Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 13

Ziyad El Zamri

Deras waktu menggempur, amarah berapi disimbah minyak

Mahu tak mahu, aku juga yang terpaksa membuat panggilan kecemasan pada DA. Dengan satu nafas dan sekali lafaz, aku beritahu DA. "Bos, Sorga Nefertiti kena ceroboh."

Tak banyak yang aku terangkan pada DA. Lebih afdal aku rasa, dia lihat sendiri semua yang terjadi. Biarlah dia nilai sendiri seburuk mana kerosakan pada Sorga Nefertiti.

"Kalau boleh, bos batalkan semua lawatan bos. Balik segera." Aku mencadangkan.

DA tak memberi sebarang balasan tetapi dia berdesit. Kalau ikut jadual, DA yang masih dalam rangka lawatan kerja dalam negeri itu, sepatutnya berlepas ke Beijing tengah hari itu. Tapi gara-gara panggilan telefon aku pada jam tiga pagi, DA bersama pengiringnya berpatah balik segera ke Sorga Nefertiti.

Seperti aku jangka, DA tak banyak bunyi sewaktu aku menyambutnya di gerbang pintu masuk Sorga Nefertiti. Tapi yang paling becok, riuh dan kecoh berleter tentunya Datin Naila.

"Apa kecoh sangat ni... Kelam-kabut aku!"

"Sorga Nefertiti kena ceroboh, Datin," balas aku sambil menyambut tas tangan dan selendang yang dibaling ke tangan aku.

"Bilik mana yang kena pecah masuk?"

"Bilik yang paling penting, Datin." Aku sebetulnya malas dan tak mahu berbalas kata dengan ratu di Sorga Nefertiti ini.

"Sekuriti buat apa? Makan gaji buta ke? Sistem keselamatan yang konon tahap dunia ni cikai ke? Ke lesen sistem tak bayar? Sekuriti dengan sensor kita, bukan ke ada? Macam mana boleh kena pecah? Sekuriti cap ayam ke?"

"Sekuriti kita dipintas, Datin."

"Dipintas?"

Langkahnya terhenti dan dia terus melenggang laju menuju ke lif.

Aku pantas mengejarnya sambil menjinjing tas tangan dan selendangnya. Di belakang aku tampak Sally, Kak Cham dan Nojie mengekori langkah kami. Wajah masing-masing cemas.

"Kalau hilang apa-apa barang aku... Siap kau orang semua! Aku pecat kau orang!"

Berdegup jantung aku mendengar ugutan itu. Aku mengerling ke belakang. Sally, Nojie dan Kak Cham saling berbisik sesama sendiri.

"Kalau hilang barang kemas yang aku sayang, jaga kau orang semua! Kepala kau orang nanti hilang dari badan!"

Aku diam tak berbunyi. Kami melangkah mengiringi Datin Naila ke kamar utamanya. Tiba-tiba telefon aku berbunyi. Ada arahan dari DA minta aku ke bawah semula.

"Datin, saya ada urusan dengan DA kejap, ya." Aku meminta izin.

"Habis, siapa nak jawab ni kalau ada barang saya yang hilang? Pastikan semua ni dibuat laporan. Mana yang hilang, saya nak tuntut insurans."

"Baik, Datin." Itu saja yang aku mampu janji. Aku berlalu pergi dengan hati yang sebal, rusuh dan serabut. Tubuh terasa bagai mahu dikerat dua. Sebelah untuk ikut telunjuk Datin dan sebelah lagi untuk DA.

Tiba-tiba aku terdengar Datin Naila bertempik. "Aku tak mahu makan ubatlah! Faham tak! Aku tak sakit!"

Panggg!

Bunyi kaca berderai.

"Aku Datin ke, kau yang Datin? Sally, kau dengar tak?" Suara Datin Naila masih menjadi guruh di ruang kamar itu. Aku yang di tepi lif masih terdengar. Langkah aku jadi terhenti.

"Bodoh! Aku tak mahu ubat! Aku tak mahu ubat!" Suara itu kemudian perlahan-lahan menjadi sayup dan layu.

Huh! Entah mengapa dada aku terasa berat. Seribu rasa termengkal dalam jiwa. Wahai manusia yang dilimpahi segunung emas, selangit wang, selaut kuasa, mengapalah jiwa engkau tak pernah tenteram!

Aku rasa aku dapat mengandai... Ini mesti kes Datin Naila culas untuk makan ubat yang berkotak-kotak dalam pegangan Sally.

Semua di Sorga Nefertiti tahu, Datin Naila kalau tak dirawat, sakit depresi dan goutnya menjadi-jadi. Boleh runtuh tembok Sorga Nefertiti kalau dia meraung kesakitan tengah malam. Mujur ada Sally, Kak Cham dan Nojie yang menjadi jururawat dan Si Kembang Cina buat Datin Naila. Tiga dayang serangkai inilah yang akan ikut punggung Datin Naila ke mana-mana.

Aku bergerak pantas menghala ke DA. Seperti yang aku duga, seluruh langit Sorga Nefertiti berubah mendung dengan insiden yang satu ini. Aku menarik nafas sebelum meletakkan lima jari ke ruang sensor sebelum pintu bilik mesyuarat terbuka.

Belum sempat duduk, suara DA menjerkah aku.

"Dah dapat laporan?!"

"Sudah, bos!"

"Bangsat! Macam mana ada musuh boleh pecah masuk?"

DA sudah berona wajahnya. Amarahnya menggelegak. Aku diam dan cuba bertenang. Aku tak tahu mengapa tatkala itu sebenarnya aku boleh jadi cukup berani. Mungkin kekuatan aku kini ada pada hati Yasmin. Biarlah aku dihantui dengan seribu kemungkinan. Kalau dipilih antara Yasmin dan DA, aku rela dipancung oleh DA.

"Kami dah siasat. Dah teliti semua laporan, kita tahu siapa punya angkara." Datuk Taufan menghulurkan beberapa gambar bercetak kesan kerosakan pada Sorga Nefertiti ke tangan DA.

Aku cuba tunjuk riak tenang. Dalam keadaan kritikal begini apa saja boleh terjadi. Aku mungkin ada silap. Yasmin mungkin ada tercicir bukti penting yang boleh memerangkap aku.

Aku tahu, kalau DA dan konconya tahu, aku yang melepaskan Yasmin, memang bercerai kepala dari badan aku.

"Siapa punya kerja ni?"

"Macam kami jangka, ini pihak MyJebat!" Datuk Taufan penuh yakin.

"Kurang ajar. Berani dia orang nak cuba-cuba. Makna kita kena ubah perancangan."

"Tapi bos..." Datuk Syed Ehsan cuba memintas tapi DA langsung enggan mendengar.

"Selagi fail merah kita selamat, aku tak peduli yang lain. Kalau Sorga Nefertiti ni runtuh sekalipun dan kau orang tertimbus di dalamnya pun, aku tak peduli." Garau suara DA. Dia jarang melenting begitu. Kali ini semua dipanggil menghadap. Termasuk Syed Badrul dan beberapa rakan yang menjadi proksinya dalam beberapa projek mega.

"Apa yang hilang?"

"Fail merah." Semua aku kira tak berani berbunyi. Aku menjawab bagi pihak yang lain. Seperti dijangka, terjegil besar mata DA. Mukanya kering ditoreh tak berdarah.

"Fail merah?"

"Ya, bos! Fail merah."

"Kau orang jangan nak bergurau dengan aku!"

Tiba-tiba dengan kasar, DA bangkit dari kerusinya. Ditolak ke tepi dan dia terus melangkah meninggalkan bilik ini. Semua yang ada termasuk aku, jadi terpinga-pinga dan kemudian kami meluru mengejarnya.

"Bos nak ke mana?" Aku beranikan diri bertanya sambil mengejarnya. Seluruh pengiring DA yang lain turut kelam-kabut.

"Aku nak tengok sendiri."

"Tempat tu tak selamat, bos." Aku cuba menahan.

"Kalau tak selamat, kau orang semua dah mati berkecai dulu!"

Gulp!

Aku diam dan semua yang lain terkedu. Hanya derap kasut berbunyi memecah keheningan suasana yang tegang itu.

"Betul, bos."

Laluan ke bilik kebal terasa amat panjang. Apatah lagi semua masih dalam keadaan dilingkungi pita polis. Tapi DA tak sedikit pun rasa terhalang pergerakannya. Puing-puing letupan masih bersisa di sana sini. Direntap saja semua pita kuning yang tercetak Garisan Polis - Dilarang Melintas.

Seperti dijangka, dia terkejut dengan segala yang dilihat. Matanya terus terhenti dan membuntang pada peti besi yang sudah terkopak dan pecah. Di situlah segala fail merah tersimpan. DA mengetap bibir, bercekak pinggang dan mendengus.

"Macam mana boleh hilang?"

"Rasa ini kerja si ular Tedung sama balaci dia Khan," balas Datuk Taufan.

"Tak kiralah siapa yang buat... Tapi macam mana boleh bobos masuk ke Sorga Nefertiti? Hei, yang buat blueprint keselamatan Sorga Nefertiti ni orang yang dah studi Alcatraz. Kita ada kubu, kita ada bilik kebal, kita ada besi ceracak, kita ada tasik... Itu pun boleh lolos?"

"Pihak sana rasanya dah berbulan rancang ni, DA," sampuk Datuk Syed Ehsan.

"Aku tak kiralah berapa tahun ke, berapa minggu ke perancangan. Kalau Sorga Nefertiti ni pun dah setara Alcatraz, setara piramid Tutankhamun punya kubur, berlapis-lapis kalau nak masuk... Habis kita nak bersedia macam mana lagi? Semua benda nak dibenamkan bawah tanah ke? Semua nak berkubu bawah tanah?!"

Memetir suara DA. Jarang dia naik suara begitu. Selalunya sepanjang waktu dia amat tenang.

Semua tertunduk sebelum Datuk Taufan menyampuk perlahan. "Kita akan cuba hapuskan segala bukti yang ada."

"Kita dah tahap tak boleh cuba. Kita kena hapuskan."

"Boleh, DA. Kuasa semua pada kita. Setakat ni semua faham, siapa membantah, siapa membangkang, umpama menggali kubur sendiri."

"Tapi dalam tempoh tu, kita kena beritahu dan jelaskan pada Prince Joni, dia tak boleh jejak kaki ke sini. Dan kita kena waspada, tak semua negara sanggup beri kerjasama pada kita. Kena bagi satu senarai pada Prince Joni, tempat yang selamat untuk dia."

"Tapi DA, ada ura-ura Prince Joni memang dalam pemerhatian."

"Kalau itu isunya, kita arahkan Prince Joni kekal saja dalam Layar Nefertiti. Jangan ke mana-mana."

"Maksudnya?"

"Layar Nefertiti dan Prince Joni tak perlu berlabuh. Berlayar selagi boleh. Hidup di laut buat masa ni sampai keadaan selamat. Kalau terhalang di laut, kalau teroleng dek ombak ganas atau serangan luar, aku dah sediakan tempat khas. Ini pilihan terakhir. Menghampiri Segi Tiga Bermuda, ada pulau terpencil. Di situ, Prince Joni boleh bersembunyi buat sementara."

Semua tergamam mendengar arahan drastik DA. Datuk Taufan tampak mengesat manik peluh pada dahi dengan tuala kecil yang sentiasa tersedia dalam kocek seluarnya. Datuk Syed Ehsan mendengus kecil.

"Macam mana perjanjian kita dengan Laura?" Tiba-tiba Datuk Syed Ehsan mengingatkan DA.

"Kita teruskan juga. Tapi jangan di sini." Skrin di hadapan masih boleh dihidupkan. Terbentang peta dan laluan laut untuk Layar Nefertiti. DA berpeluk tubuh mengamati laluan itu.

"Kita ke London atau Hong Kong?" soal Datuk Taufan.

"Hong Kong banyak mata dan telinga orang Raid Arjuna."

"Raid Arjuna?"

"Ya... Itu antara manusia licik yang kadangkala kita tak sedar dia jadi pemusnah segala perancangan kita."

"Raid Arjuna bukan orang Tedung dengan Khan," pangkah Datuk Syed Ehsan.

"Memang betul. Dia bukan orang Khan, bukan juga perisik untuk Tedung. Tapi dia lagi bahaya."

"Jadi kita ke mana untuk urusan Laura dengan Prince Joni?" Datuk Taufan masih tak puas hati. Aku diam dan tangan aku hanya mencatat nama yang pergi pada tab dan telefon pintar aku.

"Nanti aku tentukan."

"Siapa yang akan pergi?" soal Datuk Syed Ehsan.

"Aku beritahu nanti. Tapi yang pasti semua pertemuan sulit ni nanti biar Datin Naila yang jadi pengerusi mesyuarat."

"Datin Naila?" Semua serentak terkejut.

"Ya, bukan aku. Datin Naila. Semua kuasa veto pada dia."

"Kuasa veto? Datin Naila?" Sekali lagi semua termangu-mangu. Muka Datuk Taufan amat tak puas hati.

"Ya, semua arahan daripada Datin Naila. Kita ikut dan patuh. Jangan bantah."

Semua terdiam dan tertunduk. Sesekali aku pandang Datuk Taufan seperti berbisik sesuatu pada Datuk Syed Ehsan. Si anak muda kasanova yang memang sentiasa menempel dengan bapak, Syed Badrul juga berkerut wajah. Semua bagai tak puas hati. Aku saja yang menelan segala arahan baru tuan besar aku ini tanpa berbunyi.

Tapi tak ada siapa pun tahu, meresah jiwa aku. Memang aku hilang kata. Aku dapat merasakan, ada dendam menakung bisa.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro