka aku? Ada aku kesah?!

Aku makan separuh burger itu. Aku capai pula aiskrim. Aku suap tiga sudu terus ke mulut. Puas hati aku apabila tengok Ziyad terkulat-kulat. Apa dia fikir, setakat dia jadi bodyguard DA dengan Datin Naila tu, aku takut?!

"Kau lapar sangat ke?" Memang tak berkelip muka Ziyad memandang aku. Terus aku rasa menang! Baru kau tahu takut dengan aku, Ziyad!

"Assalamualaikum... Ni tadi adik punya ke?"

Aku baru saja mengesat sisa aiskrim di juring bibir, tiba-tiba ditegur oleh mak cik tukang kemas meja McDonalds.

"Ni dulang adik, kan... Terbiar dekat meja tu, takut orang lain ambil pula."

Astaghfirullah... Aku pandang dulang yang tak berusik itu dan aku pandang dulang yang aku rampas dari Ziyad! Ohmaiii! Kali ini betul-betul mata aku terasa terkeluar dari soket! Aku senyum segaris pada mak cik itu, ucap terima kasih dan pandang Ziyad dengan renungan kosong.

Errr... Aku dah sendawa kenyang rasanya! Dan, ya, rasa sebulan ini aku haramkan diri dari jejak ke McDonalds yang satu ini. Benci!!!

Ziyad senyum. Sumpah memang muka dia manis. Redup sungguh mata dia! Tapi aku... Macam taufan datang menghenyak kepala aku.

Tapi gemuruh itu hanya pada dasar tujuh lapis kulit ini! Ya, kulit aku terasa jadi tebal macam buaya bujang!

Kalau pandang muka aku saat itu, macam tandus emosi. Plain aje muka aku.

"Maaf... Tapi eh, kau sengaja ikut aku, ya!"

Entah. Aku tak pernah nak bersangka baik kalau dengan manusia yang menjadi kroni DA. Come on... Manusia yang suka menyeleweng, yang tak jujur, mencuri hak orang... Ingat aku nak percaya?

"Kau terambil bungkusan dobi aku. Ni kau punya, kan?" Tiba-tiba dari tepi Ziyad, dia hulurkan aku bungkusan dobi.

"Tu baju tidur kau kan..." Terasa mencair kornea mata aku apabila Ziyad suakan bungkusan yang sudah dikoyak sedikit. Huwaaa... Macam mana baju tidur aku corak Angry Birds tu ada pada dia?

"Kau kelam-kabut tadi. Terambil bungkusan aku."

"Ohhh..." Kali ini mulut aku terasa kejang.

Maka dengan segala berat hati, aku terpaksa rela membiarkan Ziyad ikut aku ke kereta. Betullah! Betullah. Aku terambil bungkusan dobi dia. Aku intai sedikit bungkusan itu. Memang nampak celana panjang lelaki.

Hadoiii! Aku capai dompet... Aku hulur dia duit RM20.

"Buat apa?"

"Ganti rugi aku dah makan burger kau."

"Tak apa. Aku halalkan. Kita pesan benda yang sama. Selera sama."

Aku terdiam. Hati masih radang. Aku masih penuh syak wasangka.

"Hei, aku keluar dulu tadi, macam mana kau boleh sampai sini dulu?"

"Sis, aku ni jaga DA. Jalan celah lorong mana yang aku tak tahu?"

Aku mencebik. Sumpah terasa kalah. Tak apa... Masa banyak lagi. Aku yakin, akan ada banyak insiden kami akan bertembung. Huh, lagipun memang DA dan Datin Naila tu dalam target aku.

Petang itu memang sejarah huru-hara dalam hidup aku. Selesai dengan Ziyad, aku macam bubuh sayap pada kereta kecil aku. Rasa macam aku terbang dengan kereta kecil aku itu. Berdesup-desup aku mencelah dan mencilok! Tercungap-cungap aku menghadap Dato Khan.

Bos aku yang tak suka bercerita panjang ini. Cuma beri arahan. Aku mesti ada waktu DA menghadiri majlis Ukhwah Rakyat.

Sekian waktu, sekian tempat, jumpa sekian orang. Tunggu arahan seterusnya.

Aku sesak dada menahan seribu pertanyaan. Memang tak ada maknanya kalau aku nak bertanya. Jumpa dengan Dato Khan ni sendiri dah macam jumpa kekasih gelap. Atas bumbung bangunan.

Jangan mimpi dekat hotel mewah atau bangunan pencakar langit yang ada helipad. Ini bangunan buruk yang dah macam tempat pelacur menjual. Aku menyusup celah-celah bau hamis longkang. Naik tangga yang hancing sebelum jumpa Dato Khan. Aku pandang aje Dato Khan makan burger tadi. Penuh selera.

Huh, aku kembang tekak memandang keliling. Kotor tempat ini. Dan kalau kenangkan detik nak beli burger ni, terasa aku macam bertarung nyawa! Tapi itulah kerja aku. Hashtagnya #ilovemyjob.

Hahaha. Macam sengal kan... Tapi itulah... Kalau nak pujuk hati yang selalu sebal menjadi kuli Dato Khan, aku selalu sebut, if you asked me to, i'd do anything for you, your wish is my command. Aku yang memegang amanah.

Tapi selepas kejadian itulah, aku dengan Ziyad entah macam mana terjebak dalam love - hate - relationship. Errr, aku rasa, hate - love - hate relationship lebih sesuai. Sebab aku rasa pemberat lebih pada rasa benci dulu.

Dan lebih menyakitkan setiap kali mesyuarat, aku terserempak dengan dia lagi. Hei, sesak sangat ke dunia ni? Mana pergi mesti terjumpa dengan orang yang kau tak berapa nak gemar?

"Hai!"

"Hai!"

Aku buat bodoh.

"Lapar? Nak makan burger lagi?"

Aku menjeling. Rasa macam nak lempang dia apabila tengah majlis rasmi begini, dia nak buat kelakar. Beberapa anggota petugas yang standby di belakang pentas sudah jeling-jeling memandang aku.

"Burger? Siapa yang lapar, ya?" Aku pantas mencantas. Dia cuba mengarang skrip.

"Nanti I belanja set burger lagi ya. Kita mintak ekstra cheese!"

Nak buat ayat ropol-ropol konon! Aku pun panjangkan drama.

"Saya tak suka makan rasuah. Makan suap macam ni rasa macam makan stik daging paha manusia!"

Lantaklah kalau dia nak sentap! Aku peduli apa. Tapi aku silap. Aku ingatkan dia tersinggung. Alih-alih, elok aje dia menghampiri aku. Betul-betul berdiri di sebelah aku, matanya aku tahu memandang tanpa kalih bos dia Si DA di hadapan. Tapi sempat dia menganjingkan.

"Aku makin suka kaulah!"

Bukan sebab mulut dia macam mulut longkang aje... Tapi cara dia bercakap tu! Haish, sumpah nampak comel-comel kacak gitu!

Aku cubit pipi aku. Sakit! Entah kenapa rasa macam gampang aje perangai aku kan! Kejap benci, kejap tersuka!

Dia bisikkan pada aku, tak sempat aku nak mengelak. Ikutkan, aku mahu tepis atau bagi backhand. Kemudian dia selamba menuju ke pentas utama. Bencinya aku memandang langkahnya yang angkuh itu.

Tapi tipulah kalau kata aku tak terpesona dengan mamat ni. Mata dia redup, jambang terbentuk rapi pada wajahnya itu membuat suak dia saling tak tumpah macam René Grincourt.

Dalam tempoh sejam selepas itu aku tak nampak kelibat dia. Cepat saja dia ghaib. Entah ke mana dia susup-sasap dan jadi halimunan.

Tapi dalam pada aku sibuk-sibuk berulang-alik dari kanopi petugas ke rumah kontena yang memang khas untuk para media, tiba-tiba aku terjemuh dia lagi. Nyaris saja air kopi panas yang aku pegang tak tercurah ke baju gara-gara hampir berlaga dengan mamat ni.

"Bila lagi nak pergi dobi? Jangan ada tercicir-cicir lagi."

Selamba sungguh dia menganjing aku. Membulat mata aku. Bibir aku jadi separuh katup memandang dia. Kurang ajar.

Mujur aku waras. Kalau tak kenangkan aku ada sekepuk report nak kena sembah duli pada Dato Khan, memang aku siat-siat isi dan kulit Si Ziyad ni!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro