Bab 14
Ziyad El Zamri
Orang yang mencintai, tak pernah kering alasan
Nefertiti bermandi cahaya. Segenap penjuru terang-benderang. Dewan Cleopatra untuk sidang media sekejapan penuh. Wartawan yang bersesak-sesak dari tadi mula mengambil tempat duduk masing-masing. Krew televisyen sudah dua jam berkampung di halaman luar Nefertiti sebelum mereka dibenarkan masuk. Aku macam biasa bertugas untuk memberi isyarat buat DA, keluar dan bersedia berhadapan dengan khalayak.
Datuk Taufan dan rakan yang lain menunggu di bilik khas bersama DA di belakang pentas.
"Hai! Bila nak mula?" tegur suara yang sangat mesra dalam hati aku. Pantas aku berpaling sewaktu aku sedang sibuk dengan sistem audio di bilik krew.
"Yasmin?" tukas aku sambil berpaling. Oh, gadis ini memang luar biasa! Aku terkagum lima saat melihat wajahnya yang sangat bersahaja. Huh, macam tak ada apa-apa yang berlaku.
Dia angkat kening. "Kita orang dah lama tunggu."
Aku mengamati wajahnya. Pergh, solekan dan gaya berdandan buat wajahnya tampak berbeza. Solekan yang smokey pada kelopak mata, dengan bulu mata palsu, celak basah yang melentik pada ekor mata, bibir yang merah cili, merobah raut wajahnya. Pagi itu Yasmin memakai turban dan kemudian menggayakan topi besar berhias bunga. Dari jauh, dia tampak amat sofistikated. Penyamaran yang berjaya. Bukan seperti selalu. Lazimnya dia berwajah polos bersih dengan solekan yang tipis.
"Kenapa kau ada sini?" Tipulah kalau aku kata aku tak terkejut melihat Yasmin di sini. Minah ni memang sengaja cari nahas. Kalaulah dia tersilap langkah, mahu dia jadi arwah tak lama lagi! Penjara bawah tanah yang menjadi neraka dunia, ciptaan DA, memang banyak sebenarnya di Nefertiti.
"Suka hati akulah, aku nak datang." Macam biasa, dia menjawab dengan nada sombong sambil tersenyum sinis.
Belum sempat aku bertanya lagi, dia mendesak. "Bila nak mula ni?"
"Tunggu sepuluh minit lagi. Eh, kau datang atas kapasiti apa?" balas aku.
"Ikut suka hati akulah. Aku pun orang media kut?" Dengan wajah angkuh, dia menunjukkan pas media yang tergantung pada lehernya.
"Oh, dah jadi orang media." Aku menjawab dengan mata yang jengkel. Mujur aje hati ni ada rasa sayang, kalau tak, memang kena buku dan ruas Yasmin dengan aku.
"Kita ni kan macam sesumpah. Boleh jadi macam-macam, boleh jadi apa kita nak." Keningnya terangkat sebelah dengan kata-kata yang selalu menggugat kesabaran aku.
"Bila nak jadi orang Ziyad El Zamri?" Aku mendekati tubuh langsing itu dan dengan sengaja aku berbisik pada telinganya.
"Hidup sejuta tahun pun aku tak sudi!" Dia menjeling dan nadanya keras. Aku jadi tergelak-gelak.
"Kau berhutang nyawa dengan aku."
"Kalau suka mengungkit, hilang pahala."
"Tak ada niat mengungkit, tapi tolong ingatkan aje."
Aku tersenyum dan terasa menang apabila melihat dia tiba-tiba gelisah tatkala aku merapati dirinya. Dia yang menggayakan kemeja putih polos, berjaket hitam dan seluar hitam, tampak amat menyerlah auranya. Aku akui, biar sentiasa dihambat rasa geram dengan perangainya yang suka mencabar kesabaran aku, namun cinta aku bagai terlekat pada susuk tubuh yang tinggi lampai itu.
"Kau nak cari orang yang jadi kroni kau, kena cari orang yang gila duit, gila kuasa macam bos kau."
"Orang macam tu bersepah ada sekeliling aku. Sebab tu aku tak hairan. Aku pun tak sudi. Tapi orang yang hatinya kering, berani mati, itu yang lain daripada yang lain. Orang macam tu sampai mati pun aku tak lupa!"
Perbualan aku terganggu apabila ada signal dari belakang pentas dan kemudian telefon aku berbunyi.
"DA akan masuk bila-bila masa. Semua ambil tempat. Kawal soalan," pesan Datuk Taufan yang menjadi pengiring utama DA untuk sesi sidang media ini.
Sebaik saja tersebar berita dan gambar Sorga Nefertiti diceroboh, terlampau banyak khabar angin dan spekulasi yang bertiup kencang. Semua berteka-teki. Apa yang hilang, siapa yang merempuh masuk, berapa banyak kotak barang kemas Datin Naila yang hilang. Semua orang tampak bagai seronok membuat ulasan sendiri.
Aku kemudian berpaling. Sekelip mata kelibat Yasmin hilang dari mata. Aku menarik nafas. Aku tahu, aku sudah khianat pada ketua aku. Seharusnya aku menghalang Yasmin daripada jejak ke sini. Sepatutnya gambar muka penuh Yasmin aku cetak dan edarkan pada sekuriti Sorga Nefertiti.
Sewajarnya nama dia, awal-awal lagi aku patut larang daripada menjejakkan kaki waima di tepi gerbang Sorga Nefertiti. Tapi entahlah, dengan gadis tinggi lampai dan berwajah manis tapi hatinya keras ini, aku selalu kalah. Aku tahu sangat kesan dan akibatnya kalau DA, tertahu. Bukan setakat aku dibuang kerja, silap hari bulan, aku dihumban ke tasik belakang Sorga Nefertiti jadi makan tengah hari buaya yang dibela.
"Dah boleh mula."
DA sudah berada di meja utama sidang media. Datuk Taufan menjadi sayap kanan yang mengiringinya. Diikuti oleh Datuk Syed Ehsan. Mata helang aku menebarkan pandangan ke segenap penjuru ruang. Mencari-cari kelibat Yasmin. Ke mana aje engkau, Yasmin! Hati aku berdetak dan sangat resah sebetulnya. Terbayang, kalau-kalau gadis yang seorang ini cuba membuat provokasi.
Hampir 40 minit berlalu, aku terasa doa aku bagai dikabul Tuhan apabila semuanya berjalan dengan lancar. DA berjaya menepis segala spekulasi tentang Sorga Nefertiti. Sidang media ini aku kira berjaya membersihkan segala cakap-cakap orang tentang 'serang hendap' terhadap Sorga Nefertiti. Tiada seorang pun bertanya perihal fail merah.
Tatkala DA hendak menyudahkan ucapan, tiba-tiba ada dua orang lelaki yang tak pernah aku lihat wajahnya sebelum ini mengangkat tangan. "DA, sebelum kita bersurai, boleh DA jawab soalan-soalan kami?"
Datuk Taufan pantas mengambil mikrofon. "Sila berikan nama dan dari media mana."
Lelaki yang segak dengan rambut tersisir rapi, berbaju kemeja putih, bercelana biru gelap dan bersepatu hitam itu, berdiri memperkenalkan diri.
"Kami dari Breaking News, berpangkalan di Singapura. Saya Joshua dan ini Nevin, beribu pejabat di Hong Kong." Tampak begitu sopan mereka.
Datuk Taufan dan DA saling berbisik, sebelum DA sendiri mempelawa mereka mengajukan soalan. "Ya, orang muda. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?"
"Pertama, kami ingin mengesahkan. Apakah betul, DA menggunakan Nefertiti sebagai pusat pengumpulan harta peribadi?"
Serta-merta seluruh Dewan Cleopatra berdengung seperti lebah menghurungi sarang. Semua jadi gempar, semua jadi berbisik-bisik. Ramai tetamu memandang DA kemudian menoleh mencari wajah Nevin dan Joshua. Dua pemuda itu langsung tak menunjukkan sebarang riak. Seolah-olah kekecohan tadi bukan dari mereka.
Aku berpaling pada Datuk Taufan. Lelaki ini sekelip mata menjadi merah padam dan tampak berombak dadanya. Tatkala ini, satu pujian tetap wajar aku berikan pada DA. Dia lelaki yang langsung tak bergegar jiwanya walau ombak datang menghempas.
Aku cuba memberi isyarat pada DA agar tidak melayan soalan yang berbaur hasutan itu. Namun gerak bibir DA dapat aku baca, "biarkan." Aku kemudian yang mahu mara ke arah dua lelaki yang tak dikenali itu, berundur setapak ke belakang.
"Kedua, kami ingin penjelasan, apa komen DA apabila ramai sudah mula melemparkan tuduhan, DA meletakkan kroni-kroni untuk projek yang berkepentingan peribadi. Dan ada yang menyebut, banyak projek besar, yang dikendalikan oleh proksi-proksi DA, menyeleweng wang. Syarikat-syarikat besar yang tak jelas dan nyata fungsinya, ditubuhkan semata-mata untuk menyediakan terminal transit bagi sejumlah wang yang besar. Ringkasnya, projek macam ada, tapi kalau disiasat ia tak wujud. Tapi wang mengalir keluar. Wang yang keluar pula adalah wang rakyat."
Semakin bergemuruh Dewan Cleopatra. Datuk Taufan bagai sudah memberi isyarat kepada aku untuk mengarahkan sekuriti menghalau keluar dua tetamu yang tak diundang itu.
Namun arahan Datuk Taufan disanggah oleh DA dengan tenang.
"Nanti dulu. Kita dengar apa soalan tamu kita ini," ujar DA sambil tetap tersenyum.
"Yang ketiga, kami ingin tahu mengapa Prince Joni tanpa teragak-agak memalukan kita semua. Mengaburi mata masyarakat dengan gaya hidup mewah sedangkan wangnya adalah wang rakyat. Atas dasar apa DA 'membela' Prince Joni?"
Suasana semakin panas dan tegang tapi aku menggeleng apabila melihat wajah tenang DA. Malah sempat DA bergurau sinis apabila mikrofon dihulurkan padanya. "Saya rasa ada salah faham di sini. Saya tak pernah membela atau menyimpan Prince Joni. Apa barang saya nak simpan dia. Kalau dia tu Princess Jeni, hahaha... Sedap sikit kita nak simpan... Ya dak?"
Terburai gelak tawa para hadirin mendengar jawapan spontan DA. Dan seperti selalu DA tetap bersahaja memintas dan membalas segala soalan yang dilemparkan kepadanya. Satu demi satu disanggah oleh DA.
"Kita ni kalau buat baik pun orang kata. Kalau kita jahat, lagilah orang kata. Kadang-kadang saya pun tak faham, apa sebenarnya yang rakyat mahukan. Kita kena sabar. Kita kena berkorban. Untuk melihat perubahan dan maju setanding orang lain, kita kena ada gaya pemikiran di luar kotak. Kena berani. Orang boleh tuduh apa saja tentang kami di Nefertiti, tapi orang tak tahu, saya sampai tak cukup tidur, tak ada masa dengan keluarga, semata-mata untuk rakyat. Benda yang baik takkan hadir sekelip mata."
Penyokong-penyokong DA bertepuk sorak tanda memberi sokongan yang padu. Aku menoleh ke arah Datuk Taufan dan rakan-rakannya. Semua tampak sedikit tenang selepas itu. Mungkin jawapan dan kebijaksanaan DA menggunakan retorik tatkala berucap memberi keyakinan ramai. Dan ini tentu melegakan pengikut-pengikutnya.
"Ada lagi soalan kami yang terakhir..."
Terhenti bunyi tepukan gemuruh tadi. Semua kembali menoleh ke arah Nevin dan Joshua. Kelihatan di tengah dewan, di tempat mikrofon untuk tetamu disediakan, Joshua sudah berdiri.
"Ya, silakan." DA memberi lampu hijau.
"Terlalu banyak khabar angin menyebut, pentadbiran DA sebenarnya dibayangi oleh Datin Naila. Boleh DA jelaskan? Tak ada angin pokok takkan bergoyang. Sumber terdekat yang boleh dipercayai mengatakan DA hanya boneka, yang dicucuk hidung dan tak mampu membantah segala keputusan isteri..." Belum selesai Joshua menyoal, Datuk Taufan sudah bertempik di hadapan.
"Pengawal... Bawa keluar mereka! Biadab!"
Gempar dan kecoh seketika suasana di pentas utama.
Sewaktu lima pengawai keselamatan menghala ke arah mereka, sekali lagi DA menghalang. "Biarkan..."
"Maaf, semua. Kami perlu bertanya. Kita perlu penjelasan hal ini. Kami rasa ini untuk kebaikan DA dan seluruh masyarakat. Khabar angin begini tentu menjejaskan kepercayaan pelabur pada anda semua."
Wajah Datuk Taufan, Datuk Syed Ehsan semakin tegang. Aku dapat melihat bibir mereka terketap-ketap seperti sedang menyumpah seranah.
"Kami rasa semua setuju, pelabur luar negara akan takut dengan senario ini jikalau ia benar-benar berlaku. Pihak DA mohon beri kami penjelasan, sejauh mana kebenarannya? Maaf kalau soalan ini berbaur peribadi. Tapi kami sebagai orang yang di luar lingkungan Nefertiti perlu tahu perkara ini. Kata-kata dari DA sendiri bagi kami memberi kelegaan dan keyakinan."
DA aku lihat berbisik-bisik sebelum memegang kemas mikrofon di tangannya. Aku rasa ada berpuluh-puluh kamera dihalakan ke wajahnya sebelum semua bagai serentak berbunyi klik.
Belum sempat DA memberi jawapan pada pertanyaan dua lelaki tadi, tiba-tiba sekumpulan pegawai risikan DA sudah menyerbu tempat mereka. Kamera yang tadi menghala ke arah DA, berubah posisi. Semua memberi fokus pada Joshua dan Nevin. Aku sendiri berasa ada sesuatu yang tak kena.
Perjalanan majlis jadi terganggu. Semua yang ada di situ tergamam apabila pasukan risikan DA yang memakai pakaian awam tanpa diduga meluru ke arah Nevin dan Joshua. Keadaan menjadi gawat dan tegang. Tindakan pegawai-pegawai DA menarik dua pemuda itu keluar dari majlis, mengejutkan semua tetamu.
"Semua minta bertenang. Encik Joshua dan Nevin akan dibawa keluar untuk diambil keterangan masing-masing." Datuk Taufan kemudian menguasai majlis. Soalan Joshua dan Nevin tadi hilang di angin lalu. Dalam sekelip mata, bisik-bisik termasuk mesej bergambar yang berlegar melalui WhatsApp bergerak kencang.
"Musuh negatif. Semua siap sedia." Arahan diterima melalui earpiece aku. Suara tegang Datuk Taufan membayangkan sesuatu.
Aku menarik nafas dalam dan menghembuskannya perlahan. Keadaan benar-benar jadi sedikit ribut dan kecoh. Aku menebar pandangan sekeliling sambil terus mengamati rakaman kamera dari segenap penjuru yang terhantar ke telefon khas aku.
Gambaran visual dan audio yang ini akan diterima juga oleh pegawai sekuriti Nefertiti yang termasuk di ibu pejabat melalui komputer setelah transmisinya terkirim.
Aku scroll laju. Dua tetamu lelaki tadi ditahan kerana didapati membawa senjata dalam sidang media ini. Aku tak sempat untuk bertanya lanjut pada rakan-rakan yang lain. Dari jauh aku memerhati DA dan Datuk Taufan yang tampak lebih tenang melayan kelompok media yang datang mengerumuni mereka.
"Bawa ke mana dua lelaki malang tu? Ke bilik bedah Sorga Nefertiti atau jadi sarapan pagi buaya belakang tasik Sorga Nefertiti?"
Sigap aku menoleh ke arah suara itu. Hei, dia masih ada di sini! Macam mana puteri bunian seorang ini boleh lolos dari mata aku! Hati aku berdetak.
Terpegun sebenarnya memandang raut bujur sirih wajah itu. Mata bundarnya tersorok di sebalik kaca mata Aviator. Biar hanya memakai selendang biru laut kain kapas, kecantikannya tetap terserlah. Berbeza benar dengan kelibatnya yang aku temui tempoh hari sewaktu dia merangkak masuk dalam Sorga Nefertiti. Siapa sangka, gadis tinggi lampai ini mampu membuat terjunan waktu malam!
"Dia bawa senjata. Boleh ganggu keselamatan awam."
Yasmin mencebik sambil menanggalkan kaca mata dan disangkutnya di atas kepala. Dia masih tak puas hati.
"Ya ke bawa senjata? Kalau bawa senjata, apa kes Nefertiti ni ada sensor, ada sekuriti sebelum masuk. Bukan dia orang tu kena kepung, kemudian disumbatkan pistol bodoh tu dalam kocek, lepas tu terus digari?" Mata gadis ini melirik sinis.
"Mereka boleh bersuara melalui peguam kalau ada yang berbangkit. Kalau ada kebatilan, yang jujur tetap akan menang pada penghujung. Jangan risau, Yasmin."
"Tak risau. Teruja. Tak sabar nak tengok episod akan datang. Bos kau tu kejam macam firaun. Sesuai dengan nama tempat ni, Nefertiti."
"Yasmin, baik kau pergi..."
"Kenapa? Kau takut ke?"
"Aku tak takut. Aku sayang kau. Pergi sebelum ada yang perasan."
Dia mencebik lagi. Mata aku sesekali meliar memandang hadapan. Aku sendiri berasa tak selesa. Apa saja boleh terjadi.
"Aku cuma nak tanya sendiri."
"Tanya apa?"
"Kenapa kau tolong aku?"
"Tak sesuai kita cakap hal tu sekarang."
"Kenapa? Kau memang penjilat orang tu, bukan? Pencacai! Pengampu! Rakaman diri kau, perbualan diri kau, sentiasa bersambung pada telefon bos kau?"
Ikutkan hati, mahu aje aku tekup bibir comel itu. Cakapnya langsung tak peduli orang kiri kanan.
"Kau nak aku bagi jawapan yang macam mana?"
"Aku nak kau jawab dengan jujur. Apa maksud kau bila kau tolong aku? Kalau ada rancangan kau nak perangkap aku, tak mengapa. Aku akan pastikan sebelum kau dapat aku, kau dulu tersungkur di kaki aku."
Ayatnya sinis tapi entah mengapa aku jadi terhibur. Bibir comel itu memang mengasyikkan di mata aku.
"Kau nak tahu?"
Aku merapati dirinya. Dan spontan naluri lelaki aku mahu menduga dia. Dek kerana aku duduk di kawasan menyambut tetamu dan separuh badan aku terlindung dengan meja, aku silangkan kaki aku pada kakinya. Aku kunci pergerakan dia.
"Sakitlah! Alihkan kaki kau! Kasut kau tu kenapa hadang aku?" Dia membentak perlahan. Aku tersenyum senang. Aku menang!
"Kau jangan nak buat kelakar dekat sini. Kau nampak ni?" Sumpah aku terbeliak. Ada pin terjulur dari jam tangannya. Belum sempat aku berbuat apa-apa, dia menikam lengan aku.
"Auchhh!" Aku kemam bibir tahan sakit. Ya, ada kesan darah. Tapi aku tak peduli. Aku kunci betul-betul kakinya. Aku kemaskan lagi kedudukan aku. Memang Yasmin tak boleh bergerak.
"Degil! Lepaskan aku."
"Kalau berani, tikam aje jantung aku." Aku mencabar.
"Kau jangan cabar aku!" Dia menyahut geram. Kami saling bertingkah dalam nada perlahan. Aku sebenarnya terasa lucu dan aneh. Orang memandang dari jauh pasti ingat kami sedang bercanda manja.
"Kau tikam aje jantung aku. Sebab di situ ada hati kau yang aku simpan!" Jawapan aku itu membuat dia mendengus geram.
"Aku nak tahu... Tolong jawab. Jangan buat aku naik hantu di sini."
"Kau nak tahu... Baik... Kau dengar sini. Aku buat sebab aku suka kau! Aku sayang kau. Aku nak kau selamat. Aku tak mahu ada anggota badan kau yang berkecai dan aku yang kena kutip. Faham?" ujar aku selamba tapi tegas sambil mengesat luka kecil di lengan.
"Huh! Lepaskan aku!"
"Kenapa? Puas hati?" Aku bertanya. Wajahnya terus mencuka.
"Kau gila. Sama gila macam orang dalam Nefertiti ni."
"Cinta tak perlu alasan, sayang."
Aku kemudian melepaskan kakinya. Dia segera bangkit dan kemudian hilang di celah-celah kelibat tetamu yang amat ramai itu.
Aku tahu, aku gila. Aku tahu, aku mencari nahas. Tapi hati aku entah mengapa hanya mahu pada dia. Jangan tanya kenapa... Memang awalnya aku dan dia saling membenci. Dia perempuan keras, angkuh dan bongkak. Semangatnya kasar dan liar. Tapi dalam ketidaksempurnaan itu, aku jadi mengaguminya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro