Bab 11
Ziyad El Zamri
Jasadmu seharum kesturi, rohmu disambut bidadari
Langit mendung, awan bagai bergulung-gulung. Dingin angin yang bertiup mengusik rasa. Suasana sedih diselangi laungan intifada mengiringi jenazah aktivis korporat merangkap penasihat kewangan Bank Saudi, Sheikh Aali. Jasad lelaki kelahiran Mesir itu disolatkan di Masjid Medan Idaman, Setapak pada jam 1.30 tengah hari, tadi.
Kira-kira 2,000 jemaah hadir bagi menyempurnakan solat jenazah dan memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang membuatkan satu dunia menjadi gempar. Anaknya yang masih dirawat di hospital dibenarkan keluar untuk mengiringi jenazah.
Asakan orang ramai yang menyerbu untuk mengiringi jenazah dan sekumpulan besar media dari dalam dan luar negara, membuat aku memberi arahan kepada unit protokol.
"DA tunggu saja di airport." Aku melencongkan DA untuk terus ke lapangan terbang. Rancangan asal DA hendak menyertai solat jenazah.
"Pukul berapa dijangka?" Datuk Taufan bertanya.
"Tunggu isyarat." Aku membalas pendek. Tak boleh nak putuskan waktu sebab keadaan menjadi sangat luar biasa. Aku rasa mahu tiga kilometer jalan raya menjadi sesak. Satu negara bagai terpanggil untuk memberi penghormatan terakhir. Laungan takbir dan intifada terus bergema sewaktu jenazah dibawa menaiki kenderaan rasmi yang kami aturkan menuju ke lapangan terbang.
Difahamkan jenazah akan dibawa ke Mesir dengan penerbangan Saudi Airlines pada tujuh malam ini dan dijangka tiba di Kaherah, Mesir pada jam sembilan pagi waktu tempatan.
"Lagi 30 minit. Standby." Aku memberitahu Datuk Taufan untuk DA bersiap sedia. Memberi lambaian terakhir pada jenazah.
"Pastikan clear."
"Baik, bos."
Aku faham maksud Datuk Taufan. Aku harus pastikan tiada yang mencurigakan sepanjang DA di sana nanti. Aku sendiri melompat masuk ke kenderaan SUV yang bercermin gelap. Berdesup aku menghala ke lapangan terbang. Aku harus mendahului sebelum rombongan besar ini tiba.
"Siapa sebenarnya As Syahid Sheikh Aali ini? Dia lelaki yang penuh ilmu perbankan Islam, penuh semangat perjuangan, cendekiawan dunia dan banyak membantu melestarikan perbankan kita. Sedih, insan hebat ini rupanya digeruni pihak musuh. Takziah buat seluruh keluarganya. Bagi saya, Tuhan telah menunjukkan bukti. Rohnya diangkat ketika masih dalam khidmat pada negara ini. Itu satu kemuliaan. Kini jenazahnya ditunggu oleh ribuan manusia dengan penuh penghormatan. Allahyarham, bukan saja terkenal dalam kalangan penghuni dunia, tetapi terkenal juga dengan penduduk langit. Inilah kematian yang menginsafkan... Inilah kematian yang menghidupkan jiwa kita, membuka segala yang terhijab."
Sedang aku berdiri di balik tiang sambil mengamati DA yang memberi ucapan selamat jalan buat jenazah Sheikh Aali, tiba-tiba rusuk aku terasa disiku. Tajam dan kemas. Senak aku dibuatnya.
"Bravo bos kau! Presiden kerajaan Passola dan Pasir Berdengung memang macam ni, ya! Hancing kencingkan semua orang."
Aku menoleh. "Yasmin!"
"Kenapa? Takut aku?"
"Jaga mulut tu!"
"Betul kan apa aku cakap? Bos kau tu pelakon terbaik ya!"
Mulut comelnya terus mengomel-omel. Aku menarik nafas menahan sabar.
"Baik kau pergi dari sini. Ramai yang mendengar, ramai yang perhati nanti."
"Aku yang patut takut ke, kau yang kecut perut?" Dia menjeling sinis pada aku dan betul-betul membuat aku hilang sabar.
Aku rentap lengan dia untuk tarik dia ke tepi.
"Hei, jangan main kasarlah!"
"Jangan buat kecoh, Yasmin."
"Betul kan aku cakap? Bos kau tu gila. Orang dah mati kot, dia boleh buat skrip. Drama sangat!"
Huh, ikutkan mahu aku tekup bibir kecil itu.
Aku tak ada pilihan. Dia meronta tapi aku tetap heret dia jauh dari ruang tumpuan. Aku mencengkam kuat lengannya. Tapi perempuan ini memang licik, tangan aku pula dia pulas selamba sehingga terkunci pergerakan lengan aku.
"Kau nak aku jerit di sini atau kau lepaskan aku?"
"Kau pula nak aku lepaskan kau sesudah aku cium kau ke? Cium kau di sini!" Wajah aku mendekati pipinya. Aku sedikit menunduk. Sebenarnya untuk melindungi tubuhnya dari dilihat Datuk Taufan dan konco-konconya.
"Kurang ajar kau, Ziyad!" Dia memberi satu hentakan pada kasut aku! Perit sebetulnya. Tapi muka aku tetap tidak beriak.
"Jangan cari fasal, Yasmin. Jangan cabar aku." Kali ini aku merangkul pinggang kecilnya. Dia meronta tapi aku tak peduli. Sebelum ada yang perasan kehadiran dia, sebelum aku dikerah meletakkan kamera pengintip pada kereta CRX gadis ini, biar aku bawa dia keluar dari sini.
Memang kejap dan kemas pelukan aku. Aku boleh rasa degup jantungnya yang kencang.
Dia meronta keras.
"Jangan biadablah!"
"Okey, kau pergi dari sini, Yasmin. Sudah-sudah ekori aku."
Aku melepaskan dia setelah bergerak dalam jarak 20 meter. Orang ramai dan sesak. Aku harap tiada puak DA perasan akan kehadirannya.
"Hei, aku tak peduli kaulah! Bos kau tu yang nak rasa sangat kot peluru aku."
Merah padam muka Yasmin. Aku tahu dia malu diperlaku begitu.
"Berapa peluru kau nak bagi dia? Sebelum kau bagi dia, aku goreng celup tepung dulu peluru kau."
"Kurang ajar! Dasar lelaki tak guna! Semua sama macam DA?" Mata dia yang jernih dan bening itu menyerlah garang. Aku senyum dan sengaja membakar amarahnya.
"Kau nak rangup, garing perasa original ke atau hot and spicy?"
Sengaja aku membuat dia mendidih.
"Kau tunggulah, Ziyad! Tak lama bos kau tu! Dengan kau sekali aku pastikan aku gari, aku humban dalam penjara!"
Telunjuknya menghala tepat ke aras hidung aku. Aku capai tangan yang berkulit halus itu. Pantas aku mengucupnya. Bingo!
"Kau lelaki sampah!"
Dia tak sangka dengan tindakan aku dan tak sempat menepis. Langkahnya terus susup-sasap meninggalkan aku. Pantas dan tegak macam orang berkawad cara jalannya. Aku tak mampu menahan gelak.
"Apa-apalah, Yasmin! Aku menang!" Aku melaung tanpa peduli orang sekeliling yang menoleh melihat drama kami. Aku tahu perbuatan aku itu mencari fasal namanya kalau dilihat Datuk Taufan atau Datuk Ehsan dengan gengnya.
Tapi aku peduli apa! Kalau DA dengan gengnya boleh menggatal dengan segala jenis betina, ah... Aku sesekali nak flirting dengan Yasmin. Tak rugi apa untuk aku. Sempat juga aku rasa hangat dan lekuk pinggangnya. Dan, ya... Bau tubuhnya sangat harum. Lembut dan mengasyikkan! Cuma... Ya, gadis yang seorang ini, keras dan degilnya lain macam. Susah mahu dijinakkan. Yasmin memang sejenis perempuan yang tak makan umpan di tangan. Entah, semakin liat, semakin aku suka. Semakin dia angkuh, semakin seronok aku mahu menundukkannya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro